Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

Penjelasan tambahan contoh 13

Di sisi golongan Syi‘ah, mereka menjadikan Khutbah C sebagai dasar pegangan dan sumber syari‘at, iaitu al-Qur’an dan Ahli Bait. Golongan terbesar Syi‘ah, iaitu Syi‘ah Itsna Asyriyah (Syi‘ah 12 Imam) menjadikan keturunan Hussain bin ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhuma sebagai para imam mereka, sehinggalah imam yang ke-11, al-Hasan bin ‘Ali al-Askari (260H). Sementara imam yang ke-12 bagi mereka telah ghaib dan akan turun di satu masa nanti sebagai Imam Mahdi. Para imam ini dijadikan sebagai sumber rujukan dan sandaran syari‘at Islam.

Di sisi golongan Ahli Sunnah wal Jama‘ah, Ahli Bait tidaklah dijadikan sumber rujukan syari‘at. Rujukan Ahli Sunnah wal Jama‘ah adalah al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Ahli Sunnah wal Jama‘ah tidak menjadikan Ahli Bait sebagai sumber rujukan syari‘at kerana sebab-sebab berikut:

Pertama:

Tidak ada ayat di dalam al-Qur’an al-Karim yang menyebut tentang Ahli Bait secara khusus apatah lagi untuk dijadikan sumber rujukan syari‘at. Sememangnya diketahui ada beberapa ayat yang dipaksa-paksa tafsirannya oleh golongan Syi‘ah sebagai mewakili Ahli Bait namun semua tafsiran tersebut adalah tidak tepat dan jauh tersasar dari tujuan asal ayat.

Kedua:

Seandainya benar tafsiran mereka, paling maksimum ia hanyalah pada menerangkan keutamaan Ahli Bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana juga erti yang dibawa oleh Khutbah C yang telah dikemukakan di atas. Hal ini tidaklah menafikan keutamaan para sahabat dan umat Islam seluruhnya, kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengutamakan mereka dengan firman-Nya:

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100]

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. [‘‘Ali Imran 3:110]

Ketiga:

Allah Azza wa Jalla di dalam al-Qur’an berulang-kali hanya memerintahkan ketaatan kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya, tidak kepada Ahli Bait. Di sini jelas bahawa yang sebenarnya menjadi sumber hukum ialah Allah dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam sahaja. Firman Allah:

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”; dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24:51]

Ketaatan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam dikhususkan oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala dalam dua ayat berikut:

Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. [al-Nisaa’ 4:64-65]

Keempat:

Ketaatan kepada manusia memang disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, seperti kepada para pemimpin dan sebagainya. Namun ketaatan tersebut hanyalah dengan syarat bahawa ia tidak melanggar ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Perhatikan firman Allah dalam ayat berikut:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisaa’ 4:59]

Perhatikan bahawa perintah “taat” diletakkan bersebelahan “Allah” dan “Rasulullah” manakala kepada “Ulil Amri” tidak diletakkan perintah “taat” di sebelahnya. Ini menunjukkan bahawa mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak manakala mentaati “Ulil Amri” adalah tidak mutlak. Ketaatan kepada “Ulil Amri” adalah perlu asalkan ia tidak melanggar perintah Allah dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam.

Perhatikan juga bahagian kedua ayat tersebut di mana Allah Azza wa Jalla telah menerangkan bahawa jika timbul perselisihan pendapat sesama umat dalam sesuatu perkara, hendaklah kembali merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mencari jalan penyelesaian. Jauh sekali dari ayat ini terkandung petunjuk untuk mentaati dan merujuk kepada seseorang “Ahli Bait” atau “Imam” dalam urusan syari‘at.

Kelima:

Seseorang pemimpin atau “Ulul Amri” itu terbuka kepada sesiapa dari kalangan umat Islam, ianya tidak khusus kepada Ahli Bait sahaja. Perhatikan firman Allah Ta‘ala berikut ini di mana seorang pemimpin yang bakal dijanjikan untuk memimpin umat disebut secara umum, bererti ianya terbuka kepada sesiapa sahaja:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa;

Dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [al-Nur 24:55] [159]

Keenam:

Jika 5 alasan di atas adalah berdasarkan hujah-hujah naqli, maka kini kita berubah kepada hujah aqli pula. Kita sama-sama ketahui bahawa Khutbah C disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam di hadapan khalayak ramai yang mencapai jumlah beberapa puluh ribu. Maka persoalannya, jika yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah untuk menjadikan Ahli Baitnya sebagai salah satu sumber rujukan syari‘at di sisi al-Qur’an, kenapakah tiada seorangpun yang memahaminya kecuali Golongan Syi‘ah beberapa dekad kemudian ? Adakah kefahaman segelintir masyarakat beberapa dekad terkemudian adalah lebih tepat dari kefahaman ribuan orang yang hadir apabila Khutbah tersebut disampaikan ? Sudah tentu tidak !

Ketujuh:

Antara yang turut hadir ketika Khutbah C disampaikan adalah ‘Ali bin Abi Talib dan lain-lain keluarga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, radiallahu ‘anhum. Namun sepanjang sejarah kehidupan mereka, tidak kita temui khabar yang sahih bahawa mereka menuntut diri mereka untuk dijadikan sumber syari‘at. Malah mereka sendiri sentiasa  berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Adakah Ahli Bait Rasulullah juga tidak memahami Khutbah C atau mereka telah mengkhianati kedudukan yang diiktirafkan ke atas mereka ? Sekali lagi, jawapan bagi kedua-duanya pastilah tidak !

Kelapan:

Jika benar Ahli Bait memiliki hak untuk dijadikan sumber rujukan syari‘at, maka adakah hak ini termasuk kanak-kanak ? Yang dimaksudkan adalah Imam yang ke 9 dan 10, iaitu Muhammad bin ‘Ali bin Ja’far (al-Jawad) (220H) dan ‘Ali bin Muhammad bin Ja’far (al-Hadi) (254H), rahimahullahu Ta‘ala. Kedua-dua Imam al-Jawad dan Imam al-Hadi memegang kedudukan Imam ketika umur masing-masing adalah 8 tahun kerana ayah mereka telah meninggal dunia ketika usia mereka yang masih muda. Maka adakah kanak-kanak yang masih sentiasa diiringi dengan pengasuh dan pendidik dapat dijadikan sumber syari‘at agama ?

Kesembilan:

Jika benar seseorang Imam dari Ahli Bait wajib dijadikan sumber syari‘at, maka bagaimana pula dengan suasana umat yang telah kehilangan Imam ke-12 sejak hampir 1200 tahun ? Adakah dengan ghaibnya imam yang ke-12 tersebut, syari‘at Allah tergantung dan tertangguh sehinggalah dia muncul semula sebagai Imam Mahdi ? Adakah dalam tempoh tersebut umat semuanya berada di dalam kesesatan kerana tidak ada “Imam” yang hendak dijadikan sumber rujukan ?

Di sisi Syi‘ah Itsna Asyriyah, mereka telah berusaha sekuat mampu untuk memberi pelbagai penjelasan untuk membenarkan persoalan-persoalan di atas. Namun di sisi Ahli Sunnah wal Jama‘ah, persoalan ini dan penjelasan yang cuba diberikan terhadapnya, dalam bentuk apa sekalipun, tidak lain hanyalah menguatkan lagi hujah bahawa Ahli Bait bukanlah merupakan sumber rujukan syari‘at.

 

 

===========================

[159]    Pasti sahaja Allah hanya akan menunaikan janji-Nya ini apabila umat seluruhnya benar-benar beriman dan beramal soleh, tidak kucar-kacir lagi keliru sepertimana sekarang ini. Keadaan umat masa kini bukanlah kerana ketiadaan imam tetapi adalah kerana ketiadaan ilmu pengetahuan.

 

 

 
:: laman utama