Antara yang dituntut ke atas kita umat Islam terhadap al-Qur’an ialah
menelaah (tadabbur) kandungannya. Allah Subhanahu wa Ta'ala
berfirman:
(Al-Quran ini) sebuah
Kitab yang Kami turunkan kepadamu, yang penuh keberkatan untuk mereka
menelaah (tadabbur) kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang
berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
[Shad 38:29]
Untuk membolehkan kita menelaah al-Qur’an dan mendapatkan manfaat yang
terbaik daripadanya, terdapat sembilan tips atau garis panduan yang
perlu diperhatikan. Tips-tips ini berasal daripada petunjuk al-Qur’an
itu sendiri, diikuti dengan al-Sunnah dan penjelasan para ilmuan
Islam. Berikut disenaraikan garis panduan tersebut:
Tips # 1: Memiliki sikap ingin menelaah al-Qur’an
Sikap (attitude) memainkan peranan penting dalam menentukan
sama ada seseorang itu akan berjaya atau tidak dalam sesuatu yang
diinginkannya. Jika sudah sedia memiliki sikap yang positif, boleh
dikatakan setengah daripada apa yang diinginkan telah tercapai.
Selebihnya adalah menterjemahkan sikap tersebut kepada usaha dan gerak
kerja. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru, ia telah diisyaratkan
oleh Allah Azza wa Jalla dalam al-Qur’an dengan firman-Nya:
Sesungguhnya Allah tidak
mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa
yang ada pada diri mereka sendiri.
[ar-Ra’d 13:11]
Sebagai contoh, sikap seseorang membezakan sama ada dia ingin
menjadikan al-Qur’an sebagai “petunjuk” atau pun tidak. Allah
Subhanahu wa Ta'ala menerangkan perbezaan ini:
Kemudian jika datang
kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut
petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan
menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari
ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan
yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam
keadaan buta.
Dia berkata: “Wahai
Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku
dahulu melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah
datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu kamu melupakan serta
meninggalkannya dan demikianlah kamu pada hari ini dilupakan serta
ditinggalkan.”
[Ta-Ha 20:123-126]
Demikian juga, peranan al-Qur’an sebagai “yang mengeluarkan dari
kegelapan kepada cahaya” bergantung kepada sikap seseorang sama ada
dia ingin menggunakan al-Qur’an sebagai suluhan yang menerangi atau
tidak. Hal ini diperingatkan oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala:
Wahai manusia!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu - bukti dari Tuhan kamu, dan
Kami telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang
menerangi. Maka adapun orang-orang yang beriman kepada Allah
dan berpegang teguh kepada ia (Al-Quran), maka Allah akan memasukkan
mereka ke dalam rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya, dan Allah akan
menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan ugama Islam), yang
membawa kepadaNya.
[al-Nisa 4:174-175]
Tidak ketinggalan, pilihan untuk menjadikan al-Qur’an sebagai pembeza
antara yang benar dan salah terpulang kepada sikap kita sendiri. Allah
Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
Kemudian jika kamu
berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah)
- jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
[al-Nisa’
4:59]
Pendek kata, menelaah al-Qur’an hanya akan membawa manfaat jika kita
memiliki sikap yang positif ke arahnya. Maka garis panduan yang
pertama adalah mengubah dan membetulkan sikap kita ke arah menelaah
al-Qur’an. Jika kita memiliki sikap yang negatif, maka perlu dicari
faktor penyebabnya.
Antara faktor penyebab yang utama ialah kita sendiri tidak kenal
kepada al-Qur’an sehingga dengan itu kita tidak berminat untuk
menelaahnya. Faktor ini boleh diurus berdasarkan pesanan orang tua
kita:
“Tidak kenal maka tidak cinta.”
Maka cuba-cubalah berkenalan dengan al-Qur’an dengan menelaah
ayat-ayatnya daripada apa jua surah atau bahagian al-Qur’an. Pasti
dengan beberapa ayat yang pertama tersebut, anda akan mencintai al-Qur’an
dan ingin untuk menelaah ayat-ayat seterusnya.
TOP
Tips # 2: Membersihkan prasangka bahawa menelaah Al-Qur’an
akan mengakibatkan kesesatan.
Antara kejayaan terbesar yang dicapai oleh syaitan ialah menjauhkan
umat Islam daripada menelaah al-Qur’an. Hal ini berjaya dicapai bukan
dengan memusnah atau menyembunyikan al-Qur’an tetapi dengan
mempengaruhi umat Islam bahawa kononnya menelaah al-Qur’an akan
mengakibatkan kesesatan.
Ingin penulis mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan para
pembaca sekalian kepada salah satu strategi syaitan yang amat
merbahaya. Sama-sama kita ketahui bahawa objektif syaitan ialah
menyesatkan manusia. Strategi syaitan untuk mencapai objektif ini
bukanlah secara terus terang. Sebagai contoh, syaitan tidak datang
kepada seseorang dengan berkata kepadanya:
“Wahai Roslan, izinkan saya perkenalkan diri. Saya ialah syaitan. Saya
datang kepada anda untuk menyesatkan anda. Marilah ikut saya.”
Akan tetapi strategi syaitan ialah memperindahkan apa yang sebenarnya
buruk sehingga seseorang itu akan menyangka ia adalah petunjuk padahal
yang benar ia adalah kesesatan. Ini sebagaimana yang dikhabarkan
sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan syaitan
memperindahkan kepada mereka apa yang mereka lakukan.
[al-An‘aam 6:43]
Antara yang diburuk-burukkan oleh syaitan ialah mempengaruhi manusia
bahawa kononnya menelaah al-Qur’an akan mengakibatkan kesesatan. Atas
pengaruh ini umat Islam menjauhkan diri daripada menelaah al-Qur’an
dan mereka anggap ia adalah perbuatan yang baik lagi indah kerana
“memelihara diri daripada kesesatan.” Malah pengaruh syaitan ini
sehingga ke tahap umat Islam menganggap diri mereka berada di atas
petunjuk yang benar. Allah Azza wa Jalla membongkarkan hakikat
ini dengan firman-Nya:
Dan sesiapa yang tidak
mengindahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang
maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan, lalu menjadilah
syaitan itu teman yang tidak renggang daripadanya.
Dan sesungguhnya
syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar,
sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat
hidayah petunjuk.
[az-Zukhruf 43:36-37]
Yang benar menelaah al-Qur’an tidak akan mengakibatkan kesesatan
kerana al-Qur’an itu sendiri adalah petunjuk ke arah jalan yang benar,
menjauhi jalan yang sesat. Bukankah Allah Subhanahu wa Ta'ala
telah memperkenalkan al-Qur’an kepada kita sebagai yang memberi
petunjuk:
Alif-Lam-Mim. Kitab al-Quran
ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan
tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang
yang (hendak) bertaqwa.
[al-Baqarah 2:1-2]
Yang penting hendaklah seseorang itu menelaah al-Qur’an dengan ikhlas,
semata-mata kerana ingin menjadikannya sebagai petunjuk kepada jalan
yang lurus, cahaya yang menerangi kegelapan, pembeza antara yang benar
dan salah, penghidup rohani, kunci kemuliaan dan cara mengenali Allah.
Jika dia ikhlas dengan tujuan-tujuan tersebut nescaya dia akan
mendapati Allah menjadi pemimpinnya dalam menelaah al-Qur’an. Allah
Subhanahu wa Ta'ala menerangkan hakikat ini:
Dan orang-orang yang
berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan
sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki
amalannya.
[al-Ankabut 29:69]
Selain itu hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada
syaitan apabila membaca dan menelaah al-Qur’an. Firman Allah:
Oleh itu, apabila kamu
membaca Al-Quran, maka hendaklah kamu (terlebih dahulu) memohon
perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.
[an-Nahl
16:98]
Selagi mana seseorang itu ikhlas dalam menelaah al-Qur’an dan meminta
perlindungan kepada Allah daripada syaitan, tidak sekali-kali al-Qur’an
itu akan menyesatkannya.
TOP
Tips # 3: Menyedari bahawa al-Qur’an diturunkan oleh Allah.
Seandainya mendapat surat daripada orang yang penting di dalam
kehidupan kita, nescaya kita akan terus membacanya dengan penuh
perhatian, debaran dan perasaan ingin tahu apakah kandungan surat
tersebut. Jika surat tersebut agak panjang, kita akan mencari tempat
dan suasana yang paling selesa untuk menelaah surat tersebut. Jika
surat tersebut merupakan perintah, kita akan berusaha untuk
melaksanakan perintah tersebut secepat mungkin, sebaik mungkin. Jika
begitulah sikap kita terhadap surat yang datang daripada sesama
manusia, maka bagaimanakah sikap kita terhadap al-Qur’an yang datang
daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala?
Antara tips yang penting dalam menelaah al-Qur’an adalah menyedari
bahawa ia diturunkan oleh Allah Azza wa Jalla. Firman Allah:
Allah tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal
selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya. Dia menurunkan
kepadamu Kitab (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran.
[Ali Imran 3:2-3]
Sedang al-Quran itu,
demi sesungguhnya, ialah sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,
Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan
seginya; ia diturunkan dari Tuhan (Allah) Yang Maha Bijaksana, lagi
Maha Terpuji.
[Fushshilat 41:41-42]
Turunnya al-Quran ini
dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Yang Mengampunkan
dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azab-Nya; Yang
Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepada-Nyalah
tempat kembali.
[al-Mu’min 40:2-3]
Apabila seseorang itu sedar bahawa al-Qur’an datang daripada Allah,
maka dia akan memahami dan merasai ayat berikut:
Allah telah menurunkan
sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Quran yang bersamaan isi
kandungannya antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang (keterangannya
dengan berbagai cara);
(Oleh kerana
mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut
kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi
lembut serta tenang tenteram hati setelah mereka menerima ajaran dan
rahmat Allah.
[az-Zumar 39:23]
Dengan kesedaran ini, hendaklah kita sebelum menelaah al-Qur’an:
1.
Memilih suasana yang
paling tenang, tidak sibuk memikirkan hal-hal lain. Janganlah menelaah
al-Qur’an sambil mendengar radio, menonton televisyen atau bermain
dengan anak-anak. Khas bagi yang terakhir, hendaklah pada giliran
tertentu seorang ayah mengambil alih menjaga anak-anak agar dapat
memberi ruang bagi ibu menelaah al-Qur’an.
2.
Memilih masa yang paling
menyegarkan, seperti pada waktu malam selepas qiamulail atau
pada waktu awal pagi sebelum atau selepas solat subuh. Tidak disyorkan
menelaah al-Qur’an setelah pulang daripada pejabat atau ketika
keletihan. Menelaah al-Qur’an pada waktu awal pagi dianjurkan oleh al-Qur’an
sendiri:
Dan bacalah al-Qur’an
pada waktu subuh (kerana) sesungguhnya membaca al-Qur’an pada waktu
subuh disaksikan (keistimewaannya).
[al-Isra’ 17:78]
3.
Duduk dalam posisi yang
paling selesa agar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada al-Qur’an.
Suasana, masa dan
posisi duduk pasti berbeza di antara individu yang berbeza. Di sini
penulis tidak menetapkan hal tersebut tetapi membiarkannya kepada para
pembaca sesuai dengan citarasa masing-masing.
Setelah itu hendaklah kita menelaah al-Qur’an:
1.
Dengan harapan ingin
tahu pengajaran setiap ayat, bukan dengan harapan ingin tahu
penghabisannya seperti membaca novel.
2.
Dengan membandingkan
pengajaran setiap ayat dengan dirinya sendiri dan mengambil iktibar
daripadanya, bukan dengan pembacaan sekali lintas (speed reading)
sehingga manfaat yang diperoleh amat sedikit.
3.
Dengan
mengulang-ulangnya, kerana setiap telaah yang diulang pasti akan
membuahkan penemuan yang baru. Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang amat
kaya sehingga tidak mungkin semua manfaatnya dapat diperoleh dengan
sekali lalu. Seseorang itu boleh khatam membaca al-Qur’an tetapi dia
sekali-kali, sepanjang hidupnya, tidak boleh khatam menelaah al-Qur’an.
TOP
Tips # 4: Menyedari bahawa al-Qur’an ditujukan kepada diri kita
sendiri.
Setelah menyedari bahawa al-Qur’an datangnya daripada Allah, hendaklah
kita sedari pula bahawa ia ditujukan kepada kita. Kita di sini tidak
terhad kepada umat Islam secara umum, tetapi khusus bagi setiap
individu yang sedang menelaah al-Qur’an. Setiap individu yang sedang
menelaah al-Qur’an hendaklah menganggap seolah-olah al-Qur’an sedang
berinteraksi dengannya, iaitu berbicara kepadanya, memberi amaran
kepadanya, menegurnya, menasihatinya, menyuruhnya, melarangnya dan
seterusnya. Tiada layak bagi seseorang itu menelaah al-Qur’an lalu
menepis sebahagian daripada ayatnya dengan berkata:
“Ahh! Ayat ini tiada kaitan dengan aku…”
Berikut diberikan satu contoh bagaimana berinteraksi dengan beberapa
ayat pertama surah al-Baqarah:
Alif, Laam, Miim. Kitab
al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk
bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada
perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta
membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan
kepada mereka.
[al-Baqarah 2:1-3]
Ayat di atas berinteraksi dengan kita dengan cara:
1.
“Kitab al-Quran ini
tidak ada sebarang syak padanya…”,
ia memberi kesedaran kepada kita bahawa kitab yang sedang kita telaah
sekarang ini ialah sebuah kitab yang tidak memiliki sebarang keraguan
tentang keaslian asal usulnya, kesempurnaannya dan kebenarannya.
2.
“…ia pula menjadi
petunjuk…”,
bertanyalah kepada diri kita, adakah kita memerlukan petunjuk?
Jawapannya pasti “Ya”, maka dengan itu inilah al-Qur’an yang menjadi
petunjuk kepada kita kepada jalan yang lurus.
3.
“…bagi orang-orang yang
bertaqwa…”
, kita bertanya, apakah
ciri-ciri orang yang bertaqwa? Jawapannya boleh dirujuk kepada ayat
seterusnya:
4.
“…iaitu orang-orang yang
beriman kepada perkara-perkara yang ghaib…”
, pertanyaan
kita dijawab oleh al-Qur’an, bahawa ciri-ciri pertama orang yang
bertaqwa ialah beriman kepada perkara ghaib seperti azab kubur,
syurga-neraka dan sebagainya. Pertanyaan beralih kepada diri kita,
adakah kita beriman dengan perkara-perkara ghaib berdasarkan
pengkhabaran wahyu atau adakah kita menafikannya semata-mata kerana ia
tidak logik mengikut ukuran logik akal?
5.
“…dan mendirikan
sembahyang…”
, ciri kedua orang yang
bertaqwa adalah mendirikan sembahyang. Kita kembali bertanya kepada
diri kita, adakah kita termasuk dalam orang-orang yang mendirikan
sembahyang. Jika “Ya”, adakah ia secara bersendirian atau berjamaah?
Adakah anak isteri kita juga mendirikan sembahyang?
6.
“…serta membelanjakan (mendermakan)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
, ciri ketiga ialah
membayar zakat harta dan bersedekah. Sekali lagi pertanyaan kembali
mengarah kepada diri kita, adakah kita sudah menunaikan zakat harta
tahunan. Adakah sedekah yang kita berikan hanya sekadar duit siling
sekali seminggu padahal rezeki Allah kepada kita setiap hari
melimpah-limpah?
Jika kita telah memenuhi ciri-ciri orang yang bertaqwa sebagaimana di
atas, hendaklah kita bersyukur dan beristiqamah dengannya. Jika belum,
maka hendaklah berusaha tanpa berlengah-lengah lagi.
Demikian satu contoh bagaimana kita berinteraksi dengan al-Qur’an
ketika mentelaahnya. Apabila kita sentiasa mentelaah al-Qur’an secara
berulang-ulang, kita akan sentiasa dalam keadaan menilai diri kita
selari dengan ukuran al-Qur’an. Inilah maksud penulis sebelum ini
bahawa kita tidak sekali-kali boleh khatam mentelaah al-Qur’an.
TOP
Tips # 5: Menjadikan al-Qur’an pemimpin, bukan sebaliknya.
Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam bersabda:
القُرآنُ شَافِعُ مُشَفَّعٌ، وَمَاحِلٌ مُصَّدَّقٌ، مَنْ جَعَلَهُ
أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ
إِلَى النَّارِ.
Al-Qur’an adalah
syafa’at yang diterima dan penghujah yang dibenarkan. Sesiapa yang
meletakannya di hadapan maka ia (al-Qur’an) akan memimpinnya ke syurga
dan sesiapa yang meletakannya di belakang ia akan menolaknya ke neraka.
Apabila menelaah al-Qur’an, amatlah penting untuk membebaskan minda
kita daripada sesuatu pegangan yang sudah menapak di dalamnya. Yang
dimaksudkan sebagai pegangan ialah apa-apa doktrin, kefahaman, aliran,
pemikiran dan sebagainya. Ini kerana jika kita sudah sedia memiliki
sesuatu pegangan, kita tidak akan memanfaatkan peranan al-Qur’an
sebagai petunjuk, cahaya yang menerangi dan seterusnya. Sebaliknya,
kita sendiri yang akan menunjuk dan menerangi al-Qur’an kepada apa
yang sudah sedia kita pegang. Dalam ertikata lain, kita sebenarnya
sedang memimpin al-Qur’an.
Oleh itu sebelum menelaah al-Qur’an, hendaklah kita membebaskan minda,
membukanya dan menundukkannya. Hanya dengan cara ini kita dapat
memanfaatkan peranan al-Qur’an sepenuhnya. Dalam ertikata lain, kita
membiarkan al-Qur’an memimpin kita.
Garis panduan ini memiliki kedudukan yang penting dalam suasana umat
Islam yang sejak dahulu telah dijajah dengan pelbagai pegangan seperti
Islam Sekular, Islam Liberal, Islam Sosialis,
Islam Demokrasi dan sebagainya. Kita telah dijajah oleh
semua pegangan ini sebelum kita menelaah al-Qur’an dan mencari
pegangan yang sebenar. Justeru kita perlu memerdekakan minda daripada
apa-apa jajahan sebelum menelaah al-Qur’an. Seterusnya kita membiarkan
al-Qur’an menjajah dan memimpin kita. Jika al-Qur’an adalah pemimpin
kita, sebagaimana tegas Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam
dalam hadisnya di atas, ia akan memimpin kita terus ke syurga.
TOP
Tips # 6: Mengukur realiti dengan al-Qur’an, bukan sebaliknya.
Apabila menelaah al-Qur’an, kita akan menemui beberapa ayat yang
menjanjikan umat Islam sebagai umat yang terbaik, berjaya dan
memperoleh kemenangan. Namun pada realitinya umat Islam amatlah jauh
daripada janji-janji tersebut, malah merupakan umat yang paling hina
lagi murah nyawanya. Hakikat ini akan menimbulkan pertanyaan,
bagaimanakah janji-janji al-Qur’an jika dibandingkan dengan realiti
umat masa kini? Realiti pasti sahaja benar, justeru apakah al-Qur’an
tidak benar?
Jawapannya, realiti dan al-Qur’an sama-sama adalah benar. Yang salah
adalah cara kita yang mengukur al-Qur’an dengan realiti padahal yang
benar hendaklah realiti diukur dengan al-Qur’an. Ini kerana kita hanya
mengetahui realiti berdasarkan apa yang zahir kelihatan. Namun apabila
realiti tersebut diukur dengan al-Qur’an, kita akan dapat mengetahui
hakikat yang sebenar di sebaliknya.
Sebagai contoh, realiti umat Islam masa kini yang dihina dan dibunuh
di sana sini boleh diukur dengan al-Qur’an seperti berikut. Firman
Allah:
Dan demi sesungguhnya,
Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu
ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya,
sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan
perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) serta kamu
menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan
kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan
perang).
Di antara kamu ada yang
menghendaki keuntungan dunia semata-mata dan di antara kamu ada yang
menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada
menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan
sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan (ingatlah) Allah sentiasa
melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.
[Ali Imran 3:152]
Ayat di atas menerangkan realiti yang berlaku ke atas umat Islam yang
kalah dalam Perang Uhud. Dalam peperangan tersebut ramai pejuang Islam
radhiallahu 'anhum gugur sehinggakan Rasulullah shalallahu 'alaihi
wassalam sendiri mengalami kecederaan. Allah Subhanahu wa
Ta'ala menerangkan bahawa pada asalnya janji Allah sememangnya
adalah untuk memberi kemenangan kepada umat Islam. Akan tetapi apabila
umat Islam tidak bersemangat untuk berjuang, saling berbalah antara
satu sama lain, menderhaka perintah-larangan Rasulullah dan
menghendaki keuntungan dunia, Allah tidak lagi memberikan mereka
kemenangan.
Sekarang marilah kita mengukur realiti umat Islam masa kini dengan
ayat di atas:
1.
Adakah umat Islam masa
kini memiliki semangat dan azam yang tinggi untuk membela Islam?
2.
Adakah umat Islam masa
kini sering kali berbalah dan berperang sesama sendiri?
3.
Adakah umat Islam masa
kini mentaati perintah-larangan Rasulullah shalallahu 'alaihi
wassalam atau membelakangkannya?
4.
Adakah umat Islam masa
kini mengunggulkan kecintaan keuntungan duniawi di atas kecintaan
ukhrawi?
Kebanyakan umat Islam masa kini tidak memiliki azam untuk membela
agama mereka mahupun untuk mengikuti dan mentaati sunnah Rasulullah
shalallahu 'alaihi wassalam. Pada waktu yang sama kebanyakan umat
Islam masa kini banyak memberi tumpuan kepada berbalah dan berperang
sesama sendiri, manakala masa selebihnya ditumpukan kepada meraih
keuntungan duniawi. Justeru salah siapakah umat Islam masa kini dihina
dan dibunuh? Jawapannya terdapat di dalam al-Qur’an:
Dan apabila kamu ditimpa
musibah (yakni kekalahan dalam Perang Uhud), padahal (sebelum itu)
kamu telahpun memenangi (peperangan) seperti itu sebanyak dua kali
ganda (yakni kemenangan dalam Perang Badar), kamu berkata: “Dari mana
datangnya (musibah) ini?”
Katakanlah: “(Musibah)
itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri.” Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Ali Imran 3:165]
Dalam contoh di atas, kita telah mengukur realiti dengan al-Qur’an.
Dengan cara ini, kita memperoleh jawapan kepada sebab yang
mengakibatkan realiti tersebut. Dengan mengetahui sebab, kita dapat
berusaha untuk membetulkannya dan mengelak realiti yang sama daripada
berulang lagi.
Oleh itu sekali lagi diulangi, hendaklah mengukur realiti dengan al-Qur’an.
Dengan cara ini kita akan mengetahui sebab di sebalik sesuatu realiti
dan kemudian berusaha untuk mengubah realiti dengan mengubah faktor
penyebabnya. Sebaliknya jika kita mengukur al-Qur’an dengan realiti,
kita akan berakhir dengan mempersoalkan kebenaran al-Qur’an. Apabila
al-Qur’an dipersoalkan, kita tidak lagi akan dapat memanfaatkan
peranan al-Qur’an khasnya dalam mengubah realiti.
TOP
Tips # 7: Membebaskan al-Qur’an daripada batasan orang, masa dan
tempat.
Terdapat segelintir orang yang menganggap al-Qur’an hanyalah untuk
umat Islam pada zaman ia diturunkan. Mereka berkata al-Qur’an hanyalah
untuk orang Arab yang memakan biawak liar (dhab) pada zaman
padang pasir. Pada masa kini al-Qur’an tidak memiliki apa-apa manfaat
kepada umat Islam kecuali dibaca ayat-ayatnya sebagai satu bentuk
ibadah.
Sebenarnya peranan al-Qur’an kepada umat Islam adalah bebas daripada
batasan orang, masa dan tempat. Tidak dinafikan bahawa dalam al-Qur’an
terdapat ayat-ayat yang pada asalnya membicarakan sesuatu individu,
kaum, tempat, peristiwa dan sebagainya. Namun dalam kita menelaah dan
memanfaatkan al-Qur’an, yang diambil adalah keumuman pengajarannya dan
bukan kekhususan orang, masa dan tempatnya. Perhatikan Tips # 6 di
atas di mana kita telah memanfaatkan keumuman ayat yang pada asalnya
membicarakan peristiwa Perang Uhud.
TOP
Tips # 8: Tidak mentafsirkan al-Qur’an.
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
وَإِنَّمَا نَزَلَ كِتَابَ اللهِ يُصَدِّقُ بَعْضُهُ بِعْضًا. فَلاَ
تُكَذِّبُوْا بَعْضَهُ بِبَعْضٍ. فَمَا عَلِمْتُمْ مِنْهُ فَقُوْلُوْا
وَمَا جَهِلْتُمْ فَكِلُوْهُ إِلَى عَالِمْهِ.
Sesungguhnya kitab yang
diturunkan oleh Allah (al-Qur’an), sebahagian ayatnya membenarkan
sebahagian ayat yang lain. Maka janganlah kamu mendustakan sebahagian
ayatnya dengan sebahagian yang lain.
Maka ucapkanlah
tentang apa yang kamu ketahui tentangnya dan serahkanlah kepada
orang-orang yang alim jika kamu tidak mengetahui tentangnya.
Merujuk kepada rangkap terakhir daripada sabda Rasulullah di atas,
dapat difahami bahawa apabila menelaah al-Qur’an, terdapat sebahagian
ayat yang secara mudah dapat kita tangkap manfaatnya manakala terdapat
sebahagian lain yang tidak mudah untuk ditangkap manfaatnya. Ini
kerana al-Qur’an adalah sebuah kitab yang amat kaya yang mana
kekayaannya tidak mudah ditangkap dan diambil oleh semua orang. Orang
yang berbeza-beza tahap ilmunya akan menangkap manfaat yang
berbeza-beza sekalipun terhadap satu kitab yang sama. Lebih dari itu,
setiap bacaan yang berulang akan menghasilkan manfaat baru yang tidak
diperoleh sebelumnya. Maka manfaatkanlah sekadar apa yang dapat
ditangkap dan serahkanlah yang selebihnya kepada orang yang mengetahui.
Pengajaran yang penting di sini adalah, jangan kita cuba menafsir
sesuatu ayat yang tidak dapat kita tangkap manfaatnya. Yang
dimaksudkan dengan menafsir ialah mendalami, mengupas, memperinci dan
memperluaskan sesuatu ayat. Secara lumrah, kecenderungan adalah
memaksa diri untuk cuba menafsir ayat yang tidak dapat kita tangkap
manfaatnya. Jangan dilayan kecenderungan tersebut. Ini kerana jika
kita cuba menafsir sesuatu ayat tanpa ilmu, kita sebenarnya
menjerumuskan diri kepada “…memperkatakan terhadap Allah sesuatu
yang kamu tidak mengetahuinya.” [al-A’raaf 7:33] Ini adalah
satu kesalahan yang amat berat sebagaimana telah dikupas dalam
penulisan “Berkenalan dengan al-Qur’an.”
Perlu digariskan bahawa untuk menafsir al-Qur’an, seseorang itu wajib
terlebih dahulu menguasai pelbagai lapangan ilmu seperti ilmu bahasa
Arab, ilmu usul tafsir, ilmu hadis, hadis dan keseluruhan kitab al-Qur’an
itu sendiri. Pengetahuan tentang hadis-hadis Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam adalah penting kerana Rasulullah adalah “pakar
tafsir” yang terunggul. Ini kerana salah satu tugas Rasulullah ialah
menjelaskan al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan Kami pula turunkan
kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya
engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah
diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
[an-Nahl 16:44]
Penjelasan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang al-Qur’an
tidak terhad kepada kata-kata tetapi juga perbuatan dan pengiktirafan
baginda. Dua yang terakhir ini dianggap sebagai penafsiran al-Qur’an
yang diterjemahkan Qur’an dalam bentuk perbuatan.
Pengetahuan tentang ilmu hadis tidak kurang pentingnya supaya kita
dapat membezakan antara hadis sahih (benar), dha‘if (lemah)
atau maudhu’ (palsu). Apabila kita berjaya menguasai ilmu hadis,
kita dapat mengetahui sama ada sesuatu tafsiran itu benar-benar datang
daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau
sebaliknya.
Pasti ini semua ini adalah satu kewajipan yang tidak mampu dikuasai
oleh setiap individu Islam. Maka kerana itulah Rasulullah
shalallahu 'alaihi wassalam dalam hadisnya di atas menasihatkan
kita agar bertanya kepada orang yang mengetahui apa yang tidak kita
ketahui.
Cara bertanya yang terbaik ialah merujuk kepada kitab-kitab tafsir al-Qur’an.
Di sini ingin penulis nasihatkan para pembaca sekalian bahawa apabila
menelaah al-Qur’an, hendaklah dia memiliki dua buah kitab:
-
Pertama adalah kitab terjemahan al-Qur’an. Kitab
terjemahan al-Qur’an lazimnya terdiri daripada satu jilid dan ia
dicetak bersama-sama dengan teks Arab al-Qur’an. Pada masa kini kitab
terjemahan al-Qur’an sudah tersedia dalam pelbagai bahasa. Perbezaan
penterjemah dan bahasa terjemahan tidak memiliki kesan yang besar
kerana kita hanya menelaah, bukan menafsir al-Qur’an.
-
Kedua adalah kitab
tafsir al-Qur’an. Kitab tafsir lazimnya terdiri daripada beberapa
jilid yang besar jumlahnya. Di sini perlu dibezakan bahawa terdapat
sebahagian kitab terjemahan al-Qur’an yang menggunakan judul
“Tafsir” , seperti Tafsir Pimpinan al-Rahman oleh Syaikh
Abdullah Basmeih rahimahullah. Ini bukanlah kitab tafsir yang
penulis maksudkan. Sebagai satu garis panduan pembeza yang mudah,
kitab tafsir jarang-jarang terdiri daripada satu atau dua jilid.
Berdasarkan dua buah kitab ini, apabila menelaah al-Qur’an, gunakanlah
kitab terjemahan. Apabila menemui apa-apa ayat yang tidak dapat
ditangkap manfaatnya, rujuklah kepada kitab tafsir al-Qur’an. Di
samping itu, boleh juga menelaah al-Qur’an dengan membaca kitab tafsir.
Ini adalah pilihan yang lebih baik khasnya kepada individu yang
was-was atau sukar menangkap apa-apa manfaat daripada kitab terjemahan
al-Qur’an.
Harga kitab tafsir al-Qur’an lazimnya adalah agak tinggi. Nasihat
penulis, janganlah dipandang kepada harga tetapi pandanglah kepada
manfaat di sebaliknya.
TOP
Tips # 9: Mempraktikkan apa yang ditelaah daripada al-Qur’an.
Menelaah al-Qur’an bukanlah seumpama membaca novel atau sekadar
latihan ilmiah. Akan tetapi ia adalah satu tindakan yang memiliki
matlamat yang besar di sebaliknya, iaitu supaya dapat dipraktikkan
manfaatnya dalam kehidupan seharian. Maka sebagai tips terakhir,
praktikkanlah sekadar mampu atau bertahap-tahap apa jua manfaat yang
telah diperoleh daripada menelaah al-Qur’an.
Apabila kita mula mempraktikkan al-Qur’an dalam kehidupan, nescaya
akan timbul kesan bahawa kita sedang memulakan satu kehidupan yang
baru. Bukan sekadar baru tetapi bermatlamat, terarah dan terurus. Kita
sentiasa merasa tenang, lapang dan segala-galanya menjadi mudah.
Mempraktikkan al-Qur’an di dalam kehidupan memberi kesan seolah-olah
kita hidup di bawah naungan al-Qur’an.
Semua ini akan menyebabkan kita lebih bersungguh-sungguh untuk
menelaah al-Qur’an, sekalipun berulang-ulang, demi mencari manfaat
seterusnya. Namun untuk merasai kesan yang pertama kepada diri kita,
kita perlu terlebih dahulu menelaah al-Qur’an berdasarkan garis-garis
panduan yang disenarai di atas.
Ayuh, tunggu apa
lagi?
Bab 3:
Bagaimana Memanfaatkan Kisah-Kisah Dalam al-Qur’an?