|
FIQH HARTA: SATU PENGENALAN
Bahagian D: Fiqh Perlaburan Harta
|
|
Pelaburan Islam dan Pelaburan Ciptaan Manusia
Di sebalik kesukaran mengkaji dan menapis pelaburan yang halal atau haram, apa kata saya perkenalkan kepada para pembaca yang budiman sekalian kepada Pelaburan Islam (PI). Ia adalah sesuatu yang benar-benar berasal dari Islam, bukan pelaburan ciptaan manusia (PM) yang kemudiannya dipasarkan dengan nama-nama Arab yang canggih. Pelaburan Islam (PI) memiliki lima perbezaan besar berbanding cara pelaburan ciptaan manusia (PM). Berikut diterangkan perbezaan antara keduanya:[1]
PM: Modal pelaburan tidak dijamin, ia bergantung pada keuntungan atau kerugian.
PM: Dividen bergantung pada keuntungan atau kerugian pelaburan.
PM: Kadar dividen bergantung pada jumlah harta yang dilaburkan.
PM: Pelaburan hendaklah dilakukan terhadap syarikat yang memiliki rekod yang baik. Pelabur perlu menyemak latarbelakang dan prestasi sesebuah syarikat sebelum melabur.
PM: Pelaburan hanya boleh dilakukan dengan matawang.
Berikut diterangkan portfolio pelaburan Islam yang dimaksudkan. Keterangan ini boleh dirujuk sepenuhnya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Hanya dalam kedua-dua rujukan ini, pelaburan disebut sebagai sedekah, infaq dan perbelanjaan di jalan Allah.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan kepada kamu, dan kamu tidak dikurangkan. [al-Baqarah 2:272]
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. [al-Baqarah 2:261]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjamin:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلاَّ عِزًّا
وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ.
Tidaklah sedekah itu menyusutkan harta dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat kemaafannya melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang bersifat rendah diri kerana Allah melainkan Allah menaikkan darjatnya.[2]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
سَبَقَ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ.
قَالُوا: وَكَيْفَ؟
قَالَ: كَانَ لِرَجُلٍ دِرْهَمَانِ تَصَدَّقَ بِأَحَدِهِمَا
وَانْطَلَقَ رَجُلٌ إِلَى عُرْضِ مَالِهِ
فَأَخَذَ مِنْهُ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ فَتَصَدَّقَ بِهَا.
“Satu dirham, pahalanya lebih besar daripada seratus ribu dirham.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana (hal itu boleh terjadi)?” Rasulullah menjawab: “Seorang yang memiliki dua dirham lalu dia mensedekahkan satu dirham dan seorang (lain) yang pergi ke tempatnya (di mana disimpan) harta yang melimpah, diambilnya seratus ribu dirham lalu disedekahkannya.”[3]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
قَالَ رَجُلٌ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ
فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ
فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ
فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ.
فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ زَانِيَةٍ
فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ
فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ.
فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ غَنِيٍّ
فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ
فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى سَارِقٍ
وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ.
فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ
أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ
وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا
وَأَمَّا الْغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ.
Seorang lelaki berkata: “Sungguh aku akan bersedekah!” Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu meletakkannya di tangan seorang pencuri. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercakap-cakap: “Sedekah diberikan kepada pencuri!” Lelaki itu menjawab: “Ya Allah! Bagimu segala pujian. Sungguh aku akan bersedekah (lagi).”
Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu meletakkannya di tangan seorang penzina. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercakap-cakap: “Sedekah diberikan malam tadi kepada penzina!” Lelaki itu menjawab: “Ya Allah! Bagimu segala pujian (aku telah bersedekah) kepada penzina. Sungguh aku akan bersedekah (lagi).”
Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu meletakkannya di tangan seorang kaya. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercakap-cakap: “Sedekah diberikan kepada orang kaya!” Lelaki itu menjawab: “Ya Allah! Bagimu segala pujian (aku telah bersedekah) kepada pencuri, penzina dan orang kaya.”
(Pada malam hari) dia didatangi oleh seseorang (dalam mimpinya) lalu dikatakan kepadanya: “Adapun sedekah kamu kepada pencuri, mudah-mudahan dapat menahannya dari mencuri. Adapun kepada penzina, mudah-mudahan dapat menahannya dari berzina. Adapun kepada orang kaya, mudah-mudahan dia dapat mengambil iktibar darinya dan mensedekahkan apa yang Allah kurniakan kepadanya.”[4]
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا
إِلاَّ كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً
وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةٌ
وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ مِنْهُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ
وَمَا أَكَلَتْ الطَّيْرُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ
وَلاَّ يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إلاَّ كَانَ لَهُ صَدَقَةٌ.
Tidaklah seorang muslim menanam pokok lalu dimakan daripadanya melainkan ia menjadi sedekah bagi (yang menanam)nya. Apa yang dicuri darinya menjadi sedekah baginya, apa yang dimakan oleh haiwan darinya menjadi sedekah baginya, apa yang dimakan oleh burung darinya menjadi sedekah baginya dan tidak ada sesiapa yang kehilangan sesuatu melainkan ia menjadi sedekah baginya.[5]
[1] Ketika mengkaji tentang pelaburan, saya mendapati apa yang dilakukan pada masa kini ialah mengambil konsep pelaburan dari orang Barat dan kemudian mengislamisasikan. Saya tidak berpuas hati dengan tindakan ini kerana saya yakin Islam memiliki konsep pelaburan yang tersendiri. Setelah mengkaji al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih secara mendalam, alhamdulillah saya menemui konsep pelaburan Islam yang unik lagi berbeza. Konsep inilah yang sedang saya kupas sekarang ini di ruangan utama di atas. Apabila saya menyerahkan skrip buku ini untuk dibaca dan disemak oleh beberapa ahli ekonomi dan perbankan Islam, mereka agak terperanjat dengan konsep Pelaburan Islam (PI) yang saya utarakan. Di antara mereka ada yang berkata, ini adalah pertama kali mereka membaca tentang konsep tersebut. Akan tetapi alhamdulillah, mereka tidak menolaknya atau menganggap ia salah, malah menyetujuinya sebagai sesuatu yang original dari Islam. Di antara pembaca mungkin akan ada yang terperanjat dan tidak setuju. Nasihat saya, ambillah masa untuk memikirkan konsep ini secara mendalam, nescaya anda akan menemui kelebihannya berbanding Pelaburan Manusia (PM). [2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2588 (Kitab al-Birr…, Bab disukai sifat pemaaf dan rendah diri). [3] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 2526 (Kitab al-Zakat, Bab sedekah orang yang sedikit hartanya). [4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1421 (Kitab al-Zakat, Bab apabila bersedekah kepada orang kaya sedangkan dia tidak mengetahuinya). [5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1552 (Kitab al-Musaqat, Bab berkongsi dan bermuamalat dengan sebahagian buah dan tanaman).
|