FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian D:

Fiqh Perlaburan Harta

 

Pada masa kini hampir semua orang yang memiliki harta ingin melaburkannya agar ia berkembang menjadi lebih banyak. Di luar sana terdapat banyak bentuk pelaburan sehingga seseorang sering tertanya-tanya “Pelaburan apakah yang paling menguntungkan?” Di kalangan umat Islam yang prihatin terhadap hukum halal dan haram, mereka tertanya-tanya: “Pelaburan apakah yang halal dan menguntungkan?

 

Pelaburan yang halal amatlah penting kerana keuntungan seperti bonus dan dividen yang diperolehi daripadanya akan menjadi salah satu sumber harta yang kelak akan diaudit oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan kita:

 

لاَ تَزُولُ قَدَمُ ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ

 

حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ

 

عَنْ عُمُرِهِ فِيمَ أَفْنَاهُ

 

وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَ أَبْلاَهُ

 

وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ

 

وَفِيمَ أَنْفَقَهُ

 

وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ.

 

Tidak berganjak dari sisi Allah kedua tapak kaki manusia pada Hari Kiamat (kelak)

sehingga dia ditanya tentang lima perkara:

1.     Tentang umurnya – untuk apa ia dihabiskan,

2.     Tentang masa mudanya – untuk apa ia digunakan,

3.     Tentang hartanya – dari mana ia diperolehi,

4.     (Tentang hartanya) – kepada apa ia dibelanjakan,

5.     Dan apa yang dia amalkan dari ilmu yang dimiliki.[1]

 

Lebih memberatkan, harta yang diperolehi secara tidak halal sama ada melalui pelaburan atau selainnya, lalu kemudian digunakan untuk membeli bahan makanan untuk diri sendiri mahupun ahli keluarga, maka daging yang tumbuh daripadanya akan menjadi bahan bakaran api neraka. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran:

 

إِنَّهُ لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ

 

إِلاَّ كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ.

 

Sesungguhnya tidak akan berkembang[2] daging yang tumbuh dari makanan yang haram

melainkan nerakalah menjadi tempat yang layak baginya.[3]

 

 

Sumber perolehan harta, sama ada melalui pelaburan atau selainnya, juga memberi kesan kepada kemakbulan doa seseorang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menerangkan tentang tindakan seorang yang menadah tangannya ke langit dan berdoa “Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!” akan tetapi:

 

...وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ

 

وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ

 

وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ

 

وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ

 

فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

 

…makanannya (daripada sumber yang) haram,

minumannya (daripada sumber yang) haram

dan pakaiannya (daripada sumber yang) haram

dan daging tubuhnya tumbuh dari yang haram.

Justeru bagaimana mungkin dia mengharapkan doanya dimakbulkan?[4]

 

Oleh itu apabila ingin melakukan pelaburan, sama ada dalam bentuk hartanah, saham syarikat, amanah saham (unit trust), perniagaan dan sebagainya, pastikan ia adalah halal, iaitu:

  1. Anda atau syarikat yang anda labur mengeluarkan zakat, seperti zakat saham atau zakat perniagaan.

  2. Anda atau syarikat yang anda labur tidak terlibat dengan riba pinjaman.

  3. Anda atau syarikat yang anda labur tidak melakukan urusniaga yang dilarang oleh Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam bab pertama dan kedua buku ini.

Selanjutnya:

  1. Apabila melabur melalui amanah saham (unit trust), pastikan syarikat yang mengurusi amanah saham tersebut menepati tiga syarat di atas dan melakukan pelaburan ke dalam syarikat-syarikat yang juga menepati tiga syarat di atas.

  2. Tidak boleh bertaklid (mengikut tanpa mengkaji) sijil atau kelulusan “halal” yang dikeluarkan ke atas syarikat atau amanah saham tertentu melainkan anda ialah orang yang hidup bergayut di atas pokok di pendalaman hutan rimba. Maksud saya:

  1. Kelonggaran bertaklid hanya diberikan kepada orang yang benar-benar tidak faham subjek fiqh harta sekalipun dia telah berusaha sekuat mampu. Golongan ini ialah mereka yang duduk di pendalaman dan mengalami kesukaran yang tidak dapat dielak untuk mendapat ilmu yang sahih. Bagi golongan ini dibolehkan bertaklid sama ada dalam persoalan fiqh harta mahupun hukum-hukum agama yang lain. Seandainya hukum yang mereka taklid adalah salah, beban dosa tidak berada pada bahu mereka tetapi berada pada bahu ilmuan yang mengeluarkan hukum tersebut.

  2. Adapun orang yang memilik kelulusan pendidikan, tinggal di tempat yang bertamadun dan mampu menjana lebihan harta sehingga dapat dilaburkan, maka bagi mereka tidak ada kelonggaran untuk bertaklid. Jika golongan terakhir ini tidak faham subjek fiqh harta, ia tidak lain disebabkan oleh kemalasan diri mereka sendiri.[5]

 


Pelaburan Islam dan Pelaburan Ciptaan Manusia

Syarat-syarat Pelaburan Islam

 

Kandungan
 

 


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2416 (Kitab Shifat al-Qayamah…, Bab Kiamat).

[2] Yakni tubuh badan yang tidak akan membawa manfaat atau pahala kepada tuannya.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 614 (Kitab al-Jumu‘ah, Bab berkenaan keutamaan solat).

[4] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1015 (Kitab al-Zakat, Bab diterimanya sedekah daripada sumber yang baik…).

[5] Lebih lanjut tentang hukum taklid, sila rujuk buku saya Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam terbitan Jahabersa, Johor Bahru.