Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 44
Penolakan kedua terhadap kaedah memahami nas-nas al-Sifat Ibn Taimiyyah.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 67:
Di samping itu, penetapan pertama yang dilakukan oleh Ibn Taimiyyah dan penafiannya yang kedua membawa kepada pertentangan. Kaedah usul menjelaskan, apabila bertemu antara nafi dengan yang menetap, maka didahulukan yang menetap, apabila tidak memungkinkan kita untuk menghimpun antara keduanya. Oleh itu, penafian Ibn Taimiyyah terhadap kaifiyyat dan tasybih secara langsung akan gugur. Hal seperti ini diakui oleh ulama’ usul, hadith dan tafsir seperti Imam al-Qurtubi (sebelum Ibn Taimiyyah) di dalam tafsirnya “Jami’ li al-ahkam al-Qur’an.”
Penilaian semula: Kini penyusun Salafiyah Wahabiyah ingin mengelirukan para pembaca dengan kaedah Usul Fiqh dalam Bab Ta‘arudh, Tarjih dan Jam‘u[1] namun yang benar beliau sendiri yang keliru. Apa yang dimaksudkan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah adalah terdapat pertentangan dalam kaedah Ibn Taimiyyah memahami nas-nas al-Sifat. Ini adalah kerana dalam kaedah tersebut terdapat penetapan dan penafian.
Penetapan adalah: Mempercayai sifat-sifat-Nya sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dan rasul-Nya. Penafian adalah: Tanpa menyeleweng, menghapus, merupa bentuk dan tidak mengumpamakan.
Penulis berkata, kaedah di atas bukanlah satu pertentangan tetapi adalah dua kenyataan yang saling melengkap antara satu sama lain. Berikut dikemukakan satu contoh yang mudah: “Ahmad adalah seorang budak yang tembam namun tidaklah terlampau gemuk (obesity)”. Dalam kenyataan ini terdapat penetapan dan penafian: Penetapan: Ahmad adalah seorang budak yang tembam. Penafian: Namun tidaklah terlampau gemuk (obesity).
Penetapan dan penafian ini tidaklah saling bertentangan tetapi saling melengkap.
Justeru dalam kenyataan Ibn Taimiyyah memang terdapat penetapan dan penafian tetapi ia tidaklah saling bertentangan tetapi saling melengkap antara satu sama lain. Apa yang dilakukan oleh Ibn Taimiyyah adalah selari dengan kaedah penetapan dan penafian yang terdapat dalam ayat-ayat al-Qur’an. Berikut dikemukakan dua contoh khas dalam bab tauhid:
Contoh pertama: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Katakanlah: “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.” [al-Ikhlas 112:1-4]
Dalam ayat ini terdapat penetapan dan penafian: Penetapan: Katakanlah: “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Penafian: Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.
Contoh kedua: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]
Dalam satu ayat ini terdapat penetapan dan penafian: Penetapan: Dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Penafian: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia.
Dalam dua contoh di atas jelas wujud penetapan dan penafian tetapi ia tidaklah saling bertentangan antara satu sama lain. Ia saling melengkap dan menyempurnakan. Semoga keterangan di atas dapat difahami oleh para pembaca dengan mudah tanpa dikelirukan lagi oleh permainan penyusun Salafiyah Wahabiyah. [1] Ini adalah satu ilmu khas dalam kaedah Usul Fiqh bagi menangani masalah dua atau lebih dalil yang kelihatan seolah-olah bertentangan antara satu sama lain. Alhamdulillah penulis telah membahas bab ini secara terperinci dalam buku Kaedah Memahami Hadis-hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa 2002). Antara yang turut dibahas ialah kaedah tarjih antara dalil yang menetap dan yang menafikan. Silalah rujuk ke sana.
|
| BAB D : KANDUNGAN |