Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
|
Kesimpulan penilaian ke atas Buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian susunan Zamihan Mat Zin al-Ghari |
|
Selain itu kita tidak boleh melupakan mahupun memandang ringan pelbagai pendustaan dan penyelewengan fakta yang dilakukan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah. Terus terang dikatakan bahawa tidak pernah penulis menemui sebuah buku yang berdiri-cirikan ilmiah dalam sejarah Malaysia yang di dalamnya terhimpun penyelewengan dan pendustaan fakta yang tersangat banyak.
Pendustaan dan penyelewengan fakta ini berpunca daripada dua faktor:
Bahkan dalam beberapa kes saudara Zamihan dengan sendirinya telah melakukan dusta dan penyelewengan fakta tanpa ada hubung-kait dengan al-Saqqaf. Sebagai contoh dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 133-134 beliau menulis:
Sesetengah orang yang menggelarkan diri mereka dengan al-Salafiyah menegaskan bahawa Syeikh Muhammad ‘Abd Wahab mempunyai jasa yang besar terhadap Islam. Beliau dianggap sebagai pejuang fi sabilillah bersama Muhammad Ibn Sa‘ud membebaskan Hijaz (Saudi) daripada penjajahan Turki. (Notakaki no 28: Lihat Syeikh Muhammad ‘Abd Wahab, Tokoh-tokoh Mujaddid Islam, ms. 79.) Masya Allah ! ! ! Lihatlah wahai pembaca sekalian, lihatlah bagaimana fakta sejarah yang sengaja diputar-belitkan oleh golongan yang ta‘asub kepada al-Salafiyah al-Wahabiyah ini. Mengapakah Muhammad ‘Abd Wahab itu dikatakan berjihad fi sabilillah sedangkan pada masa tersebut Turki ‘Uthmaniyah adalah sebuah kerajaan Islam yang berdaulat. Hal ini diakui oleh seluruh umat Islam dan ulama’ muslimin.
Rujukan semula kepada buku: Tokoh-tokoh Mujadid Islam (Prosiding Seminar; Badan Perkhidmatan Penerangan Islam (BPPI) Selangor dan Wilayah Persekutuan; Kajang 1994), ms. 79 mendapati kata-kata sebenar oleh ‘Abd al-Qadir al-Mandili ke atas biografi Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab adalah seperti berikut:
“Kemudian beliau (Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab – p) telah bersetuju dengan Muhammad bin Sa’ud Amir Ad Dar’iah untuk berjuang berjihad di jalan Allah bagi melaksanakan tuntutan “amar ma’ruf dan nahi mungkar” serta menegakkan syariat agama Islam.”
Perhatikan bahawa perkataan berjihad fi sabilillah sebenarnya ditujukan kepada usaha amar ma’ruf nahi mungkar dan bukannya untuk menjatuhkan kerajaan Islam ‘Uthmaniyyah di Turki.
Nukilan dan penjelasan penyusun Salafiyah Wahabiyah di atas adalah bukti terbaik ke atas penyelewengan dan pendustaan yang beliau lakukan. Sebelum ini telah banyak dibongkar penyelewengan dan pendustaan akan tetapi semuanya adalah daripada sumber rujukan kitab Arab klasik yang mungkin sukar untuk para pembaca mengkaji sendiri. Sekarang wujud sebuah bukti daripada sumber bahasa Melayu yang dapat diperoleh dan dikaji sendiri oleh para pembaca. Perhatikan bagaimana penyelewengan fakta dan “putar-belit” yang beliau lakukan. Demikian juga pendustaan beliau dalam menjelas dan membesar-besarkannya sehingga begitu bersemangat menggunakan perkataan “Masya-Allah” untuk menarik keyakinan para pembacanya.
Jika penyusun Salafiyah Wahabiyah berani berdusta sambil menyebut nama Allah ke atas satu sumber yang mudah didapati di Malaysia maka bayangkanlah pula tahap keberanian beliau untuk berdusta ke atas sumber-sumber lain berbahasa Arab yang sukar didapati.[1]
[1] Untuk kajian lanjut dari sumber terjemahan tentang faktor-faktor sebenarnya jatuhnya Kerajaan Islam ‘Uthmaniyyah, sila lihat: Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Utsmaniyah oleh Ali Muhammad ash-Shalabi (terj: Samson Rahman; Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2003).
|
| KESIMPULAN : KANDUNGAN |