Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 48
Dakwaan al-Dzahabi membuang nas yang asal.
Dalam mengulas nukilan kitab al-Risalah al-Nazzomiyyah di atas, penyusun Salafiyah Wahabiyah berkata (ms. 69, notakaki no: 12):
Kebanyakan nas kitab ini telah dibuang daripada naskhah asalnya. Buktinya Imam al-Zahabi telah membuang nas yang asal ini di dalam kitabnya “Sayr A'lam al-Nubala” (ms. 473, jld. 18). Puncanya ialah kerana nas tersebut dilihat tidak bertepatan dengan pendapatnya. Tulisan yang telah kami hitamkan di atas merupakan nas yang telah dibuang oleh beliau. Nas yang asal ini kami mengambilnya daripada “Aqidah al-Nazomiyah” yang telah di sunting oleh Imam al-Kauthari yang dicetak pada tahun 1948M. Perkara ini telah diakui oleh penyunting kitab “Sayr A'lam Al-Nubala” bahawa sikap al-Zahabi yang selalu melupakan teks yang asal itu menjadi perkara biasa baginya. Sila lihat “Sayr A'lam al-Nubala” (ms. 70 dan 86, jid. 21).[1]
Penilaian semula: Diakui bahawa al-Dzahabi kadang kala tertinggal sebahagian teks ketika menukil kata-kata seseorang imam atau tokoh. Namun tidaklah benar tuduhan penyusun Salafiyah Wahabiyah bahawa kononnya ini beliau lakukan dengan sengaja. Sebenarnya ia adalah satu ketidak-sengajaan yang boleh berlaku.
Tuduhan penyusun Salafiyah Wahabiyah bahawa al-Dzahabi membuang sebahagian teks kerana tidak sependapat dengannya adalah tidak berasas sama sekali. Bahkan jika kita kaji semula bahagian teks yang dimaksudkan: “Lalu mereka memperlakukan sekadar apa yang wajib difahami mengikut kaedah bahasa Arab”, ia adalah selari dengan manhaj yang dipegang oleh al-Dzahabi dan gurunya: Ibn Taimiyyah. Justeru ingin ditanya kepada penyusun Salafiyah Wahabiyah di manakah letaknya percanggahan teks ini dengan pegangan al-Dzahabi ?
Dalam hal ini kita berterima kasih kepada Syu‘aib al-Arna’uth, penyunting kitab Siyar A’lam al-Nubala yang telah membandingkan nukilan al-Dzahabi dengan kitab yang asal lalu mencatit di bahagian notakaki akan apa-apa yang tertinggal. [1] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 65-66, nk 21.
|
| BAB D : KANDUNGAN |