MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Politik

 

A - B : C - D : E - G

 

 

 

C:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mensyaratkan seorang pemimpin itu memiliki manhaj kepimpinan yang meletakkan syari‘at Islam di tangga yang teratas dalam keyakinan dan pelaksanaan. Pemimpin yang tidak mampu melaksanakannya dimaafkan manakala pemimpin yang mampu tetapi enggan melaksanakannya, maka dia mungkin fasiq atau zalim atau kafir.

 

Penjelasan:

Meletakkan syari‘at Islam, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah di tangga yang teratas telah dikupas dalam bab pertama, berkenaan ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam mengambil sumber agama. Pemimpin yang tidak mampu melaksanakannya dimaafkan kerana Islam tidak menghukum seseorang yang tidak mampu melaksanakan sesuatu perintah larangan daripada syari‘at Islam.

Dalam pengecualian ini terdapat satu contoh daripada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dimana Najasyi, seorang Raja di negeri Etophia, tidak melaksanakan syari‘at Islam dalam kepimpinannya disebabkan penentangan daripada rakyat dan pihak istana. Ketidakmampuan beliau diketahui oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda tidak menghukum beliau sebagai fasiq, zalim atau kafir, sebaliknya menghukum beliau sebagai seorang hamba yang shalih. Berkata Jabir radhiallahu ‘anh:

 

Berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika mendengar khabar kematian Najasyi:

“Pada hari ini seorang lelaki yang shalih telah meninggal dunia.

Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.[1]

 

Berkenaan peristiwa ini Ibn Taimiyyah berkata:

 

Meski pun Najasyi seorang raja Nasrani, kaumnya tidak mahu tunduk kepadanya untuk masuk Islam. Yang ikut sertanya untuk masuk Islam hanya segelintir orang. Oleh kerana itu ketika beliau meninggal dunia, tidak seorang jua yang mensolatkan (jenazah)nya. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mensolatkannya di Madinah dan orang-orang Islam turut keluar bersama membentuk saf-saf untuk mensolatkannya (di Madinah). Apabila mereka mengkhabarkan tentang kematian beliau pada hari kematiannya, baginda bersabda: “Sesungguhnya saudara kamu yang shalih daripada Habsyah (Etophia) telah meninggal dunia”.

 

Padahal banyak daripada syari‘at Islam, atau kebanyakan daripadanya, tidak satu jua yang dilaksanakan olehnya. Beliau tidak berhijrah, berjihad, melaksanakan Haji ke Baitullah, bahkan diriwayatkan beliau juga tidak mendirikan solat lima kali sehari, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan tidak mengeluarkan zakat yang disyari‘atkan. Semua ini kerana (amalan-amalan tersebut) akan menzahirkan (status Islamnya) kepada kaumnya dan mereka akan mengingkarinya. Dan beliau tidak mungkin untuk berselisih dengan mereka. Kita mengetahui secara pasti bahawa tidak mungkin baginya untuk menerapkan hukum al-Qur’an di kalangan mereka (rakyatnya)…… 

 

…… (Selain itu) banyak juga orang yang menjadi qadhi dan imam (pada zaman pemerintahan) Islam dan (pada zaman penjajahan) Tartar, yang adil dan ingin memutuskan sesuatu perkara secara adil (yakni berdasarkan syari‘at Islam), akan tetapi itu tidak mungkin bagi mereka. Bahkan ada orang yang menghalangi mereka dan sesungguhnya Allah tidak membebankan satu jiwa melainkan menurut kemampuannya. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga dimusuhi dan dihukum kerana sebahagian perkara yang dia tegakkan secara adil. Bahkan ada yang mengatakan, dia diracun kerana pengadilan tersebut.

 

Najasyi dan orang-orang lain yang semisal keadaannya dengan beliau adalah orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, meski pun mereka tidak melaksanakan syari‘at Islam (pada zaman kepimpinan mereka). Ini kerana memang mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka sekadar memutuskan sesuatu perkara mengikut apa yang mereka mampu laksanakan.[2]

 

Malaysia termasuk dalam kategori negara yang tidak mampu untuk dilaksanakan syari‘at Islam oleh para pemimpinnya. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama, dimana jumlah rakyat yang beragama Islam tidak mencapai jumlah minima dua pertiga (66%) bagi membolehkan undang-undang persekutuan diubah ke arah meletakkan syari‘at Islam di tangga yang teratas. Suasana ini diburukkan lagi dengan keadaan umat Islam yang berpecah kepada beberapa parti politik, dimana perpecahan ini mengecilkan lagi peratusan kita berbanding kaum-kaum bukan Islam yang bersidang di parlimen.

Maka kita sebenarnya memiliki dua cabaran yang tidak mampu diubah:

·  Pertama adalah cabaran menukar sistem parlimen, iaitu sistem yang menetapkan jumlah minimum dua pertiga (66%) sebelum sesuatu undang-undang persekutuan boleh ditukar.

·  Kedua adalah cabaran untuk mencapai jumlah minimum dua pertiga (66%) dimana jumlah umat Islam di Malaysia masih belum  mencapai tahap tersebut. Saya dikhabarkan bahawa umat Islam hanya mewakili 54% daripada jumlah rakyat Malaysia.[3]

Kedua-dua cabaran di atas adalah sesuatu yang tidak mampu untuk kita hadapi pada masa kini. Akan tetapi pada masa yang akan datang, cabaran kedua nampaknya lebih cerah berbanding cabaran pertama. Caranya:

1.   Hendaklah kita mengislahkan umat Islam agar berjamaah di bawah satu parti. Berpecah-pecah kepada beberapa parti dengan setiap satu daripadanya mendakwa akan menegakkan syari‘at Islam adalah satu pendustaan di siang hari.

2.   Menggiatkan usaha dakwah agar lebih ramai kaum bukan Islam yang akan memeluk Islam, atau sekurang-kurangnya setuju dengan keadilan syari‘at Islam. Dengan cara ini kita akan dapat mencapai jumlah minima 66% untuk mengubah undang-undang persekutuan ke arah meletakkan syari‘at Islam di tangga yang teratas.

Seterusnya, pemimpin yang mampu tetapi enggan melaksanakannya, maka dia mungkin fasiq atau zalim atau kafir. Ini berdasarkan tiga firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,

maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.

[al-Maidah 5:47]

 

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah,

maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

[al-Maidah 5:45]

 

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,

maka mereka itulah orang-orang kafir.

[al-Maidah 5:44]

Antara kemukjizatan al-Qur’an al-Karim adalah, apabila ia menggunakan tiga istilah yang berbeza, bererti ia merujuk kepada tiga kes yang berbeza. Ketiga-tiga ayat di atas merujuk kepada tiga kes yang berbeza, dimana faktor pembezanya adalah antara keyakinan dan pelaksanaan. Secara terperinci:

  • Fasiq: Pemimpin yang meyakini keunggulan syari’at Islam dan melaksanakannya dalam kepimpinannya, akan tetapi dalam pelaksanaannya terdapat beberapa perkara yang tidak selari dengan tuntutan syari‘at.

  • Zalim: Pemimpin yang meyakini keunggulan syari‘at Islam, akan tetapi tidak melaksanakannya dalam kepimpinannya kerana terikut dengan hawa nafsu dan sebagainya

  • Kafir: Pemimpin yang tidak meyakini keunggulan syari‘at Islam lalu mendudukkannya di tangga ke bawah berbanding syari‘at buatan manusia dan melaksanakan syari‘at buatan manusia dalam kepimpinannya.

Oleh kerana kesukaran untuk membezakan antara sifat fasiq dan zalim dari sudut pelaksanaannya, kebanyakan kitab tafsir meletakkan sifat fasiq dan zalim dalam kategori yang sama. Sebelum mengakhir penjelasan ini, ingin saya tarik perhatian para pembaca kepada tiga ayat di atas (al-Maidah ayat 47,45,44). Perhatikan bahawa ia dimulai dengan firman Allah “Dan sesiapa yang…”, bererti ia merujuk kepada semua individu muslim tanpa terhad kepada para pemimpin sahaja. Oleh itu jangan sekadar menujukan ayat-ayat tersebut kepada para pemimpin, sebaliknya tujukanlah ia kepada diri kita sendiri: Apakah kita bebas dari sifat fasiq, zalim dan kafir? Apakah keyakinan dan pelaksanaan kita dalam urusan politik dan kepimpinan selari dengan apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala atau sebaliknya?

Dalam erti kata lain, ayat 47, 45 dan 44 surah al-Maidah tidak sahaja merujuk kepada sikap pemimpin dalam memimpin tetapi juga sikap rakyat terhadap pemimpin. Sepertimana yang saya sebut di permulaan bab ini, “hukum” yang dimaksudkan dalam tiga ayat tersebut tidak terhad kepada hukum jenayah, tetapi umum meliputi semua hukum Islam seperti tauhid, ibadah, akhlak, muamalat, perang, politik dan kepimpinan.

 

 

 

 

 

D:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menetapkan kesetiaan dan ketaatan kepada pemimpin. Namun jika pemimpin bersifat fasiq atau zalim, kesetiaan diteruskan manakala ketaatan ditarik dalam perkara yang melibatkan kefasiqan dan kezaliman.

 

Penjelasan:

Demikian sikap pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah antara (1) mereka yang tetap setia dan taat kepada pemimpin yang fasiq atau zalim dengan (2) mereka yang tidak setia dan tidak taat kepada pemimpin yang fasiq atau zalim.

Tidak boleh mentaati pemimpin dalam kefasiqan dan kezalimannya, seperti mentaati apa-apa perintah larangan yang menyelisihi syari‘at Islam. Dalam hal ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap muslim

sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat.

Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tiada wajib mendengar dan tidak wajib taat.[4]

 

Lebih buruk adalah sikap membenar serta membantu kefasiqan dan kezaliman pemimpin tersebut, sebagaimana yang diperingatkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Sesungguhnya akan ada sesudah aku para pemimpin,

sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka dan membantu kezaliman mereka

maka dia bukan dari golongan aku dan aku bukan dari golongan dia

serta dia tidak akan mendatangi aku (pada Hari Akhirat nanti) di Telaga Haudh.

 

Dan sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka

dan tidak membantu kezaliman mereka,

maka dia dari golongan aku dan aku dari golongan dia serta dia akan mendatangi aku

(pada Hari Akhirat nanti) di Telaga Haudh.[5]

 

 

Walaubagaimana pun kesetiaan tetap diberi dan diteruskan kepada pemimpin yang bersifat fasiq dan zalim, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada pemimpinnya,

maka hendaklah dia bersabar kerana tidaklah seseorang itu memisahkan dirinya dari jamaah

walau sejengkal lalu dia mati, melainkan dia mati dalam keadaan jahiliyah.[6]

 

Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin

lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu),

maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut.

Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu).[7]

 

 

Kedua-dua fenomena yang dirujuk oleh hadis-hadis di atas benar-benar berlaku sekarang ini, iaitu di antara (1) mereka yang tetap setia dan taat kepada pemimpin yang fasiq atau zalim dengan (2) mereka yang tidak setia dan tidak taat kepada pemimpin yang fasiq atau zalim. Kita mengetahui segolongan daripada mereka yang menjadi “penjilat” yang membenarkan apa jua yang dilakukan oleh pemimpin. Pada waktu yang sama wujud segolongan lain yang menjadi pembangkang sehingga menyalahkan apa jua yang dilakukan oleh pemimpin.

Sesungguhnya kemuliaan berada pada golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang berada di pertengahan antara dua golongan yang ghuluw (ekstrim) di atas. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tetap setia kepada pemimpin tanpa mengira sama ada mereka melakukan sesuatu yang selari atau menyelisihi syari‘at Islam. Yang dibezakan hanya dari sudut ketaatan, dimana ia diberi dalam urusan yang selari dengan syari‘at, ditarik dalam urusan yang menyelisihi syari‘at.

Selain itu dalam urusan yang menyelisihi syari‘at, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berusaha mencari ruang untuk menasihati dan menegur pemimpin. Ini dilakukan dalam suasana tertutup dan mesra tanpa menghina mereka. Ini berdasarkan petunjuk-petunjuk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

1.   Seseorang bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Apakah sebaik-baik jihad?” Baginda menjawab:

 “Perkataan yang benar kepada pemimpin yang zalim.”[8]

 

2.   ‘Iyadh bin Ghanm radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah dalam sesuatu urusan,

janganlah dia melakukannya secara terang-terangan.

Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut

dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi.

Jika dia (pemerintah) menerima (nasihat) maka itulah yang diharap-harapkan.

Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat)

telah melaksanakan tanggungjawabnya.[9]

 

Dalam hadis lain baginda bersabda:

 

Tiga perkara yang menyucikan hati seorang mukmin dari sifat khianat:

(1) amal yang ikhlas,

(2) nasihat kepada pemimpin dan

(3) berpegang kepada jamaah (umat Islam),

kerana sesungguhnya doa (sesama umat Islam dalam satu jamaah) meliputi semua mereka.[10]

 

Dalam hadis lain baginda bersabda:

 

Sesungguhnya Allah meredhai bagi kalian tiga perkara dan membenci bagi kalian tiga perkara.

Allah meredhai (1) kalian menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa jua,

(2) kalian semua berpegang kepada tali Allah dan tidak berpecah-belah dan

(3) kalian menasihati orang yang Allah angkat memimpin urusan kalian.

Dan Allah membenci (1) kalian menyebarkan gosip,

(2) membazir harta dan

(3) banyak bertanya (soalan yang tidak berfaedah).[11]

 

Kedua-dua hadis di atas menerangkan kepentingan dan keutamaan menasihati pemimpin. Nasihat adalah satu tindakan memberi teguran dan menerangkan apa yang baik dalam suasana tertutup lagi mesra sebagaimana hadis ‘Iyadh bin Ghanm di atas.

 

3.  Ziyad bin Kusaib al-‘Adawi berkata, saya bersama Abi Bakrah (radhiallahu 'anh) di bawah mimbar Ibn ‘Amir yang saat itu sedang memberi khutbah. Dia memakai pakaian yang sangat nipis. Lalu Abi Bilal berkata: “Lihatlah pemimpin kami itu, dia memakai pakaian orang fasiq!” Abi Bakrah menjawab:

 

Diamlah kamu! Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang menghina pemimpin Allah di bumi maka Allah akan menghinanya (di Hari Akhirat).”[12]

 

Berdasarkan petunjuk-petunjuk ini juga, hendaklah orang-orang yang mendalam lagi luas ilmu agamanya memainkan peranan dalam politik. Jika mereka ditawarkan apa-apa jawatan oleh pemimpin, seperti jawatan mufti, hendaklah mereka mengambilnya. Ini adalah penting agar mereka dapat memainkan peranan untuk menasihati pemimpin. Terlebih penting, agar jawatan tersebut tidak diambil oleh orang lain yang rendah lagi sempit ilmu agamanya atau memiliki sesuatu kepentingan duniawi di sebaliknya.

Pada waktu yang sama, orang ramai tidak boleh berprasangka buruk kepada para ulama’ yang mengambil jawatan tertentu yang ditawarkan oleh pemimpin. Tidak boleh beranggapan kononnya para ulama’ tersebut adalah “penjilat” pemimpin. Sebaliknya hendaklah berdoa agar para ulama’ tersebut dapat memberi nasihat yang baik kepada pemimpin dan pemimpin bersikap terbuka untuk mendengar nasihat mereka.

Sekali lagi, di sini terdapat perbezaan yang besar antara hukum politik Islam dengan hukum politik bukan Islam. Politik bukan Islam berteraskan sistem parti pembangkang dimana apabila Parti A yang memimpin dinilai oleh rakyat bersifat fasiq atau zalim, didirikan Parti B untuk membangkang dan cuba merebut jawatan pemimpin. Katakan Parti B memenangi pilihanraya dan menjadi parti yang memimpin. Fitrah manusia akan menyebabkan lambat laun akan ada sesuatu ciri yang dinilai fasiq dan zalim oleh rakyat terhadap Parti B. Maka akan didirikan pula Parti C untuk membangkang dan merebut jawatan pemimpin. Demikianlah seterusnya sebagaimana yang dapat disaksikan di pelbagai belahan negara Islam yang melaksanakan hukum politik bukan Islam. Sekian banyak parti yang timbul dan tenggelam, tidak ada kebaikan dalam kepimpinan negara melainkan bertambahnya kemudaratan sesama rakyat, seolah-olah adanya bantuan syaitan di sebaliknya.

Ada pun dalam politik Islam, merujuk kepada kes seumpama di atas, tidak boleh menarik kesetiaan dari Parti A dan mendirikan Parti B. Sebaliknya hendaklah tetap setia kepada Parti A dan berusaha untuk menasihati kefasiqan dan kezaliman mereka. Hendaklah usaha memberi nasihat dilakukan dengan sabar tanpa ada batas waktu maksima yang tertentu. Dengan cara ini, umat Islam tetap bersatu kepada Parti A tanpa berpecah belah kepada Parti B, C dan seterusnya. Apabila kita bersatu, bantuan Allah bersama kita sehingga pemimpin yang pada awalnya dinilai fasiq dan zalim akan diubah-Nya menjadi shalih dan adil.

Antara bersatu dan berpecah belah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengingatkan:

 

Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jama‘ah dan sesungguhnya Syaitan

berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jama‘ah.[13]

 

Pernahkah ahli-ahli parti-parti yang bertanding terfikir, dimanakah bantuan Allah selama ini dalam perjuangan mereka? Kenapakah seolah-olah ada syaitan yang melaga-lagakan dan menghalang perjuangan?

 

 

TOP


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3877 (Kitab al-Manaqib, Bab kematian Najasyi).

[2] Majmu’ al-Fatawa, jld. 19, ms. 218-219.

[3] Harap dapat betulkan saya jika peratusan ini adalah tidak tepat.

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab dengar dan taat kepada imam …).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 4218 (Kitab al-Bai‘ah, Bab ancaman bagi orang yang membantu pemimpin atas kezaliman).

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7143 (Kitab al-Ahkam, Bab dengar dan taat kepada imam …).

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1855-2 (Kitab al-Imarah, Bab para imam yang baik dan buruk).

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 4220 (Kitab al-Bai‘ah, Bab keutamaan orang yang berkata benar kepada imam yang zalim).

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 15333 (Musnad al-Makkiyiin, Bab daripada hadis Hisyam bin Hakim) dan berkata Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya, “Hadis sahih lighairihi kecuali sabda baginda: Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan… maka ia adalah hasan lighairihi.” Sabda baginda: Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan… sehingga akhir juga dikeluarkan oleh Ibn Abi ‘Ashim dalam Kitab al-Sunnah dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Zhilal al-Jannah fi Takhrij al-Sunnah, hadis no: 1096.

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih lighairihi oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 16738 (Awal musnad al-Madaniyyin, Hadits Jabir bin Mut‘im).

[11] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 8334 (Baki al-Musnad al-Sabiq).

[12] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2224 (Kitab al-Fitan, Bab berkenaan para khalifah).

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 4577 (Kitab al-Siyar, Bab mentaati para imam).

 

 

kandungan