|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
BAHAGIAN KEDUA 20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut CONTOH no 14 Hadis F: "Abd Allah bin Amr radiallahu ‘anhu berkata: Aku biasa menulis segala yang aku dengar dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum Quraish menegahku dengan berkata: Apakah kamu menulis segala sesuatu ? Bukankah Rasulullah seorang manusia yang berbicara pada waktu marah dan senang juga ? Maka aku berhenti sebentar dari menulis sehingga aku menemui Rasulullah dan mengkhabarkan beliau tentang hal ini. Beliau memberi isyarat kepada mulutnya lalu bersabda: Tulislah ! Demi Dzat yang jiwaku berada di kekuasaan-Nya, tiadalah yang keluar dari mulut ini kecuali yang hak (yakni yang benar).[165] Hadis G: Berkata ‘Abd Allah ibn Abbas radiallahu ‘anhu: Apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedang sakit berat, beliau bersabda: Bawakanlah aku kertas, akan aku tuliskan untuk kalian sesuatu yang kalian tidak akan sesat sesudahnya. Berkata Umar al-Khattab: Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedang sakit berat dan kita memiliki Kitab Allah (al-Qur’an) dan ia adalah mencukupi bagi kita. Lalu mereka (para sahabat) berselisih pendapat tentang hal ini (untuk memberi kertas atau tidak) sehingga timbul kebisingan. Maka bersabda Rasulullah: Tinggalkanlah aku, tidaklah seharusnya kalian berselisih di hadapan aku.[166] Hadis H: Diriwayatkan dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu: Seseorang dari kalangan Anshar duduk di samping Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, lalu dia mendengar hadis-hadis daripada Rasulullah dan tertarik kepadanya tetapi tidak dapat menghafalnya. Ia mengadu kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, sungguh aku mendengar hadis daripada engkau lalu aku tertarik kepadanya tetapi aku tidak dapat menghafalnya. Maka bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Minta tolonglah dengan tangan kanan engkau. Dan beliau memberi isyarat dengan tangan kanannya kepada tulisan.[167] Hadis I: Diriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda Ikatlah ilmu. Bertanya para sahabat: Bagaimanakah kami mengikatnya ? Rasulullah menjawab: Dengan menulis.[168] Hadis J: Diriwayatkan dari Rafi’ bin Khadji, dia berkata: Ya Rasulullah, kami mendengar banyak perkara (hadis) dari kamu. Bolehkah kami menulisnya ? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Tulislah dan tidaklah ia satu kesalahan.[169] 10 riwayat di atas sangat masyhur dalam perbincangan tentang sejarah penulisan dan pembukuan hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Riwayat A, B dan C menerangkan larangan untuk mencatit dan menulis hadis-hadis Rasulullah manakala riwayat E, F, G, H, I dan J membenarkan mencatit dan menulis hadis. Riwayat D tidak diambil kira kerana statusnya adalah lemah (hadis daif). Riwayat-riwayat yang melarang penulisan hadis sebenarnya ditujukan kepada individu yang menulisnya di atas lembaran yang sama dengan al-Qur’an. Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengajar al-Qur’an kepada para sahabat ketika itu, beliau akan membaca sepuluh ayat lalu diikuti dengan penjelasan dan cara-cara mempraktikkannya. Baginda tidak akan melangkah ke 10 ayat seterusnya sebelum mereka faham benar akan 10 ayat yang sedang diajarnya.[170] Para sahabat, kerana kekurangan kertas, telah menyalin penjelasan Rasulullah bersama-sama ayat-ayat yang baginda bacakan di atas sekeping kertas yang sama. Inilah yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah kerana ia mungkin menyebabkan ayat al-Qur’an bercampur aduk dengan hadis-hadis beliau.[171] Perhatikan semula sabda beliau: Tulislah kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan kitab Allah. Tulisan selain kitab Allah ? Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia. Hadis B berasal dari Abu Sa‘id al-Khudri juga, sepertimana hadis A. Larangan yang terkandung dalam hadis B adalah kerana sebab yang sama juga sepertimana yang telah penulis terangkan dalam perenggan di atas, ianya tidaklah mutlak dalam semua suasana. Antara petunjuk yang mengisyaratkan hal ini adalah sebuah riwayat dari Abu Sa‘id sendiri, di mana beliau sendiri telah menulis bacaan tasyahud solat yang diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Abi al-Mutawakkali al-Naji menerangkan: Kami bertanya kepada Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu ‘anhu tentang bacaan Tasyahud, lalu beliau membacakannya kepada kami dan berkata: Adalah kami tidak menulis sesuatu kecuali al-Qur’an dan (bacaan) Tasyahud.[172] Jika hadis-hadis Rasulullah hendak dicatit dan ditulis secara berasingan dari al-Qur’an, maka ia dibolehkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang jelas dinyatakan dalam riwayat E, F, G, H dan J. Menulis atau tidak terserah kepada pilihan masing-masing sahabat, sebagaimana terang Abu Hurairah radiallahu ‘anhu: Tidak seorangpun daripada sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang lebih banyak meriwayatkan hadis selain aku kecuali ‘Abd Allah bin ‘Amr al-Ash, beliau menulis manakala saya tidak menulis.[173] Ada banyak lagi riwayat-riwayat yang menerangkan kecenderungan seseorang sahabat untuk menulis atau tidak menulis hadis.[174] Bagi yang memiliki ingatan yang kuat, mereka tidak menulis kerana tulisan dapat menumpulkan daya ingatan manakala bagi mereka yang memiliki daya ingatan yang tidak kuat, mereka cenderung kepada menulisnya. Semua ini adalah berdasarkan pilihan masing-masing dan bukan kerana wujudnya larangan mengharamkan penulisan. Demikian satu contoh terbaik menghilangkan percanggahan antara sesama hadis dengan kaedah [1] menyisihkan hadis-hadis yang lemah, [2] menghimpunkan semua hadis-hadis yang kuat dalam bab tersebut dan [3] mencari satu kefahaman yang tepat berdasarkan kajian mendalam terhadap erti setiap hadis daripada sudut individu dan suasana ia ditujukan.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [165] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadis Sahih – no: 1532. Lihat juga Sunan Abu Daud – no: 3646. (Kitab Ilmu, Bab Tentang menulis ilmu). [166] Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 0114. (Kitab Ilmu, Bab Tentang Penulisan Ilmu); juga Sahih Muslim – no: 1637. Perlu ditambahkan bahawa terhalangnya hajat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam untuk menulis pesanan penting tersebut tidak bererti ia tersembunyi dan langsung tidak dapat diketahui oleh umatnya. Sebagaimana terang Ibn ‘Abbas dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab sahihnya – no: 1637, peristiwa di atas berlaku pada hari Khamis. Baginda hanya wafat pada hari Isnin selepas itu. Dalam masa 4 hari tersebut, Rasulullah telah kembali sihat sedikit dari sakit beratnya dan telah beberapa kali bersabda kepada para sahabat sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis. Malah Rasulullah sendiri telah keluar ke masjid untuk mengimani solat jamaah. Oleh itu pesanan penting yang hendak disampaikan oleh Rasulullah pada awalnya dapat beliau lakukan pada hari-hari berikut sebelum menjelangnya hari Isnin. Tindakan ‘Umar radiallahu ‘anhu menghalang hajat Rasulullah untuk menulis pesanan penting tersebut bukanlah kerana beliau takut atau hendak menyembunyikan sesuatu, tetapi adalah atas dasar pertimbangannya yang tidak mahu memberatkan Rasulullah dalam keadaan beliau yang sedang sakit berat. Golongan Syi‘ah berkata, pesanan penting yang hendak disampaikan oleh Rasulullah dalam hadis di atas adalah berkenaan perlantikan ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu sebagai khalifah umat Islam. Pendapat ini ditolak kerana seandainya itulah pesanan penting yang hendak disampaikan oleh Rasulullah, beliau memiliki banyak peluang lain untuk menyampaikannya, sebelum atau selepas peristiwa di atas. Akan tetapi nampaknya tidak ada satupun riwayat yang menerangkan perlantikan sedemikian, samada dalam kitab-kitab hadis Ahli Sunnah mahupun Syi‘ah. [Lihat notakaki keterangan Mahmoud Martaji dalam Sahih Muslim (English trans), jld 3A, ms 85-86.] Lebih dari itu, seandainya Allah Subhanahu wa Ta‘ala berkehendak melantik ‘Ali sebagai khalifah umat Islam, sudah tentu Dia akan mensyari‘atkan perlantikan tersebut secara jelas lagi nyata, samada melalui al-Qur‘an atau lisan Rasul-Nya Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Kita sama-sama ketahui bahawa tidak ada satupun ayat al-Qur‘an atau hadis-hadis Rasulullah yang menerangkan perlantikan Ali. Kecuali beberapa hadis yang dipaksa maksudnya oleh golongan Syi‘ah sebagai kononnya merupakan perlantikan ‘Ali padahal jumhur umat Islam tiada memahaminya sedemikian. Dalam hadis di atas pula, seandainya benar Rasulullah berhajat untuk melantik ‘Ali menjadi khalifah umat Islam sebagai amanah dari Allah, sudah tentu hajat beliau akan tercapai tanpa sebarang halangan. Tidak mungkin kehendak Allah untuk melantik seorang khalifah bagi umat Islam terhalang semata-mata kerana halangan seorang manusia yang bernama ‘Umar bin al-Khattab. Sungguh tidak mungkin. Inilah yang antara penulis maksudkan sebagai hadis yang dipaksa-paksa maksudnya oleh golongan Syi‘ah. [167] Hasan: Hadis dikeluarkan oleh al-Tirmizi dari jalan al-Khalil bin Murratah dan beliau adalah seorang yang daif. Lihat al-Mubarakfuri - Tuhfat al-Ahwazi, jld 7, ms 357 (syarah bagi hadis no: 2666) dan Nasr al-Din al-Albani - Daif Sunan al-Tirmizi – no: 2666 (Kitab Ilmu, Bab Rukhsah Tentangnya (iaitu kebolehan menulis hadis). Penulis berpendapat hadis ini dapat diangkat ke taraf hasan kerana sekalipun sanadnya lemah, maksudnya tetap dibenarkan oleh hadis-hadis lain seperti hadis E & F. Hadis ini juga dikatakan berasal dari Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Thabarani dan al-Bazzar dari jalan Khasib bin Jahdar akan tetapi beliau seorang pendusta sebagaimana terang al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa‘id – no: 682 & 683. Lihat juga al-Mu’jam al-Ausath li al-Thabarani – no: 2825. [168] Hasan: Hadis daripada Anas bin Malik dan ‘Abd Allah bin ‘Amr radiallahu ‘anhuma, juga secara mauquf dari ‘Umar al-Khattab dan ‘Abd Allah ibn Abbas radiallahu ‘anhuma, dinukil dan dihimpun semuanya oleh Ibn ‘Abd al-Bar dalam Jami’ Bayan al-Ilmi wa Fadhlihi, jld 1, ms 306-319. Semua riwayat di atas memiliki jalan periwayatan tersendiri namun setiap darinya memiliki kelemahan. Akan tetapi ia saling menguat antara satu sama lain sehingga berkata Abu al-Ashbal al-Zahiri – penyemak kitab Jamii’ al-Bayan – bahawa hadis ini dapat didudukkan ke tangga hasan. [169] Hasan: Hadis dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir – no: 4410 dan Khatib al-Baghdadi dalam Taqyid al-Ilmi, ms 72. Sanadnya lemah kerana salah seorang perawinya memiliki ingatan yang tidak kuat, sebagaimana terang al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa‘id – no: 677. Lihat juga Kanz al-Ummal – no: 29222 dan buku Ajaj al-Khatib – Hadits Nabi Sebelum Dibukukan, ms 346. Penulis berpendapat hadis ini dapat diangkat ke taraf hasan kerana sekalipun sanadnya lemah, maksudnya tetap dibenarkan oleh hadis-hadis lain seperti hadis E & F. [170] Lihat Tafsir Ibn Kathir, jld 1, ms 11-12 (bhg Muqaddimah). [171] Mustafa Azami – Studies in Hadith Methodology and Literature, pg 28; Muhammad Hamidullah – Sahifah Hamman ibn Munabbih, pg 104-106. Lihat juga beberapa pendapat lain sebagaimana yang dinukil oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam pendahuluan Fath al-Bari,juga oleh Ajaj al-Khatib dalam - Hadits Nabi Sebelum Dibukukan, ms 348-351. [172] Sanad Daif: Sebahagian dari atsar yang panjang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf – no:2991: haddathana Ibn ‘Aliyah (Ismail bin Ibrahim bin Maqsum), dari Khalid (bin Ma’dan), dari Abi al-Mutawakkili (‘Ali bin Daud), kami bertanya kepada Abu Sa‘id .......Para perawinya thiqah kecuali Khalid bin Ma’dan - beliau seorang irsal dan mudallis. Lebih lanjut lihat Taqrib al-Tahzib, jld 1, ms 263, perawi no: 1684 dan lain-lain. Dikemukakan hanya sebagai penguat dan penjelas. [173] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari - no: 0113. (Kitab Ilmu, Bab Tentang Penulisan Ilmu). [174] Lihat al-Nawawi - Syarh Sahih Muslim, jld 9, ms 244 (syarah bagi hadis no: 3004) dan Ajaj al-Khatib - Hadits Nabi Sebelum Dibukukan, ms 344-369 bagi riwayat-riwayat daripada kalangan sahabat dan tabi'in yang menulis atau tidak menulis hadis.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||