Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab F: perselisihan al-Salaf membuktikan mereka bukannya

bersepakat atas satu mazhab

 

PENILAIAN SEMULA NO: 73

 

Kesimpulan Bab F: Perselisihan al-Salaf membuktikan mereka bukannya bersepakat atas satu mazhab.

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah seterusnya merumuskan perbahasan beliau tentang perselisihan pendapat di kalangan generasi al-Salaf (ms. 100):

 

Sebenarnya banyak lagi perselisihan yang berlaku di kalangan al-Salaf al-Soleh. Perselisihan itu sama ada berkisar dalam masalah aqidah, fiqhiyah, politik dan sebagainya. Kesemuanya membuktikan bahawa mereka tidak bersepakat dalam banyak perkara.

Namun begitu, pendapat yang ramai ini adakalanya dijadikan Ijma’ pada waktu itu.  Begitu juga di kalangan ulama’ muslimin yang datang selepas mereka.  Ada pula yang dijadikan pendapat dalam mazhab bagi imam-imam mujtahid yang mampu mengeluarkan hukum daripada pendapat dan nas menurut kaedah mereka sendiri.  Ada juga pendapat yang digunapakai di kalangan individu tertentu.  Disamping itu ada pula pendapat yang dibiarkan begitu sahaja.

Apa yang penting di sini ialah, perselisihan ini menjelaskan kepada kita bahawa para al-Salaf tidak mencapai kata sepakat dalam masalah aqidah. Mereka juga tidak menghimpunkan pendapat-pendapat ini dan seterusnya membina satu dasar pegangan atau mazhab.  Justeru itu, al-Salaf tidak ada mazhab yang khusus di dalam aqidah.  Hasilnya, mazhab al-Salaf yang didakwa ialah satu mazhab yang tiada.

 

 

Penilaian semula:

Di atas adalah kesimpulan yang batil lagi tertolak. Telah jelas daripada PENILAIAN SEMULA ke atas contoh-contoh yang dikemukakan bahawa “perselisihan” yang didakwa wujud adalah palsu semata-mata.

 

Bahkan di sini terdapat petunjuk yang jelas kerana dengan segala permainan kotor, pendustaan dan penyelewengan fakta yang dilakukan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah, beliau masih gagal untuk mengemukakan satu bukti yang sahih lagi kukuh bahawa wujud perselisihan dalam urusan ‘aqidah sesama generasi al-Salaf. Kegagalan ini tidak lain menunjukkan bahawa generasi al-Salaf tidak berbeza pendapat dalam urusan ‘aqidah.

 

Adapun dalam urusan fiqh dan sebagainya maka memang wujud perselisihan pendapat di kalangan generasi al-Salaf. Akan tetapi perselisihan ini sebenarnya adalah “kekayaan pendapat serta ijtihad” dan bukannya “percanggahan yang memecah-belahkan”.[1] Kerana itu dalam urusan fiqh Mazhab al-Salaf dikenali sebagai mazhab yang kaya dengan pelbagai khazanah ilmu yang tinggi. Namun perlu diingatkan semula bahawa sifat kekayaan pendapat dalam Mazhab al-Salaf tidak melibatkan urusan ‘aqidah.

 

Berkata Ibn al-Qayyim dalam hal ini:

Dan sungguh para sahabat telah berbeza pendapat dalam banyak masalah hukum padahal mereka adalah pemimpin orang-orang beriman dan umat yang memiliki sebaik-baik keimanan. Akan tetapi – alhamdulillah tidaklah mereka berbeza pendapat dalam satupun daripada masalah al-Asma’ wa al-Sifat wa al-Af‘al (perbuatan), bahkan mereka semua menetapkan apa yang diputuskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah, baik generasi awal sehinggalah generasi akhir (di kalangan seluruh generasi al-Salaf).[2]

 

Akhir kata tidak wujudnya Mazhab al-Salaf hanyalah benar di sisi penyusun Salafiyah Wahabiyah. Di sisi ahli ilmu, ahli kebenaran dan ahli tahqiq (pengkaji dan peneliti), Mazhab al-Salaf adalah sesuatu yang benar-benar wujud.

 

 

[1]               Ini dikenali sebagai Ikhtilaf al-Tanawu’ (اختلاف التنوع) dan bukannya Ikhtilaf al-Tadhad (اختلاف التضاد). Ibn Taimiyyah ada mengulas hal ini secara terperinci dalam Iqtidha al-Sirat al-Mustaqim li-Muqalafat Ashab al-Jahim (tahqiq: Nasr bin ‘Abd al-Karim al-‘Aqil; Dar Ishbiyalya, Riyadh 1998), jld 1, ms 148 dan seterusnya. Dari sumber terjemahan, sila lihat:

[1]           Jalan Lurus Menuju Sorga (dan) Menghindar Diri dari Api Neraka (terj: Halimuddin; Rineka Cipta, Jakarta 1992), jld 1, ms 65 dan seterusnya.

[2]           Ibn Taimiya’s Struggle against Popular Religion: An Annotated Translation of His Kitab Iqtidha al-Sirat al-Mustaqim Muqalafat Ashab al-Jahim oleh Muhammad Umar Memon (Mouton, The Hague), ms 113 dan seterusnya.

Juga telah disebut secara ringkas oleh Ibn Taimiyyah dalam bukunya al-Muqaddimah al-Tafsir yang disyarah oleh al-Utsaimin (terj: Lukman Hakim; Pustaka al-Qawam, Solo 2002), ms. 51 dan seterusnya.

[2]               Ibn Qayyim al-Jauziyyah – I’lam al-Muqqawi‘in ‘an Rabb al-Alamin (tahqiq: Ta-ha ‘Abd al-Ra’uf; Dar al-Jail, Beirut 1973), jld. 1, ms. 49 (bhg muqaddimah). Bagi edisi terjemahan, lihat Panduan Hukum Islam (terj: Asep Saefullah & Kamaluddim Sa’diyatulharamain; Pustaka Azzam, Jakarta 2000), ms. 52.

 

BAB F : KANDUNGAN