Apabila kita
membaca atau berdialog dengan pengikut Mazhab Syi‘ah, mereka
seringkali mengidentitikan diri mereka sebagai pengikut Mazhab
Ahl al-Bait. Dakwaan ini akan kita kaji seterus ini.
Yang
dimaksudkan dengan Ahl al-Bait Rasulullah.
Perkataan
Ahl digunakan bagi seorang lelaki untuk merujuk kepada
kabilahnya (عشيرته),
orang-orangnya (ذو)
dan kaum kerabatnya
Contoh penggunaannya boleh
dirujuk di dalam al-Qur’an:
Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya
itu dan berjalan dengan isterinya (Ahl), ia melihat (dalam
perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu)
berkatalah ia kepada isterinya (Ahl): “Berhentilah; sesungguhnya aku
ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita
dari situ, atau sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan
diri.” [al-Qasas
28:29]
Perkataan
Ahl al-Bait merujuk kepada keluarga bagi seseorang lelaki.
Contohnya ialah ayat berikut berkenaan isteri Nabi Ibrahim
‘alaihi salam:
Isteri (Nabi Ibrahim) berkata:
Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku
sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini
suatu perkara yang menghairankan.
Malaikat-malaikat itu berkata: Patutkah engkau
merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah?
Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu,
wahai Ahl al-Bait. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha
Melimpah kebaikan dan kemurahanNya.
[Hud 11:73]
Di sisi Ahl
al-Sunnah, istilah Ahl al-Bait merujuk kepada keluarga
Rasulullah yang terjalin berdasarkan ikatan penikahan (para
isterinya) dan ikatan nasab (anak-anaknya termasuk ‘Ali). Di sisi
Syi‘ah, Ahl al-Bait hanyalah merujuk kepada keluarga
ikatan nasab Rasulullah yang terdiri daripada ‘Ali, Fathimah, Hasan
dan Husain diikuti dengan keturunan mereka. Ini berdasarkan tafsiran
mereka terhadap ayat 33 surah al-Ahzab yang akan kita bahas nanti,
insya-Allah.
Oleh itu
Syi‘ah sering kali mengistilahkan diri mereka sebagai Mazhab
Ahl al-Bait. Ahl al-Sunnah tidak menerima pengistilahan ini
kerana para pengikut Ahl al-Bait yang sebenar terdiri
daripada mereka yang mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan
‘Utsman serta mengutamakan mereka melebihi orang-orang lain,
termasuk ‘Ali sendiri. Ini merupakan iktikad para Ahl al-Bait
Rasulullah: ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain diikuti dengan para
imam keturunan mereka.
Antara bukti terkuat bagi
perbezaan ini ialah dialog berikut antara Ja’far al-Shiddiq
radhiallahu ‘anh dengan salah seorang Syi‘ah.
Dialog
Ja’far al-Shiddiq dengan seorang Syi‘ah.
Seorang rawi
menuturkan bahawa ada seorang
Syi‘ah mendatangi Ja’far bin Muhammad al-Shiddiq
Karramallah Wajha lalu segera mengucap salam:
“Assalamu‘alaikum waRahmatullahi waBarakatuhu.” Ja’far terus
menjawab salam tersebut.
(Dialog
pertama):
Syi‘ah
tadi bertanya: Wahai putra Rasulullah, siapakah manusia terbaik
setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam?
Ja’far al-Shiddiq
menjawab: Abu Bakar (radhiallahu ‘anh).
Syi‘ah
bertanya: Mana hujahnya dalam hal itu?
Ja’far
menjawab: Firman Allah Ta‘ala:
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad)
maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum
kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia
salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam
gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau
berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan
semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya
dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya.
[al-Taubah 9:40]
Ja’far
melanjutkan: Cuba fikirkan, apakah ada orang yang lebih baik dari
dua orang yang nombor ketiganya adalah Allah ? Tidak ada seorang
pun yang lebih afdhal daripada Abu Bakar selain Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam.
Maka Syi‘ah
berkata: Sesungguhnya ‘Ali bin Abu Thalib ‘alaihi salam telah
tidur di tikar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (demi
menggantikannya dalam peristiwa hijrah) tanpa mengeluh (jaza’,
ertinya tabah) dan tidak takut (faza’, ertinya ia tegar).
Maka Ja’far
menjawab: Dan begitu pula Abu Bakar, dia bersama Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa jaza’ dan faza’.
Syi‘ah
menyanggah: Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah menyatakan
berbeza dengan apa yang anda katakan !
Ja’far bertanya:
Apa yang difirmankan oleh Allah?
Syi‘ah
menjawab: …ketika
ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita,
sesungguhnya Allah bersama kita”
bukankah ketakutan tadi adalah
jaza’ ?
Ja’far
menjelaskan: Tidak kerana Huzn (sedih) itu bukan jaza’
dan faza’. Sedihnya Abu Bakar adalah khuatir jika Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dibunuh dan agama Allah tidak
lagi ditaati. Jadi kesedihannya adalah terhadap agama Allah dan
terhadap Rasul Allah, bukan sedih terhadap dirinya. Bagaimana (dapat
dikatakan dia sedih untuk dirinya sendiri padahal) dia disengat
lebih dari seratus sengatan dan tidak pernah mengatakan “His” juga (tidak
pernah) mengatakan “Uh” (tidak mengerang kesakitan).
(Dialog
kedua):
Syi‘ah
berkata: Sesungguhnya Allah Ta‘ala berfirman:
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan
Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan
sembahyang, dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk.
[al-Maidah 5:55]
Ayat ini turun
berkenaan ‘Ali bin Abu Thalib ketika mensedekahkan cincinnya ketika
dia sedang rukuk, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
“Segala puji bagi Allah yang telah
menjadikannya (ayat di atas) di dalam diriku dan Ahl al-Baitku.”
Ja’far
menjelaskan: Ayat yang sebelumnya lebih agung daripadanya. Allah
berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman ! Sesiapa di
antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah
akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga
kasihkan Dia.
[al-Maidah 5:54]
Ternyata
perbuatan riddah (murtad, keluar dari Islam) terjadi besar-besaran
sepeninggalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Orang-orang
kafir itu tertumpu di Nahawand, mereka berkata:
“Orang yang
selama ini mereka bela (Rasulullah) kini telah wafat (maka tidak
perlu lagi membayar zakat).”
Hingga ‘Umar
radhiallahu ‘anh berkata (kepada Abu Bakar yang bertekad
memerangi mereka):
“Terimalah
solat dari mereka dan biarkan (maafkan) zakat bagi mereka.”
Maka dia (Abu
Bakar) berkata:
“Demi Allah
seandainya mereka menghalangiku (tidak mahu menyerahkan sekalipun)
seutas tali (pengikat haiwan, yakni untuk zakat haiwan ternakan)
yang dulu mereka membayarkannya kepada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam, pasti aku memerangi mereka biarpun seorang
diri.”
Maka ayat ini
(al-Maidah 5:54) lebih utama untuk Abu Bakar radhiallahu ‘anh.
(Dialog
ketiga):
Syi‘ah
tersebut melanjutkan hujahnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala
telah berfirman:
Orang-orang yang menginfakkan hartanya pada
waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka.
[al-Baqarah 2:274]
Ayat ini turun
berkenaan ‘Ali ‘alaihi salam. Dia memiliki empat dinar, satu
dinar dia nafkahkan pada malam hari, satu dinar dia nafkahkan pada
siang hari, satu dinar secara sembunyi-sembunyi dan satu dinar
secara terang-terangan. Maka turunlah ayat ini.
Ja’far
‘alaihi salam menjelaskan: Abu Bakar memiliki yang lebih utama
lagi di dalam Al-Quran. Allah berfirman:
Demi malam apabila ia menyelubungi
segala-galanya.
[al-Lail 92:01] Ini adalah sumpah
Allah.
Dan siang apabila ia lahir terang-benderang;
Demi Yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan;
Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya.
Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan
kebaikan dan bertaqwa; Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara
yang baik.
[al-Lail 92:02-06] Ini ialah Abu Bakar.
Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya
kemudahan untuk mendapat kesenangan.
Ini ialah (bagi)
Abu Bakar.
Dan akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada
orang yang sungguh bertaqwa.
[al-Lail 92:17]. Ini ialah Abu
Bakar.
Yang mendermakan hartanya dengan tujuan
membersihkan dirinya dan harta bendanya.
[al-Lail 92:18]. Ini ialah Abu
Bakar.
Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun,
yang patut di balas.
[al-Lail 92:19] Ini ialah Abu
Bakar.
Dia telah
menafkahkan untuk (dakwah Rasulullah) sebanyak 40 ribu dinar
sehingga baginda bersuka-cita. Kemudian turunlah Jibril ‘alaihi
salam memberi khabar bahawa:
“Allah yang
Maha Tinggi dan Luhur memberikan salam untukmu (wahai Rasulullah)
dan Dia berkata ucapkan juga kepada Abu Bakar salam dari-Ku dan
katakan kepadanya: Apakah engkau redha kepada Allah dalam
kefakiranmu ini ataukah engkau tidak suka ?”
Maka Abu Bakar
menjawab:
“Apa mungkin
aku marah (tidak suka) kepada Rabb-ku ‘Azza wa Jalla ?
Aku redha kepada Rabb-ku, aku redha kepada Rabb-ku,
aku redha kepada Rabb-ku.”
Dan Allah
berjanji untuk meredhakannya.
(Dialog
keempat):
Syi‘ah
berhujah lagi: Sesungguhnya Allah berfirman:
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi
minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan)
memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman
kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan Allah ?
Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah.
[al-Taubah 9:19] Ayat ini turun berkenaan
‘Ali ‘alaihi salam.
Ja’far
‘alaihi salam menjawab: Abu Bakar memiliki sesuatu yang lebih
afdal di dalam Al-Qur’an, Allah berfirman:
Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang
membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (menguasai
Kota Mekah: Fath al-Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya
daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut
berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah
janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.
[al-Hadid
57:10]
Abu Bakar
adalah orang yang pertama kali menafkahkan hartanya untuk Rasulullah,
orang yang pertama berperang dan yang pertama berjihad (yakni ketika)
orang-orang musyrik datang memukul Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam sampai berdarah. Sebaik sahaja Abu Bakar mendengar
berita itu dia terus berlari mendatangi mereka lalu berkata:
“Celaka kalian
! Apakah kalian akan membunuh orang yang mengatakan Rabb-ku
adalah Allah padahal dia telah membawa bukti-bukti yang jelas dari
Tuhan kalian ?”
Maka mereka
meninggalkan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan berbalik
memukul Abu Bakar sehingga tidak jelas antara hidung dan wajahnya.
Dia (Abu Bakar)
adalah orang yang pertama berjihad di jalan Allah dan orang pertama
yang berperang bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
serta orang pertama yang menafkahkan hartanya. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Tidak ada harta yang bermanfaat
untukku seperti manfaatnya harta Abu Bakar.”
(Dialog
kelima):
Syi‘ah
terus berhujah: Sesungguhnya ‘Ali tidak pernah menyekutukan Allah
walau sekelip mata.
Maka Ja’far
berhujah kembali: Sesungguhnya Allah telah memuji Abu Bakar dengan
pujian yang mencukupi dari segala sudut. Allah berfirman:
Dan yang membawa kebenaran serta yang mengakui
kebenarannya, mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.
[al-Zumar
39:33]
Dan yang
membawa kebenaran…ialah
Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, serta yang
mengakui kebenarannya…ialah Abu Bakar. Semua orang berkata
kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (setelah peristiwa
Isra’ dan Mikraj): “Engkau dusta” sedangkan Abu Bakar, hanya dia
yang berkata: “Engkau benar.” Maka turunlah ayat ini berkenaan
dengannya: Ayat tashdiq (pembenaran) secara khusus.
Maka Abu Bakar
adalah orang yang taqwa (taqiy), bersih (naqiy), yang
diredhai (mardhi), yang redha (radhiy), yang adil (‘adl),
penegak keadilan (mu‘addil) dan yang menepati perjanjian (wafiy).
(Dialog
keenam):
Syi‘ah
kemudian berkata: Sesungguhnya mencintai ‘Ali adalah fardhu menurut
ketetapan Allah Ta‘ala:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku
tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali
kasih sayang dalam kekeluargaan.”
[al-Syura
42:23]
Ja’far menjawab:
Bahawa Abu Bakar juga memiliki yang seumpama. Allah berfirman:
Dan orang-orang yang datang kemudian
daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami !
Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului
kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami
perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman.
Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan
dan Rahmat-Mu.”
[al-Hasyr 59:10]
Abu Bakar
terlebih dahulu membawa iman, maka meminta ampun untuknya adalah
wajib dan mencintainya adalah fardhu serta membencinya adalah kufur.
(Dialog
ketujuh):
Syi‘ah
berkata: Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
“Hasan dan Husain keduanya adalah
sayyid (pemuka) pemuda ahli syurga dan ayah mereka berdua lebih baik
daripada keduanya.”
Ja’far berkata
kepadanya: Bagi Abu Bakar di sisi Allah ada keutamaan yang melebihi
itu. Aku diberitahu oleh ayahku, daripada datukku, daripada ‘Ali bin
Abu Thalib ‘alaihi salam, dia berkata:
Saya ada di
samping Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak
ada orang lain selain aku. Tiba-tiba muncullah Abu Bakar dan ‘Umar
radhiallahu ‘anhuma maka Nabi bersabda:
“Hai ‘Ali ! Kedua orang ini adalah
sayyid (pemuka) penduduk ahli syurga, yang tua maupun yang muda,
yang telah lewat dan yang terdahulu dari generasi awal maupun yang
tersisa dan yang tinggal dari generasi yang belakangan kecuali para
Nabi. Jangan engkau beritahukan kepada keduanya wahai ‘Ali.”
Maka aku (‘Ali)
tidak memberitahukannya kepada siapa pun hingga keduanya tiada.
(Dialog
kelapan):
Syi‘ah
bertanya: Manakah yang lebih utama, Fathimah putri Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam atau ‘A’isyah binti Abu Bakar ?
Ja’far menjawab:
(dengan membaca ayat):
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha
Penyayang. Yasin; Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan
kebenaran yang tetap kukuh.
[Yasin 36:01-02]
Ha-Mim; Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan
kebenaran. [al-Zukhruf 43:01-02]
Syi‘ah
kemudian berkata: Aku bertanya kepadamu manakah yang lebih baik,
Fathimah putri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
ataukah ‘A’isyah putri Abu Bakar, kenapakah kamu membaca Al-Quran ?
Ja’far menjawab:
‘A’isyah putri Abu Bakar adalah isteri Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam, dia akan bersamanya di syurga. Sedangkan
Fathimah putri Rasulullah adalah sayyidah (pemuka) wanita ahli
syurga. Yang mencela isteri Rasulullah mudah-mudahan dilaknat oleh
Allah Ta‘ala dan yang membenci putri Rasulullah mudah-mudahan
dihina oleh Allah Ta‘ala.
Syi‘ah
(tidak berpuas hati lalu) berkata: ‘A’isyah telah memerangi ‘Ali dan
dia adalah isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam !
Ja’far menjawab
tegas: (Itu adalah) benar (tetapi) celakalah kamu ! (Bukankah) Allah
Ta’ala telah berfirman:
Dan kamu tidak boleh sama sekali
menyakiti (hati) Rasul Allah.
[al-Ahzab 33:53]
(Dialog
kesembilan):
Kemudian
Syi‘ah bertanya: Apakah kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan
‘Utsman ada di dalam Al-Qur’an ?”
Ja’far menjawab:
Ada, bahkan juga di dalam Taurat dan Injil. Allah berfirman:
Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di
bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain
beberapa darjat.
[al-An‘am 6:165]
Atau siapakah yang memperkenankan doa orang
yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan
kesusahan, serta menjadikan kamu khalifah bumi?
[al-Naml
27:62]
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan
beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia
akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa
pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang
yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan
menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah
diredhaiNya untuk mereka.
[al-Nur
24:55]
Syi‘ah
meminta penjelasan: Wahai putra Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam, lalu di manakah kekhalifahan mereka di (sebut)
dalam Taurat dan Injil ?
Ja’far menjawab
(dengan membaca firman Allah):
Muhammad ialah Rasul Allah; dan
orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir dan (sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas
kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka
tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala)
dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaanNya. Tanda yang
menunjukkan mereka terdapat muka mereka - dari kesan sujud.
Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan
sifat mereka di dalam Kitab Injil.
[al-Fath 48:29]
Dan
orang-orang yang bersama dengannya…
ialah Abu Bakar.
Bersikap
keras dan tegas terhadap orang-orang kafir…
ialah ‘Umar bin al-Khaththab.
Dan (sebaliknya)
bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat
Islam)… ialah ‘Utsman
bin ‘Affan.
Engkau
melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud dengan mengharapkan
limpah kurnia dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya…
ialah ‘Ali bin Abi
Thalib.
Tanda
yang menunjukkan mereka terdapat muka mereka - dari kesan sujud…
ialah para sahabat
Rasulullah.
Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan
sifat mereka di dalam Kitab Injil.
Syi‘ah
bertanya lagi: Apakah yang dimaksud dalam Taurat dan lnjil ?
Ja’far menjawab:
Muhammad Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan para
khulafa' sesudahnya: Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali.
Kemudian Ja’far
menepuk dada Syi‘ah itu dan berkata: Allah Ta‘ala
berfirman (dengan membaca sambungan ayat 29 surah al-Fath):
Seperti pokok tanaman yang
mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu
menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di
atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan
orang-orang yang menanamnya.
(Allah menjadikan sahabat-sahabat
Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat
gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir
merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang
biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan
orang-orang yang beriman dan beramal salih dari mereka, keampunan
dan pahala yang besar.
[al-Fath 48:29]
Seperti
pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan
tunasnya itu menyuburkannya…
ialah Abu Bakar.
Sehingga
ia menjadi kuat…
ialah ‘Umar.
Lalu ia
tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya…
ialah ‘Utsman bin ‘Affan.
Dengan
keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya kerana Ia
hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan
hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu…
ialah ‘Ali bin Abi Thalib.
Allah
telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari
mereka, keampunan dan pahala yang besar…
ialah para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Semoga Allah meredhai mereka, sungguh celakalah kamu !
Aku diberitahu
oleh ayahku, daripada datukku, daripada ‘Ali bin Abi Thalib, bahawa
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Aku adalah orang yang pertama
bangkit dari bumi dan tidak ada kesombongan. Allah memberi
kemudahan kepadaku dari hal-hal yang belum pernah diberikan kepada
seorang Nabi pun sebelumku. Kemudian Dia memanggil: “Dekatkan para
khulafa' sesudahmu.”
Maka aku berkata, “Ya Rabb !
Siapakah khulafa’ itu ?” Maka Dia berkata: “ ‘Abd Allah bin ‘Utsman
Abu Bakar al-Shiddiq.” Maka orang yang pertama keluar dari tanah
setelahku ialah Abu Bakar. Dia kemudian didirikan di hadapan Allah
Ta‘ala untuk dihisab dengan hisab yang ringan sekali (hisaban
yasiran) kemudian dia diberi pakaian sutera berwama hijau lalu
didirikan di depan al-‘Arasy.
Kemudian ada panggilan: “Mana ‘Umar
bin al-Khaththab ?” Datanglah ‘Umar dengan urat-urat leher yang
masih mengalirkan darah. Dia bertanya: “Siapa yang telah berbuat
seperti ini kepadamu?” ‘Umar menjawab: “Budak Mughirah bin Syu’bah.”
Dia kemudian didirikan di hadapan Allah lalu dihisab dengan hisab
yang sangat ringan dan diberi pakaian sutera berwarna hijau lalu
didirikan di depan al-‘Arasy.
Kemudian didatangkan ‘Utsman bin 'Affan
dengan urat-urat leher yang mengalirkan darah. Dia ditanya: “Siapa
yang telah berbuat ini kepadamu ?” Maka dia menjawab: “Fulan dan
fulan.” Dia didirikan di hadapan Allah lalu dihisab dengan hisab
yang ringan kemudian diberi pakaian sutera berwarna hijau lalu
didirikan di depan al-‘Arasy.
Kemudian dipanggil ‘Ali bin Abu
Thalib. Dia datang dengan urat-urat leher yang mengalirkan darah.
Dia ditanya: “Siapa yang berbuat ini kepadamu ?” Maka ‘Ali menjawab:
‘Abd al-Rahman bin Muljam.” Dia didirikan di hadapan Allah Ta‘ala
dan dihisab dengan hisab yang ringan kemudian diberi pakaian sutera
berwarna hijau dan didirikan di depan al-‘Arasy.
Syi‘ah
tadi bertanya sekali lagi: Apakah semua ini ada di dalam al-Qur'an
wahai putra Rasulullah ?
Ja’far menjawab:
Ya ! Allah berfirman:
Dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi
dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil sedang mereka tidak
dikurangkan balasannya sedikitpun.
[al-Zumar 39:69]
Dan akan
dibawa Nabi-nabi serta para saksi…
ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali (di mana) … akan
dihakimi di antara mereka dengan adil sedang mereka tidak
dikurangkan balasannya sedikitpun.
(Dialog
terakhir):
Akhirnya
Syi‘ah tadi bertanya: Wahai putra Rasulullah, apakah Allah masih
mahu menerima taubat saya dari dosa-dosa saya yang telah memisahkan
antara Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali ?”
Ja’far menjawab:
Tentu, pintu taubat selalu terbuka maka perbanyaklah istighfar
untuk mereka. Adapun jika sekiranya kamu mati dalam keadaan
menyalahi mereka maka kamu pasti mati di atas dasar selain fitrah
Islam dan amal-amal kamu seperti amalan-amalan orang kafir – akan
sirna tak tersisa.
(Rawi
menerangkan): Akhirnya orang tadi bertaubat meninggalkan ucapan
buruknya dengan taubat nashuha.
Sekian
dialog antara Ja’far al-Shiddiq
radhiallahu ‘anh dengan seorang Syi‘ah. Jelas terdapat
perbezaan iktikad antara beliau dengan Ja’far al-Shiddiq yang
merupakan salah seorang imam Ahl al-Bait Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam.
Semoga dialog
ini dapat memberi keinsafan kepada ahli-ahli Syi‘ah masa kini.
Sesiapa yang membacanya dengan fikiran yang terbuka akan dengan
mudah mengetahui ketepatan Ja’far al-Shiddiq radhiallahu ‘anh
dalam mengemukakan ayat dan hadis sebagai dalil dan kecerdasan
beliau dalam menghujahkannya sebagaimana di atas sehingga tidak
mungkin dapat diragui atau ditolak lagi.
Oleh itu
hendaklah ahli-ahli Syi‘ah masa kini yang mendakwa diri
mereka sebagai penyokong dan pengikut Mazhab Ahl al-Bait
mengkaji semula iktikad mereka secara jujur dan ikhlas. Antara
caranya ialah terus membaca dan mengkaji buku ini, mudah-mudahan
dengan izin Allah akan terserlah antara yang benar dan yang salah.
D:
Petunjuk
al-Qur’an yang mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar,
‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali.