|
|||||||||
|
Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam oleh: Shabnam Mokhtar
Penutup
Apa yang penulis terangkan dalam artikel ini bukanlah sesuatu yang ada dalam diri setiap kita secara fitrah. Ia merupakan sesuatu yang perlu kita pelajari dan laksanakan secara berperingkat-peringkat. Kadangkala terasa sukar untuk bersedekah kerana pendapatan kita terasa sedikit. Tidak dinafikan dengan keperluan kehidupan yang semakin meningkat hari ini, pendapatan terasa amat terhad. Pada pandangan penulis, rezeki yang terhad ini boleh jadi mencukupi sekiranya terdapat dua elemen didalamnya:
Pertama: Adanya elemen barakah dalam rezeki kita. Barakah ini berkait rapat dengan takwa sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“…Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.” (At-Talaq 65:2-3)
Selain takwa rezeki yang halal juga mengandungi barakah sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:276 yang bermaksud:
“Allah susutkan riba dan Dia pula mengembangkan sedekah dan zakat.”
Rezeki yang haram walaupun zahirnya kelihatan banyak tapi sekelip mata akan hilang entah ke mana. Bak kata pepatah Inggeris “Easy come easy go”. Manakala sedekah dan zakat walaupun pada zahirnya kelihatan seperti menyusut, tapi dengan adanya elemen barakah tadi insha’Allah akan sentiasa bertambah rezeki kita.
Pada pemerhatian penulis, persoalan takwa ini semakin pudar dari pemikiran kita. Apabila tidak ada rasa keterikatan pada Allah, maka kita tidak kisah halal haram sumber rezeki kita. Kita mungkin tidak terlibat secara langsung dalam pekerjaan yang haram, namun kita mungkin “tidak sedar” apabila kita sambil lewa melaksanakan kerja dipejabat. Budaya masuk lambat balik awal seumpama mencuri waktu kerja sedangkan kita dibayar gaji untuk jumlah waktu tertentu.
Dr. Yusuf Qaradhawi memberikan contoh orang yang melaksanakan solat malam dan kemudian ke kerja dengan tenaga dan semangat yang kurang kerana keletihan dan akhirnya tidak dapat melaksanakan kerja dengan sempurna, umpama orang yang “memakan harta orang lain dengan cara batil”; iaitu gaji dan upah yang diterimanya setiap bulan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukannya.[43]
Contoh di atas merupakan orang yang sambil lewa bekerja kerana letih beribadat sepanjang malam, bagaimana pula kita yang lambat masuk office selepas makan tengahari kerana pergi membeli belah di shopping complex? Selain itu al-Qur’an juga mengaitkan antara istighfar dan rezeki, sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonlah ampun (istaghfiru) kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.” (Nuh 71:10-12)
Dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa:
“Barangsiapa memperbanyak istighfar, maka Allah akan memberikan kelapangan dalam setiap kesulitan dan memberikan jalan keluar bagi setiap kesempitan, serta memberikan rezeki yang tidak diduga-duga.”[44]
Elemen barakah ini penulis kategorikan sebagai bantuan dari Allah. Sementara itu elemen yang kedua melibatkan usaha kita bagi memastikan rezeki yang dikurniakan kepada kita digunakan sebaik mungkin yakni dengan merancang perbelanjaan kita.
Kedua: Merancang perbelanjaan. Mencukupi atau tidak adalah merupakan sesuatu yang relatif (berubah mengikut kayu ukur yang kita gunakan). Jika kita berbelanja mengikut kehendak nafsu tanpa melihat keutamaan dalam perbelanjaan tersebut, sudah pasti pendapatan kita tidak mencukupi. Sejarah Perancis pada tahun 1786 membuktikan perkara ini apabila Permaisurinya Marie Antoinette membelanjakan USD 11 juta[45] setahun untuk pakaian dan Menteri Kewangannya sudah tidak mampu untuk menampung perbelanjaan tersebut dan terpaksa meminta bantuan Parlimen Perancis untuk menampung defisit tersebut.[46] Akan tetapi jika kita berbelanja mengikut keperluan (need) dan keperluan ini pula diutamakan perkara yang daruriyat daripada perkara hajiyat dan tahsiniyat, insha’Allah pendapatan kita mencukupi untuk diri dan keluarga serta boleh membantu orang lain yang memerlukan.
Semoga apa yang penulis sampaikan dalam risalah ini dapat membantu pembaca memahami keutamaan dalam berbelanja. Walaupun consumption merupakan persoalan ekonomi, ia tidak dapat lari daripada hubungan kita dengan Allah. Setiap yang kita belanjakan di dunia ini akan dicatat dan dibentangkan pada hari akhirat. Hati yang sedar bahawa Penciptanya sedang memerhatikannya (takwa) dan hati yang sedar akan tanggungjawabnya untuk menjawab pada Penciptanya pada hari kebangkitan semula akan sentiasa memerhatikan sumber rezekinya dan ke mana ia membelanjakan rezekinya. Persoalan iman inilah yang akan memandu kita dalam membuat consumption decision. Wallahu ta’ala a’lam.
[43] Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 153 [44] Dhaif: Hadith riwayat Ibnu Majah, di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang tidak dikenali (majhul). Ia dinilai dhaif oleh al-Albani dalam Dhaif Sunan Ibnu Majah – hadith no: 3819. Dikemukakan selari dengan syarat-syarat al-Targhib wa al-Tarhib. [45] Beliau membelanjakan 272,000 livre (matawand perancis pada zaman tersebut) = 60 juta francs = USD 11 juta [46] Dr Ravi Batra, Surviving The Great Depression of 1990, Dell Publishing, Nov 1989, ms 15
Pengenalan
Pertama: Gelagat PenggunaKedua: Gelagat Pengguna dari perspektif Islam
Ketiga: Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam
|
|||||||||