Kedudukan Hadis Ahad: Dari zaman awal Islam sehingga kini. 

Hafiz Firdaus Abdullah.

 

 

Pengenalan

Hadis Ahad:

Kedudukan Pada Awal Zaman Islam

Kedudukan Selepas Zaman Awal Islam

 

 

Kandungan

 

 

 

Apakah Hadis Ahad?

 

Ringkasnya, sumber-sumber ilmu Mustholah Hadis mendefinisikan hadis ahad sebagai sebuah hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja, khasnya di tingkatan pertama, yakni tingkatan para sahabat. Ini berbeza dengan hadis mutawatir di mana ia adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi (melebihi 4) sehingga tidak mungkin mereka berbuat silap dalam meriwayatkannya.

 

 

Kedudukan Hadis Ahad Pada Zaman Awal Islam.

 

Pembahagian hadis kepada sifat mutawatir dan ahad tidak dikenali pada zaman awal Islam, tepatnya pada zaman generasi Salaf. Bagi mereka, syarat untuk diterima sesebuah hadis sama ada dalam persoalan aqidah mahupun hukum adalah kesahihan sanadnya tanpa mempersoalkan sama ada ia bersifat mutawatir atau ahad.

 

Insya-Allah dalam artikel ini penulis akan memperincikan kenyataan di atas. Kita mulakan dengan mengkaji kedudukan hadis ahad di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pada zaman baginda, apa-apa ajaran Islam sama ada dalam bidang aqidah mahupun hukum disampaikan kepada umat secara berseorangan dan berkumpulan. Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Tidak sepatutnya bagi orang-orang Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang (طائفة) untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” [Surah al-Taubah 9:122]

 

Ayat di atas memerintahkan “beberapa orang” untuk tidak keluar berperang, sebaliknya tinggal untuk mengajar agama kepada kaum mereka. Maksud “mengajar agama” adalah umum merangkumi aqidah dan selainnya. Istilah “beberapa orang” boleh mewakili seorang atau dua atau lebih, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam sebuah ayat yang lain:

 

“Dan jika ada dua golongan (طائفتان) dari orang-orang mukmin yang berperang maka damaikanlah antara keduanya.” [Surah al-Hujerat 49:09]

 

Berkata al-Imam al-Bukhari rahimahullah (256H):

Jika hanya dua orang yang berperang, mereka termasuk dalam makna ayat di atas. [al-Jami’ al-Shahih (Dar al-Fikr, Beirut 1993M), jld. 9, ms. 280]

 

Oleh kerana itu kita mendapati ajaran Islam pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam disampaikan oleh para sahabat secara perseorangan atau berkumpulan dan tidak beramai-ramai dalam jumlah yang besar. Masyarakat mendengar ajaran tersebut tanpa mempersoalkan jumlah sahabat yang menyampaikannya. Pendek kata tidak timbul persoalan ahad atau mutawatir. Al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah (751H) berkata:

 

Termasuk hal ini (kedudukan hadis ahad) ialah pengkhabaran sebahagian sahabat kepada sebahagian yang lain kerana mereka sesungguhnya berpegang teguh kepada hadis yang disampaikan oleh salah seorang dari mereka daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tidak ada seorangpun daripada mereka yang berkata kepada orang yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah bahwa hadis kamu adalah hadis ahad yang tidak memberi faedah ilmu sehinggalah (ia bersifat) mutawatir. [Mukhtasar al-Shawa‘iq al-Mursalah (tahqiq: Ridhwan Jami’ Ridhwan; Dar al-Fikr, Beirut 1997M), ms. 712]

 

Manhaj ini diteruskan selepas zaman kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Para sahabat radhiallahu 'anhum berusaha keras menyampaikan ajaran Islam ke pelbagai wilayah baru. Mereka bergerak secara bersendirian atau berkumpulan namun tidak dalam jumlah yang besar. Orang ramai, yakni generasi tabi‘in beriktikad dan beramal dengan setiap hadis yang sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tanpa bertanya sama ada ia disampaikan secara ahad atau mutawatir.

 

Manhaj ini berlanjutan sehingga ke zaman para imam mazhab yang empat. Jika kita mengkaji iktikad mereka dalam perkara-perkara aqidah, jelas bahawa mereka menjadikan hadis yang sahih sebagai dalil tanpa membezakan sama ada ia bersifat ahad atau mutawatir. Al-Imam al-Syafi‘iy rahimahullah (204H) pernah ditanya oleh Sa‘id bin Asad berkenaan hadis umat Islam melihat Allah pada Hari Akhirat, beliau menjawab:

 

Wahai Ibn Asad, putuskanlah ke atas aku baik semasa aku masih hidup atau sudah mati bahawa apa sahaja hadis yang sahih daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam maka ia menjadi pendapat (pegangan) aku sekalipun ia tidak sampai kepada aku. [Riwayat al-Imam al-Baihaqi (458H) dalam Manaqib al-Syafi‘iy (edisi ringkas oleh Muhammad Nur al-Din al-Banjari; Majlis al-Banjari li al-Tafaqquh al-Din 1996M), jld. 1, ms. 227].

 

Perhatikan bahawa al-Imam al-Syafi‘iy tidak mensyaratkan bahawa hadis itu perlu bersifat mutawatir, yang disyaratkan hanyalah ia memiliki sanad yang sahih.

 

Manhaj yang seumpama juga dipegang oleh al-Imam Abu Hanifah rahimahullah (150H). Diriwayatkan daripada beliau:

 

Kami menetapkan bahawasanya azab kubur (benar) wujud, ianya tidak mustahil dan kami menetapkan bahawa soal Munkar dan Nakir adalah hak sebagaimana yang datang (diriwayatkan) oleh hadis-hadis. [al-Washiyyah, ms. 23 sebagaimana dikemukakan oleh Muhammad bin ‘Abd al-Rahman dalam Usul al-Din ‘inda al-Imam Abi Hanifah (Dar al-Shami‘in, Riyadh 1996M), ms. 504]

 

Al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah (597H) meriwayatkan daripada Musaddad bin Musarhad al-Bashri bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (241H) berkata:

 

(Timbangan) al-Mizan adalah benar, (titian) al-Shirath adalah benar, beriman kepada (telaga) al-Haudh dan al-Syafa‘at adalah benar, demikian juga beriman kepada al-‘Arsy dan al-Kursi dan beriman kepada malaikat maut bahawa ia mencabut ruh dan kemudian dikembalikan ruh kepada jasad. Juga beriman dengan peniupan sangkakala dan keluarnya dajjal ke atas umatnya dan turunnya ‘Isa ibni Maryam lalu dibunuhnya (dajjal tersebut). [Manaqib al-Imam Ahmad bin Hanbal, ms. 169 sebagaimana dikemukakan oleh ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki dalam Usul Mazhab al-Imam Ahmad: Dirasat Usuliyyah Muqaranah (Muassasah al-Risalah, Beirut 1998M), ms. 314].

 

Jelas bahawa sebahagian daripada perkara-perkara aqidah yang ditetapkan oleh al-Imam Ahmad di atas hanya disebut oleh hadis yang bersifat ahad namun berdarjat sahih.

 

Inilah juga manhaj al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (179H) dan tokoh-tokoh lain yang sezaman dengan para imam mazhab yang empat. Al-Walid bin Muslim rahimahullah (194H) berkata:

 

Aku bertanya kepada Sufyan al-Tsauri (160H), Malik bin Anas (179H), ‘Abd al-Rahman al-Auza‘iy (157H) dan al-Laits bin Sa‘ad (174H) berkenaan hadis-hadis melihat Allah (pada Hari Akhirat) dan yang semisal, mereka berkata: Kami beriman kepadanya dengan membiarkan ia sebagaimana ia datang tanpa menafsirkanya. [Riwayat al-Imam Ibn Mandah (395H) dalam Asma’ Allah ‘Azza wa Jalla wa Shifatihi ‘ala al-Ittifaq wa al-Tafarrud (tahqiq: ‘Ali bin Muhammad bin Nashr; Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, Madinah 2002M), jld. 3, ms. 115]

 

Demikian beberapa contoh pegangan para tokoh zaman awal Islam yang menjadikan hadis sahih sebagai sumber iktikad dan amalan tanpa membezakan sama ada ia mutawatir atau ahad. Inilah pegangan yang benar berdasarkan beberapa sebab:

  1. Faktor kemungkinan berlakunya kesilapan dalam periwayatan seorang atau dua perawi disifarkan berdasarkan kaedah semakan sanad dan status para perawi hadis (al-Jarh wa al-Ta’dil). Apabila seorang perawi bebas daripada sebarang kekurangan atau kecacatan, maka sekaligus dia juga bebas daripada kemungkinan berbuat silap.

  2. Antara perkara yang diperhatikan dalam menilai seorang perawi ialah (a) bertaqwa dengan ketaqwaan yang teguh lagi tinggi, (b) memelihara maruah dan (c) tidak melakukan kesalahan seperti maksiat dan bid‘ah (‘Adl); kemudiannya (d) berkemampuan untuk memelihara dan menyampaikan hadis yang mereka terima secara benar pada bila-bila sahaja diminta untuk berbuat demikian (Dhabith). Sifat-sifat ini menjamin seseorang perawi itu tidak akan menyampaikan sesuatu hadis melainkan dia benar-benar yakin bahawa ia berasal daripada Rasulullah secara lengkap lagi sempurna.

Setiap hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadi hujah ke atas umat Islam tanpa mengira sama ada baginda meyampaikannya kepada seorang, dua orang atau ramai orang. Seandainya baginda shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui bahawa sabdanya tidak mampu diriwayatkan secara benar oleh seorang sahaja, baginda tidak akan menyampaikan apa-apa ajaran Islam melainkan dalam suasana orang ramai seperti khutbah.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah