Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab F: perselisihan al-Salaf membuktikan mereka bukannya

bersepakat atas satu mazhab

 

PENILAIAN SEMULA NO: 69

 

Perselisihan Pertama: Adakah al-Qur’an itu makhluk ?

 

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 94-95:

 

Imam al-Hafiz Ibn ‘Abd al-Barr di dalam kitabnya “al-Intiqa” (m.s. 106), telah menceritakan kepada kita tentang perbezaan pendapat dalam masalah ini.  Perbezaan ini berlaku antara dua Imam al-Salafi yang asal, iaitu Imam Ahmad dan Imam al-Hafiz al-Karabisi.  Kedua-dua Imam ini saling mengemukakan pendapat berdasarkan hujah masing-masing.

Imam Ahmad; berkata:

“Sesiapa yang mengatakan al-Qur’an itu makhluk, maka dia adalah al-Jahmi, dan sesiapa yang mengatakan, al-Qur’an itu kalam Allah dan dia tidak mengatakan makhluk, maka dia sependapat denganku.  Sesiapa yang mengatakan bahawa lafaz pada al-Qur’an itu makhluk, maka dia adalah seorang yang mubtadi’ (pembuat bid'ah).”

Manakala Imam al-Karabisi, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Ibn Kullab, Abu Sur, Daud Ibn Ali, al-Haris Ibn Asad al-Mahasibi, Muhammad Ibn Nasr al-Maruzi dan lain-lain mempunyai pendapat yang tersendiri dalam masalah ini.

Secara umumnya, mereka mengatakan bahawa al-Qur'an itu adalah satu sifat daripada sifat-sifat Allah.  Tidak harus untuk dikatannya sebagai makhluk.  Tetapi, pembacaan dan berlafaz dengan al-Qur’an itu adalah makhluk....[1]

 

Penilaian semula:

Telah dirujuk kitab al-Intiqa karya Ibn ‘Abd al-Barr dan didapati:[2]

 

Pertama:

Nukilan Ibn ‘Abd al-Barr adalah tanpa sanad maka tidak diketahui sejauh mana kebenaran dakwaan di atas. Sekaligus dakwaan perselisihan di atas adalah tertolak sehinggalah dapat dibuktikan dengan sanad yang sahih tentang kewujudannya.

 

Kedua:

Ibn ‘Abd al-Barr telah menyenaraikan nama-nama sepertimana yang disebut oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah kecuali nama dua orang tokoh hadis yang terkenal: Imam Bukhari dan Imam Muslim.

 

Nukilan penyusun Salafiyah Wahabiyah terhadap dua tokoh ini merupakan satu fitnah ke atas mereka dan ke atas Ibn ‘Abd al-Barr sendiri. Tambahan nama al-Bukhari dan Muslim sebenarnya dilakukan sendiri oleh al-Saqqaf namun diselewengi oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah sebagai kata-kata Ibn ‘Abd al-Barr.

 

Marilah kita semak pula sejauh mana kebenaran dakwaan al-Saqqaf dengan merujuk kitab yang sama, iaitu Siyar A’lam al-Nubala karangan al-Dzahabi.[3]

 

Pendapat al-Bukhari:[4]

Memang terdapat beberapa riwayat terhadap pendapat al-Bukhari dalam bab ini di mana sebahagian orang memahami bahawa al-Bukhari berpendapat lafaz pembacaan al-Qur’an adalah makhluk. Namun hal ini telah ditolak oleh al-Bukhari. Diriwayatkan oleh al-Dzahabi bahawa Abu ‘Umar al-Khaffafa telah bertanya hal ini secara terus kepada al-Bukhari, lalu jawab beliau:

 

(Sesiapa yang berkata) lafazku terhadap al-Qur’an adalah makhluk maka dia adalah pendusta. Sesungguhnya yang sedemikian (lafaz al-Qur’an adalah makhluk) bukanlah pendapat aku. Melainkan aku berkata, perbuatan seseorang hamba (itulah yang dikatakan) makhluk.[5]

 

Jelas di sini bahawa al-Bukhari menolak pendapat mereka yang berkata lafaz pembacaan al-Qur’an adalah makhluk. Sebutan ayat-ayat al-Qur’an bukanlah makhluk tetapi tindakan seseorang menyebutnya adalah makhluk.

 

Pendapat Muslim bin al-Hajjaj:[6]

Sepertimana al-Bukhari, terdapat juga beberapa pendapat terhadap Muslim bin al-Hajjaj. Namun yang muktamad adalah sepertimana yang akhirnya dinukil oleh al-Dzahabi, bahawa diriwayatkan Abu Hamid bin al-Syarqi berkata:

 

Aku hadir dalam majlis (ilmu) Muhammad bin Yahya. Beliau berkata: Ketahuilah, sesiapa yang berkata lafazku terhadap al-Qur’an adalah makhluk maka janganlah dia hadir di majlis kami. Maka bangunlah Muslim (beredar keluar) daripada majlis tersebut.[7]

 

Tindakan Muslim bin al-Hajjaj bererti beliau juga menolak pendapat lafaz pembacaan al-Qur’an adalah makhluk.

 

Demikianlah pendapat sebenar al-Bukhari dan Muslim sebagaimana yang tercatit dalam Siyar A’lam al-Nubala. Perhatikan bentuk penyelewengan fakta yang dilakukan oleh al-Saqqaf.

 

 


[1]               Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 216-217.

[2]               Ibn ‘Abd al-Barr – al-Intiqa fi Fada’il al-A’immah al-Thalathah al-Fuqaha: Malik bin Anas wa Muhammad bin Idris al-Shafi‘i wa Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit (tahqiq: Abu Fatah Abu Ghadah; Maktabah al-Matbu‘ah al-Islamiyyah, Beirut 1997), ms. 165.

[3]               Untuk kefahaman para pembaca, perbahasan ini berputar pada persoalan sama ada al-Qur’an, lafaznya dan tindakan melafazkannya, adakah ia makhluk atau tidak. Makhluk bererti sesuatu yang baru dicipta oleh Allah manakala bukan makhluk bererti ia adalah sesuatu yang sedia kala di sisi Allah, berupa salah satu sifatnya.

                Al-Qur’an dan lafaz-lafaznya adalah merupakan Kalam Allah dan ia adalah salah satu sifat Allah yang sedia kala. Ia bukanlah sesuatu yang baru tercipta, bererti ia bukanlah makhluk. Jika dikatakan makhluk bererti Allah pada satu masa dahulu tidak memiliki sifat Kalam dan hal ini pasti satu kekurangan bagi Allah. Maha Suci Allah daripada segala kekurangan. Adapun tindakan melafazkan ayat-ayat al-Qur’an oleh seseorang yang membacanya, maka lafaz tersebut tetap bukan makhluk manakala tindakan membaca adalah makhluk. Ini adalah kerana lafaz tersebut tetap merupakan sesuatu yang berasal daripada al-Qur’an yang merupakan Kalam Allah manakala tindakan membacanya adalah ikhtiar manusia sendiri dan ia bukanlah salah satu sifat Allah.

[4]               Beliau ialah pengarang kitab hadis yang masyhur – Sahih al-Bukhari. Kitab ini telahpun diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa. Antara kitab lain yang telah diterjemahkan ialah Adabul Mufrad (terj: Khalid Abri; Mutiara Ilmu, Surabaya 1997. Nama beliau yang sebenar ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Bukhari. Beliau lahir di Bukhara (Uzbezkistan) pada tahun 194H dan kemudiannya mengembara ke hampir seluruh dunia Islam untuk menuntut ilmu dan mencari hadis. Meninggal dunia pada tahun 256H.

[5]               Siyar A’lam al-Nubala, jld. 12, ms. 457-458.

[6]               Beliau ialah Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim, terkenal dengan kitab hadisnya Sahih Muslim yang juga telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa. Dilahirkan di Naisabur pada tahun 204H dan juga telah banyak melakukan pengembaraan untuk menuntut ilmu dan mencari hadis. Meninggal dunia pada tahun 261H.

[7]               Siyar A’lam al-Nubala, jld. 12, ms. 572.

 

BAB F : KANDUNGAN