Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Enforcing Public Morality:
Satu Analisa Ke Atas Kertas Kerja Zainah Anwar

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Dasar Pertama:

Moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai.

Kertas kerja tersebut menyatakan bahawa ukuran moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai (public consensus) yang diwakili oleh pihak daripada semua agama dan lapisan, tidak sekadar pihak berwajib agama Islam. Sebagai contoh, melakukan hubungan seks di hadapan khalayak ramai adalah satu tindakan yang tidak bermoral menurut kesepakatan orang ramai. Justeru tidak mengapa jika undang-undang moral dikuatkuasakan ke atas tindakan sedemikian.

 

Analisa:

Sesungguhnya di sisi manusia memang terdapat pelbagai cara atau jalan untuk menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Di antara jalan-jalan ini, yang mana satukah yang betul? Bagi seorang muslim dan mukmin, jalan tersebut ialah jalan Islam dan bukan jalan-jalan yang lain. Ini telah diingatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus,

maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’am 6:153]

 

 

Sehubungan dengan ayat di atas, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 4142 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth, ‘Abd Allah bin Mas’ud radhiallahu 'anh menerangkan:

 

 

(Pada suatu ketika) Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam

menggariskan kepada kami satu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah.”

Kemudian baginda menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.

 

Kemudian baginda membacakan ayat: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.”

 

Di antara jalan yang mencerai-beraikan umat Islam daripada jalan Allah ialah menggunakan jalan lain, seperti kesepakatan orang ramai, untuk menentukan moral yang baik atau buruk. Jalan ini bukan sahaja menyimpang daripada jalan Islam, tetapi juga telah dikenal pasti oleh Islam sebagai satu jalan yang tidak mampu membawa manusia ke arah kebaikan yang hakiki, malah justeru ke arah keburukan dan kerosakan.

Sebabnya, majoriti manusia (baca: kesepakatan orang ramai) menentukan sesuatu kebaikan atau keburukan berdasarkan sangkaan dan hawa nafsu, bukan pengetahuan yang sebenar. Perkara ini dikhabarkan oleh Yang mencipta manusia itu sendiri, Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja,

(padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. [Yunus 10:36]

 

 

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman:

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas. [al-An’am 6:119]

 

 

Menggunakan hawa nafsu sebagai pedoman dalam menentukan yang baik atau buruk tidak akan membawa manusia ke arah destinasi kebaikan yang hakiki. Ini kerana hawa nafsu itu adalah sumber kerosakan bagi manusia dan segala yang ada:

 

Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,

kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). [Yusuf 12:53]

 

 

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman:

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada. [al-Mukminun 23:71]

 

Atas sebab-sebab di ataslah Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengingatkan kita umat Islam agar tidak mengikuti jalan yang ditempuh oleh majoriti manusia. Kecenderungan majoriti manusia kepada sangkaan dan hawa nafsu akan menyesat kita daripada jalan Allah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. [al-An’am 6:116]

 

 

Semua ini mengembalikan kita kepada ayat pertama yang dikemukakan di atas, iaitu firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud:

 

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus,

maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan

(yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’am 6:153]

 

 

Oleh itu seorang muslim dan mukmin tidak menerima “kesepakatan orang ramai” sebagai ukuran penentu moral yang baik atau buruk. Akan tetapi ukuran yang diterima ialah apa yang ditentukan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Menggunakan ukuran “kesepakatan orang ramai” tidak sahaja ditolak berdasarkan dalil-dalil Ilahi, tetapi juga oleh pemikiran yang sihat lagi adil. Ini kerana manusia sentiasa berbeza-beza penilaian mereka dalam menentukan moral yang baik dan buruk. Lebih dari itu, seandainya manusia dapat bersepakat dalam menentukan moral yang baik dan buruk, kesepakatan tersebut tidak akan bertahan lama. Apa yang dianggap baik pada masa kini akan dianggap buruk pada masa akan datang dan demikianlah sebaliknya. Tidak sekadar itu, moral yang dianggap baik pada satu lokasi mungkin dianggap buruk di lokasi yang lain, dan demikianlah juga sebaliknya.

Semua ini menunjukkan bahawa ukuran kesepakatan orang ramai” hanyalah satu teori yang fiktif (fictitious), mustahil wujud secara realiti. Kemustahilan ini mengarah kepada kemustahilan mewujudkan satu undang-undang moral. Ini berakhir dengan negara tidak memiliki apa-apa undang-undang moral. Apabila negara tidak memiliki undang-undang moral, tingkah laku tidak bermoral, daripada perbuatan tidak senonoh yang kecil sehinggalah jenayah yang besar, akan berleluasa sehingga ke tahap yang tidak dapat digambarkan.

Tingkah laku tidak bermoral akan turut memberi kesan kepada pihak yang pada asalnya mengusulkan teori kesepakatan orang ramai”. Akan tetapi tidak ada apa-apa yang dapat mereka lakukan untuk menegah dan menghukumnya. Ini kerana tidak wujud kesepakatan orang ramai” untuk mengatakan bahawa ia adalah tingkah laku yang tidak bermoral sehingga patut ditegah dan dihukum.

Semua ini menunjukkan bahawa undang-undang moral tidak akan dapat dibentuk melalui “kesepakatan orang ramai”. Sebabnya adalah mudah, manusia tidak dapat menentukan moral manusia. Hanya yang mencipta manusia dapat menentukan moral manusia, iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

 

 

 

 

 

 

Pengenalan

 

Dasar Kedua:

Isu moral bukanlah urusan pemerintah atau undang-undang.

 

Dasar Ketiga:

Menyelaraskan rukun-rukun keimanan dengan arus semasa.

 

Kesimpulan

 

 

 

 

Kandungan