Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 45
Penolakan ketiga terhadap kaedah memahami nas-nas al-Sifat Ibn Taimiyyah.
Di sebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 68:
Oleh yang demikian, pengambilan nas-nas secara zahir berdasarkan umum yang dzanni (ragu-ragu) atau mutasyabih lebih menjurus ke arah tajsim dan tasybih. Hasilnya, Ibn Taimiyyah mengemukakan satu teori yang amat mengelirukan, lebih-lebih lagi kepada orang awam. Penolakan ini pula diperjuangkan kembali oleh Salafiyah al-Wahabiyah dengan paksaan. Akhirnya, berlakulah kontroversi yang kompleks dalam masyarakat. Inilah salah satu fitnah al-Wahabiyah. Justeru itu, aliran Ibn Taimiyyah tertolak dan sukar di fahami berbanding dengan kaedah jumhur ulama’ yang lain.
Penilaian semula: Mengelirukan atau tidak, sukar atau senang kaedah Ibn Taimiyyah untuk memahami nas-nas al-Sifat kami serahkan kepada para pembaca semua. Kaedah ini telahpun kami terangkan di bahagian awal bab ini. Kekeliruan penyusun Salafiyah Wahabiyah tidak boleh dijadikan hujah ke atas kaedah tersebut kerana ia hanyalah merupakan kelemahan beliau sendiri.
Lebih dari itu bagaimana mungkin dikatakan bahawa kaedah Ibn Taimiyyah boleh menjurus ke arah Tajsim (menjisim dan menjasmanikan Tuhan) dan Tasybih (menyerupakan Tuhan dengan makhluk) jika beliau secara terperinci telah menggariskan kaedah:
Tanpa Takyif, iaitu tidak bertanya atau menggambarkan bagaimana bentuk atau ciri-ciri atau tatacara Sifat-sifat tersebut, yakni tidak menjisimkannya.
Tanpa Tamtsil, iaitu tidak menyerupa atau mengumpamakan Sifat-sifat tersebut dengan mana-mana makhluk yang ada di sekalian alam.
Memadai berikut ini disalin satu kata-kata Ibn Taimiyyah yang jelas membatalkan dakwaan bahawa beliau menjurus ke arah Tasybih dan Tajsim. Berkata Ibn Taimiyyah:[1]
إن جعل صفات الله مثل صفات المخلوقين, فيقول: استواء الله كاستواء المخلوق, أو نزوله كنزول المخلوق, ونحو ذلك, فهذا مبتدع ضال. فإن الكتاب والسنة مع العقل دلت على أن الله لا تماثله المخلوقات في شء من الأشياء.
Sesungguhnya (sesiapa yang) menjadikan sifat Allah seumpama sifat makhluk-makhluk, seperti berkata: “Istiwa’ Allah sebagaimana istiwa’ makhluk atau “Nuzul (Penurunan) Allah sebagai nuzul makhluk” dan apa-apa lain seperti itu, maka (orang itu) adalah seorang pembuat bid‘ah yang sesat. Kerana sesungguhnya al-Qur’an dan al-Sunnah bersama akal telah menunjukkan bahawa Allah tiadalah Dia seumpama makhluk-makhluk dalam apa jua bentuk atau cara sekalipun. [1] Majmu al-Fatawa, jld. 5, ms. 262. Perhatikan tindakan Ibn Taimiyyah yang mendahulukan al-Qur’an dan al-Sunnah, kemudian barulah diikuti dengan akal.
|
| BAB D : KANDUNGAN |