Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab E: al-Tafwidh dan persoalan “Di manakah Allah ?”

 

PENILAIAN SEMULA NO: 68

 

Kesimpulan Bab E: al-Tafwidh dan beberapa perkara yang berkaitan.

 

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 92:

 

Oleh itu, berdasarkan kepada kupasan kami tentang kaedah al-Tafwid, maka tidak dapat diragu lagi, sememangnya ia merupakan satu metod atau kaedah yang jelas daripada al-Salaf al-Soleh. Kitab-kitab tafsir pula menjadi saksi dengan mencatat tafsiran di kalangan Sahabat tentang pendirian mereka berhubung dengan masalah al-Sifat.

 

Penilaian semula:

Tiada siapa yang meragui atau menolak kaedah al-Tafwidh di sisi generasi al-Salaf jika ianya difahami mengikut definisi Ahl al-Sunnah, iaitu beriman kepada sesuatu sifat Allah sebagaimana yang dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih dengan difahami maknanya manakala ilmu tentang bentuk, ciri-ciri dan tatacara sifat tersebut (kaifiat) diserahkan kepada Allah sambil menyucikan-Nya dari tasybih dan tajsim.

 

Hasan al-Saqqaf dalam buku-bukunya cuba membuktikan bahawa kaedah Ahl al-Sunnah terdiri daripada dua kaedah: al-Takwil dan al-Tafwidh. Hal ini adalah tidak benar. Perhatikan dan kajilah semula kata-kata al-Tirmizi:[1]

 

والمذهب في هذا عند أهل العلم من الأئمة مثل سفيان الثوري ومالك بن أنس وابن المبارك و ابن عيينة ووكيع وغيرهم أنهم رووا هذا الأشياء, ثم قالوا: تروى هذه الأحاديث ونؤمن بها ولا يقال كيف، وهذا الذي اختاره أهل الحديث أن ترووا هذه الأشياء كما جاءت ويؤمن بها ولا تفسر ولا تتوهم ولا يقال كيف، وهذا أمر أهل العلم الذي اختاروه وذهبوا اليه.

 

Kata-kata al-Tirmizi ini telah diterjemahkan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 91:

 

“...dan mazhab di sisi ahli ilmu {di kalangan para tokohnya} iaitu seperti Sufyan al-Thauri, Malik Ibn Anas, Ibn Mubarak, Ibn ‘Uyainah, Waqi’ dan lain-lain bahawa mereka itu meriwayatkan perkara-perkara ini, kemudian mereka berkata; “kami meriwayatkan hadith-hadith ini dan kami beriman dengannya dan tidak dikatakan padanya kaifiyat.  Inilah pendapat yang dipilih oleh ulama’ hadith bahawa hadith-hadith diriwayatkan ini sebagaimana yang dibawa datang dan diimani dengannya, tanpa tafsir, tanpa waham (kesamaran) dan tidak dikatakan kaifiyatnya (cara)”.  Inilah jalan yang dipilih dan di rintis oleh ahli ilmu atau ulama’”

 

Perhatikan bahawa al-Tirmizi tidak menyebut bahawa kaedah al-Takwil sebagai salah satu kaedah yang dipegang oleh para tokoh generasi al-Salaf.

 

Perhatikan juga bahawa apabila Ibn Hajar al-‘Asqalani membicarakan antara kaedah al-Tafwidh dan al-Takwil (Salafiyah Wahabiyah ms. 92), beliau tidak menyandarkan kaedah al-Takwil kepada generasi al-Salaf. Manakala kata-kata Ibn Daqiq al-‘Id (702H)[2] yang dinukil oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 93:

 

“Pendirian kami terhadap (nas) sifat-sifat yang bermasalah ialah kami mengakui dan membenarkan maknanya mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. Jika sesiapa yang mentakwilkannya, kita melihat, sekiranya al-Takwil itu dekat (dalam memahami ayat) mengikut kehendak bahasa Arab, kami tidak mengingkarinya.  Sebaliknya, jika al-Takwil itu jauh, maka kami tidak sependapat dengannya.  Bahkan kami kembali kepada membenarkan nas tersebut beserta mensucikan-Nya.”

 

Di atas adalah nukilan yang benar daripada Ibn Daqiq al-‘Id. Beliau berkata sedemikian dalam rangka mencari jalan pertengahan antara kaedah Ahl al-Sunnah dan Ahl al-Takwil. Hal ini telah disebut juga oleh al-Suyuti dan al-Zarqani.[3]

 

Namun perlu diingatkan bahawa Ibn Daqiq al-‘Id bukanlah seorang tokoh dari generasi al-Salaf, oleh itu kata-kata beliau tidak boleh dijadikan hujah untuk mendakwa genarasi al-Salaf ada berpegang kepada kaedah al-Takwil.

 

Oleh itu yang benar kaedah-kaedah berikut bukan merupakan pegangan generasi al-Salaf:

1.      al-Takwil dengan maksud takwil pengalihan lafaz ke atas nas-nas al-Sifat,

2.      al-Tafwidh dengan maksud menyerahkan kepada Allah segala-galanya tentang nas al-Sifat,

3.      al-Tafwidh dengan maksud menerima istilah tetapi menyerahkan kepada Allah makna dan kaifiat nas al-Sifat.

 

 

[1]               Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi – Sunan al-Tirmizi, jld. 5, ms. 404 (Kitab Sifat al-Jannah, Bab tentang kekalnya ahli syurga dan ahli neraka). Bagi edisi terjemahan lihat Sunan at-Tirmidzi, jld. 4, ms188.

[2]               Beliau ialah Muhammad bin ‘Ali bin Wahb, terkenal dengan gelaran Ibn Daqiq al-‘Id. Beliau pada asalnya adalah tokoh besar Mazhab Maliki akan tetapi kemudiannya beralih ke Mazhab Shafi‘i dan menjadi tokoh besar mazhab ini di Mesir. Lahir pada tahun 625H dan meninggal dunia pada tahun 702H di Mesir.

[3]               Lihat: al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, jld. 2, ms. 10-11 dan Manahil al-‘Urfan , jld. 2, ms. 207-208.

 

BAB E : KANDUNGAN