MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Mengambil Sumber Agama

 

A - C : D - F : G : H - L

 

 

 

D:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak membezakan al-Sunnah antara mutawatir atau ahad untuk dijadikan sumber rujukan. Selagi mana ia adalah sahih, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menerima Hadis Ahad sebagai sumber ilmu yang meyakinkan sehingga dapat dijadikan dalil dalam semua persoalan seperti aqidah, fiqh, hukum faraid, hukum hudud dan akhlak.

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menolak al-Sunnah secara mutlak, (2) mereka yang menerima al-Sunnah secara mutlak tanpa membezakan darjat hadisnya dan (3) mereka yang menerima sebahagian al-Sunnah, iaitu yang bersifat mutawatir dan menolak sebahagian al-Sunnah, iaitu yang bersifat ahad.

Membezakan antara mutawatir dan ahad hanya berlaku mulai kurun pertengahan, tidak pada zaman al-Salaf al-Shalih. Hadis mutawatir adalah hadis yang diriwayatkan oleh sekian banyak orang dalam setiap peringkat sanadnya sehingga mustahil berlaku kesilapan. Hadis ahad adalah hadis yang diriwayatkan oleh seorang, dua atau tiga orang sahaja dalam setiap peringkat sanadnya sehingga mungkin berlaku kesilapan.[1] Berkata Ibn al-Qayyim rahimahullah (751H) berkenaan penerimaan hadis ahad pada zaman al-Salaf al-Shalih:

 

Termasuk hal ini (kedudukan hadis ahad) ialah pengkhabaran sebahagian sahabat kepada sebahagian yang lain kerana mereka sesungguhnya berpegang teguh kepada hadis yang disampaikan oleh salah seorang dari mereka daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang berkata kepada orang yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah bahawa hadis kamu adalah hadis ahad yang tidak memberi faedah ilmu sehinggalah (ia bersifat) mutawatir.[2]

 

Ada pun pembezaan antara hadis mutawatir dan ahad oleh para ahli usul mulai kurun-kurun pertengahan, pembezaan tersebut hanya ditumpukan jika hadis ahad berdiri dengan sendirinya. Hadis ahad dalam bentuk sebegini, menurut para ahli usul tersebut, tidak dapat membawa ilmu yang meyakinkan. Akan tetapi jika hadis ahad tersebut memiliki pembuktian (Qarinah) daripada dalil yang lain atau sudah terkenal menjadi pemikiran dan amalan umat Islam sejak zaman awal (al-Salaf), maka para ahli usul berpendapat bahawa ia dapat membawa ilmu yang meyakinkan. Berkata al-Syaukani rahimahullah (1250H):

 

Ketahuilah bahawa perbezaan pendapat yang kami sebut pada awal perbahasan ini berkenaan hadis ahad sama ada menghasilkan ilmu yang berupa sangkaan atau keyakinan, ia hanyalah berlaku apabila hadis ahad tersebut tidak disertai dengan pembuktian yang menguatkannya. Ada pun jika ia disertai dengan pembuktian yang menguatkannya atau ia sudah masyhur atau dikenali secara terperinci, maka perbezaan tersebut tidak berlaku.[3]

 

Pada hakikatnya hadis-hadis ahad tidak ada yang berdiri dengan sendiri melainkan ia memiliki pembuktian dari dalil yang lain dan/atau diamalkan oleh umat Islam sejak zaman awal. Justeru yang benar pembezaan antara hadis mutawatir dan ahad di kalangan para ahli usul hanyalah perbincangan teori manakala secara praktikalnya mereka tetap menerima hadis ahad sebagai dalil yang dapat membawa ilmu yang meyakinkan.

Para pembaca sekalian perlu menguasai perbezaan ini secara mendalam kerana pada masa kini ada sebahagian individu dan aliran yang menolak hadis ahad dengan alasan palsu konon para ahli usul juga menolak hadis ahad. Individu dan aliran ini sebenarnya berhajat untuk menolak hadis secara keseluruhan, lalu mereka memperalatkan perbincangan teori di kalangan para ahli usul untuk menjustifikasikan hajat mereka secara praktikal. Dengan menolak penggunaan hadis ahad, mereka sebenarnya menolak penggunaan hadis secara keseluruhan kerana jumlah hadis yang mencapai taraf mutawatir tidak sampai jumlah satu peratus dari keseluruhan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang dibukukan.

Selain itu perlu juga diketahui bahawa hanya seorang “Ahli Hadis” yang mampu membezakan sesuatu hadis sama ada ia adalah ahad atau mutawatir. Tidak boleh menerima dakwaan “Ini adalah hadis ahad” dari sebarangan orang sekali pun dia masyhur di mata masyarakat sebagai seorang agamawan. Contoh yang lazim disebut-sebut adalah dalam bab azab kubur dan penurunan Nabi Isa pada akhir zaman. Saya telah membuktikan taraf mutawatir hadis-hadis dalam kedua-dua bab tersebut dalam artikel yang boleh dirujuk dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 1) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

 

 

 

 

 

E:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengiktiraf, bahawa dalam kes-kes yang amat terpencil, wujud perbezaan dalam menilai darjat hadis di kalangan para ahli hadis. Ini kerana menilai darjat hadis adalah sebuah ijtihad yang tetap memungkinkan lahirnya perbezaan dalam hasil penilaian. Oleh itu:

  • Jika berlaku perbezaan antara dua atau lebih tokoh, hendaklah diambil penilaian daripada tokoh yang memiliki hujah yang lebih kuat dan jelas.

  • Jika berlaku perbezaan antara dua atau lebih tokoh, dimana kedua-duanya memiliki penilaian yang sama-sama kuat dan jelas, maka ia terbuka kepada kecenderungan masing-masing. Pada waktu yang sama masing-masing pihak hendaklah menghormati kecenderungan pihak yang berbeza dengannya.

  • Jika berlaku perbezaan pada satu tokoh yang sama, hendaklah diambil penilaiannya yang terakhir.

  • Jika tidak mampu membezakan antara dua penilaian yang berbeza, maka hendaklah menangguhkannya atau merujuk perbezaan tersebut kepada ilmuan yang mampu menghalusinya.

 

 

 

 

 

F:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengiktiraf wujudnya perbezaan pendapat dalam menerima hadis yang lemah (dha‘if) dalam persoalan yang menerangkan keutamaan sesuatu amal (Fadha’il ‘Amal), anjuran dan ancaman (al-Targhib wa al-Tarhib) serta dalam persoalan yang didiamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Terhadap persoalan-persoalan di atas, sebahagian tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mencukupkan diri dengan hadis-hadis yang sahih dan hasan manakala sebahagian tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang lain menerima hadis dha‘if. Walaubagaimana pun penerimaan hadis dha‘if dalam persoalan di atas hanya dibolehkan jika ia menepati empat syarat berikut:

  1. Hadis tersebut dipastikan memiliki kelemahan yang ringan. Hadis yang berat kelemahannya (Dha‘if jiddan), palsu (maudhu’) dan tidak diketahui asal-usulnya tidak diterima.

  2. Hadis tersebut termasuk dalam asas-asas agama.

  3. Hadis tersebut disampaikan dalam bentuk yang menunjukkan kelemahannya atau disampaikan sambil menerangkan kelemahannya. Tidak boleh menyampaikannya dalam bentuk yang pasti kerana ia akan memberi sangkaan kepada masyarakat bahawa ia adalah sahih.

  4. Hadis tersebut digunakan dalam suasana yang terpencil. Tidak boleh menggunakannya secara meluas atau dengan kekerapan yang tinggi kerana ia akan memberi sangkaan kepada masyarakat bahawa ia adalah sahih.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak menerima hadis dha‘if yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas, atau yang diragui sama ada memenuhi syarat-syarat di atas.

 

Penjelasan:

Tiga syarat di atas terdapat dalam semua kitab ilmu hadis[4] manakala syarat yang keempat ini dikemukakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) dimana beliau berkata:

 

Sedia dikenali bahawa para ahli ilmu mempermudahkan penerimaan hadis dalam bab keutamaan (al-Fadha’il) sekali pun di dalamnya memiliki kelemahan selagi mana ia bukan hadis maudhu’. Namun disyaratkan bagi orang yang mengamalkannya bahawa dia yakin hadis tersebut adalah dha‘if dan dia tidak memasyhurkannya kerana dibimbangi orang lain akan beramal dengan hadis yang dha‘if tersebut (tanpa mengetahui ia adalah dha‘if) sehingga mensyari‘atkan apa yang tidak disyari‘atkan atau dia meriwayatkannya kepada sebahagian orang yang jahil sehingga disangkakan ia adalah sunnah yang sahih.[5]

 

            Pada asalnya jumhur ulama’ membolehkan penggunaan hadis dha‘if, selagi mana ia menepati syarat-syaratnya. Apabila para ulama’ tersebut mengamalkan hadis-hadis dha‘if, mereka benar-benar memerhatikan syarat-syaratnya. Namun dengan berlalunya masa, ramai yang menggunakan hadis dha‘if tanpa memerhatikan syarat-syaratnya. Maka meluaslah hadis-hadis yang amat lemah, palsu dan yang tiada asal usulnya.

Maka atas sebab ini serta beberapa sebab yang lain, beberapa ilmuan pada masa kini berpendapat melarang menggunakan hadis yang dha‘if agar orang ramai tidak lagi terdedah kepada penggunaan hadis dha‘if oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap syarat-syaratnya. Dengan pelarangan ini, orang ramai tidak lagi mengenal apa-apa hadis melainkan yang sahih dan hasan sahaja.[6]

 

 

TOP


[1] Lebih lanjut, sila rujuk mana-mana buku ilmu hadis. Antara yang saya syorkan adalah Mabhats fi ‘Ulum al-Hadits oleh Manna’ al-Qaththan yang sudah diterjemahkan oleh Mifdhol Abdurrahman atas judul Pengantar Studi Ilmu Hadits (Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005).

[2] Mukhtasar al-Shawa‘iq al-Mursalah (tahqiq: Ridhwan Jami’ Ridhwan; Dar al-Fikr, Beirut, 1997), ms. 712.

[3] Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min ‘Ilm al-Usul (tahqiq: Muhammad Hasan bin Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), jld. 1, ms. 203-204.

[4] Antara terawal yang mengemukakannya ialah al-Sakhawi rahimahullah (906H) dalam al-Qaul al-Badi’ fi Fadhli Shalat ‘ala al-Habib al-Syafi’ (tahqiq: Muhammad ‘Awwamah; Muassasah al-Rayan, Beirut, 2002), ms. 472-473.

[5] Tabyin al-‘Ujab bi ma warada fi Fadhli Rejab, ms. 3-4; dinukil daripada Tamam al-Minnah fi al-Ta’liq ‘ala Fiqh al-Sunnah oleh al-Albani (Dar al-Rayah, Riyadh, 1409H), jld. 1, ms. 36.

Keempat-empat syarat di atas beserta beberapa pemerhatian yang lain telah saya jelaskan dalam artikel Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya yang saya himpun dalam buku Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[6] Antara tokoh yang dimaksudkan adalah al-Albani sebagaimana yang beliau jelaskan di bahagian Muqaddimah bagi kitabnya Shahih al-Targhib wa al-Tarhib (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 2000) dan Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana yang beliau jelaskan di bahagian Muqaddimah bagi kitabnya al-Muntaqa min Kitab al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri (Dar al-Wafa’, Mesir, 1993).

Sahabat saya, Adlan Abd Aziz – semoga Allah menambah dan memberkati ilmunya, dalam artikelnya Hukum Beramal Dengan Hadis Dhaif menerangkan bahawa antara yang turut melarang adalah beberapa ahli hadis masa kini seperti Muhammad Ajjaj al-Khatib, ‘Abd al-Qadir al-Arna’uth dan Syu’aib al-Arna’uth. [Majalah i (Kumpulan Karangkraf, Shah Alam), edisi Mei 2006, ms. 73]

 

kandungan