Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 15

Hadis A:

‘Abd Allah bin Jubair radiallahu ‘anhu berkata:

Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, adalah beliau ketika berdoa (tasyahud), beliau mengisyaratkan dengan jarinya dan tidak mengerak-gerakkannya.[175]

Hadis G:

Wail bin Hujur radiallahu ‘anhu berkata: “Aku akan tunjukkan cara solat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.” (Seterusnya beliau menerangkan):

             Ketika duduk (tasyahud), beliau duduk di atas kaki kirinya sambil meletakkan tangan telapak tangan kirinya di atas paha dan lutut kirinya. Kemudian baginda mengangkat sedikit siku kanannya di atas paha kanannya. Kemudian baginda melipatkan dua jari (jari kelingking dan jari manisnya) dengan ibu jarinya dan membentuk satu lingkaran (dengan jari tengah). Kemudian baginda mengangkat jarinya (telunjuk) dan aku melihat beliau menggerak-gerakkannya dan baginda berdoa dengannya.[176]

              Hadis A dan B menerangkan tatacara seseorang ketika duduk tasyahud akhir dalam solat. Antara hadis A dan B seolah-olah wujud percanggahan, hadis A menerangkan bahawa ketika duduk membaca doa tasyahud, Rasulullah salallahu-alaihi-wasallam menunjuk dengan jari telunjuknya tanpa menggerak-gerakkannya. Hadis B pula menerangkan bahawa baginda menggerak-gerakkan jari telunjuk secara berterusan. Maka bagaimanakah cara menghilangkan percanggahan ini ?

            Seperti yang telah diterangkan di bahagian awal buku ini, adakalanya dua hadis nampak bercanggah tetapi pada hakikatnya tidaklah demikian, ia hanya berlainan sekalipun duduk dalam bab atau perbincangan yang sama. Maka kedua-duanya dapat diamalkan pada waktu yang sama. Contoh pertama dalam kes ini ialah Hadis A dan B di atas, kedua-dua adalah hadis yang sahih dan setiap darinya menerangkan salah satu dari tatacara solat yang dibenarkan oleh syari‘at. Dalam salah satu hadisnya yang masyhur Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Solatlah kamu sepertimana engkau melihat aku solat.[177]

Dalam satu riwayat yang lain Abu Humaid radiallahu ‘anhu berkata: “Akulah orang yang paling tahu di antara kalian tentang cara solat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.” (Seterusnya beliau menerangkan):

Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam duduk – yakni duduk tasyahud – maka baginda membentangkan kaki kirinya dan menghadapkan bahagian depan kaki kanannya ke arah kiblat. Beliau meletakkan telapak tangan kanannya atas lutut kanannya dan telapak tangan kirinya atas lutut kirinya. Dan beliau mengisyarat dengan jarinya, yakni jari telunjuknya.[178]

Hadis yang seumpama di atas dengan keterangan “mengisyaratkan dengan jari telunjuknya” juga diriwayatkan dari beberapa orang sahabat yang lain. Perkataan mengisyaratkan dalam kaedah bahasa Arab menunjukkan erti tidak menggerak-gerakkan. Oleh kerana hadis-hadis yang menerangkan “tidak menggerakkan jari” adalah lebih banyak dari yang menerangkan “menggerak-gerakkan jari”, maka boleh dikatakan bahawa baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lazimnya tidak menggerak-gerakkan jarinya ketika bertasyahud kecuali dalam beberapa ketika sahaja.

            Oleh itu seseorang boleh sahaja mengamal kedua-dua petunjuk hadis di atas (Hadis A dan B), iaitu tanpa menggerak-gerakkan jari atau menggerak-gerakkannya secara terus. Dalam kebanyakan solat baginda tidak menggerak-gerakkan jari manakala dalam sebahagian solat yang lain baginda menggerak-gerakkan. Kedua-duanya adalah merupakan sunnah melaksanakan solat yang betul.[179]

 

 

===========================

[175]    Sanad Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Abu Uwanah (2019), Abu Daud (989), al-Nasa’i (al-Sunan al-Kubra 1193 & al-Sunan al-Mujtaba 1243) dan al-Baihaqi (2786). Berkata al-Nawawi dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 3, ms 417: sanadnya sahih. Berkata Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Syarh al-Sunnah al-Baghawi, jld 3, ms 178: Sanadnya kuat. Nasr al-Din al-Albani dalam Daif Sunan Abu Daud – no: 989 (Kitab Solat, Bab Isyarat ketika Tasyahud) menilainya syadz, iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh para perawi yang terpercaya tetapi maksudnya menyalahi hadis lain (Hadis B) yang diriwayatkan oleh para perawi yang lebih terpercaya. Saya berkata, sanad riwayat ini adalah kuat seperti nilai al-Arna’uth dan Albani manakala perbezaan maksud tidaklah membawa masalah kerana jika dua hadis tersebut adalah sama-sama sahih, maka kedua-duanya dapat diamalkan, insya-Allah.

                Abu Ubaidah Masyhurah bin Hasan dalam bukunya Koreksi Total Ritual Solat, ms 169-170 berkomentar bahawa hadis yang sama ini juga diriwayatkan oleh para imam yang lainnya, antaranya dalam Sahih Muslim – no: 579, tanpa adanya tambahan “...dan tidak menggerak-gerakkanya”. Saya berkata ini juga tidak menjadi masalah kerana apabila tambahan ini adalah sahih, maka ia melengkapkan lagi riwayat yang terdapat dalam Sahih Muslim tersebut. Abu Ubaidah juga berkomentar, dalam riwayat “...dan tidak menggerak-gerakkanya” terdapat seorang perawi yang bernama Muhammad bin Ajalan, beliau adalah seorang yang diperselisihkan. Saya berkata, ini adalah benar tetapi yang menguatkan Ibn Ajalan adalah melebihi dari yang melemahkan beliau sehingga Ibn Ajalan termasuk salah seorang perawi Imam Muslim. Lebih dari itu riwayat ini memiliki penguat dari ‘Amr bin Dinar (al-Sunan al-Kubra – no: 2786-2, Syarh al-Sunnah – no: 676-2) dan ianya disahihkan oleh al-Nawawi sebagaimana dinukil oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Syarh al-Sunnah al-Baghawi, jld 3, ms 178. Ingin penulis tambah, Abu Ubaidah tidak menolak hadis ini secara total, beliau memilih jalan menyatukan antara dua riwayat, iaitu dua-dua hadis boleh diamalkan.

[176]    Sanad Sahih: Sebahagian dari satu hadis yang panjang dikeluarkan oleh Ahmad (18772) dan sanadnya dinilai sahih oleh Ahmad Hamzah Zain, al-Darimi (1397) dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad, Ibn Khuzaimah (714) dan sanadnya dinilai sahih oleh Mustafa Azami, al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i – no: 1267, al-Baihaqi (2787) dan dinilai sahih oleh al-Nawawi dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 3, ms 417 dan Ibn Hibban (1860): kata Syu‘aib al-Arna’uth: Isnadnya kuat, para perawinya adalah perawi sahih kecuali Kulaib bin Shahab – beliau adalah benar. Berkata Abu ‘Ashim Nabil bin Hashim al-Ghumari dalam Fath ul-Manan: Syarh wa Tahqiq al-Musnad al-Jamii’ al-Darimi, jld 6, ms 368: Isnad hadis ini atas syarat al-Sahih kecuali Kulaib bin Shahab, beliau seorang perawi dari kitab yang empat, seorang yang benar.

                  Selain itu hadis ini juga dikeluarkan oleh Ibn Jarud (208) dan al-Thabarani (al-Kabir 22/35).

                Syu‘aib al-Arna’uth selanjutnya berkomentar bahawa hadis ini dengan tambahan “...aku melihat baginda menggerak-gerakkannya ...” adalah syadz iaitu aneh jika dibanding dengan riwayat-riwayat lain hanya menyebut “... mengisyaratkan dengan jari telunjuknya ...” . Saya berkata, ini tidak menjadi masalah, malah kedua-duanya boleh diterima. al-Arna’uth juga berkata, riwayat Wa‘il bin Hujur ini juga diriwayatkan oleh para imam yang lain tanpa tambahan “...aku melihat baginda menggerak-gerakkannya ...”. Saya berkata ini juga tidak menjadi masalah kerana tambahan ini tetap sahih jalan sanadnya dan ia melengkapkan riwayat lain yang dimaksudkan.           

[177]    Sahih: Sebahagian dari hadis Malik bin Hawarith radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Talkish al-Habir fi Takhrij Ahadith ar-Rafi‘i al-Kabir – no: 284 (Kitab al-Solat, Bab Azan).

[178]       Sahih: Sebahagian dari satu hadis yang panjang yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 293 (Bab Solat dari Rasulullah, Bab Cara duduk Tasyahud, Bab Lain tentang masalah (Tasyahud). Hadis dengan lafaz yang berbeza tetapi dengan maksud dan cara duduk yang sama juga diriwayatkan oleh lain-lain sahabat dan dibukukan oleh lain-lain para imam hadis.

[179]       Di atas adalah yang dipertengahan antara beberapa pendapat yang sedia ada dalam permasalahan ini. Sepertimana kata Muhammad bin Ismail al-San‘ani (1182H): Bahawasanya secara zahir dapat diambil antara mana-mana kaedah ini. [Subul al-Salam, jld 1, ms 89]. Dalam bab ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ilmuan, termasuk di kalangan mereka yang duduk di dalam sesuatu mazhab. Lebih lanjut lihat mana-mana kitab fiqh dan syarahan hadis, antaranya: Syamsul al-Haq al-‘Azim Abadi – Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, jld 3, ms 207-208; ‘Ali al-Qari – Mirfah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, jld 2, ms 633 dan al-Mubarakfuri (1353H)- Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi, jld 2, ms 158-160.

              Ibn ‘Arabi al-Maliki (534H) dalam ‘Aridhotu al-Ahwazi Syarh Jamii’ al-Tirmizi, jld 1, ms 329 nampaknya seolah-olah menolak pendapat menggerak-gerakkan jari ketika bertasyahud. Penulis berkata, yang sebenarnya ditolak oleh Ibn al-‘Arabi ialah orang yang melakukan sedemikian kerana berpendapat ia dapat menakutkan syaitan, bukan menggerak-gerakkannya kerana mengikut sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

 

 

 
:: laman utama