Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Enforcing Public Morality:
Satu Analisa Ke Atas Kertas Kerja Zainah Anwar

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Dasar Ketiga:

Menyelaraskan rukun-rukun keimanan dengan arus semasa.

 

Akhirnya kertas kerja tersebut menekankan bahawa umat Islam masa kini memiliki satu cabaran yang hebat, iaitu bagaimana untuk menyelaraskan rukun-rukun keimanan kita (reconcile the tenets of our faith) kepada cabaran kemodenan, kepelbagaian dan perubahan semasa. Termasuk daripada cabaran ini ialah bagaimana seharusnya kita umat Islam menentukan ciri-ciri moral yang selari secara universal dengan nilai-nilai demokrasi (kesepakatan orang ramai), hak kemanusiaan dan hak wanita, serta di manakah kedudukan Islam terhadap nilai-nilai moral yang sentiasa berubah di dalam dunia yang serba moden ini?

 

 

 

Analisa:

 

Di atas bukanlah cabaran tetapi masalah yang dihadapi oleh tidak sedikit daripada umat Islam masa kini. Masalah tersebut ialah bersifat “mengalah” kepada arus semasa. Pemikiran yang “mengalah” ini lahir daripada kehinaan yang wujud dalam diri seorang muslim dan mukmin, hasil daripada kesan penjajahan pada masa lalu dan sifat ketinggalan pada masa kini yang dihadapi oleh umat Islam. Ini sebagaimana yang saya terangkan sebelum ini dalam risalah Membongkar Aliran Islam Liberal.

 

Perasaan hina tersebut amatlah berat sehingga dianggap jalan keluar bukan sekadar “menafsirkan semula Islam” tetapi “menyelaraskan rukun-rukun keimanan” kepada arus semasa. Sungguh, ini tidak akan membawa kepada kemuliaan tetapi justeru kehinaan yang lebih buruk.

 

Oleh itu apa yang ditekankan dalam Dasar Ketiga di atas bukanlah cabaran hebat yang dihadapi oleh umat Islam. Cabaran hebat yang sebenar ialah menterjemahkan kedua-dua firman Allah berikut ini:

 

Dia-lah (Allah) yang telah mengtus Rasul-Nya (Muhammad)

dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam),

Supaya Dia meninggikannya (Islam) atas segala agama yang lain;

dan cukuplah Allah menjadi saksi (tentang hal itu)

[al-Fath 48:28]

 

Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) satu umat yang pilihan

lagi adil, supaya kamu menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (yang lain tentang benar dan salah) dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

[al-Baqarah 2:143]

 

 

Cabaran yang pertama, sebagaimana ayat 28 surah al-Fath, ialah membuktikan Islam sebagai agama yang tertinggi di atas segala agama lain. Sifat “tinggi” yang dimaksudkan bukan sahaja dari sudut ketenteraan tetapi juga dari sudut kepimpinan yang mampu memimpin manusia ke arah kemuliaan, kejayaan, keselamatan dan kebahagiaan yang jauh lebih baik daripada apa-apa agama mahupun doktrin ciptaan manusia.

 

Cabaran yang kedua ialah kita sebagai orang muslim dan mukmin perlu memainkan peranan untuk meninggikan agama Islam dengan menjadikannya pemimpin kepada arus semasa. Kita, bukan apa dan sesiapa lain, yang sepatutnya menerangkan apa yang baik dan apa yang buruk. Dengan itu juga cabaran-cabaran kemodenan, kepelbagaian, perubahan semasa, moral yang baik dan buruk, hak kemanusiaan dan hak wanita patut diselaraskan kepada nilai-nilai Islam dan bukan sebaliknya.

 

Hanya apabila kita melaksanakan dua cabaran di atas, kita layak menggelar diri kita seorang muslim dan mukmin. Justeru saya mengingatkan diri saya dan semua para pembaca agar tidak dengan mudah berkata I speak from the perspective of a Muslim, a believer, ……. Ini kerana menggelar diri sebagai seorang muslim memiliki tanggungjawab yang amat berat.

 

Ciri-ciri seorang muslim adalah dia menjadikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai saksi yang menerang apa yang benar dan apa yang salah berdasarkan risalah Islam yang dibawa oleh baginda. Seterusnya berdasarkan risalah Islam tersebut, seorang muslim menjadi saksi yang menerangkan kepada manusia yang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah. Di samping itu seorang muslim juga mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat tahunan. Kemudian apabila mereka berhadapan dengan sesuatu masalah atau cabaran, mereka tidak mencari jalan penyelesaian yang lain kecuali berpegang teguh kepada jalan Allah. Ini dilakukan oleh seorang muslim kerana mereka menyakini bahawa Allah sahajalah yang merupakan sebaik-baik pelindung dan pemberi pertolongan.

 

Semua sifat dan tanggungjawab seorang muslim sepertimana di atas telah diperincikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firman-Nya:

 

Allah menamakan kamu “al-Muslimin” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu

dan supaya kamu pula menjadi saksi yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang benar dan salah). Oleh itu dirikanlah sembahyang dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia-lah Pelindung kamu.

Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia-lah sahaja sebaik-baik Pelindung

dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

[al-Hajj 22:78]

 

 

 

 

 

 

Pengenalan

 

Dasar Pertama:

Moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai.

 

Dasar Kedua:

Isu moral bukanlah urusan pemerintah atau undang-undang.

 

Kesimpulan

 

 

 

 

Kandungan