1) Merancang Anak
Saya baru melahirkan anak ketiga. Jarak antara setiap orang anak adalah setahun seorang. Saya bercadang untuk mengamalkan perancangan keluarga tetapi saya agak was-was. Apakah perancangan keluarga dibenarkan dalam Islam? Zaitun, Subang Jaya.
Jawapan:
Perancangan keluarga dibolehkan dalam Islam berdasarkan hadis berikut,
daripada Jabir bin Abdullah: “Kami mempraktikkan azal pada zaman
Rasulullah saw. Perkara ini disampaikan kepada Nabi saw dan baginda tidak
melarangnya.” [Shahih Muslim, no: 1440-2]
Azal ialah tindakan mengeluarkan kemaluan lelaki dari dalam
kemaluan wanita pada saat menghampiri pemancutan air mani. Dalam suasana
ketiadaan peralatan atau perubatan canggih, ia adalah bentuk perancangan
keluarga yang wujud pada zaman Rasulullah saw.
Sekalipun ia dibolehkan, tidaklah bererti perancangan keluarga merupakan
sesuatu yang digalakkan dalam Islam jika seseorang itu tidak memiliki sebab
yang munasabah untuk melakukannya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw:
“Kahwinilah wanita penyayang lagi subur kerana sesungguhnya aku berbangga
dengan banyaknya jumlah kamu (umat Islam) berbanding umat-umat lain.” [Irwa
al-Ghaleel, no: 1784]
Oleh kerana dalam sebuah hadis yang lain, ketika Rasulullah saw ditanya
tentang praktik azal, baginda menjawab dengan ayat yang mengisyaratkan
ketidaksetujuan: “Yang demikian itu ialah menanam kehidupan secara
tersembunyi.” [Sahih Muslim, no: 1442-1]
Kesimpulannya, perancangan keluarga dibolehkan jika kedua-dua pasangan
ibubapa memiliki sebab yang munasabah untuk melakukannya. Antara sebab itu
ialah kadar kemampuan menjaga serta membesarkan anak, tertib persekolahan dan
tempoh menyusu badan.
2) Tidak Boleh Potong Kuku
Saya seorang ibu yang sedang menjalani tempoh berpantang. Saya ada
terdengar sesetengah pendapat mengatakan ibu-ibu yang dalam tempoh berpantang
tidak dibenarkan memotong kuku atau rambut. Boleh beri penjelasan yang tepat
mengikut hukum Islam? Julie, Meru, Klang.
Jawapan:
Ibu yang sedang berpantang ditegah memotong kuku dan rambut kerana mereka
ketika itu dalam tempoh nifas. Segelintir agamawan ada yang melarang memotong
kuku dan rambut ketika haid, nifas dan junub sebelum mandi hadas (mandi wajib)
dengan alasan sebelum pemandian itu, kuku dan rambut itu akan terpisah dalam
keadaan tidak suci.
Namun jika dikaji al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih, tidak ditemui
larangan untuk memotong kuku dan rambut ketika haid, nifas dan junub, padahal
ia adalah fenomena yang lazim berlaku pada zaman itu. Maka dibolehkan memotong
kuku dan rambut seperti biasa sekalipun dalam tempoh berpantang.
3) Gugurkan Kandungan
Seorang teman yang sudah memiliki dua orang anak merancang untuk tidak
mengandung lagi dalam masa terdekat kerana masalah kewangan yang dihadapi. Dia
cuba mengelak dari tidak hamil lagi tetapi dia tidak mengamalkan sebarang
kaedah perancangan kerana masalah penyakit yang dihidapi. Tanpa diduga dia
disahkan hamil sebulan. Dia seperti ingin menggugurkan kandungan tersebut.
Apakah hukumnya? Fauziah, Alor Gajah, Melaka.
Jawapan:
Haram hukumnya bagi seorang ibu yang hamil menggugurkan janinnya tanpa
sebab yang darurat. Maksud darurat yang sesuatu yang melibatkan keselamatan
jiwa dan anggota, hidup dan mati. Adapun
masalah kewangan, ia bukanlah suasana darurat yang membolehkan
pengguguran janin. Allah swt berfirman:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan;
Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya
perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” [al-Isra 17:31]
Perbuatan membunuh anak
boleh jadi selepas atau sebelum kelahirannya. Sebahagian tokoh membezakan
tempoh 120 hari kerana janin hanya diberi nyawa selepas 120 hari. Namun
pembezaan adalah tidak kuat kerana janin yang berumur kurang 120 hari tetap
merupakan kurniaan Allah yang bakal menjadi kehidupan. Menggugurkan janin sekalipun sebelum 120 hari tanpa sebab
darurat bererti menceroboh dalam proses kejadian yang diatur oleh Allah swt: “Sesungguhnya Kami telah aturkan cara
mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih
lelaki dan perempuan)” [al-Insan 76:02]