Kedua: Ayat al-Wilayah
Ayat al-Qur’an
yang kedua terpenting yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam
persoalan khalifah ialah ayat 55 surah al-Maidah. Syi‘ah
menamakannya Ayat al-Wilayah merujuk kepada perkataan Wali
di permulaan ayat: Innawa Waliyukum Allah wa Rasuluhu………
Jika sebelum
ini Ayat al-Tath-hir berperanan menetapkan sifat maksum
kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya, maka Ayat
al-Wilayah pula berperanan melengkapkannya, iaitu dengan
menetapkan sifat khalifah kepada ‘Ali. Ini kerana perkataan Wali
ditafsirkan oleh Syi‘ah sebagai membawa maksud khalifah
dan pemimpin. Walhasil Ayat al-Tath-hir dan Ayat al-Wilayah
saling bergandingan dalam menetapkan sifat “maksum” dan “khalifah”
kepada ‘Ali dan Ahl al-Baitnya. Demikianlah pentingnya
Ayat al-Tath-hir dan Ayat al-Wilayah kepada Syi‘ah.
Berikut
dikemukakan Ayat al-Wilayah dengan lengkap:
Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang
yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang
mereka rukuk. [al-Maidah
5:55]
Penghujahan
Syi‘ah ke atas ayat ini adalah seperti berikut:
Hujah
Syi‘ah
Sepertimana
yang disebut di atas, Syi‘ah menafsirkan perkataan “Wali” di
dalam ayat 55 surah al-Maidah di atas sebagai khalifah dan pemimpin.
Seolah-olah ia bermaksud:
Sesungguhnya
khalifah kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang
yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang
mereka rukuk.
Seterusnya
Syi‘ah mendakwa firman Allah: ……orang-orang yang beriman
yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk
merujuk kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Ini
kerana ayat tersebut telah menyebut 3 sifat yang harus dimiliki oleh
seorang Wali atau khalifah, iaitu (1) Mendirikan Solat, (2)
Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan Rukuk.
Di antara semua
para sahabat, hanya ‘Ali seorang sahaja yang menepati kesemua 3
sifat di atas. Ini kerana pada satu hari ketika ‘Ali sedang solat
dalam posisi rukuk, datang seorang pengemis meminta sedekah. Lalu
sambil rukuk, ‘Ali terus memberikan cincin yang ada dijarinya
sebagai zakat kepada pengemis tersebut. Perbuatan ‘Ali ini
menyebabkan turunnya ayat 55 surah al-Maidah. Riwayat berikut
menjadi rujukan:
Daripada
‘Ammar bin Yasir, beliau berkata: Seorang peminta sedekah datang
kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh meminta sedekah, pada
ketika itu beliau (‘Ali) sedang rukuk menunaikan solat sunat. Maka
(‘Ali) melepaskan cincinnya dan diberikan kepada si peminta itu.
Kemudian
datang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan baginda mendapat
tahu tentang hal tersebut, lalu diturunkan kepada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam ayat: “Sesungguhnya Wali kamu hanyalah
Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan
solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk.”
[al-Maidah 5:55]
Maka
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membacakan ayat tersebut
seraya bersabda: Barangsiapa aku adalah Mawlanya maka ‘Ali adalah
Mawlanya. “Ya Allah! jadilah Wali kepada sesiapa yang mewalikannya
dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya.”
Berdasarkan
peristiwa ini tokoh-tokoh Syi‘ah bersepakat bahawa ayat 55
surah al-Maidah merujuk kepada ‘Ali bin Abi Thalib sahaja. Bahkan
didakwa ini adalah pendapat majoriti tokoh Ahl al-Sunnah juga
sebagaimana ulas Muhammad Mar’i al-Amin dalam bukunya Mengapa Aku
Memilih Ahl al-Bait?:
Telah sepakat
semua Ahl al-Bait ‘alaihi salam, para ulama tafsir dan hadis
daripada golongan Syi'ah dan kebanyakan para ulama tafsir
Ahl al-Sunnah, malah keseluruhan mereka, bahawa ayat ini telah
diturunkan kepada Amir al-Mukminin ‘Ali ‘alaihi salam ketika beliau
memberi sedekah cincinnya kepada si miskin di dalam keadaan beliau
(‘Ali) sedang solat di Masjid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa
alihi wasallam. Peristiwa ini telah diakui oleh para sahabat
pada zaman Nabi, para tabi'in dan penyair-penyair yang terdahulu
sehingga mereka memasukkan peristiwa ini ke dalam syair-syair mereka.
Berdasarkan
hujah-hujah di atas, Syi‘ah membuat kesimpulan bahawa ayat
ini adalah dalil al-Qur’an yang paling jitu dalam menetapkan
kekhalifahan ‘Ali bin Abi Thalib. Lebih dari itu, dakwa Syi‘ah,
perkataan Innama… di permulaan ayat berperanan
membatasi maksud orang-orang yang beriman kepada ‘Ali
sahaja. Oleh itu tidak perlu lagi membicara atau memikirkan siapa
yang berhak untuk menduduki jawatan khalifah selepas kewafatan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Muhammad Mar’i al-Amin
merumuskan:
Apabila anda
mengetahui dalil-dalil Sunnah dan Syi'ah yang telah
saya kemukakan, maka saya berkata: Tidak harus mendahului (sesiapa)
selain daripada 'Ali ke atas 'Ali sebagaimana tidak harus mendahului
seseorangpun ke atas Nabi SAWAW kerana sesungguhnya Allah
Subhanahu wa Ta‘ala telah menjadikan Muhammad dan 'Ali
bersamaNya di dalam Ayat al-Wilayah. Adapun
orang-orang yang bertentangan dengan kami sekalipun mereka
mengetahui sesungguhnya Ayat al-Wilayah telah diturunkan
kepada 'Ali ‘alaihi salam secara Qat'i (jelas)
sebagaimana telah aku kemukakan tadi, mereka sengaja mengubah
maknanya menurut mazhab mereka dan hawa nafsu mereka.
Demikianlah
penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 55 surah al-Maidah yang
mereka gelar Ayat al-Wilayah. Marilah kita mengkaji sejauh
mana kebenaran yang terkandung di dalam penghujahan ini.
Jawapan Ahl al-Sunnah
Untuk mengkaji
sejauh mana kebenaran penghujahan Syi‘ah ke atas Ayat al-Wilayah,
penulis akan membahagikannya kepada empat persoalan atau perbahasan,
iaitu:
1. Adakah
riwayat yang menerangkan peristiwa ‘Ali radhiallahu 'anh
membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk
berdarjat sahih?
2. Adakah
ayat 55 surah al-Maidah membahas persoalan khalifah?
3. Adakah
tindakan ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika
sedang rukuk, seandainya ia adalah sahih, memiliki kaitan dengan sifat
(1) Mendirikan Solat, (2) Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan
Rukuk?
4. Apakah
maksud sebenar firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat 55
surah al-Maidah?
Pertama: Adakah
riwayat yang menerangkan peristiwa ‘Ali membayar zakat dengan
cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk berdarjat sahih?
Kehadiran riwayat
yang menerangkan peristiwa ‘Ali radhiallahu 'anh membayar zakat
dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk di dalam majoriti
kitab tafsir dan hadis Ahl al-Sunnah bukan hujah bahawa ia
berdarjat sahih. Ini kerana penilaian sahih atau tidak sesebuah
riwayat bergantung kepada kedudukan sanad dan matan, bukan jumlah
rujukan. Diulangi:
Diterima atau tidak sesebuah hadis diukur berdasarkan kedudukan sanad
dan matannya, bukan jumlah rujukan.
Perkara ini telah
penulis gariskan dalam Buku Pertama ketika membahas Strategi
Asas Syi‘ah yang Ketiga:
Kebenaran hujah tidak diukur dengan jumlah rujukan tetapi hujah yang
terkandung di dalam rujukan itu sendiri.
Lebih
dari itu, tidak satu jua daripada rujukan-rujukan yang disebut oleh
Syi‘ah telah membahas darjat riwayat di atas, apatah lagi
mensahihkannya. Mereka hanya menukilnya tanpa membahas sama ada ia
sahih atau tidak. Bahkan sebahagian mereka mengemukakan riwayat
tersebut tanpa sanad.
Sebaliknya jika
kita mengkaji rujukan yang bersanad, akan didapati bahawa ia
sebenarnya memiliki kecacatan yang amat berat. Dalam istilah hadis ia
dikategorikan sebagai sangat dha‘if (Dha‘if Jiddan). Ia
memiliki dua jalan periwayatan yang masyhur seperti berikut:
Jalan Periwayatan Pertama:
Dikeluarkan oleh
al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 6232 (Bab
yang bernama Muhammad) dan al-Hafiz al-Haskani di dalam
Syawahid al-Tanzil – no: 231 (Asbab al-Nuzul no: 33) dengan
sanad yang berpangkal kepada Khalid bin Yazid al-‘Umari, dikhabarkan
kepada kami oleh Ishaq bin ‘Abd Allah bin Muhammad bin ‘Ali bin Husain,
daripada al-Hasan bin Zaid, daripada ayahnya: Zaid bin al-Hasan,
daripada datuknya, dia berkata, aku mendengar ‘Ammar bin Yasar dia
berkata…….sepertimana di atas. al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Mantsur,
jld 2, ms. 519, (riwayat ke-4 bagi ayat 55 surah al-Maidah)
menyandarkan riwayat di atas kepada Ibn Marduyah (ابن
مردويه).
Khalid bin Yazid
al-‘Umari, beliau ialah Khalid bin Yazid Abu al-Haitsam al-‘Umari al-Makki,
Abu al-Walid. Berkata Ibn Ma‘in:
Pendusta.
Berkata Abu Hatim:
Seorang pendusta,
muncul di Kota Mekah, tidak ditulis hadisnya, malah dia seorang
perosak hadis
Jalan Periwayatan Kedua:
Dikeluarkan oleh
al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul, ms. 230 (ayat 55 surah
al-Maidah), Ibn al-Maghazali (ابن
المغازلي)
di dalam Manaqib al-Imam ‘Ali bin Abi Thalib – no: 357 dan
al-Hafiz al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 236 &
237. Semuanya dengan sanad yang berpangkal kepada Muhammad bin al-Sa’ib,
daripada Abi Shaleh, daripada Ibn ‘Abbas dengan lafaz yang lebih
panjang tetapi maksud yang sama. Juga dinukil oleh Ibn Katsir di dalam
Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim, jld. 5, ms. 266, (riwayat ke-6
bagi ayat 55 surah al-Maidah) dan al-Suyuthi di dalam al-Durr
al-Mantsur, jld 2, ms. 519, (riwayat ke-9 bagi ayat 55 surah
al-Maidah) dengan menyandarkannya kepada Ibn Marduyah.
Muhammad bin al-Sa’ib,
beliau ialah Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi, Abu al-Nadhir, dari Kufah.
Berkata al-Nasa’i: Matruk al-Hadits, bermaksud:
Ditinggalkan
hadis-hadisnya kerana dia lazim berdusta dalam percakapannya. Dia
bukan pencipta hadis, namun sifat lazim berdusta dalam bercakap
menyebabkan wujud kemungkinan tokok tambah di dalam hadis-hadisnya.
Berkata al-Jawzajani dan selainnya:
Pendusta.
Berkata al-Hafiz Abu Nu‘aim al-Ashbahani al-Shufi:
Muhammad bin al-Sa’ib
al-Kalbi (meriwayat) daripada Abi Saleh hadis-hadis yang palsu.
Berkata Ibn
Hibban:
Muhammad bin
Sa’id daripada aliran Sabaiyyan, sahabat ‘Abd Allah bin Saba’,
daripada kalangan mereka yang berkata: “ ‘Ali tidak mati, dia akan
kembali ke dunia……”
Dua jalan
periwayatan di atas adalah yang paling masyhur dikemukakan oleh
Syi‘ah. Selain itu terdapat beberapa jalan periwayatan lain yang
dikemukakan oleh Ibn al-Maghazali di dalam Manaqib al-Imam ‘Ali bin
Abi Thalib – no: 354-358 dan al-Hafiz al-Haskani di dalam
Syawahid al-Tanzil li Qawa‘id al-Tafdhil, riwayat no: 216-240.
Sengaja penulis tidak mentakhrij jalan-jalan periwayat
tersebut dalam buku ini kerana:
1. Sebahagian
daripada jalan-jalan periwayatan tersebut telah diterangkan
kecacatannya oleh al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah di dalam
Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim, jld. 5, ms 265-267 (tafsir ayat 55
surah al-Maidah).
2. Riwayat-riwayat
selebihnya memiliki sanad yang terdiri daripada para perawi yang tidak
ditemui status al-Jarh wa al-Ta’dilnya oleh penulis.
3. Pengarangnya
sendiri, Ibn al-Maghazili dan al-Hafiz al-Haskani tidak membahas
darjat sanad riwayat-riwayat yang mereka kemukakan. Maka di sini kita
merujuk kepada sebuah kaedah ilmu hadis yang menyebut bahawa setiap
riwayat pada awalnya dianggap dha‘if sehingga dibuktikan darjatnya
yang sebenar. Kaedah ini adalah penting sehingga wajar diulangi:
Setiap riwayat pada awalnya dianggap dha‘if sehingga dibuktikan
darjatnya yang sebenar.
4. Seandainya
setiap satu jalan periwayatan yang lemah ini dapat digunakan untuk
saling menguat antara satu sama lain, ia tetap tidak membawa apa-apa
kesan positif kepada Syi‘ah. Yang terakhir ini akan kita bahas
dalam poin-poin seterusnya.
Walhasil,
merujuk kepada persoalan: Adakah riwayat yang menerangkan peristiwa
‘Ali radhiallahu 'anh membayar zakat dengan cincinnya kepada
pengemis ketika sedang rukuk berdarjat sahih?
Jawapannya: Tidak
ada mana-mana tokoh Ahl al-Sunnah sama ada dalam bidang tafsir
mahupun hadis yang mensahihkannya.
Jika kita kaji secara mendalam dari sudut sanad, jelas di dalamnya
terdapat kelemahan dan kecacatan. Hal ini sedia diketahui oleh
Syi‘ah, khasnya tokoh-tokoh mereka. Namun mereka mendiamkannya,
bahkan beralih kepada strategi menyenaraikan jumlah rujukan yang
banyak sebagai bukti kebenaran riwayat.
Jawapan
Kedua: Adakah
ayat 55 surah al-Maidah membahas persoalan khalifah?
Perkataan Wali
di dalam bahasa Arab memiliki beberapa maksud. Ia boleh bermaksud
“Khalifah” dan “Yang mengatur urusan”. Ia boleh juga bermaksud
“Penolong” dan “Pelindung”. Di antara dua maksud ini, Syi‘ah
merebut peluang untuk mendakwa bahawa perkataan Wali bermaksud
Khalifah, sekaligus menafsirkan ayat 55 surah al-Maidah sebagai ayat
yang membicarakan persoalan kekhalifahan.
Berbeza dengan
Ahl al-Sunnah, apabila berhadapan dengan satu perkataan yang
memiliki beberapa maksud, Ahl al-Sunnah akan mencari petunjuk
yang menerangkan maksud sebenar yang diwakili oleh perkataan tersebut.
Ini kerana Ahl al-Sunnah memiliki sebuah kaedah yang baku untuk
berinteraksi dengan sebuah perkataan yang memiliki lebih dari satu
maksud. Kaedah tersebut ialah:
Tidak boleh
membatasi satu perkataan yang memiliki beberapa maksud kepada satu
maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang mengarah kepada
pembatasan maksud tersebut.
Justeru bagi
perkataan Wali dalam ayat 55 surah al-Maidah, Ahl al-Sunnah
mencari petunjuk yang dapat menerangkan maksud sebenarnya. Petunjuk
ini tidak lain tidak bukan diperolehi dengan mengkaji rangkaian ayat
yang mendahului dan mengakhiri ayat 55 surah al-Maidah. Marilah kita
mengkaji ayat-ayat tersebut:
Ia didahului
dengan firman Allah:
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi
dan Nasrani itu sebagai Wali, kerana setengah mereka menjadi Wali
kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang
menjadikan mereka Walinya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan
mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum
yang berlaku zalim.
[al-Maidah 5:51]
Dalam pada
itu, engkau lihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya segera
berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil
berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa
kami meminta pertolongan mereka).”
[al-Maidah 5:52]
Diikuti
dengan ayat 55 yang menjadi perbahasan kita sekarang ini:
Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang
yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka
rukuk. [al-Maidah 5:55]
Kemudian diakhiri dengan firman Allah:
Dan sesiapa
yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman itu
Walinya maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang.
[al-Maidah 5:56]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang
menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari
orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang
kafir musyrik itu: menjadi Wali; dan bertaqwalah kepada Allah, jika
kamu benar-benar orang yang beriman.
[al-Maidah 5:57]
Daripada
ayat-ayat di atas jelas kepada kita bahawa perkataan Wali
merujuk kepada maksud “Penolong” dan “Pelindung”. Allah menegah orang
Islam daripada menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai penolong
dan pelindung mereka [ayat 51]. Tegahan ini Allah Subhanahu wa
Ta‘ala perintahkan memandangkan ada sebahagian umat Islam ketika
itu yang mendampingi kaum Yahudi dan Nasrani sebagai sumber bantuan
dan perlindungan daripada bencana [ayat 52]. Allah menerangkan bahawa
yang sepatutnya dijadikan sumber pertolongan dan perlindungan ialah
Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman [ayat 55]. Hanya dengan
cara ini mereka akan memperolehi kemenangan sebenar yang dapat
menjauhkan daripada bencana [ayat 56]. Pengakhirnya, Allah sekali lagi
melarang orang Islam daripada menjadikan orang bukan Islam sebagai
penolong dan pelindung mereka [ayat 57].
Ayat-ayat di atas
termasuk ayat 55 surah al-Maidah tidak merujuk kepada isu kekhalifahan.
Ini kerana orang Yahudi dan Nasrani pada saat tersebut bukan
merupakan khalifah kepada apa-apa negara atau wilayah. Mereka
hanya hidup dalam kelompok-kelompok mereka yang tersendiri. Paling
hebat sebahagian mereka adalah ketua kepada sebahagian yang lain.
Mereka bukan khalifah tetapi sekadar ketua kabilah dan suku bangsa.
Sebahagian umat
Islam yang ditegur dalam ayat di atas (ayat 52), mereka sememangnya
tidak menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai khalifah kerana
orang Yahudi dan Nasrani itu sendiri bukan khalifah. Mereka hanya
mendampingi orang Yahudi dan Nasrani demi mengharapkan pertolongan
dari sudut ekonomi dan perlindungan dari sudut keselamatan.
Rujukan dan
kajian kepada ayat-ayat sebelum dan selepas ayat 55 surah al-Maidah
memberi jawapan kepada persoalan asal kita: Adakah ayat 55 surah al-Maidah
membahas persoalan khalifah?
Jawapannya: Tidak.
Ayat 55 surah al-Maidah tidak membahas persoalan khalifah. Ia membahas
persoalan “Penolong” dan “Pelindung”. Dalam erti kata lain ia
menerangkan kepada umat Islam bahawa satu-satunya sumber pertolongan
dan perlindungan yang akan membawa mereka kepada kemenangan ialah
Allah, Rasulullah dan orang-orang yang beriman.
Sebelum berpindah
ke perbahasan ketiga, ingin penulis menarik perhatian para pembaca
kepada satu perkara lain yang tidak kurang pentingnya. Dalam
keghairahan Syi‘ah menafsirkan perkataan Wali sebagai
khalifah, tanpa disedari mereka telah menjerumuskan diri mereka dalam
lembah syirik yang amat bahaya.
Ini kerana
apabila perkataan Wali dalam ayat 55 surah al-Maidah
ditafsirkan sebagai khalifah, bererti terdapat 3 khalifah dalam
satu waktu yang sama. Perhatikan bahawa ayat 55 tersebut
menggunakan perkataan “Dan” bagi menghubungkan antara (1) Allah, (2)
Rasulullah dan (3) Orang-orang beriman. Perhatikan semula ayat 55
dengan perkataan Wali diterjemahkan sebagai khalifah:
Sesungguhnya
Khalifah kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan
orang-orang yang beriman……
Ayat 55 tidak
menggunakan perkataan “Kemudian” bagi menunjukkan kekhalifahan yang
berbeza waktunya, umpama:
Sesungguhnya
Khalifah kamu hanyalah Allah kemudian Rasul-Nya kemudian
orang-orang yang beriman……
Ringkasnya
menafsirkan Wali sebagai khalifah membawa tiga akibat yang amat
berat:
1. Ia
menjadikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagai khalifah umat
Islam, bahkan menyandang gelaran “Amirul Mukminin”. Maha Suci Allah
daripada memiliki sifat-sifat yang tidak pernah Dia sifati Diri-Nya
dengannya.
2. Ia
bererti wujud tiga khalifah dalam satu waktu yang sama. Ini tidak lain
akan membawa kepada suasana hiruk pikuk dan perpecahan.
3. Allah
‘Azza wa Jalla dengan segala Keesaan-Nya dan Kebesaran-Nya
tidak sekali-kali memerlukan rakan kongsi (associate) mahupun
pasangan (partner) dalam urusan-Nya. Apatah lagi dengan tugas
“Khalifah umat Islam” yang sememangnya tak pernah menjadi tugas-Nya.
Berbeza halnya
apabila perkataan Wali ditafsirkan sebagai penolong dan
pelindung di mana ia memang boleh wujud secara bersamaan antara (1)
Allah, (2) Rasulullah dan (3) Orang-orang beriman. Allah Subhanahu
wa Ta‘ala dengan sendirinya telah menyifati Diri-Nya sebagai
penolong dan pelindung umat Islam, sebagaimana firman-Nya:
Dan Allah
ialah Wali – Penolong dan Pelindung sekalian orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:68]
Dan Allah
menjadi Wali – Penolong dan Pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa.
[al-Jatsiyah 45:19]
Sementara itu
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang yang
beriman adalah penolong dan pelindung sesama sendiri. Firman Allah:
Dan
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi
Wali (penolong dan pelindung) bagi setengahnya yang lain; mereka
menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan;
dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada
Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;
sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[al-Taubah 9:71]
Kesimpulannya,
menafsirkan Wali sebagai khalifah dan pemimpin bukan sahaja
menyalahi konteks perbicaraan ayat tetapi juga membawa akibat syirik
kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Yang benar ia bermaksud penolong
dan pelindung sebagaimana yang disokongi dan dijelaskan oleh ayat-ayat
lain di atas.
Jawapan
Ketiga: Adakah
tindakan ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika
sedang rukuk, seandainya ia adalah sahih, memiliki kaitan dengan sifat
(1) Mendirikan Solat, (2) Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan Rukuk?
Dalam kita
membahas Ayat al-Wilayah, mungkin sahaja Syi‘ah akan
tetap mendakwa bahawa riwayat ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya
kepada pengemis ketika sedang rukuk adalah sahih. Sebenarnya bagi
Ahl al-Sunnah, adalah lebih baik jika riwayat tersebut berstatus
sahih. Ini kerana jika dibandingkan riwayat tersebut dengan tiga sifat
yang disebut oleh ayat 55 surah al-Maidah, ia sebenarnya tidak
memiliki apa-apa kaitan untuk menyokong hujah Syi‘ah. Lebih
dari itu, riwayat tersebut juga membatalkan tafsiran Syi‘ah
bahawa perkataan Wali bermaksud khalifah dan pemimpin.
Baiklah, sekarang
kita mulakan kajian kepada tiga sifat yang digariskan oleh ayat 55
surah al-Maidah dalam rangka menjawab persoalan: Adakah tindakan ‘Ali
membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk,
seandainya ia adalah sahih, memiliki kaitan dengan sifat (1)
Mendirikan Solat, (2) Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan Rukuk?
Untuk memudahkan
rujukan para pembaca, penulis kemukakan semula ayat 55 surah al-Maidah
di bawah ini:
Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang
yang beriman, yang (1)
mendirikan solat (2) dan menunaikan zakat (3) sedang
mereka rukuk. [al-Maidah
5:55]
Sifat Pertama: Mendirikan Solat.
Firman Allah
dalam ayat 55 surah al-Maidah: …yang mendirikan solat… (يقيمون
الصلاة)
merujuk kepada solat fardhu lima kali sehari dan bukan solat sunat.
Ini kerana sifat mendirikan solat yang dimaksudkan
adalah lanjutan daripada ciri-ciri orang yang beriman (والذين
آمنوا الذين يقيمون الصلاة).
Tidak mungkin seseorang itu dikatakan beriman jika dia hanya
mendirikan solat sunat.
Oleh itu sifat
…yang mendirikan solat… (يقيمون
الصلاة)
dalam ayat 55 surah al-Maidah tidak merujuk kepada solat yang sedang
dilaksanakan oleh ‘Ali ketika memberikan cincinnya kepada pengemis.
Ini kerana seandainya ‘Ali sedang melaksanakan solat fardhu, maka yang
sepatutnya menjadi tindakan ‘Ali ialah menyuruh pengemis turut
bersolat dan menangguh pemberian cincin sehingga selesai solat.
Malah dalam
kebanyakan riwayat yang dikemukakan oleh Syi‘ah sendiri,
diterangkan bahawa ‘Ali sedang bersolat sunat apabila beliau didatangi
oleh pengemis yang meminta. Setelah ‘Ali memberi cincin kepada
pengemis, barulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
keluar dari rumah menuju ke masjid sambil membaca ayat 55 surah
al-Maidah. Di sini jelas bahawa ‘Ali sedang bersolat sunat kerana
sangat tidak mungkin solat fardhu sedang di laksanakan di masjid
manakala Rasulullah tidak mengimaminya, bahkan berada di rumah pula.
Walhasil, sifat
pertama yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah tidak memiliki
kaitan dengan solat sunat yang sedang dilaksanakan oleh ‘Ali ketika
memberi cincinnya kepada pengemis. Sekarang kita beralih kepada sifat
kedua pula.
Sifat Kedua: Menunaikan zakat.
Sekali lagi,
firman Allah … dan menunaikan zakat… (ويؤتون
الزكاة)
merujuk kepada zakat harta yang wajib dibayar setiap tahun dan
bukannya sedekah biasa. Ini kerana sifat menunaikan zakat
yang dimaksudkan adalah lanjutan daripada ciri-ciri orang yang beriman
dan mendirikan solat. Jauh sekali untuk dikatakan seseorang itu
beriman jika dia hanya bersedekah tanpa membayar zakat harta tahunan.
Cincin yang
diberikan oleh ‘Ali kepada pengemis yang meminta ialah sedekah sunat
dan bukannya zakat harta tahunan yang wajib hukumnya. Sebabnya:
1. Sama-sama
diketahui oleh Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah bahawa ‘Ali
adalah seorang mukmin yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk Islam,
khasnya dalam ekspedisi Dakwah dan Jihad. Semasa zaman kehidupan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, ‘Ali tidak memiliki
dinar dan dirham, apatah lagi perladangan, penternakan atau perniagaan
yang dapat menjanakan harta yang wajib dizakatkan. Tidak ada kewajipan
zakat ke atas ‘Ali.
2. Seandainya
memberi cincin adalah sebagai bayaran zakat harta, maka yang wajib
bagi ‘Ali ialah membayarnya kepada Rasulullah dan bukan kepada
pengemis. Ini kerana antara syarat bagi pembayaran zakat harta tahunan
ialah ia dibayar kepada pemimpin negara atau wakil yang dilantiknya.
Di saat itu ‘Ali bukan pemimpin umat Islam. Justeru tindakan ‘Ali
memberi cincin kepada pengemis bukanlah pembayaran zakat harta tahun
tetapi sedekah sunat sahaja.
3. Pembayaran
zakat harta tahunan memiliki kadar nisab dan jumlah bayaran yang
ditentukan. Selain itu sama-sama diketahui bahawa syari‘at Islam
melarang kaum lelaki daripada memakai perhiasan emas. Maka cincin ‘Ali
bukanlah cincin emas. Soalannya, apakah kadar nisab dan jumlah bayaran
zakat harta yang dipenuhi oleh ‘Ali dengan cincin bukan emasnya itu?
Jawapannya tidak terletak pada kiraan atau timbangan tetapi pada
hakikat bahawa apa yang dilakukan oleh ‘Ali pada asalnya bukanlah
membayar zakat harta tahunan tetapi sekadar bersedekah.
Berdasarkan
poin-poin di atas, maka sifat kedua yang digariskan oleh ayat 55 surah
al-Maidah tidak memiliki kaitan dengan tindakan ‘Ali yang memberi
cincinnya kepada pengemis. Sekarang kita beralih kepada sifat ketiga
pula.
Sifat Ketiga: Rukuk.
Untuk memahami
maksud perkataan Rukuk
dalam ayat 55 surah al-Maidah, ingin penulis perkenalkan kepada para
pembaca sebuah kaedah yang amat penting dalam ilmu tafsir al-Qur’an:
Al-Qur’an tidak akan menggunakan dua
susunan ayat yang berbeza untuk mewakili satu maksud yang sama
melainkan kedua-duanya memiliki maksud yang berbeza.
Maksudnya, di
dalam al-Qur’an seringkali ditemui ayat yang mengandungi perkataan
yang sama tetapi disusun dalam struktur yang berbeza. Perbezaan ini
bukan sesuatu yang berlaku secara rambang atau tidak sengaja. Maha
Suci Allah daripada menyusun al-Qur’an secara leka dan lewa. Yang
benar setiap susunan yang berbeza mengarah kepada maksud yang berbeza
juga. Perbahasan kita seterus ini akan memberi contoh praktikal yang
baik kepada maksud dan penggunaan kaedah di atas.
Di dalam al-Qur’an,
perkataan Rukuk disusun dalam dua bentuk yang berbeza:
Susunan Pertama:
Perkataan
Rukuk digandingkan dengan perkataan Sujud, umpama:
Wahai
orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah. Dan beribadatlah
kepada Tuhan kamu serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu
berjaya. [al-Hajj
22:77]
Lihat juga al-Baqarah
2:125, ‘Ali Imran 3:43, al-Taubah 9:112, al-Hajj 22:26 dan al-Fath
48:29.
Susunan Kedua:
Perkataan
Rukuk digunakan secara bersendirian, umpama:
Kecelakaan
yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Dan
apabila dikatakan kepada mereka: “Rukuklah” niscaya mereka enggan
rukuk. [al-Mursalat
77:47-48]
Lihat juga al-Baqarah
2:43 dan al-Maidah 5:55.
Dalam Susunan
Pertama, gandingan perkataan Rukuk dan Sujud merujuk
kepada amalan solat. Ini kerana tidak ada satu perbuatan yang
menghimpun kedua-dua rukuk dan sujud melainkan solat.
Dalam Susunan
Kedua, perkataan Rukuk merujuk kepada tindakan tunduk
dan patuh kepada perintah dan larangan Allah, yakni syari‘at
Islam. Perkataan Rukuk di dalam ayat Susunan Kedua ini
memiliki konteks yang luas, merujuk kepada pelbagai perintah dan
larangan syari‘at seperti taat beribadah, berbuat baik kepada ibubapa,
berdakwah, keluar berjihad, menjauhi zina, menjaga yang halal dan
haram, meninggalkan riba dan pelbagai lagi.
Ayat 55 surah al-Maidah:
Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan
orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat
sedang mereka rukuk termasuk dalam Susunan Kedua ini.
Perkataan
Rukuk tidak merujuk kepada posisi rukuk di dalam solat kerana ia (solat)
telahpun disebut sebelum itu. Yang benar perkataan Rukuk
merujuk tindakan tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan
syari‘at Islam. Dalam erti kata lain, ciri-ciri orang yang beriman
ialah mereka (1) mendirikan solat, (2) menunaikan zakat serta (3)
tunduk dan patuh kepada lain-lain perintah dan larangan syari‘at
Islam.
Walhasil, sifat
ketiga yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah tidak memiliki
kaitan dengan posisi rukuk dalam solat sunat yang sedang dilaksanakan
oleh ‘Ali ketika menyedekahkan cincinnya kepada pengemis.
Sekarang jelas
kepada kita bahawa tiga sifat yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah
tidak ada kaitannya dengan tindakan ‘Ali memberi cincinnya kepada
pengemis ketika sedang rukuk. Di sini akan timbul satu soalan: Jika ia
tidak memiliki kaitan, kenapakah kebanyakan rujukan tafsir Ahl al-Sunnah
menukil riwayat tersebut?
Jawapannya: Para
ahli tafsir di kalangan Ahl al-Sunnah menukil riwayat tersebut
bukanlah untuk mengaitkannya dengan sifat (1) mendirikan solat, (2)
menunaikan zakat serta (3) tunduk dan patuh kepada lain-lain perintah
dan larangan syari‘at Islam, tetapi adalah untuk menafsirkan perkataan
Wali di permulaan ayat.
Sebelum ini dalam
perbahasan kedua: Adakah ayat 55 surah al-Maidah membahas persoalan
khalifah?, telah diterangkan bahawa maksud perkataan Wali
ialah penolong dan pelindung, bukan khalifah. Jika para pembaca
mendalami semula riwayat yang menerangkan tindakan ‘Ali menyedekahkan
cincinnya kepada pengemis, mudah ditangkap bahawa tindakan ‘Ali
sebenarnya adalah sebagai seorang penolong dan pelindung kepada
pengemis tersebut. Ini kerana bersedekah termasuk dalam perbuatan
memberi pertolongan dan perlindungan kepada orang yang memerlukannya.
Manakala tindakan si pengemis meminta kepada ‘Ali juga menunjukkan
bahawa dia menjadikan ‘Ali sebagai penolong dan pelindungnya.
Jawapan
Keempat: Apakah
maksud sebenar firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat 55
surah al-Maidah?
Ayat 55 surah al-Maidah
menegaskan kepada kita bahawa satu-satunya sumber penolong dan
pelindung umat Islam ialah Allah, Rasul-Nya dan sesama orang-orang
yang beriman. Perkataan Innama… (إنما)
di permulaan ayat memang bertujuan membatasi sumber penolong dan
pelindung tersebut kepada Allah, Rasul-Nya dan sesama orang-orang yang
beriman sahaja.
Seandainya sahih
riwayat yang menerangkan bahawa ayat 55 surah al-Maidah turun kerana
tindakan ‘Ali menyedekahkan cincinnya kepada pengemis, ia tidaklah
memiliki peranan mengkhususkan ayat ini yang pada asalnya bersifat
umum. Sebaliknya ia berperanan membantu kita memahami maksud ayat.
Diulang semula kaedah yang telah digariskan dalam buku Siri Pertama
ketika membahas Strategi Asas Syi‘ah yang Kedua:
Yang diambil adalah keumuman lafaz
dan bukan kekhususan sebab.
al-Suyuthi
rahimahullah di dalam kitabnya al-Durr al-Mantsur fi al-Tafsir
al-Ma’tsur jld. 2, ms. 520-521 (tafsir ayat 55 surah al-Maidah)
mengemukakan sebuah riwayat yang dikeluarkan oleh ‘Abd bin Humaid,
Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir dan Abu Nu‘aim rahimahumullahu
bahawa ‘Abd al-Malik bin Abi Sulaiman telah bertanya kepada Abu
Ja’far Muhammad bin ‘Ali al-Baqir (bin Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib)
tentang ayat:
Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang
yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka
rukuk [al-Maidah 5:55].
Beliau menjawab:
Para sahabat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.
‘Abd
al-Malik berkata:
Dikatakan (ia merujuk kepada) ‘Ali?
Abu Ja’far
menjawab:
‘Ali termasuk mereka.
Kesimpulan
mudah kepada para pembaca:
Ketiga: Ayat al-Mawaddah