|
7 Tipudaya Syaitan ke Atas Umat Islam hafiz firdaus abdullah
|
|
Kata Pembuka
بسم الله الرحمن الرحيم إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.
Dalam surah Yasin yang lazim dibaca, terdapat sebuah ayat dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” [Yasin 36:60]
Hakikat syaitan sebagai musuh manusia diulangi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala beberapa kali di dalam al-Qur’an. Semuanya bagi memperingatkan kita tentang musuh yang nyata ini:
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah 2:208]
Permusuhan syaitan kepada kita, manusia, bukanlah sesuatu yang berlaku secara sekali sekala. Ia adalah sesuatu yang berterusan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ...
Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…[1]
Maka permusuhan syaitan ditujukan kepada kita dalam semua suasana dan perbuatan seperti tidur, mandi, makan, perbualan, pemandangan, pendengaran, pekerjaan, gerak hati, pemikiran, wudhu’, solat, puasa, haji dan pelbagai lagi. Bahkan ketika saya sedang menulis buku ini dan ketika anda sedang membaca buku ini, syaitan ada bersama untuk mengganggu tumpuan atau menabur keraguan.
Tidak sekadar itu, permusuhan syaitan kepada kita berlaku dalam bentuk yang berbeza-beza, antaranya:
Demikian sekadar tujuh bentuk permusuhan yang dilakukan oleh syaitan kepada kita. Bentuk-bentuk permusuhan syaitan sukar untuk dihitung. Ia akan melakukan apa sahaja untuk mencapai empat objektifnya yang utama, iaitu:
Oleh kerana itulah kita diperintahkan untuk berwaspada terhadap permusuhan syaitan. Tidak sekadar itu, kita juga diperintahkan untuk mengarahkan permusuhan kepada syaitan:
Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. [Fatir 35:06]
Untuk berwaspada terhadap permusuhan syaitan dan pada waktu yang sama mengarahkan permusuhan kepada syaitan, kita perlu mengetahui dari A hingga Z berkenaan syaitan. Kita perlu mengetahui asal usulnya, sebab-sebab permusuhannya, ciri-cirinya, tipu dayanya dan menyusun strategi bagi melawannya. Ini sebagaimana jika kita memiliki musuh dalam satu peperangan, kita perlu mengkaji segala-galanya berkenaan musuh itu. Jika kita tidak kenal musuh, amatlah mudah bagi musuh tersebut untuk mengalahkan kita.
Alhamdulillah, Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memberikan kepada kita banyak petunjuk untuk mengenal syaitan dan menumpaskannya. Kita hanya perlu meluangkan perhatian untuk mengkajinya dan bersungguh-sungguh untuk mempraktikkannya dalam kehidupan.
Dalam buku ini, saya berusaha untuk menghimpun petunjuk-petunjuk, menapis antara yang sahih dan lemah, diikuti dengan penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tentangnya. Pada waktu yang sama saya sertakan juga beberapa pandangan terkini dalam subjek syaitan ini dengan menerangkan dimana kebenaran dan kesilapannya. Semua ini saya susun menjadi lima bab seperti berikut:
Selain itu, permusuhan syaitan ditujukan kepada semua manusia baik Islam atau bukan Islam. Walaubagaimana pun dalam buku ini saya hanya memberi tumpuan kepada permusuhan syaitan kepada umat Islam. Justeru apabila mengupas tentang syaitan secara umum, saya menggunakan istilah “manusia” manakala apabila mengupas tipu daya syaitan secara khusus, saya menggunakan istilah “umat Islam”. Oleh kerana itulah saya memberi judul buku ini 7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Umat Islam dan bukannya 7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Manusia.
Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar usaha kecil ini dapat membawa faedah kepada diri saya dan para pembaca sekalian dalam rangka kita sama-sama berwaspada terhadap permusuhan syaitan dan mengarahkan permusuhan kepada syaitan. Saya juga awal-awal meminta maaf kepada para pembaca sekalian sekiranya ada di antara contoh-contoh yang saya kemukakan dalam buku ini menyinggung perasaan. Tujuan saya bukanlah untuk mengkritik para pembaca sekalian tetapi sekadar untuk menyedarkan bahawa apa yang dipegang selama ini mungkin perlu dianalisa semula.
Sebelum mengakhiri Kata Pembuka ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri dan rakan-rakan yang telah membantu menjayakan penulisan ini. Pada waktu yang sama saya mengalu-alukan apa-apa cadangan pembaikan atau pembetulan dari para pembaca sekalian.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Hafiz Firdaus Abdullah 12 Julai 2007
|