Kelima: Ayat al-Mubahalah
Ayat seterusnya
yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah ialah firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala:
Kemudian
sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah
engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:
“Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan
perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri
kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan
bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah
ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”
[‘Ali Imran 3:61]
Syi‘ah
menggelar ayat ini
sebagai Ayat al-Mubahalah. Perkataan Mubahalah (مباهلة)
berasal daripada kata bahlah atau buhlah (بهلة)
yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan
kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan
wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam
kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada
pihak yang mengingkari kebenaran.
Merujuk kepada
ayat di atas, diriwayatkan bahawa pada satu ketika datang
delegasi Nasrani dari Najran
untuk berdialog dengan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Kota Madinah dalam
subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah
disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh
delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam,
apatah lagi memeluknya.
Keengganan
delegasi Nasrani ini menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala
menurunkan ayat 61 surah ‘Ali Imran di atas. Merujuk kepada firman
Allah: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak
kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu,
dan diri kami serta diri kamu… , Rasulullah telah memanggil
'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum. Pihak
delegasi Nasrani berdoa kepada Tuhan mereka yang tiga (The
Father, The Son: Jesus and The Holy Spirit)
manakala Rasulullah berdoa
kepada Allah, Tuhan yang Satu.
Ayat 61 surah
‘Ali Imran dan kisah bermubahalah di atas dijadikan hujah
oleh Syi‘ah sepertimana berikut:
Hujah
Syi‘ah
Bagi Syi‘ah,
ayat ini adalah bukti kekhususan dan keistimewaan 'Ali, Fathimah,
Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum yang tidak dimiliki oleh
mana-mana sahabat yang lain. Ini kerana untuk bermubahalah,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak memanggil
mana-mana sahabat yang lain kecuali 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.
Muhammad Mar‘i al-Amin dalam bukunya Mengapa Aku Memilih Ahl
al-Bait? menulis:
Sesungguhnya
bersepakat para ahli tafsir bahawa (Ayat al-Mubahalah)
diturunkan kepada lima manusia suci; Muhammad, 'Ali, Fathimah, Hasan
dan Husain ‘alahim al-Salam. Di sana terdapat para sahabat
yang utama dari kalangan kaum lelaki akan tetapi baginda tidak
memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada 'Ali, Hasan dan
Husain. Kemudian di sana juga terdapat Ummahat al-Mukminin (para
isteri Rasulullah) dan wanita-wanita Bani Hasyim akan tetapi baginda
tidak memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada anak
kandungnya al-Shadiqah (Fatimah) al-Zahra' ‘alaihi salam.
Kekhususan dan
keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum,
lanjut Syi‘ah, tidak hanya terletak pada pemilihan mereka
oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk bermubahalah
tetapi juga pada kejayaan mereka untuk menakutkan delegasi Nasrani
daripada bermubahalah. Apabila delegasi Nasrani melihat
Rasulullah membawa bersama 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain untuk
bermubahalah, mereka terus mengundur diri sekalipun mereka (Rasulullah,
'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain) pada saat itu belum lagi berdoa
meminta laknat Allah ke atas delegasi Nasrani tersebut. Ini tidak
lain disebabkan kekhususan dan keistimewaan yang terdapat pada diri
'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum.
Muhammad Mar’i
al-Amin menyalin riwayat berikut daripada kitab Tafsir al-Zamakhsyari
sebagai bukti ke atas kejayaan tersebut:
Diriwayatkan
bahawa apabila mereka (kaum Nasrani dari Najran) diajak (oleh
Rasulullah) untuk bermubahalah, mereka berkata: “Kami akan
pulang dan kami akan membuat keputusannya.” Manakala mereka pergi,
mereka berkata kepada 'Aqib, seorang yang pintar di kalangan mereka:
“Wahai hamba al-Masih apa pandangan anda?” Dia menjawab: “Demi Allah
sesungguhnya kalian mengetahui wahai kaum Nasrani, bahawa
sesungguhnya Muhammad adalah seorang Nabi yang diutuskan. Dia telah
mendatangi kalian dengan keterangan daripada Tuhan kalian. Demi
Allah tidak ada satu kaum pun (yang pernah bermubahalah
dengan seorang Nabi) sehingga yang kecil dan besar mereka dapat
hidup. Sekiranya kalian lakukan, nescaya kalian akan binasa. Dan
sekiranya kalian enggan bermubahalah maka dia akan membiarkan
agama kalian dan kalian kekal dengan agama kalian. Lantaran itu
ucaplah selamat tinggal kepada lelaki itu dan kembalilah ke tempat
kalian.”
Maka merekapun
datang kembali menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi
yang pada ketika itu beliau sedang mendukung Husain, memegang
tangan Hasan, Fatimah berjalan di belakangnya dan 'Ali di belakang
Fatimah. Baginda bersabda: “Tidakkah aku telah menyeru kalian, maka
berimanlah.”
Lalu uskuf (bisyop)
kaum Najran tersebut menjawab: “Wahai bangsa Nasrani! Sesungguhnya
aku sedang melihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah
mahu menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan
menghilangkannya melalui kemuliaan muka-muka mereka. Justeru
itu janganlah kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa,
dan tidak tinggal lagi seorang Nasrani pun di bumi ini hingga di
Hari Kiamat.”
Lalu mereka
berkata: Wahai Abu Qasim (gelaran kepada Nabi Muhammad), kami fikir
kami tidak akan bermubahalah dengan anda sebaliknya kami
mengakui anda di atas agama anda sementara kami kekal di atas agama
kami.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sekiranya
kalian enggan bermubalahah, maka masuklah Islam. Ke atas
kalian (hak-hak) sebagaimana di atas mereka (Islam).”
(Lantas mereka
menolaknya), kemudian baginda bersabda: “Aku melepaskan kalian.”
Mereka menjawab: “Kami tidak mampu untuk memerangi Arab, justeru itu
kami membuat perdamaian dengan anda supaya anda tidak memerangi kami,
menakut-nakutkan kami dan memaksa kami supaya meninggalkan agama
kami. Sebagai balasan kami akan memberikan kepada anda setiap tahun
dua ribu Hillah, seribu pada bulan Safar, dan seribu pada bulan
Rajab, dan tiga puluh baju besi biasa.”
Maka
Rasulullah mengadakan perjanjian damai dengan mereka dengan
syarat-syarat tersebut. Baginda bersabda: “Demi diriku di Tangan-Nya,
sesungguhnya kebinasaan telah jelas ke atas ahli Najran (suku kaum
Nasrani tersebut). Dan sekiranya mereka bermubahalah, nescaya
mereka bertukar menjadi kera dan babi serta lembah ini menjadi api
membakar mereka. Allah akan melenyapkan Najran dan
penduduk-penduduknya sekali sehingga burung yang hinggap di atas
pokok." Manakala genap setahun mereka dibinasakan (kerana tidak
menepati janji mereka).
Terdapat
seperkara lain yang tidak kurang penting di dalam ayat ini yang
dijadikan hujah oleh Syi‘ah. Syi‘ah merujuk kepada
firman Allah: Anak-anak kami… bermaksud Hasan dan
Husain, Perempuan-perempuan kami… bermaksud Fathimah
dan Diri kami… bermaksud Rasulullah dan ‘Ali bin Abi
Thalib. Syi‘ah menekankan bahawa berdasarkan firman Allah
Diri kami… (أنفسنا),
diri ‘Ali disamakan kepada diri Rasulullah. Hal ini diperkuatkan
lagi oleh sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
kepada ‘Ali dalam sebuah hadis sahih yang berasingan:
Anda di
sisi aku seperti Harun di sisi Musa kecuali bahawasanya tidak ada
Nabi sesudah aku.
Muhammad Mar‘i
al-Amin justeru membuat kesimpulan berikut:
Aku
berpendapat, apa yang zahir daripada ayat (al-Mubahalah) yang
mulia ini adalah bahawa khalifah yang wajib selepas Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam ialah 'Ali bin Abi Talib ‘alaihi
salam kerana Allah menjadikan (“nafs” 'Ali) sebagai “nafs”
Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dengan ilmunya,
akhlaknya, kemuliaannya, keberaniannya, lemah lembutnya, kasihan
belasnya terhadap orang-orang yang lemah, garangnya terhadap orang
yang zalim dan kedudukannya tinggi yang dengannya Allah
mengangkatnya. Kecuali kenabian berdalilkan sabda Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam (yang maksudnya): “Anda di sisiku
sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa hanya tiada Nabi selepasku."
Justeru itu tidak dibolehkan mendahulukan (memberi prioriti) seorang
jua ke atas ‘Ali secara mutlak kerana mendahulukan seseorang (selain
‘Ali) adalah seumpama mendahulukan (seseorang) di atas Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam.
Demikianlah
panjang lebar penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 61 surah ‘Ali
Imran. Sekarang marilah kita mengkaji dan membahasnya untuk melihat
sejauh mana kebenaran hujah-hujah tersebut.
Jawapan
Ahl al-Sunnah
Ahl al-Sunnah
mengakui peristiwa
Mubahalah antara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
dan delegasi Nasrani dari Najran. Ia tercatit di dalam kitab-kitab
sahih, antaranya di dalam Shahih al-Bukhari:
Daripada
Huzaifah (radhiallahu 'anh), dia berkata: al-Aqib dan al-Sayyid, ketua
delagasi Najran datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
untuk saling melaknat (Mubahalah).
(Huzaifah
menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada
sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar
dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan
generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.”
Lalu
akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang kamu
minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami
seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.”
Rasulullah menjawab: “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang
amanah, benar-benar amanah.”
Setelah itu
maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai
utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah
wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Inilah orang amanah
umat ini.”
Ahl al-Sunnah
juga menerima bahawa ayat 61 surah ‘Ali Imran diturunkan merujuk
kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum.
Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anh menerangkan:
Tatkala
diturunkan ayat: Maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru
anak-anak kami serta anak-anak kamu……[‘Ali Imran 3:61], Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam menyeru 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain
lalu berdoa: “Ya Allah! Merekalah ahli keluarga aku.”
Akan tetapi pada
waktu yang sama Ahl al-Sunnah menolak penghujahan Syi‘ah
ke atas ayat 61 surah ‘Ali Imran dan peristiwa Mubahalah.
Penolakan ini adalah seperti berikut:
Pertama: Peristiwa Mubahalah
bukanlah hujah kekhususan mahupun keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan
dan Husain.
Tindakan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memilih 'Ali, Fathimah,
Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum dalam peristiwa
Mubahalah dengan meninggalkan para sahabat yang lain bukanlah
untuk membuktikan kekhususan mahupun keistimewaan mereka berempat akan
tetapi untuk membuktikan keyakinan baginda tentang Allah yang Maha Esa
dan risalah Islam yang disampaikannya.
Ini kerana bermubahalah
ialah satu tindakan berdoa kepada tuhan masing-masing untuk
menjatuhkan laknat ke atas pihak lawan. Apabila Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam membawa bersama ahli keluarganya yang
terdekat lagi dicintainya, ia menunjukkan keyakinan Rasulullah yang
tidak berbelah bahagi untuk bermubahalah.
Seandainya
Rasulullah tidak yakin bahawa Allah akan mengabulkan doanya untuk
menjatuhkan laknat, bahkan yang akan mengabulkannya ialah Tuhan
Nasrani yang Tiga, pasti baginda tidak akan membawa bersama ahli
keluarga yang terdekat lagi yang dicintainya. Dalam erti kata lain,
seandainya Rasulullah tidak yakin dengan risalah Islam yang dibawanya,
bahkan yang benar adalah agama Nasrani, pasti baginda tidak akan
mengorbankan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain yang amat dicintainya
untuk bermubahalah.
Muhammad Quraish
Shihab, ahli tafsir kontemporer dari Indonesia menerangkan hakikat ini:
Sungguh Nabi
sangat yakin akan kebenaran yang beliau sampaikannya, yakni tidak
sedikit keraguan pun yang menyentuh jiwa beliau. Sungguh beliau
bersiap sedia melakukan mubahalah, tidak secuil keraguan atau
kekhawatiran – sampai-sampai beliau mengajak orang-orang yang paling
beliau cintai, yakni anak-anak dan cucu-cucunya yang biasanya dibela
dan dihindarkan dari segala kemungkinan ancaman.
Keyakinan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membawa 'Ali, Fathimah,
Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum menyebabkan delegasi
Nasrani menjadi ragu-ragu sehingga akhirnya menarik diri daripada bermubahalah.
Pengunduran delegasi Nasrani membuktikan bahawa mereka sendiri tidak
yakin akan iktikad Tuhan Bertiga yang mereka pegang selama ini. Bahkan
mereka akhirnya meminta Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mengutuskan seseorang yang amanah untuk mengajar mereka tentang Islam.
Bukti kedua
bahawa peristiwa Mubahalah bukanlah hujah kekhususan atau
keistimewaan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum
ialah tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
untuk memilih Abu ‘Ubaidah bin Jarrah radhiallahu 'anh sebagai
utusan yang akan mengajar kaum Nasrani Najran tersebut. Malah
Rasulullah bukan sahaja sekadar memilih Abu ‘Ubaidah tetapi baginda
juga mengiktiraf beliau sebagai
“Inilah orang amanah umat ini.”
Di sini penulis
ingin menarik perhatian para pembaca yang budiman sekalian kepada satu
poin penting. Jika para pembaca lazim membaca hujah-hujah Syi‘ah
terhadap ayat 61 surah ‘Ali Imran dan kaitannya dengan peristiwa
Mubahalah, tidak akan ditemui mana-mana sumber Syi‘ah yang
mengemukakan riwayat Shahih al-Bukhari dan lain-lain rujukan
hadis Ahl al-Sunnah tentang pemilihan Abu ‘Ubaidah bin Jarrah
radhiallahu 'anh. Ini kerana tindakan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam untuk tidak memilih ‘Ali bin Abi Thalib
radhiallahu 'anh adalah bukti jelas yang membatalkan hujah
Syi‘ah tentang kekhususan mahupun keistimewaan ‘Ali bin Abi Thalib.
Kedua: Riwayat bahawa delegasi
Nasrani menarik diri daripada bermubahalah setelah melihat
muka-muka 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain adalah tidak benar.
Dalam riwayat
yang dikemukakan oleh al-Zamakhsyari rahimahullah (538H),
disebut bahawa:
Lalu Bisyop
Nasrani menjawab: “Wahai kaum Nasara! Sesungguhnya aku sedang
melihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah mahu
menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan menghilangkannya
melalui kemuliaan muka-muka mereka. Justeru itu janganlah
kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa, dan tidak
tinggal lagi seorang Nasrani pun di bumi ini hingga di Hari Kiamat.”
Dalam riwayat ini
kelihatan seolah-olah sebab delegasi Nasrani mengundur diri daripada
bermubahalah ialah setelah melihat kemuliaan muka-muka 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum.
Riwayat ini tidak
memiliki asal usulnya. al-Zamakhsyari mengemukakannya tanpa sanad
mahupun menyebut sumber rujukannya. Sejauh kajian penulis, sumber
terawal yang mengemukakan riwayat ini ialah al-Tsa’labi (427H) di
dalam kitab tafsirnya al-Kasyf wa al-Bayan, jld. 3, ms. 85 (tafsir
ayat 61 surah ‘Ali Imran). Akan tetapi al-Tsa’labi juga tidak
mengemukakan sanad mahupun menyebut sumber rujukannya. Riwayat yang
dikemukakan oleh al-Tsa’labi ini kemudiannya diambil oleh sebahagian
ahli tafsir yang lain di dalam kitab-kitab mereka. Sayang sekali tidak
seorang jua daripada para ahli tafsir ini – rahimahumullah –
yang menyemak sanad atau sumber rujukannya.
Di sini perlu
dibezakan bahawa peristiwa Mubahalah memang benar berlaku dan
ia diriwayatkan secara bersanad dengan pelbagai lafaz, sebahagiannya
panjang dan sebahagiannya pendek. Akan tetapi sejauh kajian penulis,
tambahan yang disebut oleh al-Tsa’labi tidak wujud dalam mana-mana
riwayat yang bersanad.
Para pembaca
boleh mengkaji sendiri riwayat-riwayat yang bersanad tentang peristiwa
Mubalahah dalam pelbagai kitab hadis Ahl al-Sunnah
seperti al-Shahih, al-Sunan, al-Musnad, al-Musannaf, al-Mustadrak
dan al-Mu’jam. Selain itu terdapat beberapa rujukan khusus
sepertimana berikut:
1. ‘Abd
Razzaq bin Hammam al-Shan‘ani (211H) – Tafsir ‘Abd al-Razzaq –
riwayat no: 409-411 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).
2. Ahmad
bin Hanbal (241H) – Fadha’il
al-Shahabah – riwayat no:
1374 (Kitab Keutamaan al-Hasan dan al-Husain).
3. Ahmad
bin Yahya al-Balazuri (279H) – Futuh al-Buldan, ms. 75-76 (Bab
Perjanjian dengan Najran).
4. Ibn
Jarir al-Thabari (310H) – Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an
– riwayat no: 5666-5675 (tafsir ayat 61-63 surah ‘Ali Imran)
5. Ibn
Abi Hatim al-Razi (327H) – Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim: Musnadan ‘an
Rasulullah wa al-Shahabah wa al-Tabi‘in – riwayat no: 3615-3623
(tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).
6. Ibn
Marduyah (410H), sebagaimana nukil Ibn Katsir di dalam Tafsir al-Qur’an
al-‘Azhim, jld. 3, ms. 81 (tafsir ayat 61 surah ‘Ali Imran).
7. Abu
Nu‘aim al-Ashbahani (430H) – Dala’il al-Nubuwwah – riwayat no:
244 & 245 (Bab Kisah al-Sayyid dan al-Aqib……).
8. al-Baihaqi
(458H) – Dala’il al-Nubuwwah, jld. 5, ms. 382-393 (Bab
Delegasi Najran……).
9. al-Wahidi
(468H) – Asbab al-Nuzul, ms. 136-137 (sebab turun ayat 61
surah ‘Ali Imran).
Oleh itu sekali
lagi ditekankan bahawa tambahan yang disebut oleh al-Tsa’labi tidak
memiliki asal usulnya. Justeru riwayat tersebut tertolak berbanding
dengan riwayat-riwayat lain yang lengkap bersanad. Yang benar delegasi
Nasrani mengundur diri daripada bermubahalah bukan kerana
“muka-muka” 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum
akan tetapi kerana keyakinan Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam membawa ahli keluarganya yang terdekat lagi dicintainya.
Ketiga: Perkataan Anfusana
(أنفسنا)
tidak bermaksud kesamaan diri akan tetapi kesamaan perbuatan.
Perkataan
Anfusana (أنفسنا)
tidak bermaksud kesamaan diri akan tetapi kesamaan perbuatan. Berikut
dikemukakan dua ayat yang juga menggunakan perkataan Anfusana:
Pertama, firman
Allah:
Wahai
sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu
Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu
ayat-ayat-Ku, dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan
kamu dengan Hari (Kiamat) ini?
Mereka
menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami
sendiri (أنفسنا)
(mendustakan Rasul-rasul itu).” [al-An‘aam 6:130]
Dalam ayat di
atas perkataan Anfusana tidak bermaksud kesamaan diri tetapi
kesamaan dalam bersaksi akan kesalahan masing-masing. Sesama jin
dengan manusia, sesama jin dengan jin dan sesama manusia dengan
manusia wujud perbezaan yang pelbagai sehingga tidak mungkin mereka
semua boleh dikatakan sebagai “satu diri.”
Kedua, firman
Allah:
Mereka
berdua (Adam dan Hawa) merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah
menganiaya diri kami sendiri
(أنفسنا),
dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada
kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”
[al-A’raaf 7:23]
Di atas adalah
doa bertaubat yang diucapkan oleh Nabi Adam ‘alaihi salam dan
Hawa setelah mereka menganiaya diri sendiri di dalam syurga dengan
mengikut bisikan Iblis menghampiri pohon terlarang (Lihat surah al-A’raaf
mulai dari ayat 19). Perkataan Anfusana tidak bermaksud
kesamaan diri kerana Adam ialah seorang Nabi Allah dan seorang lelaki
manakala Hawa adalah seorang perempuan. Akan tetapi perkataan
Anfusana bermaksud kesamaan perbuatan, iaitu menganiaya diri
sendiri kerana mengikuti bisikan Iblis menghampiri pohon terlarang.
Berdasarkan dua
ayat di atas, perkataan Anfusana di dalam ayat 61 surah ‘Ali
Imran tidak bermaksud kesamaan diri antara Rasulullah dan ‘Ali akan
tetapi kesamaan perbuatan Rasulullah dan ‘Ali bermubahalah
dengan delegasi Nasrani. Bagaimana mungkin disamakan antara
Rasulullah dan ‘Ali padahal Rasulullah adalah manusia yang teristimewa
di kalangan para manusia, Nabi Allah yang termulia di antara para Nabi
dan Rasul Allah yang terpenting di kalangan para Rasul manakala ‘Ali
adalah seorang manusia yang bukan Nabi dan bukan Rasul.
Adapun hadis
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada ‘Ali
radhiallahu 'anh:
Anda di
sisi aku seperti Harun di sisi Musa kecuali bahawasanya tidak ada Nabi
sesudah aku.
Ia adalah hadis
sahih yang tidak lain hanya menunjukkan keutamaan ‘Ali kepada
Rasulullah. Hadis di atas tidak membawa apa-apa bukti bahawa
Rasulullah dan ‘Ali adalah “diri” yang sama sebagaimana juga Nabi Musa
dan Nabi Harun bukanlah “diri” yang sama. Hadis di atas juga tidak
memiliki apa-apa isyarat kekhalifahan kerana Nabi Harun ‘alaihi
salam bukanlah khalifah Bani Israil sesudah Nabi Musa ‘alaihi
salam.
Kesimpulan
mudah kepada para pembaca:
Keenam: Ayat al-Selawat