Kata Pengantar
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Salam dan Selawat kepada Rasulullah, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda dan semua generasi umat Islam yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti mereka.
Alhamdulillah, ini adalah Buku 2 daripada siri Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah. Sebelum ini telah terbit Buku 1 dan ia mendapat sambutan yang amat baik daripada kalangan pecinta ilmu. Buku-buku dalam siri ini sengaja saya usahakan untuk memenuhi citarasa para pecinta ilmu dalam beberapa isu dan persoalan umat Islam terkini.
Subjek yang dibincangkan dalam Buku 2 ini antara lain berkenaan hukum para pejuang Palestin yang meletupkan bom pada dirinya (Operasi Berani Mati), penilaian sebenar antara wanita bekerjaya dan suri rumah yang menjaga anak, isu Isra’ dan Mi’raj yang menurut Astora Jabat hanya berlaku ke atas ruh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan aliran Fiqh Lintas Agama yang mendakwa semua agama adalah sama.
Para penyumbang risalah dalam buku terdiri daripada rakan-rakan penulis. Sebahagian besar daripada mereka, termasuk diri penulis sendiri, tidak memiliki latar belakang pendidikan agama yang formal. Namun atas sikap kepekaan terhadap agama dan keprihatinan terhadap isu-isu umat, mereka mengusahakan sesuatu agar dapat menepati firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
[Ali Imran 3:110]
Sesungguhnya umat Islam hanya akan menjadi umat yang terbaik dengan berusaha menegakkan apa yang baik dan membasmi apa yang buruk (amar ma’ruf dan nahi mungkar) berdasarkan ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Semua penyumbang risalah dalam Buku 1 dan Buku 2 ini menulis tanpa meminta apa-apa bayaran dan demikian juga, buku ini diterbitkan tanpa apa-apa ikatan royalti. Para pembaca sekalian dialu-alukan menyebarkan risalah-risalah yang terkandung di dalamnya kepada orang ramai. Buku ini juga disediakan dalam bentuk e-book dan boleh dibaca dan disebarkan secara percuma di www.al-firdaus.com
Wassalamua‘alaikum warahmatullah
Hafiz Firdaus Abdullah
10 November 2004 |