Keenam: Ayat al-Selawat
Apabila Allah
Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat berikut:
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi
(Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu
kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang
sepenuhnya. [al-Ahzab
33:56], para sahabat radhiallahu 'anhum bertanya bagaimanakah
cara berselawat tersebut? Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
menjawab:
Ya Allah,
berselawatlah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad
sebagaimana Engkau berselawat ke atas ahli keluarga Ibrahim. Dan
berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad
sebagaimana Engkau memberkati ahli keluarga Ibrahim. Di dalam
sekalian alam, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Terpuji dan Maha
Mulia.
Hadis sahih di
atas dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – no:
405 (Kitab Solat, Bab berselawat ke atas Nabi). Ia juga
diriwayatkan oleh imam-imam hadis yang lain dengan beberapa lafaz
yang sedikit berbeza tetapi dengan maksud yang sama. Selain itu
bacaan selawat ini juga menjadi kewajipan bagi kita untuk membacanya
dalam solat, dalam bacaan tasyahud. Ayat di atas dan hadis yang
menjelaskannya juga menjadi hujah di sisi Syi‘ah sepertimana
berikut:
Hujah
Syi‘ah
Syi‘ah
menjadikan ayat 56 surah al-Ahzab di atas sebagai hujah kerana dalam
menerangkan cara berselawat, Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam telah menyertakan para ahli keluarganya. Rasulullah
bersabda, maksudnya: “Ya Allah, berselawatlah ke atas Muhammad
dan ke atas ahli keluarga Muhammad……” Ini tidak lain
menunjukkan keistimewaan dan kekhususan 'Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain radhiallahu 'anhum sehingga Allah memerintahkan umat
Islam berselawat ke atas mereka di samping berselawat ke atas
Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.
Muhammad Mar‘i
al-Amin berhujah:
Syi'ah
seluruhnya bersepakat bahawa ayat yang mulia ini diturunkan
berkenaan hak Nabi dan ahli keluarganya yang suci. Selari dengan
manhaj ini (tafsiran ini) ialah majoriti ilmuan Ahl al-Sunnah.
Ayat 56 surah
al-Ahzab ini juga dijadikan hujah kekhalifahan ‘Ali sesudah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana, menurut
Syi‘ah, apabila Allah menyuruh umat Islam berselawat dengan
menghubung dan menyebut nama ‘Ali sebaik sahaja selepas nama
Rasulullah, bererti yang berhak sebaik sahaja sesudah Rasulullah
ialah ‘Ali radhiallahu 'anh. Allah telah mendahulukan dan
memberi prioriti kepada ‘Ali sebaik sahaja sesudah Rasulullah,
bererti tidak seorang juga yang memiliki prioriti untuk menjadi
khalifah sesudah Rasulullah melainkan ‘Ali bin Abi Thalib
radhiallahu 'anh. Ini sebagaimana kata Muhammad Mar‘i al-Amin:
Jelaslah
berdasarkan ayat yang mulia ini bahawa ‘Ali ‘alaihi salam
adalah khalifah yang sabit sesudah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Ini kerana apabila Allah Ta‘ala menghubungkan
‘Ali bersama Rasul-Nya dalam sebutan selawat ke atasnya sebagaimana
yang disebut sebelum ini, maka terhadap ‘Ali – tidak boleh
mendahulukan seorang jua ke atas beliau sebagaimana tidak bolehkan
mendahulukan seorang jua ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam.
Demikianlah
bagaimana Syi‘ah menjadikan ayat 56 surah al-Ahzab sebagai
hujah kekhalifahan ‘Ali radhiallahu 'anh. Sekarang marilah
kita menganalisa sejauh mana kebenarannya.
Jawapan
Ahl al-Sunnah
Ahl al-Sunnah
menerima sepenuhnya hadis yang menerangkan cara berselawat ke atas
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan ahli keluarga
baginda radhiallahu 'anhum sebagai memenuhi tuntutan firman
Allah 'Azza wa Jalla dalam ayat 56 surah al-Ahzab. Hal ini
menjadi bukti keadilan Ahl al-Sunnah, di mana apabila hadis itu
sahih lagi jelas maksudnya, kita menerima dan mengamalkannya
sebagaimana zahir hadis.
Akan
tetapi Ahl al-Sunnah menolak tafsiran Syi‘ah yang
bersifat berlebih-lebihan lagi melampaui batas. Penolakan ini adalah
dengan dua sebab:
Pertama:
Hadis yang menganjurkan selawat kepada ahli
keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah umum
kepada semua ahli keluarga baginda tanpa terbatas kepada Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain sahaja, radhiallahu 'anhum.
Rasulullah tidak mengajar cara berselawat seumpama: “Ya Allah,
berselawatlah ke atas Muhammad dan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain……”
Justeru tidak boleh membataskan maksud “ahli
keluarga Rasulullah” kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja
melainkan dengan dalil yang sahih. Dalam hal ini sememangnya tidak
wujud dalil yang sahih untuk membataskannya.
Kedua:
Kewajipan
berselawat ke atas ahli keluarga Rasulullah bukanlah hujah
kekhalifahan 'Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh. Yang benar
ia hanyalah hujah keistimewaan seluruh ahli keluarga Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Seandainya Allah mengingini ‘Ali
menjadi khalifah, pasti Allah akan menetapkannya sebagaimana Allah
mengingini keistimewaan ke atas ‘Ali lalu Allah menetapkan kewajipan
berselawat ke atasnya.
Demikian dua
penolakan Ahl al-Sunnah ke atas penghujahan Syi‘ah.
Selain daripada itu, ayat 56 surah al-Ahzab dan cara berselawat yang
diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukanlah
hujah untuk berselawat ke atas 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain serta
keturunan mereka secara tersendiri. Ini kerana tidak ada dalil yang
menganjurkan selawat ke atas mana-mana ahli keluarga Rasulullah secara
bersendirian. Oleh itu Ahl al-Sunnah tidak menyebut Hasan bin
'Ali ‘alaihi salam tetapi Hasan bin ‘Ali radhiallahu 'anh.
Demikian juga: Ja'far al-Shadiq rahimahullah dan bukannya
Ja'far al-Shadiq ‘alaihi salam.
Kesimpulan
mudah kepada para pembaca:
Lebih lanjut sila rujuk buku penulis yang berjudul:
Marilah Kita Berselawat Ke Atas Rasulullah (s.a.w.): Suatu
Jemputan Ke Arah Berselawat Dengan Sebenar-benar Selawat dan
Huraian Tentang Beberapa Salah Faham Dalam Bab Berselawat (Jahabersa,
Johor Bahru 1999 & 2002).