13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian T a u h i d

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Luqman Mendahulukan Pendidikan Tauhid Kepada Anaknya.

 

Apabila Luqman[1] mendidik anaknya, yang diberikan prioriti bukanlah hukum-hukum fiqh akan tetapi adalah ilmu tauhid. Prioriti ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya,

semasa dia memberi nasihat kepadanya:

“Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau

mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),

perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

 

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya),

dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali

(untuk menerima balasan).

 

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau

- dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya

maka janganlah engkau taat kepada mereka;

dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.

Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku. Kemudian kepada Aku-lah tempat kembali kamu semuanya,

maka Aku akan menerangkan kepada kamu

segala yang kamu telah kerjakan.

 

Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi,

serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit

atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah

(untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya

Allah Maha Halus pengetahuan-Nya;

lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

 

Wahai anak kesayanganku,

dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan

serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar,

dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara

yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

 

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu

(kerana memandang rendah) kepada manusia,

dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

 

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan,

juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata),

sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

[Luqman 31:13-19]

 

Berdasarkan ayat 13 hingga 19 di atas, prioriti pendidikan Luqman terhadap anaknya dapat disenaraikan seperti berikut:

 

1. Ilmu tauhid.

2. Kedudukan ibubapa dan kewajipan berbuat baik kepada mereka.[2]

3. Ilmu fiqh, diisyaratkan dengan suruhan untuk mendirikan solat.

4. Melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

5. Ilmu akhlak.

 

Prioriti yang hampir sama dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perkara pertama yang baginda sampaikan dalam dakwah Islam ialah ilmu tauhid. Selama 13 tahun di Mekah, baginda menekankan ilmu tauhid di atas segala yang lain. Hanya selepas berhijrah ke Madinah, baginda memberi tumpuan kepada ilmu fiqh seperti wudhu’, solat dan sebagainya.

 

Sayang sekali prioriti ini tidak lagi diikuti oleh kebanyakan umat Islam masa kini. Ilmu fiqh diberi prioriti yang sebegitu besar sehingga seolah-olah itu sahaja yang perlu diketahui. Kebanyakan kuliah agama mengajar ilmu fiqh, buku yang laris di pasaran adalah dalam subjek Fardhu ‘Ain dan perbincangan agama sesama rakan lebih tertumpu kepada persoalan jenis-jenis air dan perkara yang membatalkan solat. Sehinggakan apabila terdapat rakan yang berminat untuk memeluk Islam, isu pertama yang didakwah kepadanya ialah mensunat kemaluan dan memakai tudung. Ilmu tauhid, hak ibubapa, kepentingan amar ma’ruf dan nahi ‘an mungkar serta ilmu akhlak diabaikan.[3]

 

Tanpa disedari, kemantapan di dalam ilmu fiqh tidak akan bermanfaat jika kemantapan di dalam ilmu tauhid terabai. Ini kerana pencemaran kemurnian tauhid yang dilakukan dengan sengaja akan menggugurkan segala amalan yang dilaksanakan, sekalipun amalan tersebut adalah betul dari sudut ilmu fiqh. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menegaskan:

 

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)

dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu:

“Demi sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalan kamu,

dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.”

[al-Zumar 39:65]

 

Dengan itu marilah kita semua mengubah prioriti dalam menuntut ilmu-ilmu agama. Kuliah-kuliah, buku-buku dan perbincangan dalam subjek ilmu tauhid hendaklah diutamakan berbanding ilmu-ilmu yang lain. Diharapkan buku ini menjadi langkah yang pertama dalam pengubahan prioriti tersebut. Tentu sahaja, pengajian dalam subjek ilmu tauhid hendaklah diperluaskan kepada sumber-sumber yang lain, dengan syarat sumber tersebut membicarakannya berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan kefahaman para sahabat radhiallahu 'anhum.


 

[1]  Siapakah Luqman? Berkata Ibn Katsir: “(Para tokoh) generasi awal berbeza pendapat berkenaan Luqman, adakah beliau seorang Nabi atau seorang hamba shalih yang bukan nabi? Di antara dua pendapat ini, kebanyakan mereka cenderung kepada yang kedua (yakni seorang hamba shalih, bukan seorang nabi).” [Tafsir Ibn Katsir, (edisi Cdrom The Holy Qur’an v6.31; tafsir kepada ayat 12 surah Luqman)] Al-Qur’an dalam persoalan ini bersikap diam, kecuali sekadar menerangkan bahawa Luqman adalah seorang yang telah dikurniakan kebijaksanaan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Firman Allah:

 

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan,

(serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah

(akan segala nikmatNya kepadamu. [Luqman 31:12]

 

Apa yang tidak diterangkan oleh Allah dan Rasul-Nya, bererti ia tidak penting untuk diketahui oleh umat Islam. Maka tidak perlu kita membazir masa dan tenaga untuk mengkaji lebih dalam tentang persoalan ini atau apa-apa yang seumpama. Lebih lanjut, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan al-Qur’an terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.

 

[2]  Alhamdulillah saya memiliki buku yang khas dalam subjek ini, berjudul Wahai Ibu! Wahai Ayah! terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006.

 

[3] Amar ma’ruf dan nahi ‘an mungkar pada masa kini bukan sahaja diabaikan tetapi digugurkan daripada syari‘at Islam atas alasan “Hak Asasi Manusia”. Sila rujuk artikel saya Enforcing Public Morality: Satu Analisa Ke Atas Kertas Kerja Zainah Anwar (Sisters in Islam) dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 4) terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006.