Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab F: perselisihan al-Salaf membuktikan mereka bukannya

bersepakat atas satu mazhab

 

PENILAIAN SEMULA NO: 71

 

Perselisihan Ketiga: Siapakah sebaik-baik manusia selepas Rasulullah ?

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah dalam ms. 99 seterusnya telah membuka perbincangan tentang siapakah yang lebih utama sesudah wafatnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau merumuskan daripada nukilan beberapa riwayat dalam kitab al-Isti‘ab:[1]

 

Imam Abd al-Barr di dalam kitabnya al-Istia‘b (m.s. 32, jld. 3), menjelaskan kepada kita bahawa telah berlaku perselisihan di kalangan al-Salaf (para sahabat) berselisih pendapat tentang siapakah sebaik-baik manusia secara keseluruhannya selepas Rasulullah s.a.w.

Sebahagian sahabat berpendapat bahawa Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. adalah orang yang lebih baik daripada kalangan manusia.  Ini adalah pendapat yang masyhur di kalangan al-Salaf.

Ada riwayat yang menjelaskan bahawa Sulaiman, Abu Dzar, al-Miqdad, Khabbab, Jabir, Abu Sai'd al-Khudri dan lain-lain mengatakan bahawa Sayidina Ali Ibn Abi Talib adalah orang yang mula-mula memeluk Islam dan inilah kelebihannya berbanding yang lain.

 

Penilaian semula:

Asalkan seseorang itu memuliakan semua sahabat, kecenderungan tentang siapakah yang paling utama tidak akan menggugat ‘aqidahnya. Akan tetapi yang menggugat ‘aqidah adalah apabila seseorang itu menghina sebahagian atau kesemua para sababat tersebut. Hal ini sepertimana yang dilakukan oleh aliran Syi‘ah Rafidhah di mana mereka telah mengkultuskan Ali, Fatimah, Hasan dan Husain radiallahu ‘anhum manakala lain-lain sahabat dipandang hina oleh mereka.

 

Dalam penerangan seterusnya oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah terdapat sesuatu yang sangat-sangat memerlukan perhatian. Beliau menulis (ms. 99):

 

Imam Ahmad dan Imam al-Nasa’ie juga turut menyokong pendapat ini dengan mengesahkan bahawa tidak ada riwayat yang sahih yang menjelaskan kelebihan para sahabat kecuali tentang Sayidina Ali.

 

Di bahagian notakaki dicatitkan rujukan berikut:

 

Al-Istia‘b, (ms. 14, jld. 3) dan al-Mustadrak al-Hakim, (m.s. 107, jld. 3) dan Ali al-Imam al-‘Arifin, Imam al-Muhaddith Ahmad Ibn Siddiq al-Ghumari (m.s. 55-94)

 

Di atas adalah nukilan yang dusta terhadap Ahmad bin Hanbal dan al-Nasa‘i.[2] Berikut perinciannya:

 

Pertama:

Kitab Al-Isti‘ab fi Ma’rifati al-Ashab oleh Ibn ‘Abd al-Barr (463H).

 

Sila rujuk jld. 3, ms. 213 (tahqiq: Aidil Ahmad & ‘Ali Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995) di mana berkata Ibn ‘Abd al-Barr:

 

وقال أحمد بن حنبل و إسماعيل بن إسحاق القاضي: لم يرو في فضائل أحد من الصحابة بالأسانيد الحسان ما روي في فضائل علي بن أبي طالب. وكذلك قال أحمد بن شعيب بن علي النسائي رحمه الله.

 

Dan telah berkata Ahmad bin Hanbal dan Ismail bin Ishaq al-Qadhi: “Tidaklah diriwayatkan tentang keutamaan seorangpun daripada para sahabat dengan sanad-sanad yang baik seperti apa yang telah diriwayatkan tentang keutamaan ‘Ali bin Abi Talib. Dan demikianlah juga pendapat Ahmad bin Syu‘aib bin ‘Ali al-Nasa’i, semoga Allah merahmati dia.

 

Seandainya riwayat di atas adalah sahih (kerana ia tidak memiliki sanad), maka fungsi perkataan ( لم ) dan ( ما ) bukanlah bagi menunjukkan penafian secara total tetapi adalah sebagai petunjuk akan perbezaan kualiti atau kuantiti, atau kepentingan kenyataan yang sedang dibuat (to stress a point).

 

Justeru maksud kata-kata di atas adalah bagi menerangkan bahawa status sanad yang dimiliki oleh riwayat-riwayat tentang keutamaan ‘Ali bin Abi Talib adalah lebih baik berbanding riwayat-riwayat tentang keutamaan lain-lain sahabat. Ia tidak bermaksud bahawa tidak wujud riwayat yang memiliki sanad yang sahih tentang keutamaan para sahabat yang lain sebagaimana yang diisyaratkan oleh terjemahan penyusun Salafiyah Wahabiyah. Perhatikan bahawa dalam teks Arab yang asal tidak ada perkataan “kecuali”  ( إلا ) sebagaimana yang diterjemahkan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah.

 

Perkataan “kecuali” memainkan peranan yang sangat penting dalam rangka memahami kenyataan di atas.

 

Kedua:

Kitab Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain oleh al-Hakim al-Naisaburi (405H).[3]

 

Sila rujuk jilid 3, ms. 116 (tahqiq: Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.) di mana al-Hakim telah meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ahmad bin Hanbal:

 

ما جاء لأحد من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم من الفضائل ما جاء لعلي بن أبي طالب رضي الله عنه.

 

Tidaklah datang satupun (riwayat) tentang keutamaan para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sepertimana datangnya (riwayat) tentang (keutamaan) ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu.[4]

 

Sekali lagi yang dimaksudkan bukanlah penafian secara total tetapi adalah sebagai petunjuk akan perbezaan kualiti atau kuantiti, atau kepentingan kenyataan yang sedang dibuat (to stress a point). Maka maksud kata-kata di atas adalah bagi menerangkan bahawa jumlah riwayat tentang keutamaan ‘Ali bin Abi Talib adalah lebih banyak berbanding riwayat tentang keutamaan para sahabat yang lain. Ia tidak bermaksud bahawa tidak wujud riwayat tentang keutamaan para sahabat yang lain sebagaimana yang diisyaratkan oleh terjemahan penyusun Salafiyah Wahabiyah.

 

Kedua-dua teks Arab di atas yang hanya memerlukan pengetahuan yang asas untuk diterjemah dan difahami. Nukilan penyusun Salafiyah Wahabiyah bahawa ia bermaksud: “Mengesahkan bahawa tidak ada riwayat yang sahih yang menjelaskan kelebihan para sahabat kecuali tentang Sayidina Ali” tidak dapat diterima sebagai satu kesilapan, melainkan ia adalah satu pendustaan ke atas Ahmad bin Hanbal, al-Nasa‘i, al-Hakim dan Ibn ‘Abd al-Barr. Tidak ketinggalan adalah pendustaan kepada seluruh generasi sahabat, radiallahu ‘anhum.


 

[1]               Ibn ‘Abd al-Barr - Al-Isti‘ab fi Ma’rifati al-Ashab (tahqiq: ‘Adil Ahmad & ‘Ali Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld. 3, ms. 197 dan seterusnya (‘Ali bin Abi Talib al-Hasyimi). Dakwaan perselisihan ini asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 222.

[2]               Beliau ialah Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib bin ‘Ali, Abu ‘Abd al-Rahman al-Nasa‘i. Seorang tokoh hadis kelahiran Parsi yang terkenal dengan kitabnya Sunan al-Nasa‘i yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan Inggeris. Meninggal dunia pada tahun 303H di Damsyik.

[3]               Beliau ialah Muhammad bin ‘Abd Allah bin Hamdawayh, dilahirkan di Nishapur pada tahun 321H. Terkenal dengan gelaran “al-Hakim” kerana jawatan hakim yang pernah disandangnya di Kota Nishapur. Karya beliau yang terkenal ialah kitab hadis Mustadrak ‘ala al-Sahihin. Meninggal dunia pada tahun 405H.

[4]               Sanad sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim daripada al-Qadhi ‘Ali bin al-Hasan dan Muhammad bin al-Muzoffar al-Hafiz, mereka berdua berkata kami mendengar Muhammad bin Harun al-Hadarami berkata, aku mendengar Muhammad bin Mansur al-Thusi beliau berkata, aku mendengar Ahmad bin Hanbal beliau berkata…….seperti di atas. Saya berkata, para perawi di atas adalah thiqah kecuali ‘Ali bin al-Hasan namun hal ini tidak mengapa. Muhammad bin Harun al-Hadrami, beliau ialah Muhammad bin Harun bin ‘Abd Allah bin Humaid, Abu Hamid al-Hadrami. Lihat al-Khatib al-Baghdadi – Tarikh Madinah al-Salam (tahqiq: Bashir Ma‘aruf; Dar al-Gharb al-Islami, Beirut 2001)  – perawi no: 1733.

 

BAB F : KANDUNGAN