Keempat: Ayat al-Tabligh
Penghujahan
Syi‘ah yang seterusnya adalah ke atas sepotong ayat yang mereka
namakan Ayat al-Tabligh. Ia merujuk kepada perkataan
Balagh (بلغ)
dalam ayat 67 surah al-Maidah:
Wahai
Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah
engkau menyampaikan risalah-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu
daripada manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang kafir.
[al-Maidah 5:67]
Bagaimana
Syi‘ah menjadikan ayat ini sebagai hujah? Penjelasannya seperti
berikut:
Hujah
Syi‘ah
Berhubung ayat
ini, Syi‘ah merujuk kepada kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri
radhiallahu ‘anh, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan ‘Ali bin
Abi Thalib radhiallahu 'anh, mengarah kepada perlantikan
beliau sebagai khalifah umat Islam di sebuah tempat bernama Ghadir
Khum. Perlantikan ini terkenal dengan gelaran Khutbah Ghadir Khum.
Secara lebih
mendalam, lanjut Syi‘ah, apabila Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menyedari bahawa tugasnya
menyampaikan syari‘at Allah 'Azza wa Jalla sudah hampir
selesai, baginda ingin melantik ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah
pengganti. Perlantikan ini ingin baginda umumkan ketika perlaksanaan
Haji Wida’ memandangkan pada saat itu majoriti umat Islam semuanya
berhimpun di satu tempat yang sama.
Akan tetapi
baginda ketakutan untuk mengumumkannya kerana menjangkakan bantahan
daripada umat Islam, khasnya para sahabat baginda. Ketakutan baginda
ini tidak diterima sebagai satu alasan di sisi Allah. Dalam
perjalanan balik dari Haji Wida’, ketika di satu lembah bernama
Ghadir Khum, Allah menurunkan perintah kepada Rasul-Nya untuk tetap
teguh mengumumkan perlantikan tersebut. Allah berfirman:
Wahai
Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu… iaitu
sampaikanlah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah pengganti.
…dan jika
engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau
menyampaikan risalah-Nya…
yakni jika kamu, wahai Muhammad,
tidak mengumumkan perlantikan tersebut, bererti kamu tidak
menyampaikan syari‘at-Nya secara lengkap.
…dan
Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia…
Allah akan memelihara kamu, wahai Muhammad, daripada para sahabat
kamu yang membantah perlantikan yang akan diumumkan itu.
Berdasarkan
perintah Allah ini, Rasulullah terus berkhutbah di hadapan orang
ramai sambil mengangkat tangan ‘Ali dan bersabda: Barangsiapa
menjadikan aku Mawlanya, maka ‘Ali adalah Mawlanya. Khutbah
ini baginda sampaikan selepas solat Zohor dalam suasana panas terik,
menandakan kepentingannya yang tidak boleh dilengahkan lagi.
Demikianlah
hujah Syi‘ah. Penggunaan ayat 67 surah al-Maidah oleh
Syi‘ah sebagai hujah kekhalifahan ‘Ali radhiallahu 'anh
dapat kita jawab dan tolak dengan mudah. Ikutilah jawapannya seterus
ini.
Jawapan
Ahl al-Sunnah
Sebelum ini
ketika membahas Ayat al-Mawaddah, kita telah menjawab dan
menolak hujah-hujah Syi‘ah berdasarkan kajian darjat hadis dan
semakan kepada maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura. Insya-Allah
kita akan gunakan manhaj yang sama untuk menilai, menjawab dan menolak
penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 67 surah al-Maidah. Kita
mulakan dengan kajian darjat hadis kemudian diikuti dengan semakan
maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah.
Pertama: Menilai darjat hadis yang
mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun untuk mengarahkan perlantikan
‘Ali sebagai khalifah.
Sebagai permulaan,
hadis yang dirujuk oleh Syi‘ah untuk menghujahkan ayat 67 surah
al-Maidah bukanlah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
tetapi kata-kata Abu Sa ‘id al-Khudri sahaja, radhiallahu 'anh.
Ia berbunyi:
Daripada
Abu Sa‘id al-Khudri, dia berkata: Diturunkan ayat ini: “Wahai Rasul
Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu”
[al-Maidah 5:67]
ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada Hari Ghadir Khum
berkenaan ‘Ali bin Abi Thalib.
Kedua, sanad
riwayat ini adalah dha‘if. Ia dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam
Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim – no: 6609 (tafsir ayat 67 surah
al-Maidah), al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul, ms. 233 (ayat
67 surah al-Maidah) dan Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasq al-Kubra,
jld. 45, ms. 179 (biografi ‘Ali bin Abi Thalib), kesemuanya
dengan sanad yang berpangkal kepada ‘Ali bin ‘Abas, daripada al-‘Amasy,
daripada ‘Athiyah, daripada Abu Sa‘id al-Khudri.
‘Athiyah, beliau
ialah ‘Athiyah bin Sa‘ad Abu al-Hasan al-‘Aufiy, seorang Syi‘ah
daripada Kufah. Beliau dihukum dha‘if oleh Hisyam, Yahya bin Sa‘id al-Qathan,
Ahmad
bin Hanbal, Sufyan al-Tsauri, Abu Zar‘ah al-Razi, Ibn Ma‘in, Abu Hatim
al-Razi, al-Nasa’i, al-Jauzajani, Ibn ‘Adiy, Abu Daud, Ibn Hibban, al-Daruquthni
dan lain-lain lagi. Selain itu beliau masyhur dengan sifat tadlis
yang amat buruk.
Berdasarkan
kecacatan di atas, riwayat ini ditolak bukan sahaja kerana kedha‘ifan
dan sifat tadlis ‘Athiyah, tetapi juga kerana di sisi disiplin
hadis Ahl al-Sunnah, riwayat yang dibawa oleh seorang Syi‘ah
demi kepentingan mazhabnya adalah tertolak. ‘Athiyah sememangnya
terkenal menyandarkan riwayat-riwayat Syi’iyyat
daripada Abu Sa‘id al-Khudri
radhiallahu ‘anhum. Sebelum ini beliau menyandarkan riwayat
berikut daripada Abu Sa‘id:
Diturunkan
ayat ini kepada lima orang: “Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud
hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak
membersihkan kamu sebersih-bersihnya” , iaitu Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam, ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain (radhiallahu ‘anhum).
Riwayat ini telah
kita bahas dan tolak dalam perbahasan Ayat al-That-hir yang
lalu.
Selain Ibn Abi
Hatim, al-Wahidi dan Ibn ‘Asakir, al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Mantsur,
jld. 2, ms. 528 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah) juga
menyandarkannya riwayat yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun
berkenaan ‘Ali kepada Ibn Marduyah. Akan tetapi rujukan kepada sumber
ini tidak wujud pada masa kini. Sementara itu al-Hafiz al-Haskani
turut mengemukakan beberapa riwayat yang senada di dalam Syawahid
al-Tanzil – no: 243-250 dengan sanad yang sebahagian besarnya
adalah cacat manakala bakinya terdiri daripada para perawi yang tidak
ditemui status al-Jarh wa al-Ta’dilnya. Yang beratnya, al-Hafiz
al-Haskani sendiri tidak menerangkan status riwayat-riwayat yang
dikeluarkannya. Justeru mencukupilah kita dengan takhrij serta
rumusan al-Alusi rahimahullah (1275H) berikut ini, ketika
mengulas riwayat-riwayat Ghadir Khum yang berkaitan dengan ayat 67
surah al-Maidah:
Dan anda sedia
mengetahui bahawa khabar-khabar berkenaan peristiwa Ghadir (Khum) yang
padanya terdapat perintah perlantikan (‘Ali sebagai) khalifah adalah
tidak sahih di sisi Ahl al-Sunnah, bahkan tidak diterima
asal-usul kelahirannya.
Demikian
takhrij ke atas riwayat yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah
turun untuk mengarahkan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah. Yang benar
riwayat tersebut tertolak kerana ia dibawa oleh seorang perawi yang
bermazhab Syi‘ah. Lebih dari itu, jika kita mengkaji maksud
sebenar ayat 67 surah al-Maidah, ia sebenarnya tidak memiliki apa-apa
kaitan dengan subjek perlantikan khalifah.
Kedua: Mengkaji maksud sebenar
ayat 67 surah al-Maidah.
Jika kita
mengkaji maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah, jelas bahawa ia tidak
memiliki apa-apa kaitan dengan subjek perlantikan khalifah sebagaimana
dakwa Syi‘ah. Perhatikan poin-poin berikut:
Pertama:
Ayat 67 surah al-Maidah
berbentuk umum maka ia difahami secara umum juga. Firman Allah:
…sampaikanlah… (بلغ)
…apa yang telah diturunkan …
(ما
أنزل)
dan … risalah-Nya… (رسالته)
adalah umum merujuk kepada perintah menyampaikan seluruh syari‘at
Islam.
Muhammad Quraish
Shihab mengulas:
Di sisi lain,
apakah objek yang diperintahkan untuk disampaikan – tidak disebut oleh
ayat ini. Mengapa tidak disebut jika ia sedemikian penting? Atau yang
berlaku di sini adalah kaedah yang menyatakan: Apabila satu kalimat
tidak menyebut objeknya, maka objeknya menjadi segala sesuatu yang
dapat dicakup olehnya.
Misalnya, jika
di hadapan anda terhidang aneka makanan, kemudian anda dipersilakan
makan (oleh tuan rumah) tanpa menyebut makanan tertentu, maka itu
bererti bahwa anda dipersilakan makan segala apa yang terhidang tanpa
sebarang pengecualian.
Demikian juga di
sini (dalam ayat ini). (Perintah) “Sampaikanlah” (بلغ)
disebut dengan tidak menyebut objeknya, maka ia bererti segala sesuatu
yang berkaitan dengan penyampaian ajaran agama.
Menarik untuk
diperhatikan soalan Quraish Shihab:
Mengapa tidak
disebut jika ia sedemikian penting?
Di sini Quraish Shihab merujuk kepada
hujah Syi‘ah yang berkata ayat 67 surah al-Maidah diturunkan
bagi memerintahkan Rasulullah akan satu hal yang penting, iaitu
perlantikan ‘Ali sebagai khalifah. Maka Quraish Shihab bertanya, jika
hal perlantikan tersebut sedemikian penting maka kenapa ia tidak
disebut sendiri oleh Allah dalam ayat ini?
Hakikatnya adalah
mudah untuk Allah ‘Azza wa Jalla berfirman sedemikian, umpama:
Wahai Rasul
Allah! Sampaikanlah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah pengganti kamu……
Berfirman dalam
bentuk yang khusus untuk menerangkan jawatan khalifah seseorang adalah
mudah bagi Allah dan Dia telah melakukannya beberapa kali di dalam al-Qur’an.
Di antaranya ialah tindakan mengkhususkan jawatan khalifah kepada Nabi
Daud ‘alaihi salam dan menetapkan kerajaannya:
Wahai Daud
! Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka
jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar
(yang diwahyukan kepadamu).
[Shad 38:26]
Juga tindakan
Allah yang secara khusus menetapkan Nabi Sulaiman ‘alaihi salam
sebagai pengganti jawatan khalifah Nabi Daud ‘alaihi salam:
Dan Nabi
Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud.
[al-Naml 27:16]
Oleh itu apabila
Allah berfirman secara umum, bererti yang dikehendaki oleh-Nya adalah
pemahaman yang umum. Tidak boleh mengkhususkannya kepada perlantikan
‘Ali kerana Allah tidak mengkehendaki pengkhususan tersebut.
Kedua:
Selain keumuman
perkataan …sampaikanlah… (بلغ)
…apa yang telah diturunkan … (ما
أنزل)
dan … risalah-Nya… (رسالته),
terdapat petunjuk lain yang menafikan dakwaan bahawa ayat 67 surah al-Maidah
diturunkan berkaitan dengan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah di
Ghadir Khum. Petunjuk ini terdapat pada firman Allah: (والله
يعصمك من الناس)
yang bermaksud: …dan Allah jualah akan memeliharamu daripada
manusia. Siapakah yang dimaksudkan dengan manusia (الناس)
yang akan Allah peliharakan untuk Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi
wasallam? Jawapannya terdapat pada penghujung ayat 67 surah al-Maidah
tersebut: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang kafir.
Berkata al-Zamakhsyari
rahimahullah (538H):
Dan (yang
dimaksudkan dengan) “manusia” ialah orang kafir berdalilkan firman
Allah: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada
kaum yang kafir.
Di sini perlu
diterangkan bahawa rangkap-rangkap pendek yang lazimnya mengakhiri
sesebuah ayat, tidaklah ia memiliki pengajaran yang berpisah atau
semata-mata untuk menyedapkan bacaan. Akan tetapi ia berperanan
melengkapkan perbahasan ayat. Tidak tepat penafsiran sesebuah ayat
selagi mana rangkap pendek yang mengakhirinya tidak diambil kira.
Dalam ayat 67 surah al-Maidah di atas, rangkap pendek yang
mengakhirinya: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang kafir menunjukkan bahawa keseluruhan
perbincangan ayat adalah berkenaan orang-orang kafir, iaitu mereka
yang mengingkari risalah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah.
Seandainya ayat
67 surah al-Maidah ini merujuk kepada perintah perlantikan ‘Ali
sebagai khalifah, ia tidak akan membicarakan tentang orang-orang kafir
tetapi khusus berkenaan orang-orang yang beriman. Ini kerana seorang
khalifah adalah pemimpin, penjaga dan pengurus hal ehwal agama dan
kehidupan orang-orang yang beriman. Merupakan satu kesia-siaan
membicarakan urusan perlantikan khalifah Dar al-Islam dengan
orang kafir.
Ketiga:
Daripada poin
kedua dan ketiga di atas, jelas bahawa ayat 67 surah al-Maidah merujuk
kepada misi dakwah Rasulullah menyampaikan syari‘at Islam kepada orang
bukan Islam. Izinkan penulis menjelaskan maksudnya seperti berikut:
-
…dan
jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau
menyampaikan risalah-Nya…
yakni jika kamu, wahai Muhammad,
tidak menyampaikan risalah atau syari‘at Islam kepada orang ramai,
bererti kamu tidak menyampaikan syari‘at-Nya secara lengkap.
-
…dan
Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia…
Allah akan memelihara kamu, wahai Muhammad, daripada orang-orang
yang mungkin membantah atau mengancam kamu dalam usaha kamu
menyampaikan risalah Islam.
-
Sesungguhnya
Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir…
janganlah kamu berdukacita
wahai Muhammad kerana orang-orang kafir, yakni mereka yang
mengingkari risalah yang kamu sampaikan itu sebenarnya terdiri
daripada mereka yang tidak diberi hidayah petunjuk oleh Allah
Subhanahu wa Ta‘ala.
Tiga poin di
atas mengakhiri kajian kita
ke atas maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah. Jelas bahawa ia tiada
kaitan dengan peristiwa perlantikan ‘Ali di Ghadir Khum sebagaimana
dakwa Syi‘ah. Malah maksud dan tujuan ayat 67 ini bertentangan
dengan dakwaan Syi‘ah, kerana sepertimana yang telah disebut
dalam poin kedua di atas: Merupakan satu kesia-siaan membicarakan
urusan perlantikan khalifah Dar al-Islam dengan orang kafir.
Menarik untuk
diperhatikan bahawa dalam keghairahan Syi‘ah menghujahkan ayat
67 surah al-Maidah, mereka mengemukakan beberapa poin yang menyelisihi
pemikiran yang waras dan logik yang sihat. Dua di antara poin tersebut
adalah:
1. Syi‘ah
mendakwa kononnya
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam takut untuk
menyampaikan perintah perlantikan ‘Ali radhiallahu 'anh sebagai
khalifah. Ini adalah dakwaan yang jelas tidak benar dan merupakan
fitnah semata-mata ke atas Rasul Allah. Menarik untuk diperhatikan
bahawa ayat 67 yang diturunkan oleh Allah 'Azza wa Jalla “hasil
daripada ketakutan Rasulullah” juga tidak menyebut apa-apa tentang
perlantikan ‘Ali. Adakah dengan itu akan didakwa bahawa Tuhan juga
takut?
2. Syi‘ah
mendakwa oleh kerana
kepentingan isu perlantikan ‘Ali, Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam telah menahan orang ramai dalam suasana panas terik
selepas solat Zohor untuk berkhutbah di Ghadir Khum.
Ini adalah
dakwaan yang pelik kerana setiap khutbah yang Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam sampaikan pada siang hari sememangnya
disinari matahari manakala pada malam hari sememangnya disinari bulan
dan bintang kerana sememangnya begitu iklim semulajadi di Semenanjung
Arab. Lebih dari itu pada zaman tersebut tidak wujud masjid dan dewan
persidangan yang berhawa dingin sebagaimana masa kini. Oleh itu
tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi
khutbah dalam suasana panas terik bukanlah kerana kepentingan isu
tetapi kerana iklim semulajadi di Semenanjung Arab.
Alhamdulillah,
berakhirlah perbahasan dan
jawapan kita ke atas ayat 67 surah al-Maidah yang dijadikan hujah oleh
Syi‘ah sebagai Ayat al-Tabligh. Terdapat satu poin lain
yang penulis tangguhkan perbahasan dan jawapannya. Poin tersebut
merujuk kepada khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pada Hari Ghadir Khum. Khutbah itu sendiri,
seandainya ia berdarjat sahih, tidak mengangkat ‘Ali sebagai khalifah.
Yang wujud hanyalah dakwaan dan angan-angan kosong Syi‘ah.
Khutbah ini akan penulis bahas dalam buku Siri Ketiga insya-Allah
dalam rangka menjawab hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh
Syi‘ah dalam persoalan khalifah. Sementara itu kita beralih kepada
ayat seterusnya yang dinamakan Ayat al-Mubahalah oleh Syi‘ah.
Kesimpulan
mudah kepada para pembaca:
Kelima: Ayat al-Mubahalah