Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab E: al-Tafwidh dan persoalan “Di manakah Allah ?” |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 63
Membahas “Di manakah Allah ?” di sisi Abu Hanifah.
Penyusun Salafiyah Wahabiyah dalam ms. 79-80 telah menukil sebuah kata-kata yang disandarkan kepada Abu Hanifah (150H):
“Sesiapa yang berkata “Aku tidak mengetahui di mana Allah, di langit atau di bumi?”. Maka sesungguhnya dia telah menjadi kafir kerana perkataan itu mendatangkan kekeliruan bahawa Allah itu mempunyai tempat. Sesiapa yang mendatangkan kekeliruan bahawa tuhan itu mempunyai tempat maka dia adalah seorang Musyabbihah (menyerupakan tuhan dengan makhluk).”
Seterusnya penyusun Salafiyah Wahabiyah mengulas:
Berdasarkan kepada pandangan beliau ini, jelas kepada kita bahawa Imam Abu Hanifah tidak menentukan makaniyah (tempat) bagi Allah S.W.T. Beliau menyerahkan makna ayat yang berkaitan dengan sifat itu kepada Allah S.W.T. tanpa memberi waham (kesamaran) dan berpegang bahawa Maha suci Allah daripada menyerupai makhluk. Penyerahan makna ayat tanpa menentukan maknanya itu diistilahkan sebagai al- Tafwid. Riwayat ini dinyatakan oleh Imam Ibn ‘Abd al-Salam di dalam kitabnya “Hil al-Rumz”. Imam Ali al-Qari juga tidak ketinggalan menaqilkan riwayat ini di dalam kitabnya “Syarh Fiqh al-Aqbar” (ms. 198). Nuqilan itu kemudiannya diulaskan oleh beliau katanya; “Tidak syak lagi, Ibn ‘Abd al-Salam adalah salah seorang ulama’ yang besar dan boleh dipercayai. Maka menjadi kewajipan berpegang dengan apa yang di naqalkan oleh beliau, bukannya bergantung pada apa yang di nuqil oleh pengulas kitab al-Tahawiyah (Ibn Abi al-lzz) yang bersumberkan kepada riwayat Abi Muti’. Beliau (Abi Muti) merupakan seorang pereka daripada kalangan ahli hadith.”
Penilaian semula: Tidak ada apa-apa kebenaran mahupun manfaat ilmiah dalam kenyataan di atas. Berikut perinciannya:
Pertama: Kata-kata Abu Hanifah tersebut dikemukakan oleh ‘Ali al-Qari dalam – Syarah Kitab al-Fiqh al-Akhbar li Abu Hanifah, ms. 198 dengan menukil kata-kata Ibn ‘Abd al-Salam dari kitabnya Hal al-Rumuz. Akan tetapi Ibn ‘Abd al-Salam tidak mengemukakan apa-apa sanad kepada Abu Hanifah. Oleh itu riwayat tersebut tidak memiliki apa-apa nilai ilmiah.
Di sini persoalannya bukanlah pada kedudukan Ibn ‘Abd al-Salam tetapi pada sudut sanadnya: dimanakah sanad yang menjadi bukti bahawa beliau menerima kata-kata tersebut dari Abu Hanifah.
Kedua: Abu Muti’ al-Balkhiyyu memang seorang perawi yang dha‘if akan tetapi setakat ini tidak penulis ketahui ada yang mengkritik beliau sebagai pereka atau pencipta hadis. Penyusun Salafiyah Wahabiyah menyebut beliau sebagai: “Beliau (Abi Muti) merupakan seorang pereka daripada kalangan ahli hadith.” Tidak diketahui di manakah penyusun Salafiyah Wahabiyah menemui status Abu Muti’ seperti di atas. Malah jika dirujuk kepada penerangan Hasan al-Saqqaf dalam al-‘Uluw lil ‘Aliy al-Ghaffar, ms. 391, nk 691, al-Saqqaf telah menukil kata-kata Ibn Hajar al-‘Asqalani yang menukil daripada Ibn Abi Hatim al-Razi bahawa: “Adalah (Abu Muti’) seorang golongan Murji’ah yang pendusta.”[1] Sifat dusta ini disebut secara umum dan ia tidak dikaitkan dengan status Abu Muti’ sebagai seorang periwayat hadis dan athar. Nampaknya penyusun Salafiyah Wahabiyah telah menokok tambah daripada sumber rujukan gurunya sendiri.
Ketiga: Apakah pandangan Abu Hanifah tentang persoalan “Di manakah Allah ?”
Setakat ini penulis tidak menemui pendapat beliau dalam bab ini yang memiliki sanad yang sahih. Namun sedia diketahui bahawa Abu Hanifah telah menerima hadis berikut daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di mana baginda telah bertanya kepada seorang hamba wanita: Di manakah Allah ? Hamba itu menjawab: Di langit. Baginda bertanya lagi: Siapakah saya ? Hamba itu menjawab: Anda Rasulullah. Maka bersabda baginda: Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman.
Hadis di atas sahih berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Hanifah sendiri telah meriwayatkannya dalam kitabnya al-Musnad.[2] Justeru dapat dikatakan pendapat Abu Hanifah dalam persoalan “Di manakah Allah ?” adalah selari dengan hadis di atas. Mustahil dianggap Abu Hanifah memiliki pendapat yang berlainan dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam bab ‘aqidah.
[1] Lihat Lisan al-Mizan, jld. 2, ms. 380-381, perawi no: 2916. Walaubagaimanapun kata-kata yang benar di sisi Ibn Abi Hatim ialah: Adalah (Abu Muti’) seorang golongan Murjiah yang dha‘if hadisnya. Ini sebagaimana terang Ibn Abi Hatim sendiri dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (Dar al-Fikr, Beirut 1952), jld. 2, ms. 121-122, perawi no: 560. [2] Lihat Jamii’ al-Masanid li Abi Hanifah – (dihimpun dan disusun oleh Muhammad bin Mahmud al-Khawarazami al-Hanafi; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp thn), jld. 2, ms. 163-163; CF Shams al-Salafi al-Afghani dalam ‘Adau al-Maturudiyyah li al-’Aqidah al-Salafiyyah, jld. 2, ms. 552.
|
| BAB E : KANDUNGAN |