Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Kesimpulan penilaian ke atas Buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian

susunan Zamihan Mat Zin al-Ghari

 

Nasihat dan Panduan kepada para pembaca.

 

Kepada para pembaca yang dimuliakan, ketahuilah seandainya saudara Zamihan memilih untuk menjawab kembali buku ini, beliau tidak akan terlepas daripada 4 langkah berikut

  1. Beliau tetap akan berkeras bahawa generasi al-Salaf telah melakukan takwil dan mendakwa penjelasan penulis dalam bab ini hanyalah merupakan “putar-belit” atas istilah dan penggunaan kaedah al-Takwil. Ketahuilah bahawa dakwaan ini adalah tidak benar kerana al-Takwil itu sendiri adalah satu kaedah yang luas dan seseorang itu perlu menguasainya secara mendalam lagi terperinci ketika menggunakannya terhadap sesuatu perbahasan.

     

  2. Beliau akan mengemukakan beberapa lagi hujah-hujah al-Saqqaf sebagai “ganti rugi” ke atas semua hujah-hujah sebelum ini yang telah penulis jawab. Hal ini tidak apa-apa kerana semua hujah al-Saqqaf akan dapat ditolak oleh seseorang itu semudah: (A) menguasai sepenuhnya subjek yang dibahas oleh al-Saqqaf dan (B) merujuk sendiri sumber rujukan yang digunakan oleh al-Saqqaf.

     

  3. Beliau akan mengkritik keras ke atas peribadi penulis (character assasination). Ini adalah umpama tindakan beliau ke atas Ibn Taimiyyah, Muhammad ‘Abd al-Wahhab, Nasr al-Din al-Albani dan lain-lain tokoh al-Salafiyyah. Kritikan ke atas peribadi wujud dalam bentuk “Siapakah Hafiz Firdaus ?”, mencari-cari kesalahan penulisan sekalipun tidak berkaitan dengan dasar perbahasan (fault finding), melaga-lagakan antara perbahasan dan lain-lain lagi. Jika ini dilakukan maka ketahuilah ia adalah isyarat bahawa beliau tidak memiliki apa-apa hujah bagi menjawab penilaian semula penulis. Orang yang berdiri di atas kebenaran akan memberi tumpuan kepada mengkritik hujah manakala orang yang berdiri di atas kebatilan akan memberi tumpuan kepada mengkritik latar belakang individu.

     

  4. Menyusun kata-kata yang indah lagi mempersonakan demi menarik keyakinan para pembacanya. Hal ini sebagaimana yang banyak terdapat dalam bukunya sendiri Salafiyah Wahabiyah. Oleh itu berhati-hatilah kerana kata-kata tersebut hanyalah solekan untuk menyelubungi kebatilan di sebaliknya.

Semoga para pembaca sekalian mengambil sikap berhati-hati ke atas saudara Zamihan Mat Zin dan apa-apa hasil tulisan yang bakal beliau hasilkan. Namun diwaktu yang sama kita juga menerima seandainya beliau akan bertaubat dan tidak lagi akan mengemukakan apa-apa hujah melainkan ianya adalah sesuatu yang telah pasti benar mengikut kemampuannya.

 

Di akhiri buku ini dengan permohonan maaf ke atas apa-apa kekasaran bahasa dan kritikan yang menjauhi sifat keadilan. Firman Allah:

 

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah,

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. [al-Maidah 5:08]

 

Semoga buku ini dapat membawa banyak manfaat kepada para pembaca yang dihormati sekalian, termasuk saudara Zamihan Mat Zin. Apa-apa kekurangan atau kesilapan silalah hubungi penulis secara terus di hafizfirdaus2@yahoo.com.my  atau menerusi surat menyurat yang dialamatkan kepada penerbit.

 

KESIMPULAN : KANDUNGAN