|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
BAHAGIAN KEDUA 20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut Jenis Khutbah Khutbah A disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada 9 Zulhijjah di Padang Arafah semasa Haji Wida’nya sebagaimana terang Jabir bin ‘Abd Allah secara terperinci [155] Khutbah B, menurut susunan al-Dhahabi, [156] disampaikan oleh Rasulullah semasa atau selepas Hari-hari Tasyrik (11,12,13 Zulhijjah), selepas turunnya ayat ke-3 surah al-Maidah. Khutbah C disampaikan oleh Rasulullah dalam perjalanan balik dari Kota Mekah pada 18 Zulhijjah di sebuah wadi perairan Khumm, terkenal dengan gelaran Ghadir Khumm.[157] Tempat ini terletak berhampiran daerah Jahfah, di antara Mekah dan Madinah. Faktor percanggahan, atau yang lebih tepat – sebab perbezaan – khutbah-khutbah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di atas adalah kerana baginda menyampaikannya pada suasana dan kepada individu yang berlainan. Khutbah A disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah, yang mengikut jangkaan ahli sejarah melebihi 140,000 orang. Di ketika ini Rasulullah berpesan agar berpegang teguh kepada al-Qur’an sahaja kerana beliau sedia mengetahui bahawa majoriti umat yang hadir adalah mereka yang datang dari seluruh pelusuk dan penjuru dunia Islam. Mereka datang beramai-ramai atas jemputan Rasulullah sendiri atau setelah mendengar berita bahawa Rasulullah akan menunaikan haji. Mereka ini umumnya tidak pernah menemui Rasulullah sebelum itu, apatah lagi untuk mengenal dan mentaati sunnah-sunnah tersebut. Seandainya Rasulullah berpesan kepada mereka untuk berpegang teguh kepada al-Qur’an dan Sunnahnya, pasti mereka akan tertanya-tanya apa dan bagaimana sunnah tersebut. Oleh itu adalah pilihan yang tepat untuk menyuruh mereka berpegang kepada al-Qur’an kerana mereka sedia mengenali dan mengetahuinya. Di dalam al-Qur’an mereka akan mengetahui kepentingan sunnah Rasulullah dan dari itu mereka akan mula berusaha mengenali dan mendalaminya dengan merujuk dan bertanya kepada para sahabat radiallahu ‘anhum. Khutbah B disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika ibadah haji hampir selesai ataupun sudah selesai. Ketika itu orang ramai yang turut serta dengan beliau sejak dari Padang Arafah pada 9 Zulhijjah, kemudian bermalam di Mudzalifah, melakukan korban pada 10 Zulhijjah, diikuti dengan bermalam 3 hari di Mina, sudahpun sedikit sebanyak mengenal beliau dan mengetahui apakah sunnah-sunnah beliau, sama ada dalam rangka ibadah haji mahupun dalam pelbagai perbuatan ibadah selainnya, termasuk sunnah-sunnah beliau dalam akhlak, moral, adab dan etika kehidupan sehari-harian. Malah di ketika itu juga telah turun ayat yang menerangkan kesempurnaan agama Islam sebagai agama yang diredhai oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. [al-Maidah 5:03] Maka antara Khutbah A dan B tidak wujud sebarang percanggahan. Setiap darinya menyempurnakan yang lain. Suruhan berpegang kepada al-Qur’an tidaklah bererti meninggalkan al-Sunnah kerana dalam al-Qur’an itu sendiri terdapat perintah untuk berpegang kepada al-Sunnah dan larangan meninggalkannya. Justeru yang tepat Khutbah B memperincikan lagi Khutbah A. Perbezaan antara khutbah A dan B memiliki hikmah yang sangat besar kepada sesiapa yang mahu berfikir. Iaitu apabila berdakwah dengan orang yang belum mengenali Islam atau baru berjinak dengan Islam, kita berdakwah dengan medium al-Qur’an. Setelah mereka memiliki asas dan dasar yang kukuh tentang Islam maka barulah kita memperincikannya dengan sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Umpama mengajar seseorang kaedah solat dan haji, kita gunakan medium al-Qur’an sebagai asas menerangkan kewajipan dan hukumnya, kemudian dirujuk kepada sunnah bagi menerangkan kaedah dan perinciannya. Khutbah C disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di Ghadir Khumm pada 18 Zulhijjah dalam perjalanan balik ke Madinah bagi menyuraikan perselisihan yang wujud antara beberapa sahabat dengan ‘‘Ali bin Abi Talib. Sebelum memulakan ibadah Hajinya, Rasulullah telah mengutus serombongan sahabat diketuai oleh ‘‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu ke Yaman untuk urusan agama. Rombongan ini telah kembali ke Kota Mekah dan sempat melakukan Haji bersama Rasulullah. Beberapa orang dari rombongan tersebut telah mengadu kepada Rasulullah tentang beberapa tindakan ‘Ali yang tidak mereka setujui. Sekian hari aduan-aduan tersebut masih disuarakan sehingga ketika dalam perjalanan balik, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berhenti sebentar di Ghadir Khumm dan berkhutbah kepada semua orang bagi menyuraikan aduan-aduan terhadap ‘Ali. Beliau menerangkan bahawa ‘Ali adalah salah seorang dari ahli keluarganya (Ahli Bait) dan hendaklah semua orang menghormatinya.[158] Khutbah C tidaklah bermaksud supaya umat mentaati dan mengikut ‘Ali bin Abi Talib sebagai salah satu sumber syari‘at, tetapi ia hanya sekadar untuk memperingat kemulian ‘Ali di sisi Rasulullah sehingga ke Hari Kiamat. Demikian 3 khutbah yang nampaknya saling bercanggah kerana ditujukan kepada khalayak (audience) dan suasana yang berbeza. Ia tidak lain hanyalah salah satu dari sifat kebijaksanaan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [155] Lihat teks penuh khutbah ini dari Jabir bin ‘Abd Allah dalam Sahih Muslim, jld 2, ms 240 dan seterusnya.Inilah ucapan sebenar Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dalam khutbahnya di padang Arafah pada 9 Zulhijjah. Teks ini juga boleh dirujuk dalam Sunan Abu Daud – no: 1825, Sahih Ibn Khuzaimah – no: 2809 dan Sahih Ibn Hibban – no: 3944. Kebanyakan buku dan diari Islam menukil khutbah B sebagai khutbah Nabi di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah. Nukilan ini sebenarnya adalah kurang tepat. Lihat penerangan Nasr al-Din al-Albani dalam semakannya terhadap buku Muhammad al-Ghazali yang berjudul Fiqh-us-Seerah, pg 455, fn 2. Juga Akram Diya’ al-‘Umari – Madinan Society at The Time of The Prophet, vol 2, pg 233-234. [156] Siyar A’lam al-Nubula: Sirah al-Nabawiyah, jld 2, ms 295. [157] Lihat teks penuh hadis Khutbah C dalam Sahih Muslim – no: 2408. [158] Lihat Ibn Kathir – al-Bidayah wa Nihayah, jld 5, ms 208 dan seterusnya; Akram Diya’ al-‘Umari – Madinan Society at The Time of The Prophet, vol 2, pg 234. Juga mana-mana kitab sirah lain yang muktabar. Dalam kitab hadis, sila rujuk al-Mubarakfuri – Tuhfat al-Ahwazi, jld 10, ms 144-149.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||