Tarikh 27 Rejab agak masyhur di kalangan umat Islam kerana ia adalah
tarikh yang dikatakan berlakunya peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj. Pada
malam itu dikatakan Rasulullah s.a.w. telah di-Isra’ dari Masjid
al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Kemudian baginda
di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa ke arah langit, melepasi
lapisan-lapisannya sehinggalah ke Sidrat al-Muntaha.
Saya tidak mengingkari peristiwa agung ini. Ia adalah salah satu
mukjizat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya yang teristimewa,
Muhammad. Allah mengkhabarkan peristiwa Isra’ dalam ayat pertama surah
al-Isra’: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan (Isra’) hamba-Nya
(Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid
al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
[al-Isra’ 17:01]
Allah mengkhabarkan peristiwa Mi’raj dalam ayat tiga belas hingga lapan belas surah al-Najm: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidrat al-Muntaha, yang di sisinya terletak Syurga Jannah al-Makwa. (Nabi Muhammad melihat Jibrail dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa (Sidrat al-Muntaha) itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.
Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (pemandangan indah di situ yang dia diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda Tuhannya.” [al-Najm 53:13-18]Memang ada yang cuba mentakwil peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagai konon hanya merupakan mimpi Rasulullah s.a.w.. Alhamdulillah saya telah membantah takwilan ini dalam artikel Isra’ dan Mi’raj: Mukjizat Rasulullah Yang Kedua Terbesar. Ia dimuatkan dalam buku Membongkar Aliran Islam Liberal terbitan Jahabersa, Johor Bahru.