Dalam bab sebelumnya, ketika membicarakan Tips # 4, penulis menyebut
bahawa hendaklah kita menyedari bahawa al-Qur’an ditujukan kepada diri
kita sendiri. Apabila menelaahnya, hendaklah kita anggap seolah-oleh
ia sedang berbicara dengan kita. Akan timbul pertanyaan, bagaimana
hendak berbicara dengan kisah-kisah lampau yang terdapat di dalam al-Qur’an?
Di dalam al-Qur’an terdapat kisah-kisah Ahli Kitab, yakni kaum
Yahudi dan Nasrani (Kristian) padahal kita bukan orang Yahudi mahupun
Kristian. Di dalam al-Qur’an terdapat kisah nabi-nabi terdahulu
padahal kita bukanlah kaum yang didakwahkan oleh para nabi tersebut.
Lalu bagaimana memanfaatkan kisah-kisah sebegini?
Berikut akan diterangkan bagaimana kita dapat memanfaatkan kisah-kisah
yang terdapat dalam al-Qur’an. Kita mulai dengan ayat-ayat yang
membicara tentang Ahli Kitab. Ayat-ayat ini tetap ditujukan kepada
kita orang Islam dan dapat kita telaah dan manfaatkan dari tiga sudut:
1) Mengambil iktibar
daripada perjalanan hidup mereka.
Sebagai contoh ialah firman Allah:
Dan Kami jadikan Kitab
Taurat itu hidayah petunjuk bagi kaum Bani Israil. Dan Kami jadikan
dari kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaum
masing-masing kepada hukum agama Kami selama mereka bersikap sabar
serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
[as-Sajdah 32:23-24]
Dalam ayat di atas,
Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan bahawa apabila kaum Bani
Israil bersabar menjalankan perintah Allah dan meninggalkan
larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikut petunjuk yang
dibawa oleh para Rasul mereka, menjadilah di antara mereka (kaum Bani
Israil) pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran.
Daripada ayat di atas,
kita umat Islam pada masa kini dapat mengambil iktibar bahawa pemimpin
yang memimpin ke arah petunjuk agama tidak terhasil dengan semata-mata
berkempen dan memangkah kertas undi. Akan tetapi akan terhasil apabila
masyarakat itu sendiri yang sabar mempraktikkan agama secara
keseluruhan dan beriman sepenuhnya kepada al-Qur’an.
Ini
kerana seseorang pemimpin lahir daripada kalangan masyarakatnya
sendiri, dididik oleh masyarakat yang sama dan akhirnya dipilih oleh
masyarakat yang sama. Justeru siapakah pemimpin dan bagaimana
kepimpinannya bergantung kepada nilai agama masyarakat itu sendiri.
Jika masyarakat tersebut baik agamanya maka baiklah pemimpin dan
kepimpinannya. Sebaliknya jika masyarakat tersebut rosak agamanya maka
rosaklah juga pemimpin dan kepimpinannya.
Apabila berlaku banyak kerosakan dalam sesebuah negara, beban
kesalahan tidak sekadar di bahu pemimpin tetapi di bahu rakyatnya juga.
Firman Allah:
Telah timbul berbagai
kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana
Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka
kembali (insaf dan bertaubat).
[ar-Rum 30:41]
Demikian juga, apabila wujud pemimpin yang memimpin secara zalim,
beban kesalahan tidak sekadar di bahu pemimpin tetapi di bahu
rakyatnya juga. Firman Allah:
Dan demikianlah
Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat
dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang telah mereka usahakan.
[al-An‘aam 6:129]
Oleh itu jika berlaku
sesuatu yang kurang Islamik dalam sesebuah negara, janganlah
disalahkan pemimpinnya sahaja tetapi salahkan juga masyarakat negara
tersebut. Malah jika hidup dalam negara itu, maka salahkanlah diri
sendiri. Mengubah satu negara yang kurang Islamik kepada Islamik
sepenuhnya tidak didahului dengan mengubah pemimpin tetapi dengan
mengubah diri sendiri dan masyarakat terlebih dahulu.
TOP
2) Mempelajari
kesilapan mereka agar tidak berulang kepada kita.
Sebagai contoh ialah firman Allah:
Katakanlah: “Wahai Ahli
Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak
benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah
sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang)
mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”
[al-Maidah 5:77]
Antara perbuatan melampau (ghuluw) yang dilakukan oleh Ahli
Kitab ialah mencipta pelbagai ibadah dan doktrin baru (bid‘ah)
agar ia “melebihi” apa yang sudah sedia disyari‘atkan dalam agama
mereka. Akhirnya agama mereka telah tersasar jauh daripada yang asli.
Kesan-kesan bid‘ah ini dapat kita perhatikan sehingga ke hari ini.
Tidak berlebihan untuk
dikatakan bahawa sebahagian umat Islam masa kini juga rancak mencipta
ibadah dan doktrin agama yang baru, melebihi kesempurnaan yang sedia
terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tindakan mereka
tidak jauh berbeza daripada tindakan Ahli Kitab sebagaimana ayat di
atas. Oleh itu hendaklah belajar daripada kesilapan Ahli Kitab yang
disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat di atas
agar dengan itu kita semua terselamat daripada kesesatan.
Jika kaum Nasrani
mencipta doktrin ketuhanan Trinity, sebahagian umat Islam
mencipta doktrin Wahdah al-Wujud, iaitu kesamaan wujud antara
makhluk dan Allah di mana yang benar-benar wujud hanyalah Allah,
doktrin al-Ittihad, iaitu makhluk bersatu dengan Allah dan
al-Hulul, iaitu Allah mengambil tempat di dalam makhluk.
Doktrin-doktrin ini tidak digariskan
oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta tidak pernah menjadi
pegangan generasi awal umat Islam (as-Salafusshalih). Lebih
dari itu ia juga tidak menjadi pegangan generasi awal aliran tasawuf.
TOP
3) Menganalisa diri
kita, adakah kita juga mengikuti sikap mereka?
Sebagai contoh ialah firman Allah:
Sesudah itu maka
patutkah kamu (wahai Bani Israil) hanya percaya kepada sebahagian (dari
isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?
[al-Baqarah 2:85]
Sikap kaum Bani Israil, sebagaimana yang diterangkan oleh Allah
Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat di atas, adalah mengimani dan
mempraktikkan sebahagian daripada ajaran kitab Taurat dan mengingkari
sebahagian yang lain.
Perlu kita menganalisa diri kita sendiri, adakah sikap kita terhadap
al-Qur’an sama seperti sikap kaum Bani Israil terhadap kitab Taurat?
Adakah kita mempraktikkan sebahagian ayat dan meninggalkan sebahagian
yang lain, atau adakah kita mempraktikkan sebahagian al-Qur’an dan
meninggalkan sebahagian yang lain. Sebagai contoh, adakah kita
sama-sama mempraktikkan ayat al-Qur’an berikut ini secara
keseluruhannya:
Dan dirikanlah kamu akan
solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah)
bersama-sama orang-orang yang rukuk.
[al-Baqarah 2:43]
Kita mendirikan solat lima kali sehari, menepati perintah pertama ayat
di atas. Akan tetapi adakah kita mempraktikkan perintah seterusnya,
iaitu mengeluarkan zakat harta tahunan dan mendirikan solat secara
berjamaah? Ini kerana firman Allah “mengeluarkan zakat”
merujuk kepada zakat harta tahunan manakala “rukuklah kamu semua
bersama-sama orang-orang yang rukuk” merujuk kepada solat
berjamaah di masjid atau surau.
Jika contoh di atas merujuk kepada satu ayat yang dipraktikkan
sebahagian dan ditinggalkan sebahagian, maka contoh berikut merujuk
kepada mempraktikkan sebahagian al-Qur’an dan meninggalkan sebahagian
yang lain. Kita mempraktikkan ajaran al-Qur’an untuk berpuasa dalam
bulan Ramadhan:
Wahai orang-orang yang
beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-Baqarah
2:183]
Akan tetapi sudahkah kita mempraktikkan ajaran al-Qur’an untuk
mendakwah orang lain ke arah Islam dengan cara hikmah dan baik:
Serulah ke jalan Tuhanmu
dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan
berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang
lebih baik.
[an-Nahl 16:125]
Sama-samalah kita memikirkan jawapannya.
TOP
Seterusnya akan diterangkan bagaimana kita dapat memanfaatkan
kisah-kisah sejarah para Nabi sebelum Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi
wassalam. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkhabarkan
kisah-kisah sejarah ini bukanlah untuk dijadikan cerita-cerita kosong
tetapi untuk diambil iktibar daripadanya. Allah berfirman:
Demi sesungguhnya kisah
para Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi
orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Ia bukanlah cerita-cerita
yang diada-adakan tetapi ia mengesahkan apa yang disebut dalam
Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan
yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi hidayah petunjuk dan
rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.
[Yusuf 12:111]
Terdapat tiga iktibar yang dapat diperoleh daripada sejarah para nabi
tersebut:
1) Mempelajari
cara-cara berdakwah
Berdakwah bukan sekadar bersemuka terus dengan seseorang tetapi adalah
berdasarkan ilmu, hikmah dan pandangan yang luas. Daripada sejarah
para Nabi, kita dapat mempelajari beberapa manhaj dakwah yang
bermanfaat. Berikut diberikan beberapa contoh:
a) Memberi prioriti kepada tauhid:
Dan Kami tidak mengutus
sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan
kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Aku oleh itu beribadatlah kamu kepada-Ku.”
[al-Anbiya’ 21:25]
Oleh itu apabila kita berdakwah kepada seseorang, prioriti bukanlah
kepada persoalan hukum-hakam seperti meninggalkan arak, sunat kemaluan,
menutup aurat tetapi adalah kepada persoalan tauhid kepada Tuhan yang
sebenar, iaitu Allah.
b) Menggunakan adab yang baik ketika berdakwah, seperti
menggunakan kata-kata yang lemah lembut:
Pergilah kamu berdua (Nabi
Musa dan Harun) kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas
dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan
kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.”
[Ta-Ha 20:43-44]
Perhatikan bagaimana tunjuk ajar Allah Subhanahu wa Ta'ala
kepada Nabi Musa dan Harun apabila mengutus mereka untuk pergi
berdakwah kepada Firaun, seorang yang amat zalim lagi melampaui batas
dalam kekufurannya. Allah tidak menyuruh mereka menggunakan kata-kata
yang keras, sebaliknya menggunakan “…kata-kata yang lemah-lembut…”.
Jika terhadap Firaun Allah menuntut adab berdakwah yang baik, maka
sudah tentu tuntutan yang sama hendaklah diterapkan ke atas
orang-orang lain apabila kita berdakwah.
c) Tidak mengharapkan kejayaan serta merta.
Perhatikan semula ayat 43-44 surah Ta-Ha di atas. Allah Subhanahu
wa Ta'ala mengakhirinya dengan “…semoga dia beringat atau
takut” dan bukannya “semoga dia beriman serta merta.”
Daripada firman Allah ini dapat diambil iktibar bahawa apabila
berdakwah, jangan mengharapkan kejayaan serta merta. Berilah kepada
orang tersebut tempoh masa untuk memikirkannya dan menganalisa dirinya
sendiri.
d) Berdoa kepada Allah:
Apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengutuskan Nabi Musa untuk
berdakwah kepada Firaun, Nabi Musa berdoa kepada-Nya, meminta
kemudahan untuk berdakwah:
Nabi Musa berdoa dengan
berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah
bagiku tugasku dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka
faham perkataanku.
Dan jadikanlah bagiku,
seorang penyokong dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah
dengan sokongannya pendirianku, dan jadikanlah dia turut campur
bertanggungjawab dalam urusanku.”
[Ta-Ha 20:25-32]
Ini
memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa berdoa kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala agar dakwah kita adalah memperoleh kejayaan.
e) Mengenal pasti kelemahan diri sendiri dalam berdakwah.
Masih merujuk kepada ayat 25-32 surah Ta-Ha di atas, dapat juga
diambil iktibar bahawa seorang pendakwah yang berjaya adalah mereka
yang sentiasa menganalisa dan mengenal pasti kelemahan-kelemahan
dirinya dalam berdakwah. Berjaya atau tidak dakwahnya tidak dibebankan
kepada orang yang sedang didakwahnya tetapi ke atas dirinya sendiri.
Dalam ayat di atas, Nabi Musa mengenal pasti dua kelemahannya, iaitu
memilih kata-kata yang sesuai ketika berdakwah dan kesukaran yang
bakal dihadapinya jika dia berseorangan. Untuk kelemahan yang pertama,
Nabi Musa berdoa kepada Allah agar “…lepaskanlah simpulan dari
lidahku supaya mereka faham perkataanku.” Untuk kesukaran yang
kedua, Nabi Musa meminta agar saudaranya Harun dapat menjadi teman
dakwahnya.
Justeru apabila kita menghadapi halangan dalam berdakwah, jangan
disalahkan orang yang sedang kita dakwahkan itu. Jangan menuduhnya
sebagai degil, keras kepala, tiada hidayah dan sebagainya. Sebaliknya
hendaklah disalahkan diri sendiri dan menganalisa serta memperbaiki
cara kita berdakwah.
TOP
2) Memberi ketenangan
dan kekuatan dalam berpegang kepada kebenaran.
Dalam sejarah para Nabi kita dapat memerhatikan bagaimana mereka
dizalimi dengan pelbagai cara oleh masyarakat mereka sendiri.
Kezaliman ini menimpa para Nabi semata-mata kerana kebenaran yang
mereka pegang dan sampaikan. Semua ini dikhabarkan oleh Allah Azza
wa Jalla dengan tujuan memberi ketenangan dan kekuatan kepada kita
semua bahawa sudah menjadi lumrah bahawa sesuatu kebenaran itu akan
diikuti dengan reaksi yang negatif daripada masyarakat.
Firman Allah:
Dan tiap-tiap berita
dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu untuk menguatkan
hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran
dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.
[Hud 11:120]
Dan demi sesungguhnya,
Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar
terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti
mereka sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka dan
sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah
Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya telah datang kepadamu
sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.
[al-An‘aam 6:34]
Oleh itu janganlah berputus asa atau merasa lemah untuk berpegang
kepada kebenaran dan menyampaikannya. Para Nabi Allah yang terdahulu
juga telah menghadapi cabaran yang sama. Tidaklah dinamakan kebenaran
jika tidak diikuti dengan kebatilan yang memeranginya. Justeru
tetapkanlah hati dan teguhkanlah azam sebagaimana yang dilakukan oleh
para Nabi terdahulu, ‘alaihimussalam.
TOP
3) Membetulkan sejarah
para Nabi.
Sebagai contoh, orang-orang daripada aliran “semua agama adalah sama”
mendakwa bahawa agama Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Islam adalah sama
kerana ia adalah agama Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Dakwaan ini
adalah salah sepertimana yang ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala:
Bukanlah Nabi Ibrahim
seorang pemeluk agama Yahudi mahupun pemeluk agama Kristian tetapi dia
adalah seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim
dan dia juga bukanlah dari kalangan orang-orang musyrik.
Sesungguhnya orang-orang
yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya)
ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta
orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah
ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.
[Ali Imran
3:67-68]
Demikian beberapa contoh yang sempat diberikan tentang bagaimana
memanfaatkan kisah-kisah di dalam al-Qur’an. Pasti sahaja
contoh-contoh di atas tidak merangkumi semua manfaat yang boleh diraih
daripada kisah-kisah tersebut. Yang penting semua kisah-kisah di dalam
al-Qur’an memiliki manfaat yang tersendiri dan akan ditemui oleh
sesiapa jua yang menelaahnya dengan cermat.
Sebelum beralih ke bab seterusnya, ingin penulis ingatkan kepada para
pembaca sekalian bahawa kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Qur’an
adalah mencukupi sekadar apa yang dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa
Ta‘ala. Apa yang bermanfaat sudah dikhabarkan manakala apa yang tidak
bermanfaat telah ditinggalkan. Oleh itu tidak perlu kita menokok
tambah cerita-cerita sendiri yang tidak diketahui asal usulnya. Antara
cerita-cerita yang dimaksudkan ialah kononnya apabila diturunkan ke
bumi, Nabi Adam dan Hawa terpisah lalu mereka bertemu kembali di Jabal
Rahmah, kapal Nabi Nuh sebesar sekian-sekian dan diperbuat daripada
kayu jenis sekian-sekian, Nabi Yusuf akhir berkahwin dengan Zulaikha dan
pelbagai lagi.
Bab 4 : Tiga
Petua Mujarab al-Qur’an