Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab F: perselisihan al-Salaf membuktikan mereka bukannya

bersepakat atas satu mazhab

 

PENILAIAN SEMULA NO: 70

 

Perselisihan Kedua: Adakah Rasulullah s.a.w. melihat Allah pada malam Isra’ dan Mikraj ?

 

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 97:

 

Para al-Salaf al-Soleh juga berselisih pendapat dalam peristiwa’ Isra’ dan Mikraj.  Perselisihan itu berbunyi, Adakah Rasulullah s.a.w. melihat Allah S.W.T. pada malam yang bersejarah itu dengan mata Baginda atau tidak ?”

Al-Qadhi I’yad di dalam kitabnya “al-Syifa’” mengatakan bahawa para sahabat berselisih pendapat tentang masalah ini.  Perselisihan ini berlaku antara dua tokoh ulama’ al-Salafi yang masyhur iaitu antara Sayidatina ‘Aisyah dengan Sayidina Ibn Abbas.[1]

 

Penilaian semula:

Perselisihan berlaku kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada asalnya tidak memberitahu sama ada baginda telah melihat Allah atau tidak pada malam bersejarah itu. Oleh kerana tidak adanya khabar yang sahih maka para sabahat berijtihad berdasarkan beberapa petunjuk nas yang ada.

 

Pendapat pertama berkata Rasulullah tidak melihat Allah berdasarkan firman Allah:

 

Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui. [al-An‘aam 6:103]

 

Pendapat kedua berkata Rasulullah telah melihat Allah berdasarkan firman Allah:

 

Maka apakah kamu (musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya ? [al-Najm 53:12][2]

 

Di sini memang wujud dua pendapat tetapi ia bukanlah sesuatu yang melibatkan urusan ‘aqidah umat Islam.

 

 

[1]               Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 218.

[2]               Lebih lanjut lihat buku al-Qadhi al-I’yadh: al-Syifa’ (terj: Aisha Bewley; Madina Press, Granada & Islamic Book Trust, K. Lumpur 1998), ms. 101-105.

 

BAB F : KANDUNGAN