|
MARI BERKENALAN DENGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH
hafiz firdaus abdullah
|
||
|
Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:
Politik
A: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa politik dan kepimpinan adalah penting demi memelihara urusan dan tujuan agama. Akan tetapi jika kepimpinan yang menepati syarat belum wujud, usaha memelihara urusan dan tujuan agama diteruskan oleh para ilmuan sekadar yang mampu.
Penjelasan: Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di antara (1) mereka yang berkata politik dan kepimpinan atau tidak memiliki tempat dalam agama dan (2) mereka yang berkata urusan agama ditangguhkan sehinggalah umat memiliki politik dan pemimpin yang memenuhi syarat. Syarat yang dimaksudkan akan diterangkan selanjutnya dalam Ciri B dan C, insya-Allah. Dalil bahawa urusan kepimpinan atau politik adalah salah satu daripada dasar agama adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal shalih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa.
Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kafir ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [al-Nur 24:55]
Jika tidak ada pemimpin yang menepati syarat, maka ia tidaklah bererti urusan dan tujuan agama dibiarkan terbengkalai. Usaha tetap diteruskan sehinggalah tercapainya politik dan kepimpinan yang menepati syarat.
Di sini terdapat beberapa soalan yang lazim timbul:
Persoalan Pertama: Saya pernah ditanya sebelum ini, apakah dalil wajibnya mendirikan negara Islam? Malah ada juga yang bertanya, wujudkah konsep bernegara dalam Islam? Ini kerana tidak satu jua ayat al-Qur’an atau hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dapat dijadikan dalil sebuah negara Islam. Soalan di atas dapat dijelaskan seperti berikut. Para ahli ushul telah menggariskan bahawa tujuan syari‘at Islam adalah untuk memelihara kemaslahatan dan mengelak kemudaratan terhadap perkara-perkara yang dapat dibahagikan kepada tiga kategori: 1. al-Daruriyyat: iaitu perkara-perkara yang membentuk dasar yang amat penting bagi manusia. Perkara tersebut adalah agama, jiwa, keturunan, akal, maruah dan harta. 2. al-Hajiyat: iaitu perkara-perkara yang memudahkan kehidupan manusia, tanpanya manusia akan menghadapi kesukaran. 3. al-Tahsiniyyat: iaitu perkara-perkara yang menjadi pelengkap dan hiasan kepada kehidupan manusia. Tumpuan kita ditujukan kepada kategori pertama: al-Daruriyyat. Berdasarkan pelbagai dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, usaha untuk memelihara kemaslahatan dan mengelak kemudaratan terhadap agama, jiwa, keturunan, akal, maruah dan harta adalah wajib. Atas dasar kewajipan ini, mewujudkan satu cara atau sistem agar pemeliharaan terhadap al-Daruriyyat adalah wajib juga. Di sinilah letaknya kewajipan mewujudkan konsep sebuah negara agar perkara-perkara al-Daruriyyat dapat dipelihara dengan terancang dan terarah. Namun negara sahaja tidak cukup. Ia wajib merupakan sebuah negara Islam agar perkara-perkara al-Daruriyyat dapat dipelihara berdasarkan syari‘at Islam dan bukan selainnya. Ringkasnya konsep bernegara dan negara Islam memang tidak disentuh secara terus oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Akan tetapi berdasarkan beberapa kaedah Ushul al-Fiqh, konsep bernegara dan mendirikan negara Islam adalah wajib agar tujuan-tujuan Islam dapat dicapai dan dibumikan secara optimum.
Persoalan Kedua: Seterusnya timbul persoalan, apakah negara Islam hanya satu atau boleh berbilang jumlahnya? Dalam persoalan ini umat Islam terbahagi kepada tiga aliran:
Aliran Pertama: Persoalan ini tidak ada kaitan dengan Islam kerana konsep negara Islam tidak wujud. Pendapat aliran ini telah dibantah dalam Persoalan Pertama di atas.
Aliran Kedua: Hanya boleh ada satu negara Islam dengan satu pemimpin. Pendapat ini seterusnya dimiliki oleh dua aliran: · Aliran Syi‘ah. Mereka berpendapat hanya boleh ada satu pemimpin dan satu negara. Pemimpin yang mereka maksudkan adalah imam-imam mereka. · Aliran sebahagian umat Islam. Mereka berpendapat hanya ada satu pemimpin dan satu negara berdasarkan konsep Negara Islam Madinah dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai pemimpinnya. Pendapat ini perlu dinilai semula kerana Madinah bukanlah sebuah negara yang bersempadan dan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam bukanlah seorang Khalifah, Sultan, Raja, Perdana Menteri atau Presiden. Baginda adalah seorang Rasul yang dilantik oleh Allah dan bukan oleh rakyat. Baginda memiliki authority untuk menggubal syari‘at Islam manakala seorang Khalifah, Sultan, Raja, Perdana Menteri atau Presiden hanya berperanan melaksanakan syari‘at tersebut. Baginda adalah seorang Rasul yang wajib ditaati oleh umat Islam sekali pun selepas kewafatannya, berbeza dengan seorang pemimpin negara, dia ditaati hanya pada masa hidupnya. Oleh itu kepimpinan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu sistem al-Nubuwwah dan bukannya suatu sistem Khalifah, Sultan, Raja, Perdana Menteri atau Presiden.
Aliran Ketiga: Boleh ada beberapa negara dengan setiap negara memiliki satu pemimpin. Ini kerana konsep negara dan pemimpin adalah untuk memelihara urusan dan tujuan agama. Negara dan pemimpin hanyalah alat manakala memelihara urusan dan tujuan agama adalah objektifnya. Maka dibolehkan memiliki beberapa alat asalkan objektif yang satu tercapai. Dalilnya adalah hadis sama yang lazim dijadikan dalil untuk menegakkan kepimpinan:
Apabila ada tiga orang yang keluar bermusafir, hendaklah mereka menjadikan salah seorang daripada mereka sebagai pemimpin.[1]
Jika ada satu kumpulan yang bermusafir dari Madinah ke selatan, maka hendaklah mereka mengangkat di kalangan mereka seorang pemimpin. Namun jika pada waktu yang sama ada satu kumpulan lain yang bermusafir dan Madinah ke utara dan satu kumpulan lain ke timur, hendaklah setiap dari kumpulan tersebut mengangkat di kalangan mereka seorang pemimpin. Justeru setiap kumpulan yang bermusafir perlu mengangkat satu pemimpin di kalangan mereka hingga akhirnya jika ada beberapa kumpulan yang bermusafir, setiap dari mereka mengangkat satu pemimpin.
Demikian bagi persoalan satu atau lebih negara. Negara hanyalah sebuah alat demi memelihara urusan dan tujuan agama. Jika manusia, atas sebab peradaban, geografi dan sebagainya, merasakan perlu ada lebih dari satu negara, maka hukumnya adalah harus asalkan objektif memelihara urusan dan tujuan agama dapat dicapai. Hanya bagi setiap negara dibolehkan satu pemimpin sahaja. Hadis-hadis berkenaan satu pemimpin bagi setiap negara akan dikemukakan selanjutnya dalam bab ini, insya-Allah.
Sejauh kajian saya, dengan membandingkan kepada realiti umat Islam di dunia masa kini, aliran yang ketiga adalah yang paling tepat. Dibolehkan umat Islam memiliki beberapa negara dengan setiap negara memiliki seorang pemimpin. Konsep beberapa negara tidak akan memecah-belahkan umat Islam. Kita di Malaysia tetap berjamaah dengan umat Islam di Sudan, Bangladesh mahu pun di Australia. Negara hanyalah sempadan-sempadan yang dilukis di atas peta manakala agama Islam yang dipegang oleh umat Islam tidak akan dipisahkan oleh sempadan-sempadan tersebut. Dalam erti kata lain, negara dan pemimpin bukanlah salah satu Rukun Islam, ia hanyalah alat demi memelihara urusan dan tujuan agama bagi umat Islam di lokasi masing-masing. Pemimpin pula adalah pengurus alat tersebut. Pada waktu yang sama para pemimpin bagi setiap negara hendaklah saling bertemu dan bekerja sama agar urusan dan tujuan agama bagi seluruh umat Islam tercapai, baik di negara masing-masing mahu pun di muka bumi ini.
Persoalan Ketiga: Pemimpin dan negara Islam, dakwah dan islah adalah dua perkara yang amat penting dan saling berkait. Namun di antara kedua-duanya, apakah:
1. Yang pertama diusahakan adalah pemimpin dan negara Islam kemudian baru diusahakan dakwah dan islah, atau: 2. Yang pertama diusahakan adalah dakwah dan islah kemudian baru diusahakan pemimpin dan negara Islam?
Jawapannya adalah yang kedua, iaitu diusahakan dakwah dan islah kemudian baru diusahakan pemimpin dan negara Islam. Ini sebagaimana sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Selain itu perhatikan semula ayat 55 surah al-Nur yang dikemukakan di atas, dimana Allah telah menjanjikan kepada umat Islam yang beriman dan beramal shalih pemimpin-pemimpin yang sifat mereka memelihara kemaslahatan agama dan umat. Maka hendaklah dipertingkatkan usaha dakwah dan islah agar masyarakat menjadi orang yang imannya teguh kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala manakala amal shalih mereka menepati sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika dua syarat ini dipenuhi, Allah, dengan cara yang layak bagi diri-Nya, akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi.
Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan:
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [‘Ali Imran 3:26]
Sunnatullah ini berlaku kepada umat yang terdahulu. Perhatikan ayat berikut:
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat, maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil. Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam mentaati ajaran Musa) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. [al-Sajdah 32:23-24]
Apabila kaum Bani Israil bersabar menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikut petunjuk yang dibawa oleh para Rasul mereka dan apa yang terkandung dalam kitab Taurat, maka Allah, dengan cara yang layak bagi diri-Nya, menjadikan di antara mereka (kaum Bani Israil) pemimpin yang turut memberi petunjuk kepada kebenaran. Sunnatullah ini bertolak belakang dengan kaedah pelbagai parti yang diambil dari hukum politik bukan Islam. Setiap parti meletakkan isu kepimpinan sebagai tujuan pertama. Kaedah pelbagai parti menyebabkan sesuatu parti bertungkus-lumus untuk meramaikan ahlinya berbanding parti yang lain, demi memenangi pilihanraya. Ahli-ahli didaftar masuk tanpa mengira sama ada mereka ahli sunnah atau ahli bid‘ah, ahli ilmu atau ahli hawa nafsu, mentauhidkan Allah atau mentauhidkan pokok-pokok keramat, ikhlas kerana Islam atau ikhlas kerana selain Islam, amanah atau khianat, ikhlas atau munafik, dan begitulah sebagainya. Banyak usaha dicurahkan ke arah menjaga kedudukan parti dan jumlah ahlinya, amat sedikit ke arah dakwah dan islah. Apabila ditegur, jawapan yang lazim adalah: “Prioriti yang pertama adalah menang pilihanraya. Bila sudah menang, baru kita uruskan bab dakwah dan islah”. Atau ringkasnya: “Menang dulu, yang lain kemudian.” Ini adalah manhaj yang salah, paling kurang kerana tiga sebab:
1. Manhaj yang benar adalah dakwah dan islah, kemudian baru diikuti dengan bab kepimpinan.
2. Jika sebuah parti yang bermanhaj sedemikian berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negara, kepimpinan mereka tidaklah lebih baik daripada parti yang mereka bangkang sebelum itu. Ini kerana ahli-ahli yang bercampur aduk sifat mereka dalam parti yang baru mengambil-alih akan bertindak sebagaimana parti yang dibangkang sebelum itu. Malah mungkin sahaja ahli yang khianat lagi zalim akan dapat mengatasi ahli yang jujur lagi adil sehingga ciri kepimpinan parti akan dipenuhi dengan sifat khianat dan zalim.
3. Janji “Menang dulu, yang lain kemudian” amat diragui kerana sebuah parti yang telah memenangi pilihanraya, tumpuannya tetap akan dituju kepada menjaga kedudukan parti dan memelihara jumlah ahli agar kemenangan dapat dikekalkan pada pilihanraya akan datang. Maka ahli-ahli yang bercampur aduk sifatnya akan tetap bersama parti tanpa dibuang atau diubah.
Oleh itu prioriti umat Islam masa kini adalah dakwah dan islah kepada tauhid yang murni dan amalan yang menepati sunnah. Jika ini dapat dipenuhi, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan membantu dan memudahkan jalan bagi kita memiliki kepimpinan yang memenuhi syarat. Bahkan amat mudah bagi Allah untuk mewujudkan pemimpin sedemikian dengan cara yang tidak kita duga!
Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman: “Jadilah engkau!”, Maka ia terus menjadi. [Yasin 36:82]
B: Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mensyaratkan seorang pemimpin itu hendaklah muslim, lelaki, berilmu, amanah, adil dan memberi perhatian kepada nasib umat.
Penjelasan: Jika dikaji keseluruhan al-Qur’an dan al-Sunnah, tidak terdapat petunjuk yang jelas tentang bagaimana melantik seorang pemimpin. Hanya aliran Syi‘ah yang berpendapat pemimpin umat Islam setelah kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah ditunjuk oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.[2] Bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, yang penting bukanlah perlantikan pemimpin tetapi syarat-syarat pemimpin dan bagaimana dia memimpin. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut. Syarat muslim adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. [al-Nisa 4:59]
Firman Allah “dari kalangan kamu” dikembalikan kepada permulaan ayat, iaitu “Wahai orang-orang yang beriman…”. Ini menunjukkan bahawa para Ulil Amri, iaitu para pemimpin hendaklah terdiri daripada orang muslim. Syarat lelaki adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan. [al-Nisa 4:34]
Sebahagian pihak berhujah, bahawa ayat di atas hanya benar dalam konteks kekeluargaan di dalam rumah. Ia tidak benar dalam konteks kepimpinan negara. Oleh itu wanita boleh memegang jawatan pemimpin negara. Hujah ini dapat ditolak dengan dua cara:
Pertama: Dalam surah al-Isra’, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka “Uff”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [al-Isra’ 17:23]
Dalam ayat di atas, Allah melarang kita berkata “Uff” kepada ibubapa kita. Namun apakah dengan itu bererti kita boleh memukul mereka, berjalan di hadapan mereka dan apa-apa lagi tindakan yang biadap? Sudah tentu tidak. Larangan di atas bererti kita tidak boleh bertindak biadap kepada ibubapa, sekali pun sekecil perkataan “Uff”. Apa-apa perkataan dan tindakan biadap lain yang lebih besar dari “Uff” sudah tentu tidak dibolehkan juga. Dalam erti kata lain, jika kita dilarang sekadar berkata “Uff”, sudah tentu kita juga dilarang berkata-kata atau berbuat sesuatu yang lebih besar dari “Uff”. Demikian juga kedudukan hukum kepimpinan wanita dalam ayat 34 surah al-Nisa’. Keseluruhan ayat tersebut sememangnya berbicara dalam konteks kekeluargaan. Akan tetapi bukankah institusi keluarga adalah sebuah “negara kecil”, sehingga apa yang disyari‘atkan dalam institusi keluarga berlaku juga secara umum kepada institusi negara? Oleh itu jika Allah tidak memberi jawatan kepimpinan kepada wanita dalam konteks kekeluargaan, sudah tentu jawatan tersebut juga tidak diberi dalam konteks yang lebih besar, seperti kepimpinan negara.
Kedua: Marilah kita rujuk kepada keseluruhan ayat 34 surah al-Nisa’:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.
Dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. [al-Nisa’ 4:34]
Jika dikatakan ayat 34 surah al-Nisa’ hanya terbatas dalam konteks kekeluargaan, apakah dengan itu seorang isteri yang menjadi pemimpin negara, apabila balik ke rumah dia pula menjadi yang dipimpin oleh suaminya? Lebih buruk, seandainya isteri tersebut berlaku derhaka (nusyuz) kepada suaminya, apakah dia, sebagai seorang Perdana Menteri atau Presiden, akan dihukum oleh suaminya yang berstatus rakyat? Ini adalah satu kepincangan yang tidak mungkin berlaku dalam syari‘at agung yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Melainkan ia adalah takwilan pemikiran manusia yang sememangnya tidak terlepas dari pelbagai bentuk kepincangan.
Justeru yang benar pemimpin hendaklah daripada jenis lelaki.
Syarat berilmu adalah berdasarkan doa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Ka’ab bin ‘Ujrah radhiallahu 'anh agar umat Islam tidak dipimpin oleh orang yang bodoh:
“Aku memohon perlindungan Allah bagimu daripada pemimpin yang bodoh.” (Ka’ab) berkata: “Apa yang dimaksudkan dengan pemimpin yang bodoh?” Rasulullah menjawab: “Para pemimpin yang datang sesudahku yang tidak memimpin kepada petunjuk (al-Qur’an) dan tidak melaksanakan pemerintahannya berdasarkan sunnahku.”[3]
Di sini timbul perbincangan apakah perlu seorang pemimpin terdiri daripada orang yang tinggi ilmu agamanya atau mencapai taraf mujtahid? Pada saya memadai dengan berilmu pada tahap yang sederhana. Namun hendaklah membentuk sebuah majlis syura yang dianggotai oleh orang-orang yang pakar dalam jurusan tafsir, hadis, fiqh, ekonomi, peperangan dan sebagainya. Aturcara seperti ini disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam firman-Nya:
Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [‘Ali Imran 3:159]
Syarat amanah dan adil adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. [al-Nisa’ 4:58]
Syarat memberi perhatian kepada nasib umat adalah berdasarkan banyak hadis, salah satu daripadanya:
Sebaik-baik pemimpin kalian adalah mereka yang kalian cintai dan mereka mencintai kalian serta mereka mendoakan kalian dan kalian mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin adalah yang kalian benci kepada mereka dan mereka benci kepada kalian serta kalian mengutuk mereka dan mereka mengutuk kalian.[4]
Selain itu terdapat juga perbincangan, apakah pemimpin wajib daripada bangsa Quraisy? Perbincangan ini timbul daripada beberapa hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam persoalan ini, antaranya:
Urusan kepimpinan berada di tangan Quraisy sekali pun hanya terdapat dua orang manusia.[5]
Perbincangan ini dapat dirumuskan kepada dua pandangan:
[1] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2608 (Kitab al-Jihad, Bab berkenaan satu kaum yang bermusafir…). [2] Dalil-dalil mereka yang paling masyhur lagi utama telah saya kemuka dan tolak dalam buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah (Buku 1, 2 dan 3) Dalam Persoalan Khalifah terbitan Jahabersa, Johor Bahru. [3] Sanad Kuat: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai qawiy oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 14441 (Baki Musnad al-Muktsirin, Musnad Jabir bin ‘Abd Allah). [4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1855 (Kitab al-Imarah, Bab para imam yang baik dan buruk). [5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1820 (Kitab al-Imarah, Bab manusia mengikuti orang Quraisy dan …).
|
||