|
Membedah Kotak Pemikiran Astora Jabat Tok Janggut |
||
|
Method Pemikiran Astora:
|
Method pemikiran AstoraMethod pemikiran Astora Jabat dinilai oleh penulis dari penulisannya, siri ceramah dan juga perdebatan secara peribadi melalui kaedah maya dengan beliau. Insya-Allah serba sedikit, tulisan ini bertujuan memberikan sedikit gambaran kepada kaedah atau manhaj yang digunakan oleh penulis bernama Astora Jabat
Method Pertama: Mendahulukan akal daripada naqal.[1]
Islam datang membebaskan akal manusia daripada tercengkam dengan pemikiran kolot, tahayul dan jumud.[2] Memelihara akal adalah di antara Maqosid (tujuan) syarak Islam. Namun begitu kebebasan yang diberikan oleh Islam bukanlah kebebasan mutlak melainkan kebebasan akal yang dipandu oleh nas Islam itu sendiri. Ini kerana akal bukanlah Tuhan yang membuat syariat untuk manusia dan menerangkan untuk mereka hukum-hukum agama mereka. Pandangan akal sepatutnya “tidak melampaui had kefahaman terhadap nas naqli. Sekiranya kita membenarkan akal melangkahi batasan nas naqli, maka nas naqli itu tidak ada faedahnya. Bahkan akan membawa kepada pembatalan syariah keseluruhannya kerana syariah membataskan bagi mukallaf dengan satu batasan yang mengandungi akidah kepercayaan, percakapan dan perbuatan”[3]
Berkata Al-Imam al-Syathibi:
Apabila bertembung naqli dan aqli dalam pelbagai masalah syarak, maka berdasarkan syarat, naqli didahulukan dan ia adalah diikuti. Akal dikemudiankan dan ia menjadi pengikut. Akal tidak akan diberikan ruang untuk menilainya melainkan dengan kadar yang dibentangkan kepadanya oleh naqli. [4]
Namun begitu, kecenderungan Astora Jabat menggunakan akal mendahului nas jelas dalam banyak tulisan beliau. Di antara yang kita dapat sebutkan di sini:
Pertama: Mengambil pendapat dan pandangan akal semata-mata dan menganggapnya sebagai khilaf. Contoh yang ketara disiarkan oleh beliau di dalam majalan Al Islam keluaran Julai 2004 di bawah tajuk “Cerita karut dalam Israk Mikraj”. Di dalam artikel Julai ini, Astora memetik kata-kata berikut:
Di antara ulama sekarang yang percaya Israk dan Mikraj Rasullulah s.a.w secara jasad dan roh ialah Dr Ahmad Shalabi dari Kuliah Dar al-Ulum, Universiti Kaherah. Cuma beliau menolak beberapa kejadian ganjil (seolah-olah kejadian naik kelangit dan perjalanan ke baitul maqdis dari Mekah itu sudah tidak cukup ganjil –pen) dalam Israk Mikraj itu dan beliau menganggapnya sebagai cerita karut marut termasuk cerita Rasullulah s.a.w menunggang buraq”[5]
Astora menganggap pendapat Dr Ahmad Shalabi ini [6] di dalam buku “al Isra’ wal Mi’raj Dirasah Tashih Lilqadha’ ‘Ala as Shatahaat Wal Khayaal” sebagai perkara yang benar kekarutan, iaitu cerita Rasullulah s.a.w menunggang buraq. Tetapi, Astora tidak memberikan komentar bagaimana pandangan Dr Ahmad Shalabi mengenai hadis Muslim riwayat Anas b Malik r.a yang dipetiknya pada permulaan artikel ini. Hadis tersebut berbunyi:
Anas bin Malik berkata Rasullulah s.a.w bersabda “Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan badan sehingga perut buraq itu mencecah bumi. Baginda bersabda lagi “aku terus menunggangnya sehingga sampai ke BaitulMaqdis.” (Hadis sahih riwayat Muslim)
Adakah Astora menyatakan mana-mana ulama boleh membatalkan nas yang dibentangkan lantas ia menjadi khilaf? Malangnya method Astora mentarjih nas langsung tidak bertepatan dengan kaedah ilmu. Dia hanya mengemukakan pendapat ulama tersebut tanpa menukilkan hujah-hujahnya. Lantas terus membuat kesimpulan dari kata-kata Dr Ahmad Shalabi tersebut mengenai kekarutan Rasullulah s.a.w menunggang buraq. Apakah akal manusia dapat mengatasi naqal yang sahih? Inilah kecenderungan pendapat Astora yang tertolak.
Kedua: Contoh kedua dalam mendahulukan logik akal[7] di atas nas ialah di dalam perbincangan mengenai azab kubur. Astora beranggapan bahawa azab kubur tidak wujud kerana salah satu hujahnya ia menyanggah logik akal. Menurutnya, bagaimana dengan manusia yang mati terbakar, meletup, hanyut dalam air dan sebagainya yang tidak mempunyai kubur? Apakah mereka tidak disiksa? Jelas inilah pemikiran yang mendahulukan akal dari nas. Astora gagal memahami bahawa pertama Allah mampu melakukan apa sahaja termasuk memberi ganjaran kubur kepada mereka yang tidak bertemu jasadnya dengan tanah (tidak mempunyai kubur). Kedua, jelas di sini kedangkalan dan kegagalan pemikiran dan ilmu Astora untuk memahami dan membezakan konsep kubur dan konsep alam barzakh.[8]
Ketiga: Menyimpulkan suatu perkara lain dan lari dari maksud yang ditetapkan merupakan kaedah yang selalu digunakan oleh Astora. Dengan kata lain, apa yang selalu dilakukannya ialah sama ada mengambil kata-kata ulama luar dari konteksnya atau mengambil nas naqli dan kemudian mentafsirkan sendiri dengan akalnya tanpa sebarang rujukan bagi menyokong kata-kata tersebut.
Kita ambil contoh mudah apabila beliau memetik kata-kata Dr Yusuf Al Qaradawi daripada bukunya Malaamih al-Mujtama' al-Muslim allazi Nansyududuhu, bahagian ke lapan dan kemudian meletakkan tajuk utama artikel tersebut sebagai “Nabi suruh tolak hudud”[9] Namun begitu, bagi sesiapa yang membaca secara menyeluruh buku tersebut dan buku-buku lain karya Dr Yusuf Al Qaradawi akan memahami apakah maksud hadis nabi tersebut. Ia tidak lain membawa maksud bahawa sebarang pembuktian perlu dilakukan dengan memastikan bahawa hakim telah berpuas hati “melampaui keraguan munasabah” (beyond reasonable doubt) bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang didakwa. Prinsip ini juga merupakan prinsip penghukuman jenayah di dalam negara ini.[10] Sekiranya terdapat keraguan di dalam pemikiran hakim, maka si tertuduh akan terlepas atau mungkin dikenakan hukuman yang lebih ringan.
Kewujudan prinsip melampaui keraguan munasabah ini[11] di dalam hukum jenayah negara ini tidaklah bermakna bahawa hukuman jenayah tersebut tidak langsung wujud serta ditolak oleh si hakim dan perlembagaan negara ini. Begitu juga perihalnya dengan keraguan yang dimaksudkan oleh hukum hudud. Sekiranya terdapat keraguan di dalam pembuktian pertuduhan, contohnya zina, maka hukuman hudud tidak jatuh ke atasnya. Namun begitu, tidak bermakna, Rasullulah s.a.w, para sahabat, ulama terdahulu dan masa kini (termasuk Dr Yusuf Al Qaradawi) menolak hukum hudud dan kewajipan pelaksanaannya. Tetapi, dengan tajuk pada Utusan Malaysia sebegini besar, Astora Jabat sekaligus seolah-olah telah memberikan kesimpulan secara tersirat bahawa Dr Qaradawi cenderung untuk menolak hukum hudud.
Keempat: Antara kecenderungan Astora Jabat yang lain ialah beliau tidak melihat hadis secara totalitas, juga tidak melihat pendapat ulama secara menyeluruh. Beliau mengambil sekadar yang perlu dan kemudian membiarkan akalnya memandu syarak dan bukan sebaliknya. Contoh terbaik yang dapat kita berikan ialah mengenai isu hadis Ahad. Hadis ahad ialah hadis yang diriwayatkan oleh kurang dari 3 jalan. Lantas ia di klasifikasikan sebagai hadis ahad. Hadis ahad ini ada yang berstatus sahih, hasan, dhaif dan maudhu’ (palsu) sesuai dengan method ukuran yang telah ditetapkan dalam ilmu hadis.
Ulama hadis tidak membezakan di antara hadis sahih dan selain darinya berdasarkan kepada ramainya perawi yang meriwayatkanya. Selagi mana hadis tersebut sahih, tidak kira ia ahad atau mutawatir, ia tetap diterima sebagai sumber aqidah dan hukum. Sebahagian ulama ushul terkemudian ada yang berpendapat hadis ahad tidak membawa ilmu yang yakin dalam persoalan aqidah. Namun pendapat ini hanya valid apabila hadis ahad tersebut berdiri dengan sendirinya. Jika hadis ahad tersebut memiliki pelbagai pembuktian yang lain atau telah menjadi iktikad umat sejak dari zaman Salaf, maka ia tetap dijadikan dalil dalam persoalan aqidah.
Namun begitu, Astora tidak berpandangan demikian. Akalnya menyatakan bahawa hadis ahad adalah hadis yang tertolak kerana bilangan perawinya yang sedikit.[12] Penolakan Astora ini juga sekaligus telah membakul sampahkan lebih 90% hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis. Beliau menolak penggunaan hadis-hadis ahad dalam masalah aqidah dengan berpandukan kata-kata ulama terkemudian tetapi gagal memahami apakah yang dimaksudkan oleh ulama-ulama tersebut akan syarat-syarat penolakan dan penerimaan hadis ahad dalam masalah aqidah.[13]
[1] Yang dimaksudkan dengan naqal/naqli ialah sumber wahyu: al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. [2] Rujuk surah al Baqarah: 164, Ali Imran: 190-191 dan sebagainya. [3] Mu’awwiyat Tathbiq Al Syariah (Halangan-halangan Pelaksanaan Syariah Islam) oleh Prof. Manna’ Khalil Al Qathtahn terjemahan Maktabah al Qaradawi 1998 ms 121-122. Rujuk juga Al Muwafaqat Juzuk 1 [4] Al Muwafaqat Juzuk 1 ms 49-50 [5] Al Islam Cerita karut Marut dalam Israk dan Mikraj oleh Astora Jabat Julai 2004 ms 29 [6] Jika benar seperti dakwaan Astora mengenai tulisan ini kerana Astora memang terkenal cenderung mengambil pendapat di luar konteks apa yang dibincangkan. [7] Padahal akal manusia itu terbatas seperti deria manusia yang lain. Untuk perbincangan lanjut mengenai perkara ini boleh mendapati buku yang ditulis oleh Ustaz Ali Tantawi bertajuk “Islam yang semestinya di fahami” terbitan dan terjemahan Pustaka Salam Malaysia. [8] Perbincangan alam barzakh telah banyak dibincangkan oleh ulama dahulu dan masa kini. Secara asasnya alam barzakh bukanlah kubur seperti yang kita lihat ditanah-tanah perkuburan. Rujuk juga artikel mengenai azab kubur oleh Ustaz Dr. Abdullah Yasin dan Ustaz Dr. Mohd. Asri dalam buku ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Alam Barzakh ini. [9] Utusan Malaysia 2hb Ogos 2002 [10] Secara asasnya pendakwaraya mestilah membuktikan “melampaui keraguan mubasabah” bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang didakwa. Sekiranya pendakwaraya gagal memenuhi prinsip ini, maka hakim wajib menggugurkan tuduhan dan menganggap tertuduh tidak bersalah. [11] Wujud juga prinsip “adalah lebih baik membebaskan sepuluh orang yang bersalah daripada menghukum seorang yang tidak bersalah” di dalam undang-undang jenayah. [12] Kurang daripada 3 orang perawi dalam satu-satu hadis. [13] Pencerahan mengenai perkara ini telah diterangkan secara panjang lebar oleh Hafiz Firdaus dalam artikelnya berkenaan hadis ahad dalam buku ini.
|
|
|
HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1 Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah |
||