Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 47
Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Haramain.
Bermula daripada mukasurat 67, penyusun Salafiyah Wahabiyah telah mengemukakan beberapa contoh sebagai bukti bahawa kaedah memahami nas-nas al-Sifat yang digariskan oleh Ibn Taimiyyah adalah bercanggah dengan kaedah tokoh-tokoh yang lain. Marilah kita mengkaji sejauh mana wujudnya percanggahan ini.
Di sini ingin penulis mengingatkan para pembaca tentang 3 golongan dan kaedah mereka dalam memahami nas-nas al-Sifat sepertimana yang telah disebut di bahagian awal Bab pertama. Secara ringkasnya:
[1] Ahl al-Sunnah iaitu mereka yang beriman kepada sesuatu sifat Allah sebagaimana yang dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih dengan difahami maknanya manakala ilmu tentang bentuk, ciri-ciri dan tatacara sifat tersebut (kaifiat) diserahkan kepada Allah sambil menyucikan-Nya dari tasybih dan tajsim. Kaedah Ahl al-Sunnah adakalanya juga dikenali sebagai kaedah al-Tafwidh yang bererti menyerahkan, merujuk kepada perbuatan menyerahkan kaifiat sesuatu nas al-Sifat kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
[2] Ahl Zahir iaitu mereka yang memahami nas-nas al-Sifat adalah secara zahir dari sudut makna dan kaifiatnya. Apabila dikatakan Tangan Allah ia bererti tangan seperti tangan makhluk. Mereka inilah yang dikenali sebagai golongan al-Musyabbihah dan al-Mujassimah.
[3] Ahl al-Takwil iaitu mereka mengalih istilah nas-nas al-Sifat kepada maksud yang lain. Tangan Allah dialihkan kepada maksud kekuasaan Allah atau nikmat Allah.
Ibn Taimiyyah berpegang dengan kaedah Ahl al-Sunnah tetapi penyusun Salafiyah Wahabiyah seringkali mengelirukan Ibn Taimiyyah dengan golongan Ahl al-Zahir al-Musyabbihah dan al-Mujassimah. Ini beliau jadikan faktor kononnya wujud “percanggahan.”
Penilaian semula dimulakan ke atas dakwaan percanggahan yang wujud antara Imam al-Haramain (478H)[1] dan Ibn Taimiyyah. Penyusun Salafiyah Wahabiyah dalam ms. 69 telah mengemuka dan menterjemahkan kata-kata Imam al-Haramain daripada kitabnya al-Risalah al-Nazzomiyyah:
“Perselisihan berlaku di kalangan ulama’ tentang makna zahir yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ahl al-Haq telah menegah diri mereka daripada menentukan makna maksudnya. Lalu mereka memperlakukan sekadar apa yang wajib difahami mengikut kaedah bahasa Arab. Maka sesetengah daripada Ahl al-Haq mentakwilkan nas tersebut. Dasar yang dipegangi oleh mereka ini mengikut al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih. Kebanyakan daripada Imam al-Salaf telah menegah diri mereka daripada mentakwil nas tersebut. Bahkan mereka memperlakukan nas-nas yang zahir itu mengikut apa yang dibawa dengannya. Kemudian mereka menyerahkan makna hakikatnya kepada Allah S.W.T. Inilah dua pendapat yang menjadi pegangan kami. Kami berpegang teguh dengan pendapat ini sebagai ikutan imam-imam al-Salaf. Oleh yang demikian, perkara yang lebih baik ialah mengikut mereka dan meninggalkan perkara bid'ah...”[2]
Berdasarkan penerangan Imam al-Haramain di atas kelihatan bahawa generasi al-Salaf berpegang kepada kaedah dua kaedah, mentakwil dan tidak mentakwil terhadap nas-nas al-Sifat. Kedua-dua kaedah ini merupakan pegangan Imam al-Haramain. Ini bercanggah dengan dakwaan Ibn Taimiyyah bahawa generasi al-Salaf hanya berpegang kepada satu kaedah iaitu tidak mentakwilkan nas-nas al-Sifat.
Penilaian semula: Di atas adalah terjemahan yang dusta dan merupakan fitnah ke atas Imam al-Haramain.
Berikut dikemukakan teks Arab diikuti dengan terjemahan yang sebenar:[3]
اختلفت مسالك العلماء في الظواهر التي وردت في الكتاب والسنة, وامتنع على أهل الحق فحواها (وإجراؤها على موجب ما تبرزه أفهام أرباب اللسان منها), فرأى بعضهم تأويلها, والتزم ذلك في القرآن, وما يصح من السنن, وذهب أئمة السلف إلى الانكفاف عن التأويل وإجراء الظواهر على مواردها, وتفويض معانيها إلى الرب تعالى, والذي نرتضيه رأيا, وندين الله به عقدا اتباع سلف الأمة, فالأولى الاتباع (وترك الابتداع).
Perselisihan telah berlaku di kalangan ulama’ tentang makna zahir yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, dan telah terhalang bagi Ahl al-Haq untuk memahami maksudnya dan terhalang (juga) bagi mereka memahaminya mengikut kefahaman ahli bahasa. Maka sesetengah daripada mereka mentakwilkannya berdasarkan al-Qur’an dan apa yang sah daripada al-Sunnah. Manakala para imam al-Salaf telah menegah diri mereka daripada al-Takwil dan mereka memperlakukannya berdasarkan zahir apa yang dibawanya dan menyerahkan maknanya kepada Tuhan (Allah) Ta’ala. Dan yang kami redha dan kami jadikan dengannya sebagai agama Allah ialah mengikut pegangan para imam al-Salaf. Oleh yang demikian yang terbaik ialah mengikuti mereka dan meninggalkan perkara bid‘ah.
Dalam terjemahan penyusun Salafiyah Wahabiyah disebut bahawa Imam al-Haramain berpegang kepada dua pendapat: mentakwil dan tidak mentakwil. Dua pendapat ini dikatakan sebagai ikutan daripada imam-imam al-Salaf. Perhatikan terjemahan yang dimaksudkan: “Inilah dua pendapat yang menjadi pegangan kami. Kami berpegang teguh dengan pendapat ini sebagai ikutan imam-imam al-Salaf.”
Padahal dalam teks Arab yang asal tidak terdapat kata-kata: “Inilah dua pendapat yang menjadi pegangan kami………” Malah kata-kata Imam al-Haramain yang sebenar adalah beliau berpegang kepada satu pendapat sahaja, iaitu pendapat para imam al-Salaf yang tidak mentakwilkan nas-nas al-Sifat. Inilah pendapat yang benar di sisi agama Allah sebagaimana yang dipegang oleh para imam generasi al-Salaf. Apa-apa yang datang selepas mereka adalah satu bid‘ah.
Jika dikaji teks Arab yang asal tidak wujud di sana kemungkinan untuk melakukan kesilapan antara “Inilah dua pendapat……” dan “Dan yang kami redha dan kami jadikan dengannya sebagai agama Allah ialah……”. Kerana itu hal ini tidak dianggap sebagai satu kesilapan tetapi adalah satu pendustaan dan penyelewengan fakta yang merupakan fitnah ke atas Imam al-Haramain. Di waktu yang sama ia adalah juga merupakan fitnah atas Ibn Taimiyyah.
[1] Beliau ialah Abu al-Ma‘ali ‘Abd al-Malik bin Muhammad al-Juwayni yang lebih dikenali dengan gelaran Imam al-Haramain. Beliau adalah seorang tokoh yang terkemukakan dalam Mazhab Shafi‘i dan telah mengembara ke Naisapur, Baghdad, Makkah dan Madinah untuk mencari dan mengajar ilmu. Meninggal dunia di Nishapur pada tahun 478H. Antara anak muridnya yang terkenal ialah Abu Hamid al-Ghazali (505H). [2] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 66-67 namun berlaku pendustaan dalam terjemahannya oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah.. Sila bandingkan dengan teks Arab yang asal sepertimana yang akan dikemukakan seterusnya. [3] Siyar A’lam al-Nubala, jld. 18, ms. 473. Dalam kurungan beberapa kalimah yang tertinggal, dicatit oleh pentahqiq: Syu‘aib al-Arna’uth di bahagian notakaki berdasarkan kitab al-’Aqidah al-Nazomiyyah yang ditahqiq oleh al-Kauthari, ms. 23 dan seterusnya.
|
| BAB D : KANDUNGAN |