Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT

 

PENILAIAN SEMULA NO: 43

 

Dakwaan Ibn Taimiyyah menetapkan sifat “Menetap” dan “Sakit” terhadap Allah.

 

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 67:

 

Kesemua ulama’ kita ini tidak menetapkan nas al-Sifat secara yang zahir yang menunjukkan makna mustahil pada Allah S.W.T. sebagaimana yang diakui oleh Syeikh Ibn Taimiyah di dalam fatwa Hamayiahnya bahawa Tuhan itu bersifat dengan:

 

المجيء, النزل, الضحك, المعيه, الفوقية, المستقر على العرش, الحد, الغضب, الغيرة, المرض ... الخ

Maksudnya: “seperti datang, turun, ketawa, bersama, di atas, menetap di atas ‘Arasy, batasan cemburu, sakit dan sebagainya…”

 

Penilaian semula:

Kesemua sifat-sifat yang disebut oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah memang merupakan sifat-sifat Allah yang telah dikemukakan dan dijelaskan oleh Ibn Taimiyyah. Setiap darinya memiliki dalil sama ada daripada al-Qur’an atau al-Sunnah yang sahih. Para pembaca dijemput mengkajinya dalam buku tulisan Alawy bin Abdul Qadir al-Segaf yang telah diterjemahkan atas judul Mengungkap Kesempurnaan Sifat-sifat Allah dalam al-Qur’an & al-Sunnah, ms. 119-121.

 

Akan tetapi sifat Menetap ( المستقر ) di atas al-‘Arasy dan “Sakit” tidak dikemukakan oleh Ibn Taimiyyah sebagai salah satu sifat Allah ‘Azza wa Jalla. Penulis telah menelaah kitab Fatawa al-Hamawiyyah al-Kubra namun tidak menemuinya[1].

 

Diminta penyusun Salafiyah Wahabiyah mengemukakan rujukan mukasurat yang setepatnya bagi dakwaan bahawa Ibn Taimiyyah telah menetapkan dua sifat ini sebagai sifat-sifat Allah. Jika tidak maka ia bererti penyusun Salafiyah Wahabiyah berbuat fitnah dan dusta ke atas salah seorang tokoh umat ini.

 

 


[1]               Ibn Taimiyyah – al-Fatawa al-Hamawiyyah al-Kubra (al-Mathba‘ah al-Salafiyyah, Kaherah 1401H). Semakan juga diusahakan dengan edisi Cdrom yang dikeluarkan oleh Harf IT, Kaherah (www.harf.com) tetapi tidak ditemui bahawa Ibn Taimiyyah telah menetapkan dua sifat tersebut sebagai sifat Allah.

 

BAB D : KANDUNGAN