MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Mengambil Sumber Agama

 

A - C : D - F : G : H - L

 

 

 

H: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menerima kesepakatan al-Salaf al-Shalih, khasnya kesepakatan para sahabat, sebagai rujukan agama. Pada waktu yang sama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengiktiraf bahawa dalam beberapa persoalan tertentu, wujud perbezaan pendapat di antara al-Salaf al-Shalih. Maka di antara perbezaan tersebut, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah merujuk kepada pendapat yang paling mendekati al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Penjelasan:

Ini merupakan kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menolak pendapat para sahabat secara mutlak dengan (2) mereka yang menerima pendapat para sahabat secara mutlak tanpa membezakan sama ada ia disepakati atau diperselisihkan.

Pendapat generasi al-Salaf al-Shalih terbahagi kepada dua kategori:

 

·         Pertama: Pendapat yang tidak duduk dalam wilayah ijtihad, seperti dalam perkara aqidah dan ibadah. Pendapat kategori pertama ini menjadi rujukan selagi mana tidak ada pendapat lain daripada kalangan tokoh generasi al-Salaf al-Shalih yang menentangnya. Ini kerana sedia dikenali bahawa al-Salaf al-Shalih adalah satu generasi yang amat berhati-hati daripada mencipta sesuatu bid‘ah dalam perkara aqidah dan ibadah. Justeru jika mereka menyatakan sesuatu pendapat dalam perkara aqidah atau melakukan sesuatu ibadah, ia dalam beberapa sudut tertentu memiliki asal usul daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sekali pun mereka tidak secara jelas menyandarkannya kepada baginda.

 

·         Kedua: Pendapat yang duduk dalam wilayah ijtihad, seperti dalam perkara fatwa, muamalat, strategi kepimpinan dan sebagainya. Pendapat kategori kedua ini dijadikan sumber perbandingan bagi para mujtahid masa kini dalam memberi sesuatu pendapat. Ini kerana sebagaimana tokoh generasi al-Salaf al-Shalih boleh berijtihad, maka tokoh generasi kemudian juga boleh berijtihad. Ijtihad pada zaman al-Salaf al-Shalih mungkin tepat dan mungkin tidak tepat untuk dirujuk kepada isu zaman kini.

 

 

 

 

 

I: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menerima al-Qiyas sebagai sumber dalil agama, selagi mana ia dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat yang digariskan oleh para ulama’ Ushul al-Fiqh dan hasilnya tidak bertentangan dengan al-Qur’an, al-Sunnah dan kefahaman al-Salaf al-Shalih.

 

Penjelasan:

al-Qiyas adalah memberi hukum kepada satu persoalan baru dengan menghubungkannya kepada persoalan yang sudah sedia ada hukumnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan kesamaan ‘illat (sebab) antara kedua-dua persoalan tersebut.  Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah berada di pertengahan antara (1) mereka yang menolak al-Qiyas secara mutlak dengan (2) mereka yang mengamalkan al-Qiyas tanpa memerhatikan syarat-syaratnya.

Terdapat dua syarat yang jarang-jarang diperhatikan ketika menggunakan al-Qiyas:

  1. al-Qiyas tidak boleh digunakan untuk membuat ibadah yang baru. Ini kerana tidak boleh ada ibadah yang boleh menjadi “persoalan baru” dalam Islam. Pengecualian adalah dalam faktor yang menghalang kesempurnaan ibadah, dimana al-Qiyas boleh digunakan kerana penghalang tersebut boleh wujud dalam bentuk “persoalan baru” selari dengan peredaran zaman dan tempat. Contoh, hukum solat di atas kenderaan moden boleh diqiyaskan kepada hukum solat di atas unta kerana ia tidak melibatkan ibadah yang baru, cuma faktor penghalang yang baru. Kedua-duanya memiliki ‘illat yang sama, iaitu kesukaran untuk melaksanakan solat secara berdiri.

  2. al-Qiyas tidak boleh digunakan untuk memberi hukum kepada persoalan yang sudah sedia wujud pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. al-Qiyas hanya digunakan untuk “persoalan baru”, iaitu isu-isu yang wujud selepas terhentinya wahyu al-Qur’an dan wafatnya Rasulullah. Oleh itu sebagai contoh, tidak boleh mengqiyaskan hukum anjing dengan hukum khinzir kerana anjing sudah sedia wujud pada zaman Rasulullah dan baginda tidak menyatakan daging anjing adalah najis sebagaimana daging khinzir.

 

 

 

 

 

J: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengiktiraf wujudnya perbezaan pendapat dalam menjadikan beberapa kaedah Ushul al-Fiqh sebagai dalil agama seperti al-Istihsan, al-Maslahah al-Mursalah, al-‘Uruf, Sadd al-Zar’ie dan lain-lain. Maka penggunaan kaedah-kaedah tersebut diserahkan kepada kecenderungan masing-masing pihak asalkan ia dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat yang digariskan dalam para ulama’ Ushul al-Fiqh.[1]

 

 

 

 

 

K:       Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menerima peranan akal selagi mana ia digunakan untuk memahami al-Qur’an dan al-Sunnah, menggariskan kaedah penerapan dan pengamalan al-Qur’an dan al-Sunnah serta berijtihad dalam isu yang tidak disebut secara khusus oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak mengunggulkan akal di atas al-Qur’an dan al-Sunnah sehingga menafi atau menakwilkan al-Qur’an dan al-Sunnah jika mendapati ia bertentangan dengan logik akal.

Seandainya wujud pertentangan antara akal dan al-Qur’an serta al-Sunnah, maka ia disebabkan oleh kekurangan akal itu sendiri untuk mencerna al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini kerana akal yang sihat tidak akan bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menolak peranan akal secara mutlak dalam urusan agama dengan (2) mereka yang meletakkan kedudukan akal di tangga yang tertinggi dalam urusan agama.

Asal usul perselisihan dalam peranan akal berlaku apabila sebahagian umat Islam mula mempelajari ilmu logik yang dikupas oleh para tokoh Yunani lama. Bagi mereka, logik bukan sekadar ilmu, tetapi alat yang menentukan sama ada sesuatu ilmu adalah benar atau batil. Maka ilmu logik duduk di atas segala ilmu yang lain kerana peranannya untuk menentukan sama ada sesuatu ilmu yang lain adalah benar atau tidak. Perkara ini masih berlaku sehingga masa kini dimana sebahagian orang suka menilai sama ada sesuatu ilmu yang baru diterimanya, adakah ia logik atau tidak. Jika logik, ia dianggap benar, jika tidak logik maka ia dianggap batil.

Antara yang turut diukur oleh ilmu logik ialah ajaran Islam. Perkara-perkara seperti azab kubur, Hari Akhirat dan sebagainya dari perkara ghaib ditolak kerana dianggap tidak logik. Di antara tokoh-tokoh Islam ada yang mendalami ilmu logik dengan alasan mereka ingin berdakwah dengan kaum atheis yang banyak menggunakan logik untuk menolak konsep ketuhanan. Maka untuk berdialog dengan mereka, para pendakwah Islam memerlukan ilmu logik untuk menjawab “logik” orang yang sedang mereka dakwahkan.

Tujuan ini ada kebenaran di sebaliknya. Akan tetapi jika ia digunakan untuk membahas persoalan ketuhanan, yang menang tidak semestinya umat Islam tetapi adalah orang yang lebih pandai berhujah dengan logik. Oleh kerana itulah apabila al-Qur’an mengajak manusia untuk mengenal Allah, ia tidak menggunakan ilmu logik. Sebaliknya ia menyuruh manusia merenungi ciptaan bumi, alam sekitar dan angkasa, yang dengan itu pasti manusia akan mengetahui ada Pencipta di sebaliknya.

Dalam mempelajari ilmu logik, ada segelintir tokoh Islam yang ekstrim sehingga menjadikannya kayu ukur bagi menentukan kebenaran ajaran Islam, khasnya dalam perkara-perkara ghaib. Mereka menganggapnya sebagai ilmu yang paling mulia, paling prestij dan tidak mampu dicapai melainkan oleh sebilangan orang yang “terpilih”. Pengaruh ilmu logik dapat dilihat di pelbagai belahan dunia Islam masa kini, dimana terdapat beberapa institusi yang didirikan atas nama Pusat Pemikiran Islam atau Islamic Thought.

Ringkasnya, golongan ini telah meletakkan logik, atau dalam ertikata lain, telah  meletakkan akal di tangga yang tertinggi dalam urusan agama. Sikap inilah yang kemudiannya melahirkan aliran ekstrim yang lain, yang menolak peranan akal secara mutlak dalam urusan agama.

Kemuliaan berada pada Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang berada di pertengahan di antara dua aliran ekstrim tersebut. Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah menekankan bahawa apabila ditemui seseorang yang lazim membahas tentang apa-apa isu agama berdasarkan logik, maka janganlah ikut berbahas dengannya. Para tokoh al-Salaf al-Shalih telah berpesan agar tidak duduk berbahas dengan orang yang bermain logik. Ini kerana kebenaran tidak akan tercapai melainkan oleh siapa yang paling bijak bermain logik. Padahal agama yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah berdasarkan logik, tetapi berdasarkan “Firman Allah” dan “Sabda Rasulullah.”

 

 

 

 

 

L:  Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menerima khazanah para ulama’ seperti kitab-kitab aqidah, tafsir, syarah, fiqh dan sebagainya sebagai jambatan yang menghubungkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Setiap orang hendaklah memanfaatkan khazanah tersebut sesuai dengan tahap mereka.

Dalam memanfaatkan khazanah para ulama’, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak menobatkan sifat maksum kepada mereka. Ini kerana sifat maksum hanya dimiliki oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekali pun tidak menobatkan sifat maksum kepada para ulama’, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menahan diri daripada terburu-buru menuduh mereka sebagai melakukan kesilapan seandainya ditemui penjelasan mereka yang berbeza dengan keterangan al-Qur’an, al-Sunnah serta kefahaman al-Salaf al-Shalih. Ini kerana perbezaan tersebut mungkin berlaku kerana:

 

1.      Berlaku salah faham dalam mengkaji khazanah tersebut. Apa yang dibicara oleh ulama’ tersebut berbeza dengan apa yang difahami oleh orang yang mengkajinya.

2.      Berlaku perbezaan tahap ilmu antara yang mengkaji dengan yang dikaji, dimana yang mengkaji tidak mampu mencerna apa yang sedang dikaji.

 

Oleh itu seandainya wujud perbezaan antara ulama’ dengan keterangan al-Qur’an dan al-Sunnah serta kefahaman al-Salaf al-Shalih, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menahan diri daripada terburu-buru dalam mengatakan ulama’ tersebut telah melakukan kesilapan. Sebaliknya Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan menangguhkan perbezaan tersebut sehingga dapat dirujuk kepada ilmuan yang benar-benar mampu menghalusi perbezaan itu dan menjelaskan faktor-faktor di sebaliknya.

Seandainya jelas bahawa di antara perbezaan tersebut yang lebih kuat adalah keterangan al-Qur’an, al-Sunnah serta kefahaman al-Salaf al-Shalih, maka Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan meninggalkan pendapat ulama’ tersebut dengan tetap menghormatinya, tanpa mengurangi hak-haknya sebagai seorang ilmuan mahu pun seorang Muslim.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengecam segelintir individu yang mencela dan mengkritik para ulama’ semata-mata kerana berlaku perbezaan sepertimana yang disebutkan di atas. Satu kesilapan di sisi seorang ulama’ tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk menghapuskan pelbagai kebenaran dan kebaikannya yang lain, sama ada dari sudut dirinya sebagai seorang ilmuan mahu pun sebagai seorang Muslim.

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menobatkan sikap maksum kepada kepada para ulama’ dan menjadikan mereka sebagai pengganti kepada al-Qur’an dan al-Sunnah dengan (2) mereka yang merendah-rendahkan para ulama’ dan menafikan sebarang peranan mereka dalam berinteraksi dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Berkata Sa‘id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani:

 

Ahl al-Sunnah (yakni Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah) berada di tengah-tengah dalam berinteraksi dengan para ulama’, Ahl al-Sunnah mencintai ulama’nya, berbudi luhur kepadanya, membela kehormatannya, menyebarkan nama baiknya dan menimba ilmu dengan dalil daripada mereka. Ahl al-Sunnah juga berpendapat ulama’ adalah manusia biasa dan tidak maksum, kecuali apabila terjadi kesalahan, kelalaian atau hawa nafsu, maka hal ini tidak mengurangi kedudukan mereka. Ini kerana mereka adalah pewaris para Nabi sedangkan Nabi tidak mewariskan dinar mahu pun dirham, akan tetapi mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mendapatkannya (ilmu daripada para ulama’), bererti dia mendapat bahagian yang cukup banyak.

 

Oleh kerana itu, tidak boleh mencaci dan membuka kekurangan mereka, mencari-cari kesalahan mereka lalu menyebarkannya di kalangan orang ramai. Ini kerana yang sedemikian itu akan menimbulkan kerosakan yang amat berat. Ibn ‘Asakir berkata:

 

“Ketahuilah wahai saudaraku, mudah-mudahan Allah selalu membimbingku dan kamu untuk mendapatkan redha-Nya dan menjadikan kita tergolong dari kalangan orang-orang yang bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa, bahawa daging para ulama’ itu berbisa dan kemurkaan Allah adalah sedia maklum terhadap orang-orang yang membuka aib dan kekurangan mereka.”

 

Dan barangsiapa yang memanjangkan lisannya dengan celaan dan kritikan terhadap ulama’, maka Allah akan memberikan satu cubaan dan malapetaka baginya, iaitu hatinya menjadi mati sebelum jasadnya.[2]

 

 

TOP


[1] Maksud kaedah-kaedah ini, cara mempraktikkannya dan perbezaan pendapat berkenaannya telah disebut dalam hampir semua kitab Ushul al-Fiqh. Para pembaca boleh merujuk ke sana, antara yang disyorkan adalah karya H. Nasrun Haroen yang berjudul Ushul Fiqh terbitan Logos Wacana Ilmu, Jakarta, 1997.

[2] Penjelasan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Kewajipan Untuk Mengikutinya (edisi terjemahan oleh Farid Bathothi & Imam Mudzakkir; Pustaka as-Sunnah, Surabaya, 2003), ms. 67-68. Ada pun berkenaan hak ilmuan tersebut sebagai seorang muslim, rujuk buku Huquq al-Ikhwah oleh Shalih bin ‘Abd al-Aziz Alu al-Syaikh yang telah diterjemahkan oleh Muhsin ibnu ‘Abidin atas judul Hak-Hak Persaudaraan Islam, diterbitkan oleh Media Tarbiyah, Bogor, 2006.

 

kandungan