Penjelasannya:
Dalam
melangsungkan usaha dakwah kepada masyarakat Ahl al-Sunnah,
Syi‘ah memiliki 2 kategori orang yang masing-masingnya
memerlukan strategi yang berlainan:
1. Mereka
yang terdiri daripada para tokoh agamawan, intelektual, cendekiawan
dan terpelajar. Bagi kategori pertama ini Syi‘ah menggunakan
strategi ilmiah seperti penggunaan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.
2. Mereka
yang terdiri daripada kalangan orang awam yang memiliki minat di
dalam agama dan ingin mencari ubat bagi rohaninya. Bagi kategori
kedua ini Syi‘ah menggunakan strategi atau pendekatan
psikologi.
Antara
pendekatan psikologi tersebut ialah:
Pendekatan Pertama:
Mengemukakan
skrip dialog antara tokoh Syi‘ah dan tokoh Ahl al-Sunnah
yang terkenal, lalu di dalam dialog tersebut tokoh Ahl al-Sunnah
tidak mampu menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh tokoh
Syi‘ah. Maka akhirnya tokoh Ahl al-Sunnah itu mengalah,
bahkan ada yang keluar dari mazhab Ahl al-Sunnah dan masuk ke
mazhab Syi‘ah.
Kesan psikologinya:
Memandangkan
tokoh besar Ahl al-Sunnah tidak dapat menjawab hujah
Syi‘ah sehingga beralih masuk ke mazhab Syi‘ah, sudah
tentu ini menandakan kebenaran mazhab Syi‘ah.
Contoh dialog
yang dimaksudkan ialah antara Sultan al-Wa‘izin dari Syiraz, Iran
yang mewakili Syi‘ah dan Hafiz Muhammad Rashid serta Syaikh
‘Abd al-Salam dari Kabul, Afghanistan yang mewakili
Ahl al-Sunnah.
Sesi dialog ini masyhur dikenali sebagai peristiwa Peshawar
Nights, didakwa berlangsung di bandar Peshawar yang bermula pada
23 Rejab 1345H dan berlangsung selama 10 malam berturut-turut.
Contoh dialog
kedua ialah buku al-Muraja‘at (Dialog Sunnah Syi‘ah) oleh
Syarafuddin al-Musawi. al-Musawi mendakwa dia telah berdialog dengan
Salim al-Bisyri, seorang Syaikh al-Azhar lalu kemudiannya membukukan
segala pertukaran pendapat dan hujah daripada dialog tersebut.
Pendekatan
Kedua:
Mencatit “kisah
benar” seorang Ahl al-Sunnah yang ingin mendekati agama
setelah sekian lama menjauhinya. Lalu dalam usahanya ini dia
mendapati ada beberapa aliran di dalam mazhab Ahl al-Sunnah
yang saling berlainan sehingga mengelirukannya: Yang manakah yang
benar ? Akhirnya dia menemui mazhab Syi‘ah. Dalil-dalil
mereka jelas, hujah-hujah mereka kuat dan kesatuan mereka teramat
utuh. Ini berbeza dengan mazhab Ahl al-Sunnah yang
samar-samar dalilnya lagi lemah hujahnya.
Kesan psikologinya:
Pasti sahaja
yang benar ialah Syi‘ah disebabkan oleh kekuatan dalil dan
kesatuan mazhab mereka.
Contoh terbaik
ialah novel Akhirnya Kutemukan Kebenaran……Kisah Pengembaraan
Kerohanian dan Mencari Ilmu karya Muhammad al-Tijani yang sudah
diterjemah ke bahasa Melayu pada tahun 1996.
Selain itu
terdapat sebuah buku yang merupakan gabungan antara Pendekatan
Pertama dan Kedua, iaitu buku Mengapa Aku Memilih Ahl
al-Bait. Buku ini didakwa merupakan karangan Muhammad Mar’i al-Amin,
kononnya seorang Qadi besar Mazhab al-Syafi‘i di Halab, Syria. Ia
diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Lutpi Ibrahim dan boleh dirujuk
dalam edisi bercetak atau “e-book” dalam beberapa laman web
Syi‘ah.
Pendekatan Ketiga:
Memaparkan
kisah sedih bercampur marah akibat perbuatan majoriti sahabat sebaik
sahaja kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kisah dimulai dengan kerakusan para sahabat untuk merebut jawatan
khalifah sehingga mengabaikan urusan jenazah Rasulullah, suasana
hiruk pikuk dan perpecahan dalam majlis perlantikan Abu Bakar,
pengepungan rumah Fathimah diikuti dengan perampasan tanah Fadak
daripadanya (Fathimah), sikap ‘Ali yang memberi janji taat setia (bai‘ah)
kepada Abu Bakar hanya selepas 6 bulan, perlantikan ‘Umar dan
‘Utsman sehinggalah ke peristiwa pembunuhan ‘Ali, Hasan dan Husain.
Kesan psikologinya:
Majoriti para
sahabat telah menderhakai wasiat Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dalam perlantikan ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah
pengganti. Di samping itu mereka telah berlaku zalim ke atas ‘Ali
dan ahli keluarganya. Mazhab majoriti sahabat inilah yang kini
membentuk mazhab Ahl al-Sunnah. Maka tidak ragu lagi bahawa
mazhab Ahl al-Sunnah adalah mazhab yang salah manakala yang
benar ialah mazhab Syi‘ah.
Contoh
pemaparan Kisah-kisah seperti ini ialah buku Saqifah – Awal
Perselisehan Ummat dan Detik-detik Akhir Kehidupan Rasulullah
oleh O. Hashem.
Pendekatan Keempat:
Memilih dan
menapis maklumat yang terbaik yang menyebelahi Mazhab Syi‘ah
daripada sumber-sumber Ahl al-Sunnah seperti al-Qur’an, al-Sunnah
dan sejarah. Kemudian menyusunnya dalam format yang dapat
mempengaruhi para pembaca. Sumber-sumber ini adalah sesuatu yang
sukar dikaji sendiri oleh para pembaca sehingga akhirnya mereka (para
pembaca) terpaksa berpuas hati, bahkan menjadi yakin dengannya.
Kesan psikologinya:
Benarlah Mazhab
Syi‘ah dengan pelbagai hujah yang mereka nukil daripada
sumber rujukan Ahl al-Sunnah sendiri.
Contohnya ialah
dalam bab keutamaan dan kemuliaan para sahabat. Syi‘ah hanya
memilih dan mengemukakan hadis-hadis tentang keutamaan dan kemuliaan
‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh yang mereka nukil
daripada kitab al-Mustadrak susunan al-Hakim rahimahullah,
seolah-olah keistimewaan ini hanya terdapat pada ‘Ali dan tidak pada
para sahabat yang lain.
Jawapan
Ahl al-Sunnah ke atas strategi Syi‘ah yang kelima:
Kejayaan pendekatan secara
psikologi tetap bergantung kepada faktor kesahihan fakta dan
kebenaran hujah.
Penjelasannya:
Sebaik mana
sekalipun pendekatan psikologi yang digunakan, yang tetap menjadi
ukuran ialah kesahihan fakta dan kebenaran hujah. Ini kerana
pendekatan psikologi hanya bersifat fiktif selagi mana ia tidak
dibenarkan oleh fakta dan hujah yang bersifat hakiki.
Siapa sahaja
boleh menggubah skrip lakonan, mengarang novel dan mengarah drama,
akan tetapi yang menjaminnya benar atau dongeng ialah kesahihan
fakta dan kebenaran hujah yang membentuknya.
Pendekatan-pendekatan psikologi yang digunakan oleh Syi‘ah
adalah dongeng belaka demi menarik keyakinan orang awam. Dialog
Peshawar Nights sebenarnya tidak berlangsung. Ia hanyalah sebuah
skrip drama yang ditulis oleh tokoh-tokoh Syi‘ah.
Dialog al-Muraja‘at
juga adalah lakonan semata-mata. Buku al-Muraja‘at hanya
diterbitkan suku abad selepas kematian Salim al-Bisyri. Tidak
seorangpun daripada ahli keluarga Salim al-Bisyri, rakan-rakan
pensyarah di Universiti al-Azhar dan anak-anak muridnya yang
mengetahui tentang dialog ini. Tidak ada apa-apa bukti sahih bahawa
dialog ini benar-benar berlaku kecuali daripada pengakuan al-Musawi
sendiri.
Manakala
sesiapa yang menganalisa secara cermat buku Mengapa Aku Memilih
Ahl al-Bait oleh Muhammad Mar’i al-Amin dengan mudah akan dapat
mengecam (mengenali) bahawa ia adalah karangan seorang ahli debat
Syi‘ah dan bukan seorang qadi yang lazimnya hanya mengetahui
perbahasan hukum hakam agama. Penguasaan ilmu seorang qadi hanyalah
pada bab halal dan haram, bukan pada persoalan iktikad, tafsiran al-Qur’an
(selain ayat-ayat hukum), takhrij hadis,
kisah sejarah dan sebagainya.
Selain itu
perlu diingatkan bahawa faktor penyebab kepada beralihnya seseorang
daripada Mazbab Ahl al-Sunnah kepada Mazhab Syi‘ah
bukan kebenaran Syi‘ah akan tetapi kejahilan orang itu
sendiri. Ini seumpama beralihnya seorang Islam kepada agama Kristian,
faktor penyebabnya bukanlah kebenaran agama Kristian tetapi
kejahilan orang Islam itu sendiri.
Tidak jauh
berbeza ialah buku
Akhirnya Kutemukan Kebenaran……Kisah Pengembaraan Kerohanian dan
Mencari Ilmu,
Saqifah – Awal Perselisehan Ummat
dan Detik-detik Akhir Kehidupan Rasulullah. Isi kandungannya
tidak lain adalah kisah-kisah lemah dan dusta yang sengaja dipilih
dan disusun indah guna memberi pengaruh kepada para pembacanya.
Adapun
hadis-hadis berkenaan keutamaan dan kemuliaan ‘Ali bin Abi Thalib
radhiallahu ‘anh yang dinukil daripada kitab al-Mustadrak
susunan al-Hakim rahimahullah, ia sebenarnya hanya mewakili 5
peratus daripada keseluruhan hadis yang terkandung di dalam kitab
tersebut dalam bab keutamaan dan kemuliaan para sahabat. Secara
terperinci, di dalam bab ini terdapat 2600 buah hadis,
dimulai dengan Abu Bakar,
Umar, ‘Utsman, ‘Ali dan seterusnya. Daripada jumlah ini hadis
berkenaan ‘Ali berjumlah 133 buah, mewakili 5 peratus sahaja.
Syi‘ah hanya memiliki 133 buah hadis ini dan mendiamkan 2467
yang lain.
Demikian
beberapa contoh dongengan yang terkandung di dalam pendekatan
psikologi yang digunakan oleh Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah.
Oleh itu sekali lagi diingatkan bahawa yang penting bukanlah
kelicikan pendekatan psikologi yang digunakan tetapi kesahihan fakta
dan kebenaran hujah yang membentuknya.
Strategi
mudah kepada para pembaca:
Sekian lima
strategi asas Syi‘ah
dalam berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Para pembaca yang
terdiri daripada orang Syi‘ah atau yang pernah didakwah oleh
Syi‘ah atau yang bakal didakwah oleh Syi‘ah akan
mendapati mereka (Syi‘ah) tidak lari daripada menggunakan
lima strategi asas ini, sama ada secara sebahagian atau
keseluruhannya. Mengetahui jawapan Ahl al-Sunnah ke atas
kelima-lima strategi asas Syi‘ah ini adalah langkah pertama
dan yang paling utama untuk menjawab hujah-hujah mereka. Langkah
seterusnya ialah mengetahui jawapan Ahl al-Sunnah secara
terperinci ke atas hujah-hujah mereka yang terperinci juga. Insya-Allah
kita akan mulakan dengan menjawab hujah-hujah Syi‘ah yang
dibangunkan daripada ayat-ayat al-Qur’an al-Karim dalam siri
berikutnya.