Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT

 

PENILAIAN SEMULA NO: 42

 

Penolakan pertama terhadap kaedah memahami nas-nas al-Sifat Ibn Taimiyyah.

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah ms. 66 telah menukil kata-kata Ibn Taimiyyah daripada kitab Munazharat ‘Aqidah al-Wasitiyyah (ms. 415, jld. 1)[1] tentang kaedah memahami nas-nas al-Sifat, iaitu:

 

… “Antara kepercayaan kepada Allah ialah mempercayai sifat-sifat-Nya sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dan rasul-Nya tanpa menyeleweng, menghapus, merupa bentuk dan tidak mengumpamakan. Maksudnya ialah menafi takwil iaitu perkara yang memalingkan lafaz daripada makna zahirnya sama ada takwil itu wajib ataupun harus…”

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah dalam ms. 66-67 telah menolaknya kaedah ini berdasarkan beberapa ulasan, yang pertama:

 

Kaedah yang digunakan oleh Syeikh Ibn Taimiyyah di dalam memahami sifat-sifat Allah melalui ayat mutasyabih iaitu mengambil secara zahir ayat bercanggah dengan kaedah ulama’ hadith seperti Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam Malik, Imam Syafi‘e, Imam al-Thauri, Imam ‘Uyainah, Imam al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Hafiz Ibn al-Jauzi, al-Hafiz al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain.  Kesemua ulama’ kita ini tidak menetapkan nas al-Sifat secara yang zahir yang menunjukkan makna mustahil pada Allah S.W.T. ………

Sebaliknya jika sifat-sifat seperti ini terdapat di dalam nas, para ulama’ kita mentakwilkannya.  Sama ada secara umum ataupun secara langsung daripada lafaz yang asal (tafsili)Para pembaca sekalian boleh melihat sendiri sebagaimana contoh-contoh yang telah lepas.

 

Penilaian semula:

Contoh takwilan oleh sebahgian tokoh-tokoh di atas yang dikemukakan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah telah dinilai semula di Bab B buku ini dan terbukti bahawa mereka tidak mentakwilkan nas-nas al-Sifat. Manakala sebahagian kecil yang melakukan takwil, telahpun dibahas di bahagian awal Bab A kenapa dan di mana kelemahan dan kesalahan untuk melakukan takwil.

Hakikatnya tidak ada apa-apa penolakan mahupun percanggahan sepertimana yang cuba didakwa oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah. 


 

[1]               Penulis tidak memiliki kitab ini oleh itu perbahasan seterusnya adalah bersandar kepada nukilan dan terjemahan yang terdapat dalam Salafiyah Wahabiyah.

BAB D : KANDUNGAN