Kata Penutup

 

 

Untuk menjawab dan menolak sesebuah subjek, kita perlu memiliki asas yang kuat lagi luas mengenainya. Apatah lagi jika subjek yang hendak kita jawab dan tolak itu ialah sesuatu yang amat besar lagi berpengaruh. Alhamdulillah, penulis yakin buku Siri Pertama ini telah melengkapkan para pembaca dengan asas-asas yang perlu untuk menjawab hujah-hujah Syi‘ah al-Rafidhah ke atas Ahl al-Sunnah dalam persoalan Khalifah.

Perbahasan yang paling penting di dalam buku ini yang perlu diberi perhatian oleh para pembaca ialah 5 Strategi Asas Syi‘ah Dalam Berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Mengenal pasti kelima-lima strategi asas ini dan jawapan Ahl al-Sunnah ke atas adalah langkah pertama dan yang paling utama untuk menjawab hujah-hujah Syi‘ah. Malah pengetahuan tentang 5 strategi asas ini adalah bekal yang mencukupi untuk para pembaca sekalian menjawab sendiri hujah-hujah Syi‘ah daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan sejarah.

Sama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar dipermudahkan bagi penulis untuk menyiapkan Siri Kedua buku ini, iaitu menjawab ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam persoalan khalifah. Antara ayat-ayat yang dimaksudkan ialah:

 

  1. Ayat al-That-hir: Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya. [al-Ahzab 33:33]
  2. Ayat al-Wilayah: Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk. [al-Maidah 5:55]
  3. Ayat al-Mawaddah: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23]
  4. Ayat al-Tabligh: Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir. [al-Maidah 5:67]
  5. Ayat al-Mubahalah: Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta". [‘Ali Imran 3:61]
  6. dan lain-lain lagi.

 

Insya-Allah kita bertemu semula dalam buku Siri Kedua. Wassalamu‘alikum waRahmatullahi waBarakatuh.

 

:: Cover :: Index ::