بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.
Pendahuluan.
Topik “Pandangan Ibn Taimiyyah dalam Tasawuf” adalah satu persoalan yang amat penting kepada masyarakat Islam. Paling kurang kepentingan ini terletak dalam dua sudut:
1. Membetulkan salah anggap sebahagian masyarakat Islam yang cenderung kepada ilmu tasawuf bahawa kononnya Ibn Taimiyyah menolak ilmu tasawwuf secara keseluruhannya, malah bertindak keras untuk membasminya.
2. Menjernihkan salah faham sebahagian lain masyarakat Islam yang cenderung kepada manhaj Ibn Taimiyyah akan tetapi tidak menguasainya secara keseluruhan. Mereka tersalah faham bahawa kononnya Ibn Taimiyyah menolak dan membasmi ilmu tasawuf lalu dengan itu mereka juga menolak dan membasmi ilmu tasawwuf.
Insya-Allah dalam ruangan yang serba terbatas ini, penulis akan cuba untuk membetulkan salah anggap dan menjernihkan salah faham di atas. Atas dasar ini penulis membahagikan kertas kerja ini kepada dua bahagian utama, Bahagian Pertama memberi pengenalan umum kepada ilmu tasawuf manakala Bahagian Kedua membahas pandangan Ibn Taimiyyah dalam ilmu tasawuf.