Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab E: al-Tafwidh dan persoalan “Di manakah Allah ?”

 

PENILAIAN SEMULA NO: 64

 

Menterjemah Istiwa’ sebagai “Duduk”.

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah ms. 83-87 membahas secara panjang lebar tentang maksud Istiwa’ di sisi Malik bin Anas. Tidak ada apa-apa yang hendak dinilai semula kecuali penulis berpendapat hal di atas boleh diterangkan dalam satu perenggan sahaja.[1] Dari kata-kata Malik juga dapat ketahui pegangan (i’tiqad) beliau dalam hal ini, yakni Allah berada Di Atas ‘Arasy-Nya Di Atas langit, beliau beriman dengannya tanpa membahas tatacara atau ciri-cirinya (kaifiyat).

 

Di samping itu penyusun Salafiyah Wahabiyah dalam ms. 85 telah mendakwa:

 

Perkataan Imam Malik ini juga turut dijadikan hujah oleh al-Salafiah sekarang dengan memaksudkan makna Istiwa’  disini dengan lafaz ( قعد ) dan ( جلس ) yang bermaksud duduk. Mereka berdalilkan kepada ungkapan bahasa Arab itu sendiri.

 

Penilaian semula:

Terjemahan di atas jelas adalah salah. Diminta penyusun Salafiyah Wahabiyah kemukakan bukti siapakah al-Salafiah masa kini yang menterjemahnya sedemikian supaya dapat diperbetulkan dengan segera. Tanpa bukti maka tuduhan hanya akan kembali kepada penyusun Salafiyah Wahabiyah sendiri sebagai seorang pemfitnah dan pendusta. 

 

Kemungkinan besar yang dirujuk oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah adalah nukilan Hasan al-Saqqaf dalam bukunya Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 312, notakaki 163 daripada Abu Hayyan (754H)[2] seperti berikut:

Telah menyebut al-Hafiz Abu Hayyan rahimahullah Ta‘ala dalam tafsirnya al-Nahr al-Mad, jld, 1, ms 254 yang dicetak dalam bentuk 3 jilid, khas pada tafsir firman Allah Ta‘ala: “Dan Kursi Allah seluas langit dan bumi” [3] sesungguhnya Ibn Taimiyyah dalam sebuah risalah kepunyaannya yang telah dibaca oleh al-Hafiz Abu Hayyan, dan ia adalah dengan tulisan tangan Ibn Taimiyyah yang sezaman dengannya (bahawa Ibn Taimiyyah menulis):

 

إن الله تعلى يجلس على العرش وقد أخلى منه مكانا يقعد فيه معه رسول.

 

(Bermaksud) “Sesungguhnya Allah Ta‘ala Dia duduk di atas al-‘Arasy dan sungguh Dia mengosongkan daripadanya satu tempat untuk diduduki padanya bersama-Nya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.”

 

Penulis telah merujuk kepada kitab al-Nahr al-Mad (tahqiq: Buran al-Dhannawi dan Hidyan al-Dhannawi; 3 jld, Muassasah al-Kitab al-Thaqafiyyah, Beirut 1987), jld, 1, ms 254; edisi dan mukasurat yang sama sepertimana yang dirujuk oleh al-Saqqaf dan didapati kata-kata sebenar Abu Hayyan adalah seperti berikut:[4]

 

وقرأت في كتاب لأحمد بن تيمية هذا الذي عاصرنا وهو بخطه سماه كتاب العرش:

 

إن الله تعلى يجلس على الكرسي وقد أخلى منه مكانا يقعد فيه معه رسول

 

تحيل عليه التاج محمد بن علي بن عبد الحق البارنباري وكان أظهر أنه داعية له حتى أخذه منه وقرأنا ذلك فيه.

 

(Berkata Abu Hayyan): Saya telah membaca dalam sebuah kitab oleh Ahmad bin Taimiyyah yang sezaman dengan kami, dan ia adalah dengan tulisan tangannya dan namanya “Kitab al-‘Arasy” (bahawa Ibn Taimiyyah menulis):

 

“Sesungguhnya Allah Ta‘ala Dia duduk di atas al-Kursi dan sungguh Dia mengosongkan daripadanya satu tempat untuk diduduki padanya bersama-Nya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.”

 

Berhelah ke atasnya (ke atas Ibn Taimiyyah) (oleh) al-Taj Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abd al-Haq al-Barnabari, dengan cara menampakkan bahawa dia (al-Barnabari) adalah penyokong baginya (Ibn Taimiyyah) sehingga (dapat) mengambil kitab (al-‘Arasy) daripadanya (Ibn Taimiyyah) dan kami (Abu Hayyan) membaca yang sedemikian di dalamnya.

 

Perbandingan antara kata-kata sebenar Abu Hayyan dan nukilan al-Saqqaf membongkarkan beberapa penyelewengan dan penyembunyian fakta oleh al-Saqqaf:

 

Pertama:

al-Saqqaf tidak menyebut nama kitab yang disebut oleh Abu Hayyan. Ini adalah kerana “Kitab al-Arasy” tidak dikenali sebagai salah sebuah kitab karangan Ibn Taimiyyah. Yang terdekat adalah “al-Risalah al-‘Arasyyiah” [5] dan di dalamnya tidak terkandung apa-apa seumpama salinan di atas.

 

Kedua:

al-Saqqaf mendakwa bahawa Ibn Taimiyyah menulis “Sesungguhnya Allah Ta‘ala Dia duduk Di Atas al-‘Arasy………” padahal kata-kata sebenar yang dikemukakan oleh Abu Hayyan adalah: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala Dia duduk di atas al-Kursi………”

 

al-‘Arasy dan al-Kursi adalah dua perkara yang berbeza. al-Kursi adalah sebuah bangku meletak kaki (stool) yang terletak di sisi al-‘Arasy. Perbandingan saiz al-Kursi dan al-‘Arasy adalah umpama sebentuk cincin di dalam keluasan langit dan bumi seluruhnya. Inilah pendapat generasi al-Salaf dan Ahl al-Sunnah sepertimana nukil Ibn Taimiyyah berdasarkan hadis-hadis dan athar-athar.[6] Allah ‘Azza wa Jalla tidak duduk di atas al-Kursi mahupun memerlukan, bersentuhan, bergantung, terikat, terpengaruh atau terbatas kepada al-Kursi tetapi sebaliknya Allah Maha Tinggi (al-‘Uluw) Di Atas al-Kursi.[7]

 

Pendek cerita al-Kursi bukanlah sebuah kerusi untuk diduduki. Hal ini sedia diketahui oleh al-Saqqaf lalu beliau mengubah al-Kursi kepada al-‘Arasy.

 

Ketiga:

al-Saqqaf tidak mendedahkan bagaimana Abu Hayyan memperoleh “Kitab al-‘Arasy”. Abu Hayyan dengan sendirinya telah menerangkan bahawa beliau memperolehinya daripada seseorang “al-Taj Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abd al-Haq al-Barnabari” yang telah melakukan tipudaya ke atas Ibn Taimiyyah, seolah-olah beliau adalah penyokong Ibn Taimiyyah.

 

Jika telah jelas sikap al-Barnabari sebagai seseorang yang melakukan tipudaya, maka apakah pula yang menghalang kita untuk menanggap al-Barnabari juga sebenarnya telah melakukan satu tipudaya ke atas asal usul sebenar “Kitab al-‘Arasy”  ? Bahkan kemungkinan kedua ini adalah yang lebih mendekati kebenaran di mana al-Barnabari telah mengambil “Kitab al-‘Arasy” dari sumber yang ingin memfitnahkan Ibn Taimiyyah, disalin dalam bentuk tulisan tangan yang mirip kepada tulisan Ibn Taimiyyah, lalu akhirnya berkata “Ini aku ambil dari Ibn Taimiyyah”. Kerana itu kita dapati kata-kata “Ibn Taimiyyah” tersebut sangat-sangat menjauhi kebenaran dalil-dalil naqal dan akal yang selalunya merupakan ciri-ciri khas Ibn Taimiyyah ketika membicarakan sesuatu permasalahan agama.

 

Hal ini disedari oleh al-Saqqaf lalu beliau bertindak mendiamkannya sahaja.

 

Selain itu sebagai seseorang yang hidup sezaman dengan Ibn Taimiyyah, Abu Hayyan dapat memperolehi apa sahaja tulisan Ibn Taimiyyah dengan mudah. Beliau tidak perlu bergantung kepada sebuah hasil tulisan yang “diculik” daripada Ibn Taimiyyah. Di sini jelas bahawa dalam semua tulisan tangan Ibn Taimiyyah yang terbukti sahih, kata-kata di atas tidak wujud di dalamnya.

 

Sekian analisa penulis. Terbukti bahawa “Kitab al-‘Arasy” dan kandungannya hanyalah merupakan salah sebuah fitnah yang dicipta oleh musuh-musuh Ibn Taimiyyah. al-Saqqaf sendiri tidak meyakini kesahihan kitab ini sehingga beliau perlu menyusun beberapa strategi  khas sebelum mengemukakannya. Semoga hal ini dapat dijadikan ukuran oleh para pembaca yang budiman sekalian tentang tahap kejujuran penulisan Hasan bin ‘Ali al-Saqqaf

 

 


[1]               Di waktu yang sama diketahui bahawa penyusun Salafiyah Wahabiyah cuba mengisyaratkan bahawa Malik bin Anas telah mentafwidkan makna dan kaifiat Istiwa’. Akan tetapi hal ini tidak benar kerana jika dikaji benar-benar kata-kata Malik bin Anas secara mendalam dari sudut bahasa, akan didapati beliau mengetahui maknanya, hanya kaifiat yang ditafwidhkan.

[2]               Beliau ialah al-Hafiz Abu Hayyan al-Andalusi, seorang ahli bahasa dan ahli tafsir yang terkenal dengan karyanya al-Bahr al-Muhith. Kitab al-Nahr al-Mad merupakan ringkasan beliau ke atas al-Bahr al-Muhith. Abu Hayyan lahir pada tahun 654H dan meninggal dunia pada tahun 754H.

[3]               Ayat 255 daripada surah al-Baqarah (Ayat al-Kursi).

[4]               Kata-kata ini tidak terdapat dalam edisi al-Nahr al-Mad yang dicetak di sisi al-Bahr al-Muhith sekalipun di dalam edisi asal cetakan ‘Uthmaniyyah yang belum ditahqiq. Rujukan penulis adalah edisi 8 jilid cetakan Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut 1990. Di sini wujud dua kemungkinan: [1] Edisi ‘Uthmaniyyah ini telah diubah suai sehingga kata-kata Abu Hayyan di atas telah dibuang, atau [2] Edisi ‘Uthmaniyyah ini adalah yang asli manakala kata-kata di atas hanyalah merupakan tambahan dalam manuskrip lain. Tambahan ini bukan berasal daripada Abu Hayyan tetapi adalah rekaan seseorang lalu disandarkan kepada Abu Hayyan untuk memfitnah Ibn Taimiyyah. Allah sahaja yang lebih mengetahui.

[5]               Rujukan penulis adalah edisi cdrom: Majmu’ al-Fatawa Ibn Taimiyyah v1.0; Harf Information Technologies, Kaherah. (www.harf.com)

[6]               Ibn Taimiyyah ada membahas subjek al-Kursi secara khusus dalam bukunya al-Fatawa al-Hamawiyyah al-Kubra, ms. 32 dan seterusnya (Bab Beriman kepada al-Kursi).

[7]               Sifat al-‘Uluw Di Atas al-Kursi disebut oleh Ahmad bin Hanbal dan dinukil oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa, jld. 4, ms. 181-182.

 

BAB E : KANDUNGAN