Kata
Penutup
Alhamdulillah
lengkaplah perbahasan kita ke atas enam ayat “asas” yang paling
masyhur diperhujahkan oleh Syi‘ah dan yang paling memberi kesan
(impact) kepada masyarakat awam Ahl al-Sunnah. Para
pembaca yang terdiri daripada mereka yang (1) berada di dalam Mazhab
Syi‘ah, (2) pernah didakwah oleh Syi‘ah dan (3) bakal
didakwah oleh Syi‘ah akan mendapati bahawa mereka (Syi‘ah)
tidak akan lari daripada menggunakan ayat-ayat ini sebagai hujah, sama
ada secara sebahagian atau keseluruhannya.
Bagi setiap ayat,
perbahasan dimulakan dengan mengemukakan hujah-hujah Syi‘ah
terhadapnya. Ini diikuti dengan jawapan Ahl al-Sunnah ke atas
hujah-hujah tersebut. Jelas bahawa hujah-hujah Syi‘ah dengan
mudah dapat dijawab dengan:
1. Mengkaji
secara teliti ayat al-Qur’an tersebut. Kajian dilakukan dengan
mencermati secara mendalam maksud Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dalam firman-Nya itu. Juga kaitannya dengan ayat sebelum dan
selepasnya.
2. Mengkaji
riwayat-riwayat yang digunakan untuk mentafsir ayat tersebut.
Sebahagian daripada riwayat ini memiliki kecacatan dalam sanadnya,
sebahagian lagi bercanggah dengan petunjuk al-Qur’an manakala
sebahagian lagi – setelah dicermati secara mendalam – sebenarnya
membelakangi hujah yang cuba ditarik oleh Syi‘ah daripadanya.
Jawapan kita ke
atas enam ayat “asas” ini mencukupi untuk meruntuhkan Mazhab Syi‘ah
dari sudut penghujahan ayat-ayat al-Qur’an. Sedia diketahui terdapat
sejumlah ayat lain yang juga digunakan oleh Syi‘ah sebagai
hujah. Namun sengaja penulis tidak memberi perhatian kepadanya kerana:
1. Membahas
dan menjawab kesemua ayat yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah
bererti mengikut di belakang dalam permainan mereka. Yang benar kita
perlu berada di hadapan dan ini tercapai dengan membezakan ayat yang
membentuk “asas” mazhab mereka dan kemudian menjawabnya. Dengan
terjawabnya beberapa ayat “asas” ini, runtuhlah mazhab mereka sehingga
tidak perlu kita beri perhatian kepada ayat-ayat yang lain.
2. Selain
daripada enam ayat “asas” ini, tiada yang memiliki nilai menetapkan
kedudukan maksum dan jawatan khalifah kepada ‘Ali dan ahli keluarganya,
radhiallahu ‘anhum.
3. Selain
daripada enam ayat “asas” ini, ayat-ayat lain yang dijadikan hujah
tidak lebih hanyalah sekadar: Menggunakan riwayat-riwayat yang lemah
dan cacat untuk mengkhususkan ayat yang pada asalnya berbentuk umum.
4. Jika
sekalipun riwayat tersebut terbukti sahih, paling maksimum ia dan ayat
yang dirujuk olehnya hanya membuktikan keutamaan dan kemuliaan ‘Ali
serta ahli keluarganya. Tidak lebih dari itu.
5. Hal
ini tidak mengurangkan keutamaan dan kemuliaan lain-lain sahabat
kerana bagi mereka juga terdapat ayat dan riwayat yang seumpama.
Insya-Allah
penulis akan menyambung buku ini ke Siri Ketiga pula, iaitu:
Jawapan Ahl al-Sunnah
kepada hadis-hadis Rasulullah
yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam persoalan khalifah.
Antara
hadis-hadis yang dimaksudkan:
1. Hadis
al-Ghadir:
Barangsiapa aku adalah Mawlanya maka ‘Ali adalah Mawlanya.
2. Hadis
al-Tsaqalain:
Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian dua perkara yang amat
berharga, yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an) di mana di
dalamnya terdapat hidayah dan (cahaya) nur, maka berpeganglah kepada
Kitab Allah. ……Dan Ahl al-Bait
aku. Aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku,
aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku.
3. Hadis
al-Safinah:
Perumpamaan Ahl al-Baitku kepada kalian adalah bagaikan kapal Nabi Nuh.
Barangsiapa menaikinya pasti dia selamat, barangsiapa tidak menaikinya
pasti dia tenggelam.
4. Hadis
al-Manzilatain: Wahai ‘Ali, kedudukan kamu di sisi aku sebagaimana
kedudukan Harun di sisi Musa.
5. Hadis
Madinah al-‘Ilm: Aku adalah
kota ilmu manakala ‘Ali adalah
pintunya. Barangsiapa yang hendakkan ilmu maka hendaklah masuk melalui
pintunya.
dan lain-lain
lagi.
Bersama kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar
dipermudahkan bagi penulis untuk menyiapkan buku Siri Ketiga
ini.
Wassalamu‘alikum waRahmatullahi waBarakatuh