Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 18

             Hadis A:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

          Aku berdiri dipintu syurga, maka aku dapati kebanyakan orang yang memasukinya  adalah daripada kalangan orang miskin; sedangkan orang-orang yang kaya tertahan.[209]

Hadis B:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Celakalah hamba dinar dan dirham.[210]

Hadis C:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam:

Sesungguhnya setiap umat ada fitnah, dan fitnah bagi umat aku adalah harta.[211]

Hadis D:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

           Tidaklah dua ekor serigala yang dilepaskan kepada seekor kambing akan lebih    daripada ketamakan seorang manusia terhadap harta dan kehormatan dirinya, dalam merosakkan agamanya.[212]

Hadis E:

Berdoa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Ya Allah, hidupkanlah aku dalam kemiskinan, matikanlah aku dalam kemiskinan dan kumpulkanlah aku (pada Hari Kiamat kelak) dalam golongan orang yang miskin.[213]

Hadis F:

Berkata Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, aku berada bersama A‘isyah radiallahu ‘anha dalam rumahnya di Kota Madinah apabila kedengaran bunyi bising di luar. Maka aku bertanya: “Apakah ia ?” Mereka (orang di luar) menjawab: “Rombongan ‘Abd al-Rahman bin Auf kembali dari Syam dengan muatan yang terdiri dari segala-galanya.” Anas berkata: “Maka adalah rombongan tersebut terdiri daripada 500 ekor unta sehingga membuat heboh di Kota Madinah. Maka berkata A‘isyah: “Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Sesungguhnya aku melihat ‘Abd al-Rahman bin Auf memasuki syurga dengan merangkak.

Berkata Anas: “Maka aku memberitahukan hal ini kepada ‘Abd al-Rahman bin Auf.” Beliau menjawab: “Jika aku mampu pasti aku akan masuk syurga berdiri (berjalan). Kemudian ‘Abd al-Rahman bin Auf mensedekahkan seluruh muatan untanya dan pelana di jalan Allah Azza wa Jalla."[214]

 

===========================

[209]       Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Usama bin Zaid radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim - no: 2736. (Kitab Raqa'iq, Bab Kebanyakan Ahli Syurga adalah…….).

[210]       Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Abu Hurairah radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari - no: 6435 (Kitab Raqa'iq, Bab Mengelak dari fitnah harta).

[211]       Sahih: Hadis daripada Ka'ab bin Iyadh radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari (al-Tarikh al-Kabir), al-Tirmizi, Ibn Hibban dan lain-lain, dinukil dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadis Sahih - no: 592.

[212]       Sahih: Hadis daripada Ka'ab bin Malik radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan al-Tirmizi, dinukil oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Sagheir - no: 7908 dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jami' al-Sagheir - no: 5620.

[213]        Sahih: Hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Ubadah bin Saamit radiallahu 'anhuma, dikeluarkan oleh Abad bin Hamid (1002), Ibn Majah (4125), al-Thabarani (dalam al-Du'a, dinukil oleh al-Haithami dalam Majma' al-Zawa'id - no: 17906 dan al-Ajluni dalam Kasyfu al-Khafa' - no: 538), al-Hakim (7911), al-Baihaqi (12930), al-Khatib (Tarikh al-Baghdad - no: 2086) dan lain-lain; dinukil oleh al-Munziri (al-Targhib wa al-Tarhib - no: 4665 & 4666), al-Maqdisi (Ahadith al-Mukhtarah, jld 8, ms 270-271) dan al-Suyuti (al-Jami' al-Sagheir - no: 1454 & 1554).

              Hadis ini dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani kerana beberapa jalan yang saling menguat antara satu sama lain, lihat Silsilah Hadis Sahih - no: 308 dan Irwa' al-Ghaleel - no: 861. Sementara Muhyiddin Dibb Mastu, Samir Ahmad 'Atha & Yusuf 'Ali Badiwi menilainya hasan dalam semakan mereka ke atas kitab al-Targhib wa al-Tarhib, jld 4, ms 43-44, juga atas dasar beberapa jalan yang saling menguat.

               Ibn al-Jauzi berpendapat hadis ini adalah palsu (al-Maudhu'ath, jld 3, ms 141) akan tetapi ini dinafikan oleh Ibn Hajar al-'Asqalani (al-Munawi - Faidh al-Qadir Syarh al-Jami' al-Sagheir, jld 2, ms 102-103). al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi - no: 2457 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra - no: 13152 & Syu'abu al-Iman - no: 1453 & 1050 mengeluarkan riwayat yang sama dari Anas bin Malik radiallahu 'anhu, akan tetapi ditambahi dengan soalan dari 'A'isyah radiallahu 'anha: Mengapa wahai Rasulullah ? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya mereka masuk syurga sebelum orang-orang kaya dengan perbezaan 40 tahun. Wahai 'A'isyah, janganlah kamu menolak orang miskin walaupun dengan separuh buah kurma. Wahai 'A'isyah, senangilah orang-orang miskin dan hampirilah mereka, nescaya Allah mendekatkan kamu di Hari Kiamat. Berkata Abu 'Isa al-Tirmizi, hadis ini gharib. Hadis dengan tambahan di atas adalah daif kerana salah seorang perawinya yang bernama al-Harith bin al-Nu'man. Lihat al-Mubarakfuri - Tuhfat al-Ahwazi Syarh Jami' al-Tirmizi, jld 7, ms 18, al-Albani - Irwa' ul-Ghaleel, jld 3, ms 359 dan 'Abd al-'Ali 'Abd al-Hamid - Jamii' li-Syu'abu al-Iman - no: 1380.

[214]      Daif: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad (24724), al-Bazzar (3/209), al-Thabarani (al-Mu'jam al-Kabir - no: 264 & 5407) dan Abu Nu'aim (Hilyah al-Auliya' - no: 311), semuanya dari jalan 'Umarah bin Zazan, adalah beliau seorang yang diperselisihkan oleh para pengkritik rawi: diterima oleh sebahagian dan ditolak oleh sebahagian. Lihat al-Dhu'afa' wa al-Matrukin li Ibn al-Jauzi - perawi no: 2432, Mizan al-Iktidal - perawi no: 6030 dan al-Kamil fi Dhu'afa' al-Rijal - perawi no: 1257.

                Ibn al-Jauzi menyenaraikan hadis ini sebagai salah satu hadis palsu dalam al-Maudhu'ath akan tetapi Ibn Hajar al-'Asqalani dalam al-Qaulu al-Musaddid, ms 41-43 (hadis no: 6) berjaya melepaskan hadis ini dari kedudukan tersebut. al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib, jld 4, ms 41-42 berkata, hadis ini tetap tidak dapat diangkat ke taraf hasan kerana maksudnya, kerana adalah harta yang diurus oleh Ibn Auf (cara mendapat dan membelanjakan) menepati sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang salih. [Lihat Hadis I]. al-Dzahabi menukil riwayat ini dalam Siyar A'lam al-Nubala, jld 1, ms 76 dan berkata Syu'aib al-Arna'uthSanadnya daif.

           Hamzah Ahmad Zain dalam semakannya ke atas Musnad Ahmad, jld 17, ms 443 berpendapat, hadis ini dapat diangkat ke taraf hasan kerana maksudnya menepati hadis lain dari Nabi yang menerangkan orang kaya akan terhalang untuk terus masuk ke syurga kerana perhitungan harta mereka (Hadis A). Beliau menambah, hadis ini bukan bererti bahawa Ibn Auf tidak akan masuk syurga, ia hanya menerangkan bahawa beliau akan terhalang sebentar kerana perhitungan harta.

           Saya berkata, Hadis A hanya memperingatkan seseorang agar berhati-hati dengan hartanya, bagaimana ia diperolehi dan bagaimana ia dibelanjakan. Seorang yang kaya tidak akan secara automatik terlewat masuk syurga manakala orang yang miskin secara automatik akan terus masuk syurga semata-mata kerana jumlah harta mereka. Malah jika seseorang itu memperoleh kekayaannya secara halal dan dibelanjakan secara halal disamping sedekah yang banyak, kekayaan tersebut akan mempercepatkan dirinya masuk syurga, jauh lebih pantas dari seorang miskin. Perlu diingatkan bahawa perhitungan Allah akan harta manusia tidaklah seperti perhitungan juruaudit akan harta seseorang jutawan, di mana lebih banyak harta jutawan tersebut, lebih lama tempoh untuk mengauditnya.

              Ibn al-Jauzi menulis dalam Talbis al-Iblis, ms 313-314: Kemudian, tidak masuk akal bahawa ada sahabat yang boleh menyatakan kebimbangannya mengenai diri 'Abd al-Rahman bin Auf dalam hartanya. Bukankah sudah ada ijma' ulama' yang mengatakan dari hal kebenarannya boleh mengumpul harta kekayaan dari jalan yang halal ? Kalau begitu apa motif kebimbangannya itu padahal hal itu memang sudah dibolehkan ? Apakah syarak boleh membenarkan sesuatu kemudian ia menghukum salah seorang yang melakukannya ? Ini tentulah terbit dari kurang faham dan ceteknya ilmu agama orang yang mengatakan begitu.

          Kemudian mengapa digantungkan hal ini kepada 'Abd al-Rahman bin Auf sahaja padahal sahabat-sahabat yang lain juga ada yang sama kaya dengannya ? Umpama sahabat yang bernama Thalhah telah meninggalkan harta sebanyak 300 bahar sedangkan satu bahar itu sama dengan pikulan satu unta. Harta al-Zubair pula ketika meninggal dunia adalah sebanyak 700,000, Ibn Mas'ud sebanyak 90,000 dan kebanyakan sahabat memperoleh harta yang banyak lalu ditinggalkan mereka (apabila meninggal dunia) dan tiada seorangpun yang mengingkari mereka.

            Adapun dakwaan mereka bahawa 'Abd al-Rahman bin Auf merangkak di Hari Kiamat, maka ini menunjukkan yang mereka tiada mengetahui maksud hadis. Bukankah itu dalam mimpi dan bukan dalam keadaan sedar. Aku berlindung diri kepada Allah daripada mempercayai bahawa 'Abd al-Rahman bin Auf akan merangkak nanti di Hari Kiamat ! Cuba renungkan hal ini dalam-dalam ! Siapa pula yang akan mendahuluinya jika 'Abd al-Rahman bin Auf akan merangkak, padahal dia salah seorang dari sepuluh orang yang dijamin masuk syurga, dia pula dari Ahli Badar dan termasuk ahli syura ? Dan hadis ini pula diriwayatkan oleh 'Umarah bin Zazan yang mana Imam al-Bukhari berkata: terdapat huru hara dalam hadisnya. Berkata Imam Ahmad: dia pernah meriwayatkan hadis-hadis mungkar. Berkata Abu Hatim al-Razi: Tidak boleh dijadikan alasan. Dan berkata al-Daruquthni: Hadis ini lemah.

          Ibn al-Qayyim setelah membahas hadis ini secara panjang lebar dalam bukunya Sabar: Perisai Seorang Mukmin, ms 196-201 membuat rumusan: Adapun hadis masuknya 'Abd al-Rahman bin Auf ke dalam syurga dengan merangkak, maka permasalahannya adalah seperti yang dikatakan oleh Imam Ahmad rahimahullah, bahawa hadis ini adalah tidak benar lagi mungkar. Atau seperti yang dikatakan oleh al-Nasai, bahawa hadis ini palsu. Darjat-darjat (kebesaran, kemuliaan, ketinggian - P) 'Abd al-Rahman bin Auf, jihadnya, infaknya yang amat besar dan sedekahnya menghendakinya masuk syurga bersama dengan orang-orang yang berjalan seperti kilat, atau seperti sekelip mata, atau seperti kuda yang dipacu, dan dia tidak seharusnya masuk syurga dengan merangkak.

            Jika hendak dikatakan secara pasti bahawa orang kaya akan terlewat masuk syurga semata-mata kerana hartanya, adakah dengan itu kita akan berkata orang miskin pasti akan terus masuk ke syurga semata-mata kerana tiada harta ? Saya berkata tidak, kerana seorang miskin mungkin terlepas dari hitungan harta tetapi dia tetap akan dihitung kerana kesalahan-kesalahannya yang lain. Jika kesalahan si-miskin melebihi kesalahan si-kaya yang beriman, bertaqwa lagi soleh, mungkin sahaja si-miskin pula yang akan merangkak ke syurga. Bahkan jika kemiskinannya adalah sesuatu yang disengajakan sehingga membebankan umat dan masyarakat, dia bukan sahaja akan terlewat masuk syurga, malah akan diazab pula. Pendek kata, perhitungan Allah di Hari Akhirat nanti bergantung kepada banyak faktor dan ia tidak terbatas kepada jumlah harta seseorang sahaja. Oleh itu saya tidak menerima penilaian Shaikh Ahmad Hamzah Zain bahawa hadis ini dapat diangkat ke taraf hasan kerana kebenaran maksudnya. Ia mungkin benar jika maksudnya adalah umum tetapi adalah batil jika ia ditujukan khas kepada 'Abd al-Rahman bin Auf radiallahu 'anhu.
           Justeru saya berpendapat hadis ini sebenarnya adalah daif lagi batil. Di dalamnya terkandung beberapa kegoncangan dan keburukan, iaitu:

                  [1] Dalam sanadnya terdapat seseorang yang diperselisihkan,
                  [2] Matannya menyalahi keumuman konsep pengadilan Allah Ta'ala di Hari Akhirat dan
                  [3] Matannya melibatkan fitnah ke atas salah seorang sahabat yang mulia.


             Berdasarkan 3 faktor di atas, saya menambah bahawa hadis ini tidak boleh disampaikan kepada orang ramai sekalipun atas dasar anjuran dan peringatan (al-Targhib wa al-Tarhib), melainkan untuk menerangkan kelemahan-kelemahannya dan membetulkan pandangan masyarakat yang telah sekian lama terpengaruh olehnya.

 

 

 
:: laman utama