|
|||||||||
|
Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam oleh: Shabnam Mokhtar
Kedua: Gelagat Pengguna dari perspektif Islam
Penulis tidak menafikan faktor-faktor di atas (kekangan belanjawan dan kesukaan) mempengaruhi gelagat pengguna namun ajaran Islam akan memberikan implikasi tambahan apabila seorang muslim berbelanja. Terdapat dua faktor tambahan yang akan mempengaruhi consumption seorang muslim[7]:
Berbelanja di jalan Allah.
Dalam menentukan consumption, seorang muslim tidak hanya mementingkan kepuasan yang diperolehi apabila berbelanja keatas diri sendiri tetapi seharusnya kita menentukan bahagian dari pendapatan kita yang akan dibelanjakan untuk orang lain yang berhak menerimanya (spending not for one’s own immediate worldly benefit). Maka keputusan pertama yang harus ditentukan oleh pengguna dari perspektif Islam adalah:
Bagaimana harus kita tentukan pembahagian perbelanjaan antara X dan Y? Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang akan mempengaruhi pembahagian Y iaitu:
a. Zakat (sedekah wajib): Amaun minimum bagi Y adalah zakat (jika telah mencapai nisab dan haul). Maka sebagai seorang Muslim adalah menjadi kewajipan kita untuk mengambil tahu samada tahap pendapatan kita ini sudah sepatutnya dikeluarkan zakat atau tidak. Selain pendapatan, wang simpanan dan emas yang telah mencapai haul dan nisab juga akan dikenakan zakat. Bagi mendapatkan maklumat ini, kita boleh merujuk dengan Pusat Pungutan Zakat atau di website seperti http://www.e-zakat.com.my/kalkulator/pendapatan.asp
b. Infaq (charity of surplus)[8]: Selain zakat, sedekah dan infaq amat digalakkan dalam Islam. Dalam memberikan sedekah adalah penting diperhatikan konsep Infaq al-Afw (charity of surplus). Konsep ini diterangkan dalam al-Qur’an:
“Dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya supaya kamu berfikir.” (Al-Baqarah 2: 219)
Mengenai ayat diatas, Ibn Abbas menyatakan bahawa ayat ini bermakna “apa yang melebihi keperluan keluarga kamu”. Ini juga merupakan pendapat Ibn Umar, Mujahid, ‘Ata’, Ikrimah, Sa’id bin Jubayr, Muhammad bin Ka’b, Al-Hassan, Qatadah, Al-Qasim, Salim,`Ata' Al-Khurasani dan Ar-Rabi` bin Anas.[9]
Selain itu, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam juga telah menerangkan konsep ini dalam sabda baginda yang bermaksud: “Tidak ada sedekah kecuali kelebihan dari keperluan.”[10]
Jika diperhatikan, Islam mengajar pengikutnya untuk memperbanyakkan sedekah tetapi tidak sehingga menzalimi diri sendiri dan keluarga dibawah tanggungannya. Seorang muslim dapat menjadikan nafkah kepada keluarga sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat balasan pahala sepertimana sabda Rasulullah kepada Sa’ad bin Abi Waqqas:
“Sesungguhnya kamu tidak menafkahkan dari suatu nafkah pun dengan mengharapkan redha Allah kecuali merupakan ibadah sadaqah bagimu sampai suapan yang kau masukkan ke mulut isterimu sekalipun.”[11]
Sabda Nabi saw lagi:
“Satu dinar yang kamu nafkahkan dijalan Allah (jihad), satu dinar yang kamu nafkahkan untuk memerdekakan hamba sahaya, satu dinar yang kamu sedekahkan terhadap orang miskin, dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu, yang paling besar pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.”[12]
Setelah memenuhi keperluan keluarga, kerabat lebih utama untuk diberi sedekah daripada orang lain kerana akan mendapat dua pahala (pahala sedekah dan pahala silaturrahim).[13] Firman Allah dalam surah Al-Baqarah 2: 215 yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu: apakah yang akan mereka belanjakan? Katakanlah: “Apa jua hartabenda yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada: kedua ibubapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan”. Dan apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.”
Maka dapat disimpulkan bahawa, Infaq Al-Afw bermakna memberi sedekah jika terdapat lebihan setelah memenuhi keperluan diri dan orang yang ditanggung. Konsep Infaq Al-Afw ini memainkan peranan yang amat penting supaya nafkah umum tidak melebihi nafkah peribadi sehingga terpaksa pula meminta-minta kepada orang lain dan menimbulkan penyesalan di kemudian hari. Ini tidak pula bermakna kita membelanjakan semua pendapatan kita keatas keluarga sahaja. Oleh itu amat penting untuk memahami keutamaan perbelanjaan dalam Islam (Islamic Concept of Need) yang akan penulis terangkan pada bahagian seterusnya.
Terdapat satu lagi konsep yang penting dalam menentukan berapa banyak kita hendak bersedekah yakni prinsip “itsaar”[14] (mendahulukan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri) sepertimana firman Allah:
“…dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr 59:09)
Maka mereka mendahulukan hak nafkah umum atas hak nafkah peribadi kerana yakin dengan apa yang ada di sisi Allah dan mengharapkan pahala balasanNya dan penggantianNya. Inilah yang dilakukan oleh Abu Bakar r.a sebagaimana yang dikisahkan oleh Umar r.a:
Berkata Umar al-Khattab r.a, Rasulullah saw menyuruh kami bersedekah. Ini bertepatan dengan harta yang ada pada aku. Aku berkata “Jika satu hari aku akan menang diatas Abu Bakar, maka hari inilah aku akan menang atas beliau”.
Lalu aku datang dengan setengah harta aku, lalu Rasulullah bertanya: “Apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga kamu?”
Aku menjawab “Sepertiga”.
Lalu datang pula Abu Bakar membawa seluruh harta yang ada padanya. Maka bertanya Rasulullah: “Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga engkau?”
Abu Bakar menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”.
Berkata Umar : “Aku memang tidak akan menang di atas Abu Bakar sesuatupun selama-lamanya”[15]
Kedua-dua konsep ini (infaq al-afw dan itsaar) bukanlah sesuatu yang bercanggah antara satu sama lain tetapi lebih bergantung kepada tahap keimanan seseorang. Pada pendapat penulis, jika kita baru hendak berjinak-jinak dengan amalan bersedekah lebih baik kita mulakan dengan infaq al-afw. Kemudian kita bertahap-tahap cuba merancang perbelanjaan kita dan menambah amaun yang kita peruntukan untuk sedekah sedikit demi sedikit….Ini insha’Allah dapat membantu kita bergerak beransur-ansur menuju itsaar.
Terdapat dua manhaj yang digunakan dalam Al-Quran untuk menggalakkan umatnya bebelanja di jalan Allah, yakni manhaj positif dan negatif. Dalam manhaj positif Allah menjanjikan pahala berlipat ganda kepada orang yang bersedekah. Antaranya Allah umpamakan infaq fi sabilillah ini sebagai “perniagaan yang tidak merugikan” sepertimana firmannya:
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Faathir 35:29)
Balasan pahala yang Allah janjikan bagi orang yang berinfaq dijalan Allah mencapai hingga 700%[16] sepertimana firmanNya:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan harta pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiap yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaanNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2:261)
Sesungguhnya Allah mengembalikan apa yang telah dinafkahkan seseorang sebagaimana firmanNya:
“…Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Saba’ 34:39)[17]
Selain manhaj positif yang digunakan, Allah juga mencela mereka yang kedekut untuk mengeluarkan sedekah dan mengancam mereka dengan azab yang dahsyat di hari akhirat (manhaj negatif). Antaranya:
“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.” (Ali-Imran 3:180)
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak itu dalam harta jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah apa yang kamu simpan itu.” (At-Taubah 9:34-35)
“Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim. Selain dari itu masukkanlah dia dalam rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta. Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang Maha Besar dan dia juga tidak menggalakkan memberikan makanan orang miskin.” (An-Haaqqah 69:30-34)
Walaupun perbelanjaan dalam kategori Y dijanjikan pahala berlipat ganda dari Allah, seorang muslim tidak seharusnya melupakan bahagiannya di dunia ini. Islam melarang “ascetism”[18], iaitu menghalang diri dari menikmati apa yang dihalalkan oleh Allah – makanan, kehidupan berkeluarga - kerana hendak mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh sesetengah penganut agama Hindu, Buddha atau Kristian.
Maka apabila berbelanja hendaklah kita pastikan kita nikmati hidup di dunia ini dengan membelanjakan harta keatas diri kita dan hendaklah kita pastikan hak orang lain di dalam harta kita juga dipenuhi sepertimana firman Allah:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas 28:77)
Oleh itu, seorang muslim sepatutnya mengambil jalan pertengahan (balancing rule) antara dua kategori ini (X dan Y) sesuai dengan firman Allah:
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu dilehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan” (Al-Israa’ 17: 29)
Jalan pertengahan ini amat penting agar tidak kita zalimi diri sendiri dengan memberi sedekah yang banyak tetapi menyesal dikemudian hari kerana keperluan diri dan keluarga tidak dipenuhi dan terpaksa pula meminta-minta dari orang lain….dan tidak pula terlalu bakhil untuk bersedekah kerana memuaskan kehendak nafsu kita apabila berbelanja.
Secara ringkasnya, dalam menentukan menentukan perbelanjaan di jalan Allah, seorang muslim perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
1.Adakah pendapatan kita telah mencapai zakat? Jika ya, asingkan amaun zakat agar tidak dibelanjakan.
2.Sama ada layak atau tidak membayar zakat, hendaklah kita melaksanakan Infaq al-Afw yakni sedekah sesudah memenuhi keperluan diri dan keluarga yang ditanggung.
Keutamaan dalam berbelanja (Islamic Concept of need)
Keperluan di dalam Islam mempunyai tingkat keutamaan yang berbeza-beza dan ianya dapat dibahagikan kepada[19]:
i. Al-Daruriyat: perkara mutlak yang diperlukan untuk kehidupan manusia (survival) ii. Al-Hajiyyat: perkara yang apabila ianya tiada maka kehidupan manusia akan menjadi sangat susah (avoid hardship) iii. Al-Tahsiniyyat: perkara pelengkap yang menjadi hiasan tambahan didalam kehidupan (provide comfort)
Tingkat keutamaan ini bertujuan untuk memelihara agama, jiwa, keturunan, akal dan harta benda (Maqasid al-shariah). Pada pendapat penulis tingkat keutamaan ini merupakan kualiti kehidupan yang semakin meningkat. Sebagai contoh, penulis mengambil kategori makanan. Makanan yang daruriyat adalah makanan yang dapat membantu kita terus hidup (i.e survival – contohnya nasi, roti dan lauk pauk dengan amaun dan kualiti yang amat minimum). Makanan yang hajiyat pula makanan yang dapat memberi kita tenaga tambahan untuk melaksanakan kerja dengan baik (contohnya daging, susu, vitamin dll). Makanan yang tahsiniyat pula merupakan makanan enak dan berkualiti (contohnya kek, nasi beriyani dll).
Ingin penulis ingatkan di sini bahawa tingkat keutamaan ini akan berubah mengikut kesesuaian hidup setiap individu dan peredaran zaman. Sebagai contoh kita menilai kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan. Mungkin 2 dekad yang lalu, kereta merupakan perkara tahsiniyat. Namun pada masa kini, kereta boleh jadi berada pada kategori hajiyat. Perjalanan jauh menjadi agak sukar tanpa mempunyai kereta.
Jika dahulu motorsikal mungkin dianggap sebagai perkara hajiyat atau tahsiniyat, hari ini ia boleh dikategorikan dalam perkara daruriyat yang mana ianya amat penting sebagai kenderaan bagi kebanyakan orang. Walaupun penulis mengkategorikan motorsikal sebagai daruriyat, ia haruslah dinilai juga berdasarkan kualiti motorsikal tersebut. Jika motorsikal biasa seperti Honda C90, EX5, Kriss, Yamaha SS dan lain-lain bolehlah dikategorikan sebagai daruriyat. Namun motorsikal berkuasa tinggi ataupun “easy-rider” seperti TZM, Fireblade dan Harley Davidson mungkin berada dalam kategori tahsiniyyat.
Ini tidak bermakna seorang tidak boleh membeli barang-barang hajiyat dan tahsiniyat kerana ketiga-tiga kategori ini masih berada dalam lingkungan perbelanjaan yang dibenarkan dalam Islam. Pengelasan perbelanjaan mengikut keutamaan ini amat penting agar kita dapat mengutamakan perkara daruriyat daripada perkara hajiyat dan tahsiniyat dalam berbelanja.
Pada hari ini asas keutamaan ini sangat rapuh. Umat Islam seperti terkeliru apa yang perlu diberi keutamaan. Contohnya dalam soal berumahtangga[20], bernikah merupakan perkara daruriyat kerana ia akan meneruskan keturunan dan memelihara diri dari maksiat. Mengadakan kenduri merupakan perkara hajiyat manakala hantaran dan pakaian pengantin yang indah merupakan perkara tahsiniyat. Tidak salah berpakaian pengantin yang indah jika ia dalam kemampuan kita. Namun kini ramai yang terpaksa menangguhkan pernikahan (daruriyat) hanya kerana ingin mengumpul wang untuk menyediakan hantaran dan pakaian pengantin (tahsiniyat). Di sinilah ramai pasangan dan ibubapa tersalah memberi keutamaan. Tahsiniyat lebih dipentingkan daripada daruriyat.
Contoh lain adalah hiburan dan kesenian (tahsiniyat) lebih diutamakan daripada urusan berkenaan ilmu pengetahuan dan pendidikan (daruriyat). Bandingkan sahaja bilangan “Reality Show” berbentuk hiburan dengan bilangan rancangan berunsur pendidikan dalam television. Pembangunan “shopping complex” dan stadium sukan bernilai berjuta-juta ringgit berbanding pembangunan perpustakaan. Ternyata rancangan hiburan, pembangunan shopping complex dan pusat sukan jauh berada di hadapan berbanding dengan usaha peningkatan ilmu pengetahuan.
Pada pendapat penulis, memahami tingkat keutamaan ini amat penting bagi membantu kita membuat keputusan berkaitan consumption dan keutamaan inilah yang memberi implikasi yang berbeza dalam teori gelagat pengguna dari perspektif Islam. Penulis berikan satu contoh di sini. Katakan kita mempunyai RM 100 untuk dibelanjakan. Kita sedang memilih antara membeli buku ataupun membeli minyak wangi misalnya yang harganya adalah sama kedua-duanya (RM100). Dari perspektif konvensional, seorang pengguna akan membuat keputusan untuk berbelanja mengikut kepuasannya. Jika diikutkan kepuasan, mungkin minyak wangi dapat memberikan lebih kepuasan (lebih disukai) kepada pengguna tersebut.
Manakala fiqh awlawiyat mengajar kita untuk menilai kedua barang tersebut menggunakan tingkat keutamaan tadi. Buku merupakan perkara daruriyat (kerana dapat menambah ilmu pengetahuan dan memelihara akal), manakala minyak wangi merupakan perkara tahsiniyat. Maka jelas bahawa perkara daruriyat perlu diberi keutamaan daripada perkara tahsiniyat.
Implikasi dari tingkat keutamaan ini akan menjadikan seorang Muslim sebagai pengguna yang “berfikir sebelum membeli”. Adakah barang yang kita hendak beli ini penting atau mungkin ada barang lain yang lebih penting? Tidaklah kita menjadi pengguna yang “buy as we go” iaitu membeli apa-apa sahaja yang berkenan di hati. Sekali lagi penulis mengingatkan tiada salahnya kita berbelanja atas barang tahisiniyat selagi tidak berlebih-lebihan kerana Islam menggalakkan umatnya mencapai kehidupan yang baik.
Selain tingkat keutamaan diatas, terdapat beberapa perkara lain yang akan mempengaruhi gelagat pengguna dari perspektif Islam:
a. Batasan Islam tentang perbelanjaan: Dr. Yusuf Qaradhawi menerangkan bahawa batasan Islam dalam perbelanjaan ada dua kriteria iaitu[21]:
i.Batasan pada cara & sifat (kualiti perbelanjaan): Batasan ini melihat pada apa harta itu dibelanjakan tanpa mengambil kira kuantitinya. Contohnya setiap perbelanjaan dalam hal-hal yang diharamkan seperti khamar, judi dan patung-patung adalah dilarang walaupun melibatkan amaun yang kecil.
Pada pendapat penulis, orang-orang yang hidup dalam kemewahan (mutraf)[22] juga termasuk dalam batasan ini sepertimana firman Allah yang bermakna:
“Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang mewah diantara mereka, maka dengan serta merta mereka menjerit meminta tolong.” (Al-Mu’minun 23:64)
Imam ar-Razi menjelaskan bahawa orang yang hidup mewah (mutraf) adalah penerima ni’mat yang sombong oleh kerana kenikmatan dan keluasan rezeki.[23] Yang dikecam adalah sifat sombong pemilik harta tersebut dan kufur dengan nikmat yang diberikan Allah.
Selain sifat sombong, Islam juga telah mengharamkan beberapa perkara yang dianggap contoh yang menonjol bagi kemewahan, di antaranya bejana emas dan perak, hamparan yang dibuat dari bahan campuran sutera atau dari kain sutera murni serta perhiasan emas dan pakaian sutera bagi lelaki.[24]
ii.Batasan pada kuantiti & ukuran Termasuk dalam batasan kedua adalah berbelanja berlebih-lebihan yakni melampaui batasan (israaf)[25] mahupun dalam perkara yang dihalalkan sepertimana firman Allah:
“Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampui batas.” (Al-Araaf 7:31)
Terang Dr. Yusuf Qaradhawi, termasuk dalam israaf adalah pemborosan (tabdzir) yakni menghambur-hamburkan harta tanpa faedah (sia-sia) sepertimana firman Allah:
“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur pada Tuhannya.” (Al-Israa’ 17:26-27)
Termasuk dalam menyia-nyiakan harta adalah membiarkan buah-buahan busuk dimakan ulat, menyalakan lampu di siang hari tanpa perlu, membiarkan pancuran air terbuka tanpa perlu, membuang makanan, membuang pakaian hanya kerana terdapat robekan kecil padanya dan membiarkan tanah yang subur tanpa ditanami.[26]
Berkaitan dengan pelarangan dan penyia-nyiaan harta, Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam melarang keras orang-orang yang membiarkan kambing yang mati dan tidak memanfaatkan kulitnya. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas bahawa Rasululah melewati kambing yang mati, lalu bersabda:
“Apakah kamu tidak memanfaatkan kulitnya?” Mereka berkata, “Ia adalah haiwan yang mati (bangkai)!” Bersabdalah baginda: “Sesungguhnya ia hanyalah diharamkan untuk memakannya.”[27]
Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam pernah melewati Sa’ad bin Abi Waqqash ketika ia sedang berwudu’ lalu bersabda padanya:
“Janganlah kamu berlaku boros.” Sa’ad bertanya, “Apakah dalam (pemakaian) air ada tindakan pemborosan, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Ya, meskipun kamu berada pada sungai yang mengalir.”[28]
Mengenai adab makan pula Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a:
“Jika satu suap di antara kamu sekalian jatuh, maka hendaklah ia membersihkan kotorannya dan (setelah itu) hendaklah memakannya dan tidak membiarkannya untuk syaitan.” Anas berkata, “Dan baginda memerintahkan kita untuk menghabiskan makanan dari piring.” Baginda juga bersabda, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui di makanan manakah adanya keberkatan.”[29]
Di samping melarang sikap israaf, Islam juga melarang sifat kedekut sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah:
“Hindarilah olehmu sifat kedekut, kerana sesungguhnya umat sebelum kamu telah binasa kerana sifat kedekut ini: dengan sebabnya mereka saling memutuskan hubungan silaturrahim, menjadi bakhil dan melakukan tindakan kezaliman.”[30]
Oleh yang demikian, apabila kita berbelanja hendaklah kita mengambil jalan pertengahan; tidak terlalu boros dan tidak pula terlalu kedekut sepertimana firman Allah:
“Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu.” (Al-Furqaan 25:67)
b. Budaya berhutang bukan budaya hidup Muslim Seorang Muslim harus merancang perbelanjaannya agar tidak melebihi pendapatannya sehingga terpaksa berhutang. Islam telah mengingatkan orang yang berhutang dengan pelbagai cara. Antaranya sabda Nabi:
“Bagi orang yang mati syahid akan diampuni dosa-dosanya kecuali hutang”[31]
Dari Muhammad bin Abdullah bin Jahsy, ia berkata, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sedang duduk ketika jenazah (para syuhada’) diletakkan (di liang lahad). Lalu, baginda mengangkat kepalanya ke langit kemudian menundukkan pandangan dan meletakkan tangannya di atas dahinya seraya mengatakan: “Subhanallah, subhanallah! Betapa telah diturunkan hukum yang memberatkan!”
Abdullah berkata, Kami lalu mengetahui dan terdiam. Sampai esok harinya aku bertanya pada Rasulullah dan mengatakan: “Apakah pemberatan yang telah diturunkan itu?”
Baginda bersabda “Tentang hutang. Demi Tuhan yang jiwaku berada ditangan-Nya, kalau seandainya seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup lagi dan terbunuh lagi, kemudian hidup lagi dan terbunuh lagi sedangkan ada tanggungan hutang padanya maka dia tidak akan masuk syurga sampai dia melunasi hutangnya.”[32]
Pentingnya peringatan ini sehingga orang yang mati syahid; cita-cita tertinggi yang dicari oleh mu’min pun tidak dapat menghapuskan hutangnya kepada orang lain.
Muhammad Akram Khan dalam bukunya Introduction to Islamic Economics menerangkan bahawa Rasulullah tidak menghapuskan riba dalam masa sehari. Pengharaman riba berlaku berperingkat-peringkat (tadarruj). Pertama sekali Rasulullah mengharamkan riba dalam pertukaran (riba al-fadl). Ini telah menyempitkan jalan-jalan menuju riba pinjaman. Pada masa yang sama Baginda menggalakkan umat Islam supaya hidup bersederhana. Mereka berbelanja mengikut pendapatan mereka dan apabila terdapat harta rampasan perang yang diagihkan, dalam pendapatan mereka terdapat lebihan. Jadi permintaan untuk pinjaman berkurangan.
Bagi tujuan perniagaan pula, perlu diberikan modal bukannya pinjaman. Pemodal akan berkongsi untung dan rugi. Ini semakin mengurangkan permintaan untuk pinjaman. Kalau ada pun hutang hanya dalam bentuk jual beli secara kredit. Jadi apabila Rasulullah mengharamkan riba atas pinjaman semasa hari terakhir haji wida’ (10H), hati umat Islam telah bersedia menerima hukum tersebut dan aktiviti kehidupan yang bersederhana serta tidak bergantung pada hutang memudahkan perlaksanaan hukum tersebut.[33]
Kita sebagai Muslim pada hari ini juga perlu meminimumkan hutang kita. Jika kita hendak membeli sesuatu yang memerlukan jumlah wang yang agak banyak buatlah perancangan dari awal dan buatlah peruntukan bulanan sebagai persediaan.
Salah satu cara berhutang yang mudah hari ini adalah dengan penggunaan kad kredit. Kad kredit hanya merupakan sarana (tool) untuk menggantikan wang tunai. Kepentingan kad kredit tidak dapat dinafikan terutamanya jika kita banyak bertandang ke luar negara, sering melakukan pembelian secara “online” dan menggantikan membawa wang tunai yang banyak atas tujuan keselamatan. Namun begitu “wang plastik” ini boleh membawa padah jika disalahgunakan. Kadangkala kita membeli tanpa memikirkan adakah mampu membayar semula hutang tersebut.
Pada tahun 2004 seramai 1,397 pemegang kad kredit telah diisytiharkan muflis. Jumlah ini meningkat sebanyak 450 orang berbanding 1,152 orang pada 2003.[34] Had kredit yang hampir dua kali ganda pendapatan bulanan sesetengah kita amat “menggoda” supaya kita berbelanja lebih dari kemampuan kita, yang akhirnya akan mengheret kita ke dalam belitan hutang. Pelbagai iklan yang menawarkan pembelian menggunakan kad kredit menambahkan lagi keinginan untuk memiliki aksesori yang tidak terlintas sebelum ini. Tidak salah menggunakan kad kredit sebagai alternatif kepada wang tunai namun jika kita menggunakannya sebagai sumber hutang untuk membeli pelbagai barangan melebihi kemampuan kita, maka hendaklah kita fikir-fikirkan semula fungsi sebenar “wang plastik” tersebut dan adakah kita benar-benar memerlukannya.
c. Beberapa perkara yang perlu diutamakan Penulis akan menyenaraikan beberapa perkara dalam Fiqh Awlawiyat yang memberikan implikasi keatas consumption seorang muslim:
i. Amal perbuatan yang berkesinambungan walaupun sedikit lebih utama daripada amal yang banyak tetapi terputus.[35] Contohnya dalam membudayakan bersedekah, mulakanlah dengan amaun yang kecil tetapi konsisten dilakukan setiap bulan.
ii. Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri. Contohnya daripada mengerjakan haji sunat atau umrah yang kedua, ketiga dan seterusnya, adalah lebih awla jika duit itu digunakan untuk membantu orang miskin lain menunaikan haji wajib mereka, menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin atau Iraq yang berjihad, memberikan sumbangan dalam menghalang usaha-usaha memurtadkan orang Islam atau menanggung pembiayaan pendidikan anak-anak orang miskin dan anak yatim. Ini merupakan satu perkara yang harus diberi perhatian kerana setiap tahun hanya 15% daripada jumlah jemaah haji merupakan mereka yang melaksanakan haji wajib[36]. Bayangkan jika baki 85% jemaah haji ini menghulurkan wang yang diperuntukkan untuk haji tadi bagi manfaat orang ramai. Penulis beberapa ketika yang lalu terharu melihat pasangan yang mengeluarkan wang tabung haji mereka sebanyak RM 18,000 untuk diberikan kepada Tabung Bersamamu TV3 bagi membantu golongan yang memerlukan. Inilah pelaburan Islam yang pahalanya berlipat ganda seperti dijanjikan Allah dalam surah al-Baqarah 2:261.
iii. Keutamaan hak-hak manusia keatas semata-mata hak Allah. Apabila menunaikan haji itu wajib dan membayar hutang itu wajib, maka membayar hutang mesti lebih diutamakan, sebab seorang muslim tidak boleh mendahulukan haji sebelum ia menjelaskan semua hutang-hutangnya melainkan apabila si pemiutang memberikan izin baginya menunaikan haji.[37]
iv. Antara perkara wajib dan sunat, fardhu ain dan fardhu kifayah, perkara wajib dan fardhu ain mesti diutamakan. Contohnya antara membayar hutang and memberi sedekah, pembayaran hutang mesti didahulukan.[38]
v. Keutamaan amal yang lebih lama dan panjang kegunaan dan manfaatnya. Contohnya seperti memberi sedekah kambing yang telah mengandung supaya haiwan tersebut boleh memberikan susu untuk jangka masa yang agak lama.[39] Pada masa kini, jika kita mempunyai lebihan wang, bolehlah digunakan untuk memberikan modal kepada orang yang ingin memulakan perniagaan dan berkongsi keuntungan yang diperolehi. Jika kita sendiri telah mempunyai perniagaan dan rasa keberatan untuk memberikan modal begitu sahaja, kita boleh memberikan “apprentice training” kepada anak-anak muda di kampung yang kebanyakan berhijrah ke bandar untuk bekerja di kilang. Dengan melaksanakan program sebegini kita mengajar mereka menangkap ikan daripada hanya memberikan mereka ikan setiap hari.
Sebagai kesimpulan, berikut merupakan keputusan-keputusan yang dilakukan oleh pengguna dari perspektif Islam[40]:
* Berapa banyak hendak dibelanjakan untuk diri sendiri dan keluarga (X) dan berapa banyak diperuntukkan untuk orang lain yang berhak (Y)
* Berapa banyak hendak dibelanjakan kini dan disimpan untuk masa hadapan (present vs future consumption)? Ingin penulis ingatkan di sini simpanan yang tidak digunakan untuk sebarang tujuan akan tunduk kepada zakat jika telah mencapai nisab dan haulnya.
* Apa dan berapa banyak barang yang hendak dibeli (berdasarkan tingkat keutamaan yakni daruriyat, hajiyat dan tahsiniyat)
[7] Khan, Fahim, “Theory of Consumer Behavior from Islamic Perspective” dalam Essays in Islamic Economics, The Islamic Foundation, 1995, ms 29 [8] Rahman, Afzalur, Economic Doctrines of Islam, Vol II, Muslim Educational Trust, London, 1980, ms 77-82 [9] http://www.tafsir.com/default.asp?sid=2&tid=5792 [10] Sahih: Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no 7155. Dinukil dari Hafiz Firdaus Abdullah, Kaedah Memahami Hadis-hadis Yang Saling Bercanggah, Jahabersa, 2002, ms 80 [11] Sahih: Hadith diriwayatkan oleh Bukhari (3/132) dan Muslim (1628), dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 224. [12] Sahih: Hadith diriwayatkan oleh Muslim (995), dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 226. Terdapat banyak lagi hadith yang menerangkan keutamaan memenuhi nafkah keluarga. Untuk bacaan lanjut sila rujuk buku Yusuf Qaradawi tersebut ms 218 –227. [13] Dr. Mahmud Ahmad Sa’id Al-Athrasy, Kewajiban Orang Kaya Terhadap Orang Miskin, Edisi Terjemahan, Cendekia Sentra Muslim, 2004, ms 73 [14] Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 217 [15] Hasan: Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi- no 3675 dan Abdul Salam bin Muhammad bin Umar dalam al-Mustadrak – no 1550, dinukil dari Hafiz Firdaus Abdullah, Kaedah Memahami Hadis-hadis Yang Saling Bercanggah, Jahabersa, 2002, ms 81 [16] (7 tangkai X 100 biji) X 100 1 biji benih [17] Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menjanjikan pahala, kemenangan dan keampunan untuk orang-orang yang bersedekah. Untuk bacaan lanjut, sila rujuk Rahman, Afzalur, Economic Doctrines of Islam, Vol II, Muslim Educational Trust, London, 1980, ms 83-102 [18] al-Zarqa, Muhammad Anas, “A Partial Relationship In A Muslim’s Utuliti Function” dalam Readings in Microeconomics: An Islamic perspective, Longman Malaysia, 1992, ms 107 [19] Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms26 [20] Contoh ini dicadangkan oleh akhi Hafiz Firdaus dan penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau. [21] Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 259-262 [22] Mutraf : living in ease and luxury. Arabic-English Dictionary, The Hans Wehr Dictionary of Moderrn Written Arabic, 4th Ed, 1994, ms 113 [23] At-Tafsir Al-Kabir oleh ar-Razi (XVIII/75) dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 249 [24] Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 249-253 [25] asrafa-musrifun-israafun: to exceed all bounds; be immoderate; be excessive; be extravagant; to waste. Arabic-English Dictionary, The Hans Wehr Dictionary of Moderrn Written Arabic, 4th Ed, 1994 ms475 [26] Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 257 [27] Sahih: Muttafaq ‘alaih, al Lu’lu’ wal Marjan (205) dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 258 [28] Hadith riwayat Ibn Majah (425) dan dalam sanadnya ada kelemahan, namun dikuatkan dengan hadith sebelumnya (424) dari Ibnu Umar, tersebut didalamnya: “Janganlah kamu berlaku boros, Janganlah kamu berlaku boros!” dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 236 [29] Sahih: Hadith riwayat Muslim (2034) dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 238 [30] Sahih: Hadith riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud (1697). [31] Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim (6/34) dan Ahmad (2/20), dinukil dari Muhammad Nashiruddin al-Albani, Islam Mengentas Kemiskinan, Tinjauan Kritis, Analisis Tentang Hadith Ekonomi, Pustaka Azzam, 2002, ms 75 [32] Hasan: Hadith riwayat an-Nasaa’i (VII/314-315), at-Thabarani dalam al-Ausath (IV/128), al-Hakim dan disahihkannya serta disepakati oleh adz-Zdahabi (II/25). Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ ash-Shaghir (3600), dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 240 [33] Muhammad Akram Khan, An Introduction to Islamic Economics, IIIT, 1994, ms 25-26. [34] Majalah Nur, “Eksekutif Muflis, Bahaya Kuasa Sekeping Kad”, Karangkraf, Edisi Ogos 2005, ms 14 [35] Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 114 [36] Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 15 [37] Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 160 [38] Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 300 [39] Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 122 [40] Khan, Fahim, “Theory of Consumer Behavior from Islamic Perspective” dalam Essays in Islamic Economics, The Islamic Foundation, 1995, ms 39-40
Pengenalan
Pertama: Gelagat PenggunaKetiga: Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam
|
|||||||||