Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab E: al-Tafwidh dan persoalan “Di manakah Allah ?”

 

PENILAIAN SEMULA NO: 67

 

Kesahihan kitab “al-Rad ‘ala al-Jahmiyyah.”

 

Dinyatakan dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 90-91:

 

Pihak al-Mujassimah seringkali mengemukakan hujah berdasarkan kitab yang disandarkan kepada Imam Ahmad yang berjudul “al-Rad ‘ala al-Jahmiyah”.  Hujah yang disandarkan kepada pendapat Imam Ahmad ini dibentangkan oleh mereka semata-mata untuk menegak dasar aqidah yang batil.  Malang sekali, mereka sebenarnya lupa bahawa kitab yang disandarkan kepada Imam Ahmad ini tidak benar sekali.  Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Zahabi di dalam kitab “'Sayr A'lam al-Nubala” (m.s. 286, jld. 11).  Ketika menterjemahkan biodata Imam Ahmad, beliau mengatakan:

“...tidak seperti kitab “al-Rad ‘ala al-Jahmiyyah”, ia adalah kitab yang direka (maudhu) ke atas Abu Abdullah.

 

Penilaian semula:

Keterangan di atas adalah benar, sememangnya diperselisihkan siapakah pengarang asal kitab al-Rad ‘ala al-Jahmiyyah. Al-Dzahabi telah menyebut hal ini seperti yang dinukil oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah di atas. Ia juga dipersetujui oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam ulasan beliau ke atas kitab Siyar A’lam al-Nubala, lihat jld. 11, ms. 289, notakaki 01. Masalahnya terletak pada salah perawi yang meriwayatkan kitab tersebut, bernama al-Khadir bin al-Muthani, di mana beliau adalah seorang yang majhul (tidak dikenali).

 

Akan tetapi hal ini tidaklah menjejaskan atau mengakibatkan keraguan terhadap ‘aqidah dan pegangan Ahmad bin Hanbal. Terdapat banyak kitab-kitab lain dalam bab ini yang benar-benar berasal daripada Ahmad bin Hanbal, sebahagian daripadanya telah penulis kemukakan dalam buku ini.

 

Penjelasan Tambahan.

Al-Saqqaf dalam Daf’u Syubhat Tasybih, ms. 75-76 telah menyenaraikan hampir semua kitab-kitab yang membicarakan subjek ‘aqidah oleh para tokoh generasi al-Salaf dan beliau mendakwa bahawa semua kitab-kitab tersebut diragui kesahihannya.

 

Namun dakwaan al-Saqqaf tidak memiliki apa-apa nilai kebenaran. Sebagai contoh, marilah kita mengkaji kitab yang pertama disenaraikan oleh al-Saqqaf, iaitu Kitab al-Sunnah oleh ‘Abd Allah bin Ahmad bin Hanbal. Berkata al-Saqqaf terhadap asal usul kitab ini:

Kitab “al-Sunnah” yang disandarkan kepada Ibn Ahmad yang di dalam sanadnya terdapat al-Khadir bin al-Muthani: Dia seorang yang majhul.

 

Rujukan semula kepada Kitab al-Sunnah oleh ‘Abd Allah bin Ahmad bin Hanbal (290H)[1] mendapati dalam sanadnya tidak terdapat al-Khadir bin al-Muthani.[2] Al-Khadir bin Muthani sebenarnya adalah salah seorang perawi yang meriwayatkan kitab al-Rad ‘ala al-Jahmiyyah sebagaimana yang telah diterangkan di atas.

 

Memadai sekadar satu contoh. Dapat diperhatikan permainan kotor al-Saqqaf yang mendustakan para tokoh dan mengelirukan para pembacanya.

 

 


[1]               Beliau ialah anak kepada Ahmad bin Hanbal (241H). Memainkan peranan utama dalam menghimpun dan menyusun hadis-hadis yang dicari oleh ayahnya sebagaimana yang terdapat sekarang ini dalam al-Musnad. Selain itu beliau juga banyak berjasa dalam menghimpun kata-kata dan pendapat ayahnya. Meninggal dunia pada tahun 290H.

[2]               Edisi rujukan penulis adalah yang ditahqiq oleh Muhammad Sa‘id Salim al-Qathani, terbitan Dar Ibn al-Qayyim, al-Damam 1406H. Sanad kitab tersebut boleh dilihat di mukasurat 101-102 sejurus selepas muqaddimah oleh M. Sa‘id.

 

BAB E : KANDUNGAN