Ketiga: Ayat al-Mawaddah
Alhamdulillah sehingga
kini kita telah membahas dan menjawab dua ayat yang terpenting bagi
Mazhab Syi‘ah. Dengan runtuhnya Ayat al-That-hir dan
Ayat al-Wilayah, runtuhlah juga hujah Syi‘ah berkenaan
kekhalifahan Ahl al-Bait daripada al-Qur’an. Akan tetapi
masih ada beberapa ayat yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah.
Salah satu daripadanya ialah Ayat al-Mawaddah yang akan kita
bahas seterus ini, insya-Allah.
Ayat al-Mawaddah
merujuk kepada firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu
upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (kecintaan: al-Mawaddah)
dalam kekeluargaan (al-Qurba).”
[al-Syura
42:23]
Penamaan
Ayat al-Mawaddah merujuk kepada perkataan al-Mawaddah (المودة)
yang wujud dalam ayat di atas sendiri. Ia bererti kecintaan
yang amat tinggi lagi luas (المحبة
العظيمة الواسعة),
demikian terang al-Biqa’i rahimahullah (885H).
Berikut diterangkan bagaimana
Syi‘ah menjadikan ayat 23 surah al-Syura di atas sebagai
hujah:
Hujah
Syi‘ah
Penghujahan
Syi‘ah tertumpu kepada sebuah hadis yang menerangkan bahawa
apabila turun ayat ayat 23 surah al-Syura, para sahabat
radhiallahu ‘anhum bertanya kepada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam:
“Ya
Rasulullah! Siapakah kerabat engkau yang diwajibkan ke atas kami
untuk mencintainya?” Baginda menjawab: “ ‘Ali dan Fathimah dan kedua
anaknya (Hasan dan Husain).”
Di sisi
Syi‘ah ayat 23 surah al-Syura dan hadis Rasulullah yang
menafsirkannya jelas menunjukkan kewajipan untuk mencintai para
Ahl al-Bait, iaitu ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain
radhiallahu ‘anhum. Kecintaan (al-Mawaddah) yang
dimaksudkan oleh al-Qur’an bukanlah kecintaan yang bersifat emosi
dan kecenderungan hati. Akan tetapi yang dimaksudkan ialah mengikuti
mereka, berjalan di atas jalan-jalan mereka dan menjadikan mereka
sumber teladan. Atas tafsiran ini, ayat 23 surah al-Syura juga
merupakan salah sebuah dalil yang menetapkan kekhalifahan kepada
Ahl al-Bait: 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.
Seandainya
Ahl al-Bait Rasulullah: ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain tidak
berada di jalan yang lurus dan tidak mampu menjadi khalifah umat,
tentu ayat ini tidak akan diturunkan dan Rasulullah tidak akan
mewajibkan umatnya untuk mencintai Ahl al-Baitnya. Tidak
mungkin orang yang terbuka kepada kesalahan dan penyelewengan
syari‘at Allah dijadikan sumber kecintaan, ikutan dan kasih sayang.
Melainkan – kebenaran dan hak kekhalifahan berada di tangan mereka
sehingga Allah mewajibkan kecintaan, ikutan dan ketaatan kepada
mereka. Demikian rumus Syi‘ah.
Panel penulis
Muassasah al-Balagh, Tehran, Iran, di dalam buku mereka
Mengenal Lebih Jauh Ahl al-Bait
menulis:
Kecintaan (al-Mawaddah)
yang dimaksudkan oleh al-Qur’an bukanlah keterikatan emosional
dan kecintaan hati yang tidak ada nilainya, ataupun kecintaan dan
kasih sayang yang terdapat di dalam jiwa (tanpa realisasi dalam
perbuatan).
Yang
dimaksudkan dengan al-Mawaddah dan al-Mahabbah
terhadap keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
adalah mengikuti mereka, berjalan di atas cara-cara mereka dan
menjadikan mereka teladan.
Seandainya
Ahl al-Bait Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak
berada di jalan yang lurus dan tidak mampu memimpin umat di
jalan yang benar sudah tentu al-Qur’an, yakni ayat al-Mawaddah
tersebut, tidak akan diturunkan dan Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam tidak akan mewajibkan umatnya mencintai Ahl al-Baitnya
(radhiallahu 'anhum).
Sejauh manakah
kebenaran hujah dan rumusan ini? Marilah kita mengkaji dan
menjawabnya.
Jawapan
Ahl al-Sunnah
Kajian dan
jawapan ke atas penghujahan Ayat al-Mawaddah dibahagikan kepada
dua perbahasan:
1. Menilai
darjat hadis yang menafsirkan ayat 23 surah al-Syura kepada 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.
2. Mengkaji
maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura.
Pertama:
Menilai darjat hadis yang menafsirkan ayat 42 surah al-Syura kepada
'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.
Hadis yang
digunakan oleh Syi‘ah untuk menafsirkan ayat 23 surah al-Syura
sebagai merujuk kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu
‘anhum memiliki kecacatan yang amat berat di dalam sanadnya. Dalam
istilah hadis, ia dikategorikan sebagai Dha‘if Jiddan.
Ia dikeluarkan
oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 3, ms. 47,
no: 2641 & jld. 11, ms. 444, no: 12259, Ibn al-Maghazali di dalam
Manaqib al-Imam ‘Ali bin Abi Thalib – no: 352, al-Tsa’labi di
dalam al-Kasyf wa al-Bayan, jld. 8, ms. 310 (tafsir ayat 23
surah al-Syura) dan al-Hafiz al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil
– no: 822, 823, 824, 825, 826, 827, 828 & 829. Semuanya dengan sanad
yang berpangkal kepada Husain al-Asyqar, daripada Qays bin Rabi’.
Husain al-Asyqar,
beliau ialah al-Husain bin Hasan al-Aysqar al-Fazari, daripada Kufah.
Berkata Abu Hatim al-Razi dan al-Daruquthni: Hadisnya tidak kuat.
Berkata Abu Zar‘ah: Dia Syaikh, Mungkar al-Hadis. Berkata Abu
Mu‘amar: Pendusta.
Berkata Ibn Hajar al-Haitami:
Seorang Syi‘ah yang radikal sekalipun jujur.
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: Husain (al-Asyqar) dha‘if
lagi digugurkan (daripada diterima sebagai seorang perawi hadis).
Qays bin
al-Rabi’, beliau ialah Qays bin al-Rabi’ Abu Muhammad al-Asdi daripada
Kufah. Berkata Ahmad bin Hanbal: Terdapat banyak kesilapan di dalam
hadisnya.
Kecacatan yang berat pada
Husain al-Asyqar menjatuhkan riwayat ini ke darjat sangat lemah (Dha‘if
jiddan).
Selain itu
dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim
– no: 18473 (tafsir ayat 23 surah al-Syura) dan beliau
berkata: “Dengan sanad yang dha‘if dari jalan Sa‘id bin Jabir,
daripada Ibn ‘Abbas dia berkata:……(seperti di atas)”.
al-Suyuthi di
dalam al-Durr al-Mantsur, jld. 5, ms. 701 (tafsir ayat 23
surah al-Syura, riwayat ke 14) menyandarkannya kepada Ibn al-Manzur
dan Ibn Marduyah, akan tetapi kedua-dua rujukan ini tidak sampai
kepada kita hari ini. Justeru memadai dengan merujuk kepada penilaian
al-Suyuthi terhadapnya, di mana beliau berkata:
Dikeluarkan oleh
Ibn al-Manzur, Ibn Abi Hatim, al-Thabarani dan Ibn Marduyah dengan
sanad yang dha‘if dari jalan Sa‘id bin Jabir, daripada Ibn ‘Abbas
dia berkata: Tatkala turun ayat: Katakanlah (wahai Muhammad):
“Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali
kasih sayang (al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).”
[al-Syura 42:23] Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah !
Siapakah keluarga engkau yang diwajibkan ke atas kami untuk
mencintainya?” Baginda menjawab: “ ‘Ali dan Fathimah dan kedua anaknya
(Hasan dan Husain).”
Demikian
perincian atau takhrij ke atas hadis yang digunakan oleh
Syi‘ah untuk menafsirkan ayat 23 surah al-Syura sebagai merujuk
kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja, radhiallahu ‘anhum.
Selain itu diketahui bahawa Syi‘ah turut mengemukakan beberapa
riwayat lain sebagai penguat. Mari kita mengkaji sejauh mana kekuatan
riwayat-riwayat tersebut.
Riwayat
Penguat Pertama:
Daripada Abi al-Dailam,
dia berkata:
Tatkala ‘Ali bin
al-Husain (bin ‘Ali bin Abi Thalib) radhiallahu 'anhuma dibawa
mengiringi jalan-jalan Kota Damsyik sebagai tawanan (Perang Karbala),
berdiri seorang lelaki daripada Syam lalu berkata: “Segala puji bagi
Allah yang telah membunuh kalian dan mengikis kalian (kaum keluarga
Husain radhiallahu 'anh) sehingga kini berakhirlah fitnah (yang
disebabkan oleh kalian).”
‘Ali bin al-Husain
radhiallahu 'anh bertanya kepadanya: “Adakah anda membaca al-Qur’an?”
Lelaki tersebut menjawab: “Ya.” ‘Ali bin al-Husain bertanya lagi:
“Adakah anda membaca surah Alif Lam Ha Mim (آل
حم)?”
Lelaki itu menjawab: “Ya aku membaca al-Qur’an tetapi aku tidak
membaca surah Alif Lam Ha Mim.” ‘Ali bin al-Husain bertanya: “Tidakkah
kamu membaca ayat: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak
meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang
(al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura
42:23]?” Lelaki tersebut kemudian bertanya: “Adakah kalian yang
dimaksudkan oleh ayat tersebut?” ‘Ali bin al-Husain menjawab: “Ya.”
Riwayat ini
memiliki sanad yang sangat lemah (Dha‘if Jiddan). Ia
dikeluarkan oleh al-Thabari di dalam Jami’ al-Bayan – no: 23698
(tafsir ayat 23 surah al-Syura) dan al-Tsa’labi di dalam al-Kasyf
wa al-Bayan, jld. 8, ms. 311 dengan sanad: Dihadiskan kepada kami
oleh Ismail bin Aban, dihadiskan kepada kami oleh al-Shabah bin Yahya
al-Mariyyi, daripada al-Sadiy, daripada Abi al-Dailam, dia berkata……
seperti di atas.
al-Shabah bin
Yahya al-Mariyyi, juga dikenali sebagai Shabah bin Yahya al-Muzani.
Beliau seorang Syi‘ah yang berasal dari Kufah, ditinggalkan
hadisnya bahkan dituduh sebagai pencipta hadis.
Riwayat Penguat Kedua:
Khutbah al-Hasan
bin ‘Ali ketika ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhuma dibunuh,
antara lain beliau diriwayatkan berucap:
Dan saya
daripada kalangan Ahl al-Bait yang telah dihapuskan oleh Allah
daripada mereka dosa dan disucikan dengan sesuci-sucinya (merujuk
kepada ayat 33 surah al-Ahzab). Dan saya daripada kalangan Ahl
al-Bait yang diwajibkan oleh Allah ke atas setiap muslim untuk
berkasih sayang kepada mereka, sebagaimana firman (Allah) Tabaraka
wa Ta‘ala kepada Nabi-Nya (Muhammad) shallallahu 'alaihi
wasallam: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta
kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (al-Mawaddah)
dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23]. Maka
mengusahakan yang baik itu adalah mengasihi kami – Ahl al-Bait.
Riwayat ini
memiliki sanad yang dha‘if. Ia dikeluarkan oleh al-Hakim di
dalam al-Mustadrak – no: 4802 (Kitab Makrifat para sahabat,
Bab Keutamaan al-Hasan bin ‘Ali……) dan beliau mendiamkan darjatnya.
Berkata al-Dhazabi di dalam al-Talkhish (التلخيص):
Tidaklah ia sahih (ليس
بصحيح).
Saya (penulis) berkata: Kecacatannya terletak pada salah seorang
perawi di dalam sanad al-Hakim yang bernama al-Husain bin Zayid.
Beliau ialah al-Husain
bin Zayid bin ‘Ali bin al-Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib. Dinilai
thiqah (terpercaya) oleh al-Daruquthni akan tetapi dinilai dha‘if
oleh Yahya bin Ma‘in, Ibn al-Madani dan Abu Hatim al-Razi. Berkata
al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: Jujur (akan tetapi) berkemungkinan
berbuat silap (dalam meriwayatkan hadis).
Khutbah di atas
memiliki jalan periwayatan kedua yang dikeluarkan oleh al-Thabarani di
dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 2155 (Bab yang bernama
Ahmad) dengan sanad yang di dalamnya terdapat Salam bin Abi
‘Umrah. Beliau ialah Salam bin Abi ‘Umrah al-Khurasani. Berkata Ibn
Hibban: Dia meriwayatkan daripada orang-orang yang terpercaya apa yang
disebaliknya, tidak dibolehkan berhujah berdasarkan khabarnya.
al-Haitsami
menukil khutbah di atas di dalam kitabnya Majma’ al-Zawa‘id –
no: 14798 (Kitab al-Manaqib, Bab khutbah al-Hasan bin ‘Ali) (bagi
edisi lama rujuk jld. 9, ms. 146-147) dan beliau berkata:
Riwayat al-Thabarani
di dalam (al-Mu’jam) al-Ausath dan (al-Mu’jam) al-Kabir
secara ringkas……, dan Abu Ya’la secara ringkas dan juga al-Bazzar……,
dan riwayat Ahmad secara lebih ringkas. Dan sanad Ahmad dan sebahagian
jalan periwayatan al-Bazzar dan al-Thabarani di dalam (al-Mu’jam)
al-Kabir adalah hasan.
Penilaian darjat
“hasan” ini diikut secara buta (taqlid) oleh beberapa penulis
lain tanpa semakan lanjut, contohnya oleh ‘Abd Allah bin Muhammad al-Syabrawi
(الشبراوى)
rahimahullah (1171H) di dalam tulisannya Kitab al-Ithaf
bi Hubb al-Isyraf (كتاب
الإتحاف بحب الإشراف),
ms. 13. Yang benar penilaian darjat “hasan” oleh al-Haitsami merujuk
kepada riwayat-riwayat yang menerangkan tindakan al-Hasan bin ‘Ali
memberi khutbah ketika ‘Ali bin Abi Thalib dibunuh. Teks khutbah yang
terkandung di dalam riwayat-riwayat ini saling berbeza sedikit
sebanyak, dengan sebahagiannya lebih panjang daripada sebahagian yang
lain. Namun yang menjadi perhatian kita hanyalah teks khutbah
yang mengandungi bacaan ayat 33 surah al-Ahzab dan ayat 23 surah al-Syura
dan ini tidak diriwayatkan oleh sesiapa melainkan al-Hakim di
dalam al-Mustadrak – no: 4802 dan al-Thabarani di dalam al-Mu’jam
al-Ausath – no: 2155 sepertimana yang penulis takhrij di
atas.
Untuk
riwayat-riwayat yang dimaksudkan oleh al-Haitsami, sila kaji:
1. al-Mu’jam
al-Kabir li al-Thabarani,
jld. 3, ms. 79, no: 2717 hingga 2725. (Kitab apa yang bersanad
kepada al-Hasan bin ‘Ali, Bab Hubairah bin Yarim (هبيرة
بن يريم)
daripada al-Hasan bin ‘Ali).
2. Musnad
Abu Ya’la, no: 6757 & 6758
(Musnad al-Hasan bin ‘Ali).
3. Musnad
al-Bazzar (al-Bahr al-Zakhkhar al-Ma’ruf bi Musnad al-Bazzar),
no: 1339 & 1341 (Musnad al-Hasan bin ‘Ali).
4. Musnad
Ahmad, no: 1719 (Musnad
Ahl al-Bait, Bab hadis al-Hasan bin ‘Ali) (bagi edisi 6 jilid,
rujuk jld. 1, ms. 199).
Selain itu rujuk
juga: Musannaf Ibn Abi Syaibah – no: 32085 & 32096 (Kitab
al-Fadha’il, Bab Fadha’il ‘Ali bin Abi Thalib); Thabaqat Ibn
Sa‘ad, jld. 3, ms 28 (Kitab thabaqat al-Badarayn min al-Muhajirin,
Bab berkenaan ‘Abd al-Rahman bin Muljam); Sunan al-Kubra li al-Nasa’i
– no: 8353 (Kitab al-Khasha’ish); Shahih Ibn Hibban –
no: 6937 (Kitab khabar-khabar daripada manaqib para sahabat, Bab
berkenaan pembunuhan ‘Ali bin Abi Thalib) dan Hilyah al-Auliya’
wa Thabaqat al-Ashfiya’ li al-Hafiz Abu Nu‘aim – no: 201 (Kitab
para sahabat dari kalangan Muhajirin, Bab ‘Ali bin Abi Thalib).
Riwayat Penguat Ketiga:
Muhammad Mar‘i
al-Amin dalam bukunya Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait?
mengemukakan dua buah riwayat lain sebagai penguat. Riwayat tersebut
akan kita kaji sebagai penguat ketiga dan keempat seterus ini.
Muhammad Mar‘i al-Amin menulis:
al-Baghawi dan
al-Tsa’labi meriwayatkan di dalam kitab tafsir mereka daripada Ibn
‘Abbas radhiallahu 'anh, dia berkata: Manakala turunnya ayat:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu
upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (kecintaan: al-Mawaddah)
dalam kekeluargaan (al-Qurba).”
[al-Syura
42:23], sebahagian orang ramai berkata di kalangan mereka: “Tiadalah
yang dikehendaki (oleh ayat tersebut) melainkan supaya kita mengasihi
kerabatnya.”
Lantas Jibrail
memberitahukan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang
tuduhan mereka. Maka turunlah ayat: Bahkan mereka mengatakan: Dia
(Muhammad) telah mengada-adakan dusta terhadap Allah. [al-Syura
42:24] Maka sebahagian orang ramai tersebut berkata: “Wahai Rasulullah
kami bersaksi bahawa sesungguhnya anda adalah seorang yang benar.”
Maka turunlah pula ayat: Dan Dialah yang menerima taubat dari
hamba-hambaNya. [al-Syura 42:25]
Riwayat ini tidak
dapat dijadikan penguat, bahkan tidak memiliki apa-apa makna kepada
penghujahan Syi‘ah. Ini kerana:
1. Ia
tidak memiliki sanad. Sila rujuk Tafsir al-Baghawi (Ma‘alim al-Tanzil),
jld. 5, ms. 382 (tafsir ayat 24 & 25 surah al-Syura) dan
Tafsir al-Tsa’labi
(al-Kasyf wa al-Bayan), jld.
8, ms. 315 (tafsir ayat 24 &
25 surah al-Syura).
2. Riwayat
di atas menyebut “kerabatnya” secara umum. Bererti ia merujuk kepada
semua kaum keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
tanpa terbatas kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja,
radhiallahu 'anhum.
Riwayat Penguat Keempat:
Muhammad Mar‘i
al-Amin menulis:
al-Kanji al-Syafi'i
meriwayatkan di dalam Kifayah al-Talib dengan membuang beberapa
sanad daripada Jabir bin 'Abdullah, dia berkata:
Seorang Arab
badwi datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan
berkata: “Wahai Muhammad bentangkan ke atasku Islam.” Maka baginda
menjawab: “Engkau bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang
Tunggal, tiada sekutu bagi-Nya dan bahawasanya Muhammad adalah
hamba-Nya dan pesuruh-Nya.” Dia (Arab badwi) bertanya: “Mintalah
daripada aku upah (sebagai penghargaan atas tunjuk ajar tersebut)?”
Baginda menjawab: “Tidak! Melainkan mengasihi kerabatku.” Dia bertanya:
“Kerabatku atau kerabat anda?” Baginda menjawab: “Kerabatku.” Dia
(Arab badwi) menjawab: “Sekarang aku membai'ah anda, dan bagi sesiapa
yang tidak mencintai anda dan mencintai kerabat anda, maka laknat
Allah ke atas mereka.” Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wa alihi
wasallam bersabda: “Amin.”
Riwayat ini juga
tidak dapat dijadikan penguat, juga dengan dua sebab:
1. Secara
bersanad, ia dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim al-Ashfahani di dalam
Hilyah al-Auliya’ wa Thabaqat al-Ashfiya’, jld. 3, ms. 234,
riwayat no: 3811 (Biografi Ja’far bin Muhammad al-Shadiq). Di
dalamnya terdapat seorang perawi yang bernama Yahya bin al-‘Ala’ (يحيى
بن العلاء).
Beliau ialah Yahya bin al-‘Ala’
al-Bajali al-Razi, Abu ‘Amr. Berkata al-Nasa’i:
Matruk al-Hadis.
Berkata Ibn Hibban: Pendusta (dan)
pencipta hadis.
Oleh itu ini adalah riwayat yang palsu (maudhu’).
2. Riwayat
di atas menyebut “kerabatku” secara umum. Bererti ia merujuk kepada
semua kaum keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
tanpa terbatas kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja,
radhiallahu 'anhum.
Demikianlah
takhrij atau semakan riwayat berdasarkan sumbernya yang asal
lengkap dengan sanad-sanadnya. Jelas bahawa tidak satu jua daripada
riwayat-riwayat di atas yang dapat dijadikan dalil bagi menafsirkan
ayat 23 surah al-Syura sebagai merujuk kepada 'Ali, Fathimah, Hasan
dan Husain radhiallahu 'anhum. Selain itu, riwayat-riwayat di
atas bukan sahaja memiliki kecacatan dari sudut sanadnya, tetapi ia
juga tertolak dari sudut maksudnya. Ini akan kita perhatikan dalam
perbahasan seterusnya, insya-Allah.
Sebagai
perbahasan tambahan, Kamal al-Din Muhammad bin Thalhah bin Muhammad
yang masyhur dikenali sebagai Ibn Thalhah (652H) di dalam karyanya
Mathalib al-Su’ul fi Manaqib A-li al-Rasul (مطالب
السؤول في مناقب آل الرسول),
ms 37-38 menulis:
Dan adapun
berkenaan mereka kaum keluarga (Rasulullah), maka sungguh telah jelas
dinaqal (diriwayatkan) khabar-khabar yang dapat diterima (diiktiraf)
beserta penjelasannya yang dibawa oleh atsar-atsar yang (juga) dinaqal
(diriwayatkan) dalam sanad-sanad yang sahih yang menjelaskannya lagi
dalam pelbagai gaya (dan bentuk), daripada Sa‘id bin Jubair daripada
Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh, tatkala diturunkan firman Allah
Ta‘ala:
Katakanlah
(wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas
seruanku kecuali kasih sayang (kecintaan: al-Mawaddah) dalam
kekeluargaan (al-Qurba).”
[al-Syura
42:23], mereka bertanya: “Ya Rasulullah siapakah yang diwajibkan ke
atas untuk mencintai mereka?” Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam menjawab: “’Ali dan Fathimah dan anak mereka berdua.”
Dan daripada
riwayat-riwayat ini ialah apa yang dinaqal oleh dua orang imam: (Imam)
al-Tsa’labi dan (Imam) al-Wahidi, setiap seorang daripada mereka
berdua dengan sanadnya yang bersambungan (marfu’) (kepada
Rasulullah) ……
Sekian Ibn
Thalhah rahimahullah. Kenyataan beliau di atas memerlukan
beberapa pemerhatian dan pembetulan:
1. Hadis
di atas daripada Sa‘id bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas tidak
diriwayatkan kecuali melalui jalan Husain al-Asyqar yang sedia
dikenal pasti kecacatannya. Sila rujuk al-Kasyf wa al-Bayan,
jld. 8, ms. 310 (tafsir ayat 23 surah al-Syura) oleh al-Tsa’labi
dan al-Wasith fi Tafsir al-Qur’an al-Majid, jld. 4, ms. 52
(tafsir ayat 23 surah al-Syura) oleh al-Wahidi.
3. Riwayat-riwayat
lain yang dimaksudkan oleh Ibn Thalhah (sila rujuk riwayat-riwayat ini
dalam: Tafsir al-Tsa’labi, jld. 8, ms. 310-314), ianya
terbahagi kepada dua kategori: Pertama adalah apa yang
berhubung kait dengan ayat 23 surah al-Syura dan ianya memiliki sanad
yang cacat juga. Hal ini sepertimana yang telah ditakhrij di
atas.
Kedua
adalah hadis-hadis serta
atsar-atsar yang menerangkan keutamaan dan kemuliaan Ahl al-Bait
Rasulullah serta perintah untuk mencintai mereka tanpa ada hubung kait
dengan ayat 23 surah al-Syura. Sebahagian daripada riwayat ini memang
sahih manakala sebahagian lagi sangat dha‘if lagi tertolak sanadnya.
Perkataan Ibn Thalhah yang mengeneralisasikan semuanya sebagai
sahih adalah tidak tepat serta tidak boleh diterima bulat-bulat.
Kita umat Islam memang dituntut mencintai Ahl al-Bait
Rasulullah sebagaimana juga kita dituntut mencintai umat Islam
seluruhnya. Hanya perintah kecintaan ini tidak terletak pada ayat 23
surah al-Syura.
Sekian
pemerhatian dan pembetulan ke atas kenyataan Ibn Thalhah. Sekarang
kita beralih kepada mengkaji maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura.